Geng Aku

Rabu, 10 Mac 2010

Sultan Kelantan Cerai Isteri Kedua Talak 3.


TUANKU ISMAIL PETRA bersama Elia Suhana.


Seorang peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar telah memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap isteri kedua Sultan Kelantan, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama, Zainul berkata, beliau telah dititahkan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai antara Tuanku dan Cik Puan Elia Suhana.

"Kami telah dititahkan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan Darul Naim supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai di antara Tuanku dan Elia Suhana binti Ahmad.

"Pada hari ini (semalam), kami telah memfailkan suatu permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu untuk pengesahan cerai talak tiga yang dilafazkan sendiri oleh baginda Tuanku terhadap Elia Suhana Binti Ahmad pada 12 Februari 2010 di hadapan beberapa orang saksi dan mahkamah telah mendaftarkan permohonan tersebut serta menetapkan hari Ahad, 21 Mac ini pukul 9 pagi bagi mendengar permohonan tersebut," katanya.

Inkues: Teoh Tak Diliwat Tapi Tertusuk Tulang.

Inkues bagi menyiasat punca kematian pegawai politik kepada seorang exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock bersambung semula pada jam 10 pagi ini.
Perbicaraan bermula dengan ketua pendakwa dan bahagian perundangan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Musa menyoal Dr Shahidan Md Noor (kiri).

Dr Shahidan adalah ahli patologi yang melakukan bedah siasat kedua pada 22 Nov lalu.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata tidak mungkin Teoh dipukul atau dijerut sebelum jatuh.

Menjawab soalan daripada Abdul Razak, Shahidan berkata walaupun ada kesan tekanan pada leher, namun lebam kebiruan pada bibir dan kuku, serta bintik-bintik merah pada muka tidak ditemui bagi mencadangkan bahawa mangsa dibunuh.
"Terdapat kesan lebam di leher tetapi tidak ada kesan asphyxia.

"Mungkin terdapat tekanan yang digunakan (di bahagian leher). Bagaimanapun bintik-bintik merah itu di leher tidak menyebabkan kematian Teoh.”

Shahidan juga berkata kecederaan di kawasan dubur Teoh bukan akibat diliwat tetapi konsisten dengan kecederaan akibat terjatuh.

"Kawasan tulang pinggul retak sebelum patah semasa dia jatuh dan akibat itu ia tertusuk di belakang."

Tidak dipukul objek tumpul 

Shahidan juga berpendapat tiada kesan kecederaan menunjukkan Teoh dipukul atau dilemaskan.

"Ini kerana tiada tanda seperti lebam di bibir, bintik kemerahan pada muka dan lebam kebiruan di hujung jari," katanya lagi.

Beliau juga menolak laporan oleh Dr Pornthip Rojasunanand (kanan) - seorang ahli patologi dari Thai yang mewakili kerajaan negeri Selangor - yang kepala Teoh dipukul dengan objek yang tumpul.

"Retak di bahagian kanan badan dan tengkorak juga konsisten dengan kesan jatuh.”

"Lagipun, jatuh juga boleh dianggap sebagai satu pukulan oleh objrek yang tumpul.”

Selepas Shahidan mengakhiri kenyataannya, Abdul Razak meminta dua ahli patologi yang membuat bedah siasat pertama untuk tampil memberi keterangan.

Pornthip beri keterangan 20 April 

Peguam kerajaan Tan Hock Chuan berkata beliau akan menimbangkan permintaan itu dan berkata permohonan itu mempunyai asas.

Bagaimanapun, Malik Imtiaz Sarwar (kiri) yang mewakili kerajaan Selangor membantah permohonan memanggil kedua-dua ahli patologi berkenaan.

Katanya, membenarkan mereka berbuat demikian akan memberi peluang kepaad mereka memperbetulkan kenyataan awal mereka.

Inkues kemudian ditangguhkan pada tengahari tadi dan Pornthip akan dipanggil memberi keterangan pada 20 April ini.

Ahli patologi yang mewakili SPRM, Dr Peter Venezis pula akan memberi keterangan pada 26 dan 27 April.

Dua Muka Baru Dalam Exco Kerajaan Negeri Kedah.


Kerajaan Kedah hari ini menggugurkan dua anggota exconya iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh dari PAS, dan Adun Bakar Arang, Tan Wei Shui dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada senarai exco baru yang diumumkan hari ini.

Menggantikan tempat mereka ialah Adun Air Hitam, Abdul Ghani Ahmad (PAS) dan Adun Sidam, Tan Chow Kang (PKR), manakala lapan penyandang dilantik semula untuk tempoh setahun lagi, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak kepada pemberita selepas majlis pelantikan exco baru, di sini.

"Abdul Ghani akan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Usahawan manakala Tan Wei Shu pula memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan.

"Lapan exco yang dilantik semula akan memegang portfolio yang sama dan hanya rombakan kecil sahaja yang akan dibuat," katanya.


Azizan berkata lapan exco yang kekal ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi, Datuk Muhamed Taulan Mat Rasul, Datuk Amiruddin Hamzah, Dr Hamdan Mohamed Khalib, Siti Aishah Ghazali, Dr Ismail Salleh, Manikumar Subramaniam dan Lim Soo Nee.

"Kesemua exco itu akan diberikan tempoh tiga bulan untuk membentangkan agenda mereka dan saya sendiri yang akan memantau tugas barisan exco itu sebelum pelantikan semula tahun depan," katanya.

Bulan lepas, Azizan dilaporkan berkata beberapa exco kerajaan negeri mungkin digugurkan bagi memberi peluang kepada orang baru untuk menunjukkan potensi mereka. - BERNAMA

Top 12 Pelajar AF8.

  

Seramai 12 orang terdiri dari enam perempuan dan enam lelaki telah diumumkan sebagai pelajar Program realiti TV popular Akademi Fantasia bagi musim kelapan (AF8) semalam.

Ujibakat yang dijalankan pada Januari lalu telah memilih enam orang pelajar dari Malaysia 
Timur iaitu empat pelajar perempuan daripada negeri Sabah iaitu Nadiawati Ainul Basir, 23, Dayang Nor Anum Arjuna Aharun, 19, Erma Suhaimi, 21 dan Siti Adira Suhaimi, 19, manakala Zafarina Jamhari, 28, dan Muhd Shahril Firdaus El, 22 berasal dari Sarawak.

Pemilihan lebih ramai pelajar dari negeri Borneo telah menimbulkan persoalan terhadap pihak Astro seperti ingin meraih undi daripada negeri yang dikatakan masih taksub dengan program tersebut.

Bagaimanapun Pengetua AF8, Norman Abdul Halim memjelaskan bahawa pemilihan adalah berdasarkan kualiti merit bukan berdasarkan kuota atau meraih undi.


"Kita tidak memilih ikut kouta dengan menetapkan beberapa orang di sebuah negeri tetapi kita lebih mengikut kepada merit iaitu kualiti yang mereka ada sebagai seorang penghibur.
"Saya lihat penyartaan peserta daripada Sabah Sarawak lebih menonjol daripada Semenanjung bukan disebabkan perkara lain," ujarnya.

Selain itu enam orang pelajar yang terpilih dari Semenanjung ialah Nadia Emilia Roselan, 21, Muhammed Shahril Mohd Saleh Hussein, 26, Muhammad Alif Kadim, 18, Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir, 21, Emirza Awan Zulazrin Chew, 20 dan Muhd Firdaus Maulana Mohamed atau Mulana, 22.

Dalam pada itu, apa yang menarik ialah dua pelajar AF8 musim ini terdiri daripada dua adik-beradik perempuan iaitu Ema dan Adira yang berasal dari Sabah.

Menurut Norman pemilihan kedua-dua mereka adalah berdasarkan kualiti dan bakat masing-masing.

"Kami memilih adik beradik ini disebabkan kekuatan vokal masing-masing dan aura mereka yang tersendiri dan mereka datang ujibakat di Kuala Lumpur bukan di Sabah," ujarnya yang menjanjikan kelainan pada AF8 kali ini.

Menurutnya lagi, pelajar-pelajar akan melalui proses pembelajaran melalui pelan jangka panjang yang telah dirancangkan.

"Saya tidak mahu mereka keluar dari akademi tanpa mengutip sebarang nilai. Paling kurang pun enam orang saya janjikan boleh pergi jauh dalam industri ini," katanya.

Perjuangan 12 orang pelajar ini akan dimulakan dengan episod pembukaan Tirai AF Sabtu ini pada jam 9 malam di Astro Ria bersama Sarimah dan Jimmy selaku hos. Manakala kehidupan seharian mereka dalam diari boleh ditonton mulai 15 Mac, pada jam 7.30 malam bersama Jimmy Shanley.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails