Geng Aku

Memaparkan catatan dengan label Kes Teoh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kes Teoh. Papar semua catatan

Rabu, 10 Mac 2010

Inkues: Teoh Tak Diliwat Tapi Tertusuk Tulang.

Inkues bagi menyiasat punca kematian pegawai politik kepada seorang exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock bersambung semula pada jam 10 pagi ini.
Perbicaraan bermula dengan ketua pendakwa dan bahagian perundangan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Musa menyoal Dr Shahidan Md Noor (kiri).

Dr Shahidan adalah ahli patologi yang melakukan bedah siasat kedua pada 22 Nov lalu.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata tidak mungkin Teoh dipukul atau dijerut sebelum jatuh.

Menjawab soalan daripada Abdul Razak, Shahidan berkata walaupun ada kesan tekanan pada leher, namun lebam kebiruan pada bibir dan kuku, serta bintik-bintik merah pada muka tidak ditemui bagi mencadangkan bahawa mangsa dibunuh.
"Terdapat kesan lebam di leher tetapi tidak ada kesan asphyxia.

"Mungkin terdapat tekanan yang digunakan (di bahagian leher). Bagaimanapun bintik-bintik merah itu di leher tidak menyebabkan kematian Teoh.”

Shahidan juga berkata kecederaan di kawasan dubur Teoh bukan akibat diliwat tetapi konsisten dengan kecederaan akibat terjatuh.

"Kawasan tulang pinggul retak sebelum patah semasa dia jatuh dan akibat itu ia tertusuk di belakang."

Tidak dipukul objek tumpul 

Shahidan juga berpendapat tiada kesan kecederaan menunjukkan Teoh dipukul atau dilemaskan.

"Ini kerana tiada tanda seperti lebam di bibir, bintik kemerahan pada muka dan lebam kebiruan di hujung jari," katanya lagi.

Beliau juga menolak laporan oleh Dr Pornthip Rojasunanand (kanan) - seorang ahli patologi dari Thai yang mewakili kerajaan negeri Selangor - yang kepala Teoh dipukul dengan objek yang tumpul.

"Retak di bahagian kanan badan dan tengkorak juga konsisten dengan kesan jatuh.”

"Lagipun, jatuh juga boleh dianggap sebagai satu pukulan oleh objrek yang tumpul.”

Selepas Shahidan mengakhiri kenyataannya, Abdul Razak meminta dua ahli patologi yang membuat bedah siasat pertama untuk tampil memberi keterangan.

Pornthip beri keterangan 20 April 

Peguam kerajaan Tan Hock Chuan berkata beliau akan menimbangkan permintaan itu dan berkata permohonan itu mempunyai asas.

Bagaimanapun, Malik Imtiaz Sarwar (kiri) yang mewakili kerajaan Selangor membantah permohonan memanggil kedua-dua ahli patologi berkenaan.

Katanya, membenarkan mereka berbuat demikian akan memberi peluang kepaad mereka memperbetulkan kenyataan awal mereka.

Inkues kemudian ditangguhkan pada tengahari tadi dan Pornthip akan dipanggil memberi keterangan pada 20 April ini.

Ahli patologi yang mewakili SPRM, Dr Peter Venezis pula akan memberi keterangan pada 26 dan 27 April.

Khamis, 25 Februari 2010

Keluarga Teoh Gembira Anak Beng Hock Bawa Nama Keluarga .


Keluarga mendiang Teoh Beng Hock hari ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah meluluskan permohonan berhubung penggunaan nama Teoh bagi anak yang dilahirkan tunang mendiang, Soh Cher Wai.

Kakak mendiang, Teoh Lee Lan berkata mereka sekeluarga gembira apabila di beritahu Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya bahawa Beng Hock akan dinamakan sebagai bapa dalam sijil kelahiran bayi itu.

Katanya keluarganya memutuskan untuk menamakan bayi lelaki itu dengan nama Teoh Er Jia.


Teoh, 30, setiausaha politik seorang anggota exco kerajaan Selangor, ditemui mati terjatuh di aras lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai selepas diminta memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna dana oleh beberapa wakil rakyat Selangor.

Sebelum ini, keluarga mendiang telah membuat beberapa permohonan supaya nama Teoh dinamakan sebagai bapa kepada anak yang dilahirkan Soh.

Soh, yang kini masih dalam pantang di rumah keluarganya di Batu Pahat, Johor, melahirkan seorang bayi lelaki seberat 2.9 kilogram di Hospital Pantai, Batu Pahat, Johor pada 22 Feb.- BERNAMA

Jumaat, 19 Februari 2010

Tiada Bukti Teoh Mati Dicekik?

Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor, yang melakukan bedah siasat kedua ke atas pembantu politik kepada exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock berkata bedah siasat pertama dijalankan dengan baik.

Dalam keterangannya hari ini, Shahidan juga berkata kesan kecederaan pada bahagian punggung dan dubur mangsa pula konsisten disebabkan terjatuh dari tempat tinggi.

Beliau turut bersetuju dengan laporan bedah siasat pertama yang dijalankan oleh Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberker yang mengatakan Teoh meninggal dunia akibat kecederaan berganda kerana terjatuh dari tempat tinggi. 

Shahidan juga mempertikaikan laporan ahli patologi yang dilantik oleh kerajaan Selangor, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand yang berkata lebam di leher Teoh adalah akibat dicekik dan kecederaan di duburnya pula akibat ditembus.

Sebaliknya, ahli patologi yang membuat bedah siasat kedua itu berkata jika dicekik, kesan lebamnya akan ketara secara tidak sama rata.

Bedah siasat itu dijalankan pada 22 Nov lalu oleh Shahidan dengan pemerhatian oleh ahli patologi yang dilantik oleh kerajaan Selangor, 
Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand, manakala Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula melantik Dr Peter Venezis sebagai pemerhati mereka.

Pornthip adalah pengarah Institut Pusat Sains Forensik yang berpangkalan di Bangkok dan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Undang-undang Thailand. 

Beliau pada perbicaraan tahun lalu berkata 80 peratus kemungkinan kematian Teoh adalah kerana dia dibunuh.

Venezis pula adalah ahli patologi yang terkenal dengan penyiasatan kematian Puteri Diana.

Kedua-dua ahli patologi berkenaan juga dijadual memberikan keterangan mereka pada suatu tarikh yang belum ditetapkan kemudian.

Koroner Azmil Muntapha Abas mengarahkan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh dilakukan pada 9 Nov lalu berikutan dakwaan Pornthip itu.

Teoh meninggal dunia pada 16 Julai selelepas disoal-siasat oleh pegawai SPRM di ibupejabat mereka di Plaza Masalam, Shah Alam.

Mengikut laporan rasmi, pegawai khas DAP itu terjatuh dari bangunan berkenaan, namun keluarganya pula mendakwa terdapat salah laku dalam kematian Teoh.
Shahidan memberitahu inkues pagi ini bahawa beliau keberatan untuk melakukan bedah siasat kedua seperti diminta oleh Tricia Yeoh dari pejabat menteri Besar Selangor dan peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo.

Pakar patologi dari hospital Sungai Buloh itu berkata, beliau telah meminta mereka menulis kepada kementerian kesihatan. 

Pada 9 November, beliau mendapat panggilan dari timbalan pendakwa raya Mohd Abazafree Mohd Abbas, mengarahkannya melakukan bedah siasat tersebut.
Katanya, Pornthip dan Veneziz, bersama dengan dua lagi pakar patologi yang melakukan bedah siasat pertama turut hadir.

Bedah siasat itu bermula jam 12.45 pagi 22 November dan selesai dua jam kemudiannya.

Merujuk kepada laporan bedah siasat tersebut, Shahidan berkata terdapat kesan lebam pada bahagian thyroid si mati.

Juga terdapat darah beku kekal di belakang lidah dekat dengan leher, serta pendarahan di sebelah tepi kanan otak dan di sebelah tepi kanan belakang otak.

Shahidan memberitahu demikian ketika menjawab soalan dari peguam yang dilantik kerajaan, Tan Hock Chuan.
Beliau memberitahu inkues pagi ini bahawa terdapat kesan calar ditemui pada tangan kiri Teoh.

Bagaimanapun, katanya, punca kematian Teoh adalah akibat pelbagai kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.

Tambahnya, kecederaan pada tengkok Teoh itu adalah akibat jatuh. 

Sebaik selesai memberi Shahidan memberi keterangannya, Azmil kemudiannya menangguhkan inkues berkenaan sehingga 1 Mac depan bagi membolehkan peguam yang mewakili keluarga Teoh dan juga kerajaan Selangor menyoal balas ahli patologi berkenaan.

Isnin, 7 Disember 2009

Nampak Hantu Teoh Beng Hock Di Plaza Masalam?

Tiga individu mendakwa mereka ternampak satu lembaga yang menyerupai mendiang Teoh Beng Hock merayau-rayau di ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Plaza Masalam, Shah Alam


Menurut laporan akhbar China Press, lembaga tersebut dilihat di tingkat lima bangunan tersebut - tempat Teoh ditemui mati dan di tingkat 14, iaitu pejabat SPRM Selangor.

Laporan itu menyebut seorang pengawal keselamatan dan dua pegawai SPRM terserempak dengan lembaga itu sekitar bulan Oktober lalu - lebih dua bulan selepas Teoh ditemui mati.

Pengawal keselamatan tersebut yang enggan namanya disebut berkata, dia tidak nampak muka lembaga itu, tetapi ia berpakaian sama seperti yang dipakai mendiang ketika datang ke pejabat SPRM dulu.



"Saya nampak mayatnya selepas jatuh. Saya pasti ianya Teoh walaupun saya hanya lihat bahagian belakangnya," katanya sambil menambah kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.30 petang.

Ketika mencerita semula kejadian itu, pengawal tersebut berkata dia pergi ke bilik air di tingkat lima di mana secara dia tiba-tiba terdengar bunyi orang berjalan. Pengawal keselamatan yang lain tidak bertugas ketika itu.



"Saya rasa pelik. Biasanya pada waktu itu tiada orang lain di situ. Lalu saya berjalan ke arah tandas... kemudian saya nampak seorang lelaki di depan lif, dia memakai kot hitam dan berseluar putih," katanya.

Pada masa itu, tidak terlintas di fikiran pengawal tersebut bahawa ia adalah lembaga yang menyerupai Teoh itu.

"Saya bertanya dia hendak ke mana kerana tiada orang di atas. Dia menjawab "saya nak naik ke atas", lalu masuk ke dalam lif.

"Ketika itulah saya terfikir yang dia nampak seperti Teoh, jadi saya bergegas ke bilik keselamatan untuk melihat CCTV, tetapi tiada seorang pun dalam lif tersebut.

Selasa, 24 November 2009

Nizar V'8! Mayat Teoh Dikebumi Semula Esok

Mayat Teoh Beng Hock, yang digali semula Sabtu lepas untuk tujuan siasatan berhubung kes kematiannya, akan dikebumikan semula pagi esok di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih, dekat sini.




Adik perempuannya, Teoh Lee Lan, 29, berkata upacara pengebumian mendiang akan dilakukan oleh pihak pengurusan Taman Peringatan Nirvana pada 10 pagi esok.

Lee Lan memberitahu Bernama beliau berharap dengan bedah siasat kali kedua itu, punca kematian abangnya akan dapat diketahui.



Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada seorang exco kerajaan negeri Selangor, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, pada 16 Julai selepas memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia berhubung siasatan salah guna peruntukan kerajaan negeri oleh exco Selangor.

Mahkamah Koroner Shah Alam pada 4 Nov lepas membenarkan mayat Teoh digali semula ekoran permintaan keluarganya bagi menjalankan bedah siasat kedua setelah pakar patologi dari Thailand Dr Pornthip Rojanansuan yang dijemput oleh kerajaan Selangor, memberitahu inkues kematian Teoh, bahawa wujud 80 peratus kemungkinan mendiang telah didera dan dicekik sebelum mati.

Semalam, bedah siasat kali kedua selesai dilakukan oleh sekumpulan pakar patologi termasuk pakar patologi bebas dari United Kingdom yang mewakili Prof Dr Peter Vanezis dan Dr Porntip. BERNAMA

Ahad, 22 November 2009

Bedah Siasat Beng Hock Selesai


Bedah siasat kali kedua yang dijalankan ke atas mayat mantan Setiusaha Politik Exco Kerajaan, Teoh Beng di Hospital Sungai Buluh yang bermula jam 1 petang tadi selesai dua jam kemudian. 


Bagaimanapun tiada sebarang keputusan dikeluarkan berhubung bedah siasat berkenaan. 

Adik mendiang, Teoh Lee Lan berkata, pihaknya juga tidak mendapat apa-apa maklumat berhubung keputusan bedah siasat pada kali ini dan hanya menunggu sehingga inkues pada 9 disember ini. 

“Bila laporan dijangka keluar kita pun tidak tahu, boleh tunggu dalam inkues pada 9 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas bedah siasat tamat jam 3.15 petang tadi.

Lee Lan mewakili keluarga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pakar patologi dari Thailand yang dilantik kerajaan negeri, Dr Ponrtip Rojanasunan kerana bertindak sebagai pemerhati dalam bedah siasat kali ini.


“Kita sangat berterima kasih kepada Dr Porntip kerana datang bantu menyelia bedah siasat dan kita akan sabar menunggu keputusan laporan yang akan dikeluarkan,”katanya.

Menurutnya mendiang Beng Hock akan ditanam semula 24 November ini di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih.

Sementara itu peguam mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo dan Dr Porntip terlebih dahulu meninggalkan hospital berkenaan tanpa bertemu media.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai lalu selepas disoalsiasat selama 10 jam tanpa henti oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.


Pihak berkuasa mendakwa mangsa telah membunuh diri, namun pakar patologi antarabangsa dari Kementerian Keadilan Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand menemui kesan cekik pada leher dan retakan pada tengkorak mendiang yang konsisten dengan kesan pukulan.

Lebih menyayat hati apabila mangsa yang bakal menjadi ayah kepada seorang anak ini ditemui mempunyai kesan cedera pada dubur, dipercayai ditusuk dengan suatu objek.

Mayat dibedah siasat kali kedua


KERANDA berisi mayat Beng Hock dibawa keluar selepas digali semula di Taman Peringatan Nirvana Semenyih, Kajang semalam.



Selepas tiga bulan disemadikan, mayat setiausaha politik Exco Selangor, mendiang Teoh Beng Hock yang ditemui mati di atas koridor di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai lalu, digali semula semalam.

Suasana pilu dirasai apabila abang mendiang, Teoh Beng Kee dan adiknya, Teoh Lee Lan dilihat menitiskan air mata sambil memegang gambar Beng Hock bagi mewakili ahli keluarga lain yang tidak hadir.

Malah dua beradik itu sempat bertafakur di atas kubur Beng Hock sebelum proses menggali dimulakan.

Keputusan menggali semula mayat Beng Hock, 30, yang disemadikan di Taman Peringatan Nirvana Semenyih di sini dibuat selepas Mahkamah Koroner Shah Alam pada 4 November lalu membenarkan permohonan keluarga mangsa supaya mayat itu dibedah siasat kali kedua.

Permohonan menggali semula mayat tersebut dibuat ekoran keterangan oleh pakar patologi Thailand, Dr. Porntip Rojanasunan pada inkues siasatan kematian Beng Hock yang menyatakan terdapat 80 peratus kemungkinan kematian itu kerana dibunuh berdasarkan kesan kecederaan.

Pihak berkuasa termasuk ahli politik dari kerajaan negeri Selangor mula berkumpul seawal pukul 7.30 pagi di kawasan tanah perkuburan tersebut walaupun proses menggali hanya bermula pada pukul 9 pagi.

Proses menggali semula mayat Beng Hock disertai oleh sepasukan pakar patologi daripada beberapa hospital yang diketuai oleh Unit Forensik dan Patologi Hospital Sungai Buloh (HSB).

Sabtu, 21 November 2009

Nizar V'8! Kubur Teoh Digali Hari Ini.


Kubur mendiang mantan Setiausaha Exco Kerajaan Negeri, Teoh Beng Hock digali semula hari ini bagi membolehkan mayat mendiang dibedah siasat untuk kali kedua esok di Hospital Sungai Buluh.

Para petugas yang mengali kubur berkenaan bersiap sedia seawal jam 7.30 pagi di Nirvana Memorial Park, Semenyih dan upaca berkenaan akan diawasi sepenuhnya oleh Polis.

Kerja-kerja menggali kubur berkenaan dianggarkan berjalan selama dua jam dan dijangka selesai jam 11.30 pagi.



Ketua Jabatan Patalogi dan Forensik Hospital Sungai Buluh, Dr Shahidan Md Noor hadir ke upaca berkenaan bagi mewakili hospital tersebut untuk menerima mayat mendiang.

Hadir sama dalam upaca berkenaan adalah Pakar Patalogi Thailand, Dr. Porntip Rojanasunand dan peguam mewakili keluarga mendiang, Gobind Sigh Deo.



Mahkamah Koroner sebelum ini mengarahkan kubur mendiang di gali semula hari ini manakala bedah siasat kedua ke atas mayat akan dijalankan esok di Hospital Sungai Buloh.

Koroner Azmil Muntapha Abbas berkata bedah siasat ini akan diketuai oleh Ketua Jabatan Patologi dan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor.

Bagaimanapun Pakar Patologi dari Thailand yang dilantik kerajaan negeri, Dr Pornthip Rojanasunan dan doktor pakar luar yang dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibenarkan menyaksikan bedah siasat berkenaan.

Koroner juga mengarahkan bekas doktor Forensik, Dr K.Saravanan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk membantu Dr Shahidan dengan mengambil gambar semasa bedah siasat dilakukan.

Permohonan bedah siasat kali ke dua dibuat keluarga mendiang setelah dr Porntip mendedahkan kemungkinan 80% mendiang dibunuh.

Sabtu, 14 November 2009

Nizar V'8! SPRM Lantik Pakar Forensik UK Bedah Siasat Teo



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melantik seorang pakar forensik bebas Profesor Dr Peter Vanezis dari United Kingdom, untuk menjadi pemerhati dalam bedah siasat kedua terhadap mayat Teoh Beng Hock pada 22 November ini.

Datuk Abdul Razak Musa, peguam pemerhati SPRM pada inkues bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock, berkata demikian kepada media selepas prosiding inkues ditangguhkan hari ini.

Abdul Razak berkata Dr Vanezis merupakan pengarah bagi Cameron Centre for Forensic Medical Sciences, London, dan telah mengendalikan sebanyak 2,000 autopsi kes kematian mengejut, yang 1,500 daripadanya membabitkan homisid.



Mayat Teoh akan digali semula pada Nov 21 atas permintaan keluarganya untuk bedah siasat kedua yang juga akan dihadiri pakar patologi Thailand, Dr Porntip Rojanasunan, bagi pihak kerajaan negeri Selangor.

Prosiding inkues hari ini ditangguhkan sehingga 9 Dis untuk mendengar keterangan ahli majlis perbandaran Kajang, Tan Boon Wah, yang terlibat dalam kes saman sivil terhadap SPRM yang akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi minggu depan.



Koroner Azmil Muntapha Abas membuat penangguhan itu setelah membenarkan permohonan peguam Karpal Singh, bagi Tan, supaya anak guamnya memberikan keterangan selepas Mahkamah Tinggi memberikan keputusan dalam kes saman sivil itu pada 19 Nov.

"Adalah lebih baik jika keterangan saksi ini didengar selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan kerana keputusan Mahkamah Tinggi akan mengikat mahkamah ini nanti," kata Karpal dalam permohonannya.Tan, 39, yang merupakan seorang daripada dua Exco dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang disiasat SPRM berhubung dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri Selangor, sepatutnya memberikan keterangannya sebagai saksi dalam prosiding itu hari ini.

Peguam Tan Hock Chuan (bagi kerajaan Malaysia), Gobind Singh Deo (bagi keluarga Teoh) dan Abdul Razak tidak membantah permohonan itu.



Pada 22 Julai lalu, Tan memfailkan saman terhadap Ketua Suruhanjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, Penolong Penguasa SPRM Mohammad Hassan Zulkifli dan SPRM kerana mendakwa beliau ditahan dan disoal siasat secara salah pada 15 Julai lalu.

Beliau mendakwa telah ditahan tanpa sebarang kuasa sah oleh pegawai SPRM kerana mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM, beliau hanya boleh disoal siasat antara pukul 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Dalam prosiding hari ini, T. Sivanesan, saksi yang mendakwa pernah didera oleh pegawai SPRM tahun lalu turut dipanggil ke mahkamah untuk mengecam pegawai terbabit.

Sivanesan mengecam Mohd Ashraf Mohd Yunus melalui keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 29 Ogos lalu, yang menyiarkan gambar pegawai itu.

"Kamu dapat mengecam (Mohd) Ashraf kerana dalam berita itu hanya ada dua gambar yang disiarkan, jadi senanglah untuk kamu mengecam pegawai tersebut?" soal Abdul Razak dan saksi itu menjawab: "Tidak setuju."

Abdul Razak kemudian berkata saksi itu sepatutnya melakukan pengecaman yang lebih adil melalui kawad cam, yang akan membariskan beberapa lelaki lain dengan bentuk fizikal hampir serupa dengan Mohd Ashraf, daripada hanya mengecam pegawai itu melalui gambar. BERNAMA

Selasa, 10 November 2009

Mayat Teoh Akan Digali Dari Kubur Pada 21 November

Mahkamah Koroner di sini Isnin memerintahkan mayat mendiang Teoh Beng Hock, yang disemadikan lebih tiga bulan lepas, digali dari kubur pada 21 November bagi membolehkan bedah siasat kedua ke atas mayat mendiang dijalankan keesokkannya.




Koroner Azmil Muntapha Abas juga memerintahkan bedah siasat kedua itu dilakukan oleh Ketua Pathologi Hospital Sungai Buloh Dr Shahidan Md Noor dan dibantu oleh Dr K. Saravanan untuk mengambil gambar-gambar bedah siasat itu, dengan kehadiran empat pakar forensik, di Hospital Sungai Buloh.

"Tugas menggali mayat akan dilakukan oleh Hospital Sungai Buloh," katanya.
Empat pakar forensik itu ialah Dr Khairul Azman Ibrahim, Dr Prashant Naresh Samberkar, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand dan pakar forensik yang dilantik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu peguam Datuk Abdul Razak Musa yang mewakili SPRM berkata SPRM akan memastikan bahawa pakar dari luar negara yang dilantik dapat hadir pada bedah siasat kedua itu.

Beliau turut memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah bertulis dalam bahasa Inggeris bagi membolehkan pihak SPRM memaklumkan mengenai perintah tersebut kepada pakar mereka.

Sementara itu, Gobind Singh Deo, peguam pemerhati bagi keluarga Teoh, memberitahu mahkamah bahawa polis akan berada di sana bagi memastikan semua peraturan dipatuhi.

Teoh, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di sini pada 16 Julai selepas memberikan keterangan kepada SPRM Selangor berhubung dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri oleh Exco Selangor. Pejabat SPRM Selangor terletak di tingkat 14 bangunan yang sama.

Keluarga Teoh memohon mayat setiausaha politik kepada Exco Selangor Ean Yong Hian Wah itu digali semula berikutan keterangan Dr Pornthip dalam inkues bagi mengenal pasti punca kematiannya bahawa wujud 80 peratus kemungkinan yang dia telah didera dan dicekik.
Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant, pakar patologi kerajaan yang menjalankan bedah siasat pertama, telah memberitahu inkues itu bahawa kemungkinan Teoh membunuh diri.

Sementara itu, pada awal prosiding Abdul Razak berkata tindakan saksi ke-20 T. Sivanesan yang mendakwa beliau dipukul dan didera oleh pegawai SPRM pada 4 dan 5 September tahun lepas adalah satu tindakan yang sengaja dilakukan untuk menjatuh dan memalukan SPRM.




Ketika menyoal balas Sivanesan, Abdul Razak mempersoalkan rasional saksi itu yang hanya membuat laporan polis pada 11 September 2008 sedangkan beliau telah dibebaskan pada 9 September dan fakta bahawa Sivanesan hanya mendapatkan rawatan pada 12 September walaupun mendakwa dipukul dengan teruk sehingga pengsan sebanyak dua kali.

"Di dalam mahkamah juga kamu membuat drama dengan membawa seluar dalam yang koyak yang disimpan selama setahun sebelum dibawa ke mahkamah. Saya menyatakan bahawa oleh kerana awak tidak serahkan seluar dalam itu kepada polis, maka kamu sendiri yang koyakkannya?" kata Abdul Razak.
Sivanesan bagaimanapun menafikan semua cadangan yang dikemukakan oleh Abdul Razak dengan menyatakan bahawa beliau perlu berbincang dengan bapa saudaranya sebelum membuat laporan polis.

Abdul Razak juga mencadangkan bahawa percanggahan terdapat dalam laporan polis oleh Sivanesan pada 27 Julai 2008 dan keterangannya di mahkamah khususnya berhubung identiti sebenar pegawai yang menderanya, menunjukkan bahawa dakwaan itu hanyalah rekaan saksi itu semata-mata.

Prosiding bersambung Jumaat ini. BERNAMA

Khamis, 5 November 2009

Mahkamah Benarkan Mayat Teoh Beng Hock Digali Semula.

SHAH ALAM: Mahkamah koroner di sini, hari ini membenarkan mayat mendiang Teoh Beng Hock, yang telah dikebumikan lebih tiga bulan lalu, digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.

Koroner Azmil Muntapha Abas juga memerintahkan supaya bedah siasat kedua itu dikendalikan oleh seorang pegawai perubatan dengan kehadiran empat pakar forensik lain iaitu Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand dan seorang lagi yang akan dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun butiran terperinci mengenai proses bedah siasat itu, termasuk bila dan di mana ia akan dilakukan, hanya akan ditentukan oleh mahkamah Isnin depan.

Koroner Azmil Muntapha membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan keluarga Teoh untuk menggali semula mayat mendiang bagi menentukan punca sebenar kematian setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor itu, yang ditemui mati selepas jatuh dari bangunan Plaza Masalam di sini, Julai lalu.

Permohonan itu dibuat berikutan keterangan Dr Pornthip di mahkamah yang mendakwa terdapat 80 peratus kemungkinan bahawa Teoh mati akibat dicekik dan didera.

Dalam prosiding hari ini, peguam Datuk Abdul Razak Musa bagi SPRM menarik perhatian mahkamah bahawa Dr Pornthip tidak berkelayakan daripada segi undang-undang di Malaysia untuk mengendalikan proses bedah siasat terhadap mayat Teoh.

"Ini kerana pakar forensik Thailand itu menerima kelulusan perubatannya dari universiti yang tidak diiktiraf di bawah senarai 250 universiti perubatan dalam Jadual Kedua akta tersebut," katanya.

Peguam Gobind Singh Deo, bagi keluarga Teoh, memohon mahkamah supaya membenarkan Dr Pornthip menghadiri proses bedah siasat itu dan membuat pemerhatian bagi membolehkannya menyediakan laporan forensik.

"Kami juga memohon supaya Dr Pornthip dibenarkan untuk memberi keterangan sekali lagi ke mahkamah ini dan membentangkan hasil laporan forensiknya.

"Kami merasakan pendapat Dr Pornthip adalah amat relevan dalam prosiding inkues ini bagi membantu mahkamah membuat penemuan mengenai sebab-sebab kematian mendiang dan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kematiannya," kata peguam itu yang turut memaklumkan bahawa Dr Pornthip sedia menghadiri bedah siasat bermula 14 Nov depan. BERNAMA

Jumaat, 17 Julai 2009

Kes Teo,,,,

"Apa pun, kami bukan mahu menyembunyikan sesuatu. Kami mahu perkara ini disiasat secara telus. Polis sedang menyiasat dan kita patut tunggu sehingga mereka menyiapkan siasatan mereka," janji timbalan perdana menteri.

Mengulas kes kematian mengejut dan luar biasa setiausaha politik exco kerajaan Selangor di bawah pejabat Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, lapor Bernama, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menggesa semua pihak membenarkan polis menjalankan siasatan tanpa sebarang halangan.


"Kami tidak boleh membuat andaian kerana kami masih belum mengenal pasti sebab di sebalik kejadian ini. Tolong jangan menunding jari kepada sesiapa.

"Kami tidak boleh menuduh sesiapa atau membuat dakwaan tidak berasas kerana ia akan menimbulkan masalah tidak sepatutnya kelak. Mari kita tunggu polis menyiasat kejadian ini," beliau dipetik berkata.

Semalam, Teoh Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, exco pembangunan kampung baru Selangor, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat suruhanjaya tersebut.

Mayatnya ditemui sembilan tingkat di bawah dari pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 oleh penjaga bangunan itu pada kira-kira 1.30 tengah hari.

Teoh membantu dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan oleh beberapa ADUN Pakatan Rakyat di negeri berkenaan.

Laporan akhbar mendedahkan Teoh dipanggil memberikan keterangan oleh SPRM pada petang Rabu dan dibenarkan keluar dari ibu pejabat SPRM itu pada kira-kira 3.45 pagi semalam.

"Penyiasatan itu adalah tanggungjawab polis. Mereka perlu menjalankan penyiasatan terperinci. Tiada apa yang perlu ditakutkan.

"Polis boleh menyiasat sesiapa sahaja, termasuk SPRM, ahli politik dan individu. Tidak patut ada sebarang halangan terhadap penyiasatan polis," Muhyiddin dilaporkan berkata.

Beliau menggesa semua pihak supaya tidak beremosi berhubung kejadian itu.

Ditanya mengenai demonstrasi anjuran parti-parti pembangkang khususnya DAP berhubung kejadian itu, katanya, perkara itu tidak perlu kerana polis lebih tahu mengenai situasi itu.

"Ini di bawah bidang kuasa keselamatan. Jika polis kata tidak perlu
menganjurkan demonstrasi seperti itu, dengan itu jangan salahkan mereka jika mereka mengambil tindakan terhadap demonstrasi seumpama itu.

"Kejadian ini mendapat banyak perhatian. Jangan buat tuduhan palsu... biarkan polis siasat.

"Saya pasti polis akan memastikan penyiasatan dilakukan secara terperinci, tiada apa akan disembunyikan," katanya.

Setiausaha Politik Mati,,

Setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, terbunuh selepas dipercayai jatuh bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam.

Mayat Teo Beng Hock, 30, ditemui di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat suruhanjaya tersebut.

Semalam Teo telah dibawa ke pejabat tersebut untuk disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan DUN membabitkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat negeri itu.



(foto: Teo, kanan, bersama Ean Yong berbual dengan pegawai siasatan di pejabat exco itu)

Berikutan berita mengejut dan luar biasa tersebut, para pemimpin Pakatan, termasuk Ean, bergegas ke bangunan tersebut.

Pemimpin DAP lain yang berada di pejabat SPRM termasuk exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu; Speaker DUN Teng Chang Khim dan ahli parlimen Petaling Jaya Selatan, Tony Pua.

Liu and Teng mengesahkan bahawa mayat itu mendiang Teo.

Sewaktu ditemui, mendiang berbaju biru bersama kot hitam dan seluar putih.

Dalam sidang media di pejabat SPRM negeri itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull berkata mayat ditemui jam 1.30 tengah hari ini.

Menurutnya lagi, siasatan terhadap Teo - sebagai saksi kes - selesai kira-kira 3.45 pagi tadi tetapi dilihat masih berada di bangunan tersebut sekitar jam 6 pagi.

SPRM tidak jelas sama ada beliau mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan tersebut.

Sementara itu, SPRM mengesahkan sedang menyiasat empat ADUN Selangor berhubung dakwaan salah guna peruntukan wakil rakyat.

Shukri mengesahkan suruhanjaya itu semalam menyerbu empat pejabat ADUN berkenaan dan meneliti beberapa dokumen bagi membantu siasatan, lapor laman web Utusan Malaysia.

"(Siasatan) itu prosedur biasa. Kalau kita terima apa-apa aduan, memang kita akan ke pejabat atau rumah mereka," katanya kepada pemberita di Akademi SPRM hari ini.Sementara itu, peguam M Manoharan, yang menemani Teo ke pejabat SPRM semalam berkata, mendiang kelihatan biasa dan tidak menunjukkan sebarang tanda menghadapi sebarang tekanan.

"Dia nampak gembira dan tenang. Saya menasihatkannya bagaimana hendak mengendalikan soal siasat tersebut kerana saya tidak dibenarkan untuk bersamanya" katanya.

Manoharan, yang juga ADUN Kota Alam Shah kali terakhir melihat Teo pada kira-kira jam 7 petang semalam.

Setakat jam 6 petang ini, mayat Teo masih berada di atas bumbung tempat dia jatuh.

Komputer riba Teo dirampas


Pejabat Ean telah diserbu SPRM semalam di mana sebuah komputer riba milik Teo dan sebuah komputer meja telah dirampas.

SPRM juga menyerbu pejabat ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

Selain Ean dan Lau, lima lagi wakil rakyat Pakatan turut disiasat, iaitu Teresa Kok (Kinrara), Hannah Yeoh (Subang), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Dr Cheah Wing Yin (Damansara Utama) and Edward Lee (Bukit Gasing).

SPRM sebelum itu telah menyoal siasat beberapa orang, termasuk pembantu lima wakil rakyat - Ean, Lau, Kok, Wong dan Yeoh.

Wakil rakyat Pakatan Selangor masing-masing diberi RM500,000 setahun untuk membiayai program kemasyarakatan di kawasan masing-masing. SPRM mendakwa dana tersebut telah disalahguna.

R Sivarasa, yang juga ahli parlimen Subang berkata, kematian Teo berlaku dalam keadaan yang meragukan.

"Sehingga ini, kita mempertanggungjawab SPRM terhadap kematian tersebut sehingga kita mendapat penjelasan yang memuaskan," katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails