Geng Aku

Sabtu, 27 Februari 2010

Pakatan-Satu Lawan Satu Di Sarawak.


Pakatan Rakyat telah bersetuju agar semua pertandingan dalam pilihanraya negeri Sarawak yang akan datang adalah pertembungan satu lawan satu antara Pakatan dengan BN.

Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, Pakatan telah mula membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya negeri itu yang dijangka diadakan beberapa bulan akan datang, kemungkinan antara bulan Jun dan Julai ini.

Pilihan raya negeri Sarawak - yang terakhir berlangsung pada 2006 - mesti diadakan dalam tempoh 16 bulan ini. Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mengadakan pilihanraya negeri serentak dengan pilihanraya Parlimen.


Saifuddin berkata, strategi satu lawan satu itu - yang telah menghasilkan kemenangan besar kepada pembangkang dalam pilihanraya umum 2008 - akan digunakan dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini.

"PKR, DAP dan PAS pada prinsipnya telah bersetuju dengan pertandingan satu lawan satu dengan BN. Kita pastinya berharap ia akan memberi impak yang besar kali ini," katanya kepada Malaysiakini.

Tsunami politik pada 2008 menyaksikan lima negeri di Semenanjung jatuh ke tangan pembangkang serta menafikan BN penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen.


Sarawak mempunyai 71 kerusi negeri, dengan 62 daripadanya dikuasai oleh BN. Manakala DAp, Parti Cinta Malaysia yang baru ditubuhkan dan Bebas, menang sembilan kerusi.

Pilihan raya umum 2008 telah menyaksikan berlakunya beberapa pertandingan tiga penjuru yang membabitkan parti-parti Pakatan di Sabah dan Sarawak.

Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang berkata, perkara itu telah dibincangkan oleh majlis presiden Pakatan pada hari Isnin.

Majlis itu, kata beliau, seterusnya akan menumpukan kepada perbincangan mengenai pilihan raya negeri Sarawak, khususnya mengenai strategi pertandingan satu lawan satu, serta memanfaatkan jentera pilihan raya bersama.

Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Berangkat Pulang Ke Kedah


Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat pulang ke Kedah hari ini, selepas sebulan melaksanakan fungsi jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Baginda yang juga Sultan Kedah diiringi Sultanah Kedah Tuanku Hamimah Hamidun berlepas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 11.30 pagi.

Baginda yang ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 20 Feb 1959, adalah Yang di-Pertuan Agong kelima dari 20 September 1970 sehingga 20 September 1975.

Hadir sama bagi mengucapkan selamat berangkat ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Turut sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Baginda memangku jawatan itu semasa ketiadaan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menjalani rawatan susulan fisioterapi di Medical Park, St Hubertus, Bad Wiessee, Jerman sejak 26 Januari lepas.

Semalam, Tuanku Mizan selamat pulang ke tanah air diiringi oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta anakanda-anakanda baginda.

Pada 30 November tahun lepas, Tuanku Mizan menjalani pembedahan lutut di Pusat Perubatan Klinikum Rechts Der Isar, Der Technischen Universitat Munchen, Munich. - BERNAMA

YDP Agong Selamat Pulang Ke Tanah Air.


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin selamat pulang ke tanah air selepas menjalani rawatan susulan fisioterapi di Bad Wiessee, Jerman sejak 26 Jan lepas.

Keberangkatan pulang Seri Paduka pada 11.30 malam diiringi oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta anakanda-anakanda baginda.

Menurut kenyataan Istana Negara, keadaan Tuanku Mizan dilaporkan baik selepas mendapat rawatan di Medical Park, St.Hubertus.


Tuanku Mizan turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat yang telah mendoakan kesejahteraan baginda sepanjang menjalani rawatan.

Pada 30 Nov tahun lepas, Tuanku Mizan menjalani pembedahan lutut di Pusat Perubatan Klinikum Rechts Der Isar, Der Technischen Universitat Munchen, Munich.

Agihan Wang Ehsan, Kelantan Tak Ambil Peduli.


Kerajaan Kelantan tidak akan menyekat langkah kerajaan Pusat untuk memberi wang ehsan kepada rakyat negeri itu melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), kata Timbalan Pesuruhjaya PAS III Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (bawah).
Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, berkata apa yang menjadi tuntutan kerajaan negeri ialah wang royalti, bukannya wang ehsan.

"Soal dia nak bagi wang ehsan kepada rakyat Kelantan melalui JPP kita tidak sekat kerana itu hak mereka, malah kita tidak akan ambil tahu (kepada siapa wang itu hendak diberikan).

"Soal Kerajaan (Pusat) nak bagi wang ehsan serah pada dia, tetapi kita tetap tuntut royalti. kita akan usaha melalui pelbagai cara yang munasabah," katanya kepada pemberita, di Kota Bharu hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan Pusat tetap mahu memberi wang ehsan kepada Kelantan kerana yakin ada rakyatnya yang mahu menerima pemberian berkenaan.

Kerajaan Kelantan bertegas mahukan kerajaan pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ehsan walaupun pemimpin Barisan Nasional mendakwa, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan dan Kerajaan pusat bersetuju memberi RM20 juta wang ehsan kepada penduduk Kelantan, yang merupakan bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008.

Perkara ini seperti yang termaktub dalam perjanjian Akta Peroleum 1974, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails