Geng Aku

Rabu, 11 November 2009

Raja Farah Mengharapkan Bintangnya Akan Bersinar



ENAM tahun Raja Farah Raja Aziz berusaha menggilap bakat dengan harapan namanya tersenarai antara pelakon terbaik. Namun, dalam keghairahan itu, kadang-kadang namanya masih tercicir, dibiarkan berlalu begitu saja bagaikan tiada apa yang istimewa pada dirinya sedangkan dia antara pelakon berbakat yang sentiasa diberi peluang memenuhi undangan berlakon di TV dan filem.

Malahan, kalau mengikut jadual hariannya, Raja Farah tidak akan berehat daripada bekerja sebagai pelakon hingga Februari 2010.

Bintang muda berusia 21 tahun itu menyedari perkara ini. Raja Farah sedar dia kurang menyerlah berbanding dengan pelakon lain yang sebaya dengan umurnya.

Bagaimanapun, buat masa ini tidak berasa gusar dengan perkara itu. Dia sedar tidak semua orang yang menceburi bidang lakonan ini boleh mencipta nama dengan pantas. Ada yang perlu bersabar dan mengambil masa lama untuk menyengat dalam dunia lakonan.

“Farah akui memanglah biarpun banyak drama dan filem sudah dilakonkan, masih ada yang belum kenal. Farah tidak terkilan kerana hal terbabit bersifat subjektif dan bukan dalam bidang kuasa.

“Mungkin lebih baik Farah dalam keadaan begini, daripada cepat naik dan cepat turun populariti.
RAJA FARAH percaya belum masa untuknya menyinar di persada seni.

“Biarlah perjalanan dunia seni Farah bergerak perlahan tapi selagi ada tawaran yang datang, soal kenal atau tidak, ingat atau lupa, ia bukan satu masalah. Farah percaya, rezeki dan tuah itu ada di mana-mana. Biarlah masa saja yang menentukan segala-galanya,” katanya.

Ketika ini dia sedang giat menjalani penggambaran drama bersiri Mertua VS Menantu musim kedua untuk Astro Prima dan Na O Mei yang bakal disiarkan untuk slot Akasia di TV3.

Bagi filem pula, Raja Farah kini menunggu penayangan dua filem yang dibintanginya iaitu Haq The Movie dan Lagenda Anak Setan. Dia juga sedang membuat persiapan untuk memulakan penggambaran filem Akuarium Cinta arahan Osman Ali yang dijangka bermula awal tahun depan. Dalam filem itu, Raja Farah digandingkan dengan Remy Ishak.

Dalam keghairahan mengukir nama di persada lakonan, Raja Farah juga merancang untuk menceburi perniagaan spa.

“Minat itu memang sudah ada, namun, semuanya masih dalam perancangan. Baru berkira-kira. Farah memilih untuk membuka spa kerana secara automatik, Farah dan ibu pun suka ke spa untuk mengurut badan dan menenangkan fikiran,”

Walaupun berusia awal 20-an tetapi tabiat suka melatah macam orang tua. Katanya, tabiat itu bermula kira-kira lima tahun lalu ketika dia menjalani penggambaran filem Cinta Nan Satu.

“Riuh juga jadinya apabila hampir kebanyakan krew produksi filem itu kaki melatah. Daripada jurusolek hinggalah ke pembawa props suka melatah. Akhirnya ia menjadi tabiat yang sudah nak dibuang pula.

“Selalunya di set penggambaran, akan ada pihak yang sengaja mencuit badan dan mengusik Farah hingga melatah. Ada juga yang mengusik cakap harap muka saja cun, tapi suka melatah. Farah tak kisah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails