Geng Aku

Selasa, 20 April 2010

Snap Secara Rasmi Sertai Pakatan Rakyat.



Parti Nasional Sarawak (Snap) secara rasmi menjadi anggota keempat Pakatan Rakyat, - menjelang pilihan raya kecil parlimen Sibu pada 16 April ini.
Mengumumkan kemasukan Snap hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tugas pertama parti itu ialah menyokong calon DAP yang akan bertanding di kerusi berkenaan.

Pengumuman calon Pakatan itu akan dibuat pada 27 April.

Snap adalah antara parti tertua di Sarawak dan pernah menjadi anggota parti pemerintah Barisan Nasional sebelum menjadi parti pembangkang.

Mereka tidak mempunyai sebarang kerusi di dewan undangan negeri Sarawak.

Ahad lalu, Anwar dan beberapa pemimpin Pakatan berjumpa di Sibu bagi memeteraikan kerjasama berkenaan.

Pada pilihan raya umum 2008, kekurangan penyelarasan menyaksikan pertandingan lebih dua penjuru di antara Snap, DAP dan PKR - satu tindakan yang memberi kelebihan kepada BN.

Kompaun JPJ Naik 333 Peratus.


Kesalahan penggunaan plat kenderaan juga bakal dikenakan kompaun yang lebih tinggi selepas pindaan Akta Jabatan Pengangkutan Jalan diluluskan di Dewan Rakyat. - Gambar hiasan


Para pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati selepas ini berikutan kadar kompaun maksimum kesalahan jalan raya akan dinaikkan daripada RM300 kepada RM1,000 tidak lama lagi.

Kenaikan kira-kira 333 peratus itu berikutan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang akan dikuatkuasakan kelak.

Peruntukan itu adalah antara 51 Fasal pindaan yang terkandung di dalam Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Rahim Bakri di Dewan Rakyat semalam.

Antara pindaan lain yang dicadangkan termasuk menaikkan umur kelayakan memohon lesen memandu motosikal daripada 16 tahun kepada 17 tahun. Penalti bagi kesalahan melanggar umur kelayakan itu juga dinaikkan daripada tidak melebihi RM2,000 kepada tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000.

Pemimpin Umno Lebih Teruk Minum Arak, Berjudi.


Calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim (gambar) berkata pemimpin Umno juga ramai mengambil alkohol sepertinya dahulu namun tidak berniat untuk mengaibkan mereka.

Beliau sewaktu wawancara eksklusif bersama Harakah dan Harakahdaily semalam memberitahu, isu itu sengaja ditimbulkan pemimpin Umno/BN setelah beliau menyertai Pakatan Rakyat kerana mahu menjatuhkan karier politiknya.

"Saya berterus terang, itu dulu, dalam Umno pun ramai menteri-menteri macam saya dulu, tapi tidak menjadi isu pada waktu itu.

"Peribadi saya, karektor saya, Islam saya dipersoal setelah saya bersama-sama Pakatan Rakyat,” katanya yang juga pernah menjawat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, apa yang berlaku itu adalah sejarah lampau yang sudah lama ditinggalkannya yang berbeza dengan sesetengah pemimpin Umno lain yang masih tidak dapat meninggalkan tabiat buruk itu.

"Saya manusia, dalam lumrah hidup kita adalah salah silap, tapi yang pentingnya apakah saya insaf dan sedar.

"Itulah beza saya dengan menteri Umno, saya berterus terang bukan hipokrit," tambahnya lagi.

Mengenai serangan peribadi oleh Umno terhadapnya, beliau menyerahkan kepada pengundi Hulu Selangor untuk menilai sikapnya setelah membuat pengakuan jujur sebelum ini.

Berhubung tuduhan bahawa beliau kaki judi pula, Zaid berkata semua tohmahan yang dilemparkan Umno itu tidak betul, sebaliknya perkara itu dilakukan pemimpin Umno.

"Kaki judi ini sebenarnya langsung tidak betul, yang berjudi besar sebenarnya di kasino-kasino adalah menteri-menteri Umno, berjuta-juta ringgit, hutang tak bayar, tidak ada apa-apa tindakan terhadap mereka.

"Tapi saya tak nak sebut dan tak nak aibkan mereka," jelasnya.

Sewaktu bertanding sebagai calon Umno/BN pada PRU 2004 di Kelantan, katanya, PAS sebagai parti lawan pada waktu itu langsung tidak menyentuh isu peribadinya biarpun parti Islam itu tahu latar belakang dirinya.

Tetapi pemimpin Umno kini sangat terdesak dan sangat takut sehingga terpaksa menggunakan taktik jahat menyerang peribadinya.

"Inilah budaya politik Umno sebenarnya, politik manusia yang takut kuasa mereka hilang.

"Inilah petanda mereka sedang cemas," katanya

1 Lawan 1 Di PRK Hulu Selangor.


Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor Ahad ini akan menyaksikan perebutan satu lawan satu antara calon BN dan PKR selepas dua calon Bebas menarik diri hari ini.

Siang tadi, V S Chandran mengumumkan diri, diikuti oleh seorang lagi calon Bebas, Johan Mohd Diah.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengesahkan Johan Mohd Diah telah menarik diri.

Berikutan itu, calon BN, P Kamalanathan akan berdepan dengan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim Ahad ini.

Kerusi tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad bulan lalu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Johan menandatangani borang menarik diri di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru, kira-kira pukul jam 9.05 malam ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut. Lewat petang tadi Johan, yang juga AJK Pemuda Umno Bahagian Shah Alam, mengadakan sidang media di Felda Sungai Tengi, Hulu Bernam, antara lain mengenai persediaannya menghadapi pilihan raya.

Wan Ahmad Wan Omar berkata calon yang berhasrat menarik diri daripada bertanding perlu berbuat demikian selewat-lewatnya 12 tengah malam ini.

Azizan: Bubar DUN Jika Ramai ADUN Keluar Parti.


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau tidak khuatir jika masih ada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada pakatan rakyat bertindak keluar parti sehingga menumbangkan kerajaan negeri pimpinan PAS itu.

Sebaliknya beliau telah bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika ianya benar-benar berlaku.

"Saya dengar macam-macam cerita sehingga sudah ada di antara Adun Umno yang bercakap siapa bakal menteri besar, tetapi saya langsung tidak khuatir, kerana jika ini (lompat parti) benar-benar berlaku, saya akan bubar DUN dan kita pulang semula kepada rakyat untuk menjadi hakim," katanya kepada Bernama hari ini.

Azizan diminta mengulas desas-desus yang semakin kuat kedengaran bahawa beberapa lagi wakil pakatan rakyat di Kedah akan keluar parti sehingga menyebabkan kerajaan negeri hilang majoriti.

Sehingga kini kerajaan yang dipimpin pakatan rakyat itu sudah kehilangan dua wakil rakyatnya apabila dua Adun daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Mohammad Radzhi Salleh (Lunas) dan Tan Wei Shu (Bakar Arang) bertindak keluar parti.

Kedua-duanya mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas.

Kerajaan Kedah kini menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN. Daripada jumlah itu PAS menguasai 16 kerusi, PKR (3 kerusi) dan DAP satu kerusi.

Barisan Nasional mempunyai 14 kerusi termasuk Kota Siputeh yang masih berada pada peringkat Mahkamah Rayuan selepas Speaker DUN Datuk Dr Abdul Isa Ismail tidak mengiktiraf Datuk Abu Hasan Sarif sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Mahkamah Tinggi sebelum itu memutuskan DUN Kota Siputeh sebagai kosong berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah selepas Abu Hasan didapati gagal menghadiri sidang DUN sebanyak dua kali berturut-turut.

- Bernama

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails