Geng Aku

Memaparkan catatan dengan label Parlimen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Parlimen. Papar semua catatan

Rabu, 21 April 2010

Pindaan Akta Pengangkutan Jalan Ditarik Balik.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz hari ini mengesahkan bahawa rang undang-undang cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan - termasuk mengenakan denda maksimum RM1,000 - akan ditarik balik.
Rang undang-undang tersebut dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat Isnin lalu.

Bercakap dalam satu sidang media di lobi Parlimen, Nazri berkata, beliau meneima surat dari kelab penyokong BN (BNBBC) mengenai perkara itu.

Difaham ia antara lain, membantah cadangan untuk menaikkan denda kesalahan lalulintas kepada RM1,000.

Menurutnya, selepas membacanya, beliau turut bersetuju dan mengesyorkan supaya rang undang-undang itu ditarik balik daripada perbahasan dan dibuat perubahan.

Katanya, beliau akan mengesyorkan supaya kabinet menggugurkan sesetengah pindaan yang pada pandangannya tidak munasabah.
Menurutnya, rang undang-undang itu akan dibentangkan semula dalam sesi akan datang, selepas kajian terhadapnya selesai dilakukan.

Manakala pegawai Parlimen berkata, kerajaan BN mempunyai tempoh hingga esok untuk menarik balik rang undang-undang tersebut.

Selasa, 6 April 2010

APCO: PAS Rayu Majlis Raja-Raja Campur Tangan.

 

Majlis Raja-raja Malaysia dirayu untuk campur tangan dalam pembabitan syarikat perunding antarabangsa APCO Worldwide (APCO) dalam pentadbiran negara kerana ia disifatkan mengajak orang luar ceroboh negara.

Mewakili Ahli Parlimen PAS, Nasharuddin Mat Isa (Bachok) berkata, perlantikan APCO tersebut seolah-olah mendedahkan keselamatan negara pada pihak asing.


"Kita minta Majlis Raja-Raja segera campurtangan (supaya) perjanjian ini dibatalkan kerana ia (seolah-olah) mengajak orang luar menceroboh Malaysia)," jelas beliau dalam suatu kenyataan media di Pejabat Majlis Penyimpan Mohor Raja-Raja Malaysia.

Beliau turut menafikan bahawa insiatif Ahli Parlimen PAS tersebut bertujuan untuk strategi politik sempena pilihan raya kecil di Hulu Selangor tidak lama lagi.


Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar kemudiannya menjelaskan bahawa Majlis Raja-Raja Melayu seharusnya melihat isu tersebut sebagai isu keselamatan negara, bukan sekadar isu politik peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena meminta Apco segera diusir keluar dari Malaysia.

Sebelum pada itu, Nasharuddin yang juga Timbalan Presiden PAS memaklumkan kepada Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Malaysia, Datuk Sabtu Awwab bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim Selasa lalu di Dewan Rakyat bahawa APCO mempunyai hubungan langsung dengan beberapa pemimpin strategik Zionis Israel.


Tambahnya, perlantikan APCO sebagai syarikat perundingan komunikasi nasional boleh mendedahkan keselamatan dalam negara kepada pihak luar.

Kata Nasharuddin lagi, Sabtu berkata, YM  Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah, Penyimpan Mohon Besar Raja-raja Malaysia tidak boleh menyertai majlis tertutup tersebut kerana uzur.

Ujar Nasharuddin lagi, Sabtu telah menerima memorandum yang diserahkannya itu hari ini bagi pihak Ungku Ibrahim.

Sabtu berjanji untuk memanjangkan hasrat Ahli Parlimen PAS pada Majlis Raja-Raja Malaysia kelak.

Sabtu, 3 April 2010

Kit Siang Cabar 17 Menteri Isytihar Diri Rakyat Malaysia.


Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang mencabar 17 Menteri Kabinet mengisytiharkan diri adalah rakyat Malaysia terlebih dahulu sebelum disusuli membuat pengakuan mereka adalah dari kaum Melayu, Cina, India dan suku kaum lain.

Katanya, cabaran itu itu adalah seiring dengan idea gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan reaksi kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin yang mengisytiharkan diri sebagai Melayu dahulu, baru rakyat Malaysia. 


”Saya berasa sedih kepada Perdana Menteri kerana beliau yang mencetus idea 1Malaysia, dan beliau seharusnya berasa malu dengan kenyataan timbalannya (Muhyiddin) itu,” katanya di lobi Parlimen, semalam.

Di GEORGETOWN Muhyiddin yakin rakyat boleh menilai apa yang telah dilakukannya dalam kerajaan sama ada beliau seorang pemimpin bersifat perkauman atau sebaliknya. 


“Saya berpendapat, biar rakyat menilai sendiri apa yang telah saya kata dan lakukan dan saya yakin, rakyat boleh menilainya dengan baik dan saya tidak perlu seorang yang bernama Kit Siang untuk buat pertimbangan pilihannya sendiri,” katanya.

Jumaat, 2 April 2010

TPM Akui Umno Guna Sekolah Untuk Tujuan Politik.


Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui terdapat pihak tertentu yang menggunakan sekolah untuk tujuan politik.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan yang dikemukakan Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali (PAS- Tittiwangsa) sewaktu sesi penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang diPertuan Agung di Dewan Rakyat.


Dr Lo'Lo' sewaktu mencelah ucapan Muhyiddin menyatakan beliau berasa sukacita apabila Muhyiddin menyatakan pimpinan masyarakat boleh masuk ke sekolah-sekolah untuk bersama-sama membantu menjayakan program-program anjuran sekolah.

Bagaimanapun Lo'Lo' melahirkan kekecewaan kerana terdapat sekolah-sekolah yang mengambil peluang bagi tujuan politik di sekolah terbabit.

"Kita bercakap sebagai ahli parlimen yang matang dan bukan mengeluarkan kenyataan sembrono. Saya mendapat maklumat Umno dan Puteri Umno masuk ke sebuah sekolah menengah di Segambut. Ini jelas menunjukkan ia bertujuan untuk aktiviti politik.


"Begitu juga saya difahamkan bekas wakil rakyat Titiwangsa merasmikan sukan di salah sebuah sekolah di kawasan saya, sedangkan saya ahli parlimen kawasan tersebut di larang masuk. Jadi saya minta perkara seperti ini dapat difikirkan kembali," katanya.

Kenyataan beliau itu disokong Ahmad Kassim (PAS-Kuala Kedah) yang menyatakan sekiranya kerajaan membenarkan ahli politik masuk ke sekolah-sekolah, ia tidak harus membezakan parti-parti politik tertentu.

"Kalau kerajaan benarkan, benarkan semua. Kalau tidak benarkan, jangan benarkan semua,"katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Timabalan Perdana Menteri memberi jaminan akan cuba memperbaiki segala kelemahan yang berlaku.

"Jika benar Puteri Umno masuk ke sekolah-sekolah untuk pendaftaran ahlinya, saya rasa ia memang tidak patut berlaku. Dan saya berharap kelemahan ini dapat diperbaiki,"katanya. -Detikdaily

Khamis, 1 April 2010

One Israel-1M'sia: BN heret Anwar ke JK khas


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini berkata kerajaan akan mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa khas mengenai hak dan kebebasan Parlimen.

"Kerajaan mengambil keputusan membentangkan usul untuk membawa wakil Permatang Pauh ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan 18(2)," katanya.


Menurut Nazri kerajaan telah mendengar penjelasan Anwar Selasa lalu dan mendapati hujah-hujahnya tidak mempunyai asas untuk menyokong dakwaannya.

"Anwar langsung tidak tunjukkan bukti untuk sokong dakwaan 1Malaysia diambil daripada 1Israel.

"Apa yang dijelaskan itu tidak beri bukti nyata, hanya kaitkan secara 'circumstantial' perkara lain, seolah-olah Apco diguna oleh operator-operator itu bukan bukti kukuh untuk kaitkan One Israel.
 
 
"Apco juga telah keluarkan kenyataan, disebarkan melalui akhbar, penafian terhadap dakwaan Anwar.

Katanya lagi, beliau bercadang untuk menghantar surat secepatnya esok kepada jawatankuasa berkenaan, yang akan dipengerusikan speaker dewan, untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa berkenaan.

Anwar semasa ucapan lebih tiga jamnya ketika hujah penggulungan terima kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong, mendakwa Apco Worldwide, sebuah agensi perunding dilantik oleh kerajaan Malaysia adalah syarikat yang sama melakarkan slogan "One Israel'.
 
Menurut beliau, Apco pada 1999 menasihatkan perdana menteri Israel ketika itu, Ehud Barak untuk memperkenalkan slogan 'One Israel'.

Nazri kemudiannya memberi ketua umum PKR itu tempoh seminggu untuk memberikan penjelasannya pada Selasa lalu.

Anwar kemudiannya menggunakan kesempatan itu untuk mendedahkan peranan Ethos Consulting, sebuah firma rundingan tempatan yang didakwa bertanggungjawab memperkenalkan Apco kepada perdana menteri. 


Anwar dalam pada itu turut mendedahkan nama dan maklumat ringkas beberapa individu dalam Apco yang didakwa mempunyai hubungan secara langsung dengan kerajaan dan tokoh-tokoh Israel.

Apa-apa yang diluahkan oleh ahli parlimen ketika sidang Dewan Rakyat dilindungi oleh imuniti dan tiada tindakan yang boleh dikenakan, termasuk didakwa di mahkamah kecuali dihadapkan ke jawatankuasa khas itu.

Sekiranya Anwar didapati bersalah, beliau boleh digantung daripada menghadiri sidang parlimen untuk jangka masa yang ditetapkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Masalah Bumbung Bocor Ganggu Sidang Dewan Rakyat.


Sesi jawapan Menteri terganggu seketika pada pukul 5.15 petang semalam selepas bumbung di tempat duduk Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye di dalam Dewan Rakyat bocor lagi.

Boon Chye kemudian bangun memberitahu Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar selepas menyedari air menitik di sebelah tempat duduk beliau akibat hujan lebat tengah hari semalam.

Kes yang sama pernah berlaku pada sidang yang lepas.

Masalah kebocoran yang melibatkan bumbung Dewan Rakyat yang berusia 46 tahun  berlaku hampir setiap tahun.

Pada Mei 2008, bangunan Parlimen yang baru diubah suai dikesan mengalami enam kebocoran pada bahagian bumbungnya.

Masalah kebocoran bumbung Parlimen juga pernah berlaku pada April 2005, menyebabkan Sidang Dewan Rakyat ditangguh hingga Jun bagi membolehkan kerja-kerja membaiki kerosakan dijalankan

Rabu, 31 Mac 2010

Anwar Kemuka Dokumen Kaitkan Apco-Israel-1M'sia.


Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menuntut supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan Apco Worldwide Sdn Bhd dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara.
Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata beliau bimbang kerana kerajaan mengambil sikap membisu terhadap dakwaan penglibatan Apco, sedangkan maklumat strategik negara telah terjejas apabila kerajaan melantik syarikat perunding komunikasi itu. 


"Sehingga kini perdana menteri belum pun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaan saya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit, peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan," katanya

Kerajaan sebelum ini mengesahkan melantik Syarikat Apco Worldwide Sdn Bhd dalam melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi secara "menyeluruh," selain melakukan program mempromosi dan mengurus imej negara di peringkat antarabangsa.

Apco juga mengeluarkan kenyataan berkaitan penglibatan mereka, dengan menyatakan bahawa mereka menyediakan sokongan komunikasi terhadap usaha-usaha reformasi kerajaan.

Penjelasan yang dibuat melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon dan ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat sebelum ini, juga dibacakan semula oleh Anwar.

"Penafian yang dibuat oleh Apco itu merupakan usaha mereka untuk mengelirukan kita akan tarikh sebenar firma tersebut terbabit dengan pentadbiran perdana menteri sekarang. 


"Penafian tersebut menggambarkan bahawa ianya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pentadbiran Dato' Sri Najib Razak, atau Dato' Sri Najib sendiri, pembantunya atau para penasihatnya," kata Anwar seterusnya ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.

Turut didedahkannya ialah peranan Ethos Consulting, sebuah firma rundingan tempatan yang didakwa bertanggungjawab memperkenalkan Apco kepada perdana menteri.

Anwar dalam pada itu turut mendedahkan nama dan maklumat ringkas beberapa individu dalam Apco yang didakwa mempunyai hubungan secara langsung dengan kerajaan dan tokoh-tokoh Israel

"Bolehkah perdana menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha; yang dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri; Omar Mustapha atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang ada kaitan dengan Apco?

"Perdana menteri perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana firma yang dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama syarikat sebelum Apco secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur.

"Paul Stadlen yang kini mengetuai Apco di Kuala Lumpur merupakan individu sama yang menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan Kerajaan Malaysia. Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO Apco dan invdividu penting yang terlibat dengan akaun di Israel," tambanya.

Anwar menamakan individu berkenaan dalam menjelaskan bentuk hubungan dan modus operandi Apco dalam membentuk pertalian dengan kerajaan yang melantik syarikat itu melalui firma bersekutu

"Apco dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya menggunakan firma bersekutu (dengan izin "associates") di seluruh dunia. Selain Asero, firma bersekutu lainnya adalah Global Political Strategies.

"Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada Apco

"Jadi kontrak-kontrak yang melantik Apco tidak semestinya di antara Apco dan kerajaan semata-mata. Kerajaan boleh sahaja melantik firma bersekutu Apco tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari Apco.

"Kalau di Israel, lantikan dibuat melalui Asero Worldwide. Contohnya, kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International.

"Tetapi apabila kita meneliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO Apco," katanya.

Beliau turut mengemukakan dua perjanjian untuk menyokong dakwaannya - satu perjanjian antara Apco dan kerajaan Malaysia. Yang satu lagi ialah perjanjian antara kerajaan Israel dengan Apco ketika Ehud Barak mengetuai angkatan tentera Israel.

Katanya lagi, kontrak Malaysia dengan Apco ditandatangani pada 4 Ogos 2009 dengan tugas khusus untuk memperbaiki imej Malaysia di luar negara. 


"Ini aneh bagaimana kerajaan tandatangan dengan syarikat. (Proses menandatangani perjanjian) ini disaksikan setiausaha akhbarnya sendiri, Datuk (Tengku) Sharifuddin (Tengku) Ahmad. Biasanya (kontrak) ditandatangi oleh pegawai kerajaan," katanya.

Anwar membuat penjelasan hari ini bagi menjawab tuntutan yang dikemukakan ahli parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini yang mahu Anwar dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen kerana menyamakan slogan 1Malaysia dengan 1Israel.

Timbalan speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudiannya berkata, usaha untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu perlu dibuat secara usul untuk dijadikan sebagai salah satu daripada aturan mesyuarat.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Anwar berkata, wakil Rembau ingin mengalih tumpuan terhadap penglibatannya dan Omar Mustapha dalam Ethos Consulting.

"Isunya sekarang adalah wakil Rembau ingin lari daripada isu penglibatan dia dan Omar Mustapha dan Ethos (Consulting) dan tugas yang diberikan kepada Apco yang menjejaskan sekuriti negara kerana peranan perisikan," katanya lagi.


Anwar berkata demikian ketika mengulas mengenai penjelasan Khairy selepas beliau berucap di Dewan Rakyat mengenai kontrak Apco.

Anwar menjelaskan, peranan Apco telah wujud lebih lama sebelum itu melalui syarikat yang dikenali sebagai Mind Teams Sdn Bhd.

"Mind Teams ini adalah syarikat yang ditubuh sebelum Apco. Jadi Apco cuba lari daripada kenyataan seolah-oleh dia hanya berfungsi apabila Apco ditubuhkan.

"Saya ada maklumat bahawa sebelum Apco ditubuhkan, orang sama, pejabat sama, seorangnya CEO Apco Worldwide, seorang lagi Apco Kuala Lumpur. Jadi maknanya mereka terlibat lebih awal di Kuala Lumpur," katanya.

Selasa, 30 Mac 2010

Malaysia Antara 10 Tertinggi Ambil Arak Di Dunia.


Biarpun mempunyai bilangan rakyat hampir 26 juta sahaja, namun Malaysia adalah antara 10 negara tertinggi dalam pengambilan arak di dunia, kata Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar).

Mendedahkan perkara itu di Dewan Rakyat lewat petang ini, beliau berkata, rakyat negara ini membelanjakan sebanyak USD500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras.

"Penjualan beer berkembang di antara 5 hingga 7 peratus setahun melebihi kadar pertumbuhan penduduk iaitu 2.4 peratus, manakala umur purata ketagihan arak ialah 23 tahun," dedahnya lagi sewaktu membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong.


Menurutnya, pengambilan alkohol di kalangan remaja khususnya di bawah umur 18 tahun semakin meningkat iaitu kira-kira 45 peratus, dan mereka mengambilnya secara berterusan.

Antara faktor peningkatan itu, jelasnya kerana mungkin arak jenis beer sangat mudah diperolehi di kedai-kedai.

Lebih membimbangkan apabila pendedahan arak dibuat di peringkat umur yang lebih awal.
Beliau sewaktu mengemukakan satu kajian, 19 peratus di kalangan pelajar sekolah menengah mengaku pernah meminum arak, manakala 1 peratus mengaku mengambilnya secara berterusan.

"Dalam satu kajian yang dilakukan ke atas pesakit yang dimasukkan ke hospital KL pada tahun 1993, 48 peratus daripada yang ditanya mengaku minum arak.

"Satu pertiga ketagih arak, 61 peratus adalah Cina, 60 peratus India dan 30 peratus Melayu,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, kerajaan dilihat tidak memberi perhatian sewajarnya kepada isu ketagihan arak dan sering mengatakan ianya isu kaum India.

Arak juga jelasnya, dibuktikan bukan sahaja membahayakan kesihatan dan menyebabkan gejala sosial, namun kos rawatan penyakit disebabkan arak juga lebih tinggi berbanding pendapatan penjualannya.

"Negara kita dalam fasa lima mengaku bahawa Islama adalah agama Persekutuan, apakah menyebabkan dadah kita panggil najis dan sekiranya didapati mengedar dadah boleh dihukum gantung sampai mati.

"Tapi minuman keras, nikotin pada rokok, diberi layanan yang lain dan boleh didapati dengan berleluasa. Atas alasan apakah minuman keras tidak dimasukkan sekali dalam akta dadah merbahaya sedangkan kesannya atas kehidupan rakyat begitu meluas sekali," soalnya lagi.

Trend di Asia, katanya menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun berbanding trend di negara Eropah yang semakin menunjukkan penurunan akibat kempen mereka yang agresif.

Peningkatan di negara ini juga, jelasnya akibat undang-undang terlalu longgar seperti Akta Aksais Seksyen 32 (1)(a) dan (b) mengecualikan penjualan todi dan beer dalam tin dan botol.

"Apabila saya menang di Kota Raja, saya didatangi sekumpulan India dari golongan pertengahan dan rendah.

"Mereka meminta tolong saya supaya memastikan arak dan todi tidak dijual secara mudah di kedai-kedai runcit," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, arak dan todi di kedai-kedai runcit pada waktu ini boleh diperolehi dalam plastik dengan harga RM2 atau RM3.

Isnin, 29 Mac 2010

Lim: RM52 Billion Saham Bumiputera Hilang.


Ahli parlimen Bagan yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini meminta penjelasan di Dewan Rakyat mengenai RM52 billion saham bumiputera yang dilaporkan 'hilang' daripada tangan bumiputera di Bursa Kuala Lumpur.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Lim berkata permohonan penjelasannya itu dibuat berdasarkan sebuah artikel yang disiarkan oleh Bernama yang bertarikh 30 Jun 2009.

Menurut laporan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui terdapat perbezaan ketara antara RM54 billion saham bumiputera yang diperuntukan berbanding dengan jumlah sebenarnya yang masih dimiliki mereka.


Dalam laporan itu Najib dipetik sebagai berkata, “daripada RM54 billion saham yang diperuntukkan, hanya tinggal RM2 billion yang masih dipegang oleh bumiputera.”

Lim menggesa kerajaan menyiasat apa yang berlaku dengan saham berkenaan yang didakwa lazimnya diagihkan kepada kroni BN.

Rabu, 24 Mac 2010

Anwar Beri Penjelasan Isu 1Malaysia Pada Selasa.


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi penjelasan di Parlimen Selasa depan berhubung dakwaan beliau kononnya gagasan 1Malaysia ditiru daripada slogan 1 Israel.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) R. Sivarasa berkata, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee telah bersetuju untuk memberi ruang kepada Anwar memberi penjelasan kepada Ahli Parlimen berhubung isu berkenaan pada 11.30 pagi Selasa depan, selepas sesi soal jawab.

Kiandee menetapkan demikian selepas Anwar menghantar surat kepadanya meminta diberi ruang untuk menjelaskan isu tersebut di Parlimen, kata Sivarasa kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini selepas beliau dan Anwar dilihat masuk ke pejabat Speaker Dewan Rakyat dan keluar dari pejabat itu selepas kira-kira 15 minit.


Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tuduhan Anwar sebelum ini dianggap serius dan beliau perlu memberi penjelasan dalam tempoh ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan terhadap Anwar akan dirujuk mengikut peraturan mesyuarat, memandangkan perkara itu dilafaz oleh beliau di dalam Dewan.

"Kita tunggu seminggu dan beliau (Anwar) kena buat penjelasan, sebab dia punya tuduhan macam kita ini bersama dengan Israel dan menyokong (Israel) adalah tuduhan yang serius," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.


Mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap Anwar berhubung pendedahan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengenai rancangan 16 September, Mohamed Nazri berkata, ia terserah kepada hasil siasatan polis.

Zahrain, bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang yang telah keluar parti untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas, baru-baru ini mendedahkan bahawa Anwar menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika merancang mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008. - BERNAMAaan memandang serius dakwaannya itu.

Isnin, 22 Mac 2010

Anwar Diberi Seminggu Jelaskan 'One Israel'

 
Dewan Rakyat kecoh hari ini apabila ketua pembangkang diminta menjelaskan kenyataannya di dalam dewan minggu lalu yang mengaitkan kerajaan dengan sebuah firma penasihat Israel.

Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN - Kota Belud) bangun menyatakan perkara itu bawah perkara 37 (1) yang dibacakan sekali dengan perkara 36(12) peraturan mesyuarat.

Katanya, beliau meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan hal berkenaan ketika membahas usul menjunjung kasih Yang DiPertuan Agong pada 17 Mac lalu.

Abdul Rahman juga berkata, ahli parlimen Permatang Pauh dengan jelas menggunakan kenyataan yang memalukan dewan ini semasa membuat kenyataan tersebut. 
 
Tindakan itu bagaimanapun menerima bantahan daripada wakil-wakil pembangkang yang bertindak menghalang Kota Belud meneruskan hujahnya, menyebabkan perbahasan tertangguh hampir sejam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz kemudiannya memberitahu timbalan speaker, Datuk Ronald Kiandee bahawa kerajaan memberi Anwar tempoh seminggu untuk membuktikan dakwaannya itu.

Sekiranya, Anwar gagal memberikan dalilnya, Nazri berkata kerajaan akan membentangkan usul supaya ketua pembangkang itu diheret ke jawatankuasa khas mengenai hak dan keistimewaan parlimen.

Kiandee kemudiannya bersetuju dengan cadangan itu memandangkan Anwar tidak berada di Dewan Rakyat hari ini.

Jumaat lalu, Nazri berkata jemaah menteri akan bermesyuarat untuk memutuskan sama ada Anwar perlu diheret ke jawatankuasa khas berkenaan.

Anwar sebelum ini, mendakwa Apco Worldwide, sebuah agensi perunding dilantik oleh kerajaan Malaysia adalah syarikat yang sama melakarkan slogan "One Israel'.

Menurut beliau, Apco pada 1999 menasihatkan perdana menteri Israel ketika itu, Ehud Barak untuk memperkenalkan slogan 'One Israel'.

Sekiranya Anwar didapati bersalah, beliau boleh digantung daripada menghadiri sidang parlimen untuk jangka masa yang ditetapkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Bagaimanapun, Apco dalam satu kenyataan telah menafikan pembabitan pihaknya dengan konsep "One Israel' itu.

Ahad, 21 Mac 2010

DAP Sedia Sokong BN Gubal Akta Anti Lompat Parti.

DAP yang pernah menyatakan keperluan digubal undang-undang antilompat parti sebelum ini menyatakan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menggubal undang-undang bagi tujuan itu.

Pengerusi DAP Karpal Singh (kanan) berkata, DAP bersedia menyokong BN jika mereka mahu membentangkan undang-undang itu dan memberi jaminan bahawa 28 Ahli Parlimen parti itu akan memberi sokongan.

“Pendirian saya jelas bahawa saya menentang tindakan melompat parti dan usaha meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan undang-undang anti lompat parti diluluskan nampaknya cara terbaik bagi menyelesaikan isu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa Ahli Parlimen yang keluar parti menjadi wakil rakyat Bebas yang disifatkannya sebagai mengkhianati kepercayaan pengundi.

Katanya Ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) sepatutnya meletak jawatan bagi membolehkan orang ramai memilih wakil mereka selepas mereka meninggalkan parti.

Selain itu beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri PKR dan DAP juga telah keluar parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat Bebas di Perak, Kedah dan Selangor.

Kerajaan Harus Ambil Iktibar Dari Bantahan Dunia.



Kerajaan diminta mengambil iktibar dari bantahan Ahli-Ahli Parlimen United Kingdom mendesak Umno-BN menghentikan penderaan politik terhadap pembangkang.

Pelbagai pihak berpandangan bahawa maruah negara dan rakyat Malaysia telah diperjudikan di mata dunia oleh pemimpin-pemimpin politik yang menghalalkan apa sahaja cara demi kepentingan politik sempit.


Badan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia mengulangi gesaan masyarakat antarabangsa mendesak Umno-BN untuk tidak memperkudakan aparatus kerajaan untuk menghancurkan seteru politik mereka.

Penyelaras Suaram, E Nalini berkata pihaknya telah melihat dan menerima pelbagai aduan berhubung salahguna kuasa pemerintah yang menghalang pembangkang dari merapati masyarakat.


"Ceramah-ceramah yang dianjurkan pembangkang, misalnya yang dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, selalu dihentikan oleh polis. Polis adalah di bawah institusi kerajaan. 

Mereka menerima arahan daripada IGP dan ini menunjukkan memang ada diskriminasi kepada pembangkang," jelas beliau.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Tian Chua dan Nurul Izzah dipanggil ke Balai Polis Petaling untuk diambil keterangan berhubung ceramah mereka di Taman Seri Sentosa. Mereka dipanggil atas alasan melanggar syarat permit dan menyentuh isu perkauman.


Pada malam 8 Mac lepas, program memperingati Kemenangan Dua Tahun Pakatan Rakyat terhalang selepas Unit Simpanan Persekutuan merempuh masuk premis Kelab Sultan Sulaiman dan menyerbu pentas yang menempatkan pimpinan Pakatan Rakyat.

Modus operandi seperti ini tidak terhenti di lapangan, bahkan terlanjur sehingga ke Dewan Rakyat.

" Di Parlimen juga kita boleh nampak sebarang resolusi yang dibawa oleh pembangkang selalunya akan ditolak. Walaupun resolusi yang dibawa bermanfaat kepada rakyat tetapi akan ditolak atas alasan tidak ada masa," kata Nalini.

Jumaat, 19 Mac 2010

Zahrain Minta Datuk Seri Dari 'Pemimpin Cauvanis Dan Komunis'


Kelancangan melulu Datuk Seri Zahrain Hashim terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat, semalam bukan satu yang menghairankan kerana ia datangnya dari seseorang yang hipokrit dan gila pangkat.

Malah, Ahli Parlimen Bayan Baru itu sanggup membelakangi keputusan mesyuarat parti dan secara diam-diam menulis surat kepada Lim Guan Eng bagi memperoleh gelaran Datuk Seri walaupun kemudian melabelkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai cauvinis  dan komunis,

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasuition  mendedahkan Zahrain pernah mempengerusikan mesyuarat di Pulau Pinang yang dihadiri semua wakil rakyat negeri itu dan mengambil ketetapan  untuk tidak meminta atau menerima apa- apa gelaran.

Namun dalam diam, bekas Pengerusi Perhubungan Negeri PKR Pulau Pinang itu menulis surat kepada Lim Guan Eng meminta gelaran 'Datuk Seri' biarpun kini mengecam Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai komunis.

"Semasa Zahrain mempengerusikan mesyuarat di Pulau Pinang, mesyuarat memutuskan semua wakil rakyat Pulau Pinang tidak akan menerima apa-apa gelaran Datuk walaupun ditawarkan.

"Apa yang dia (Zahrain) buat selepas itu? Dia menulis pada Ketua Menteri meminta gelaran tersebut," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Setiausaha Agung PKR itu melabel Zahrain sebagai seorang yang hipokrit dan kini berperanan sebagai tentera baru Umno dan mengibaratkan kecaman Zahrain sebagai 'menepuk air di dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri'.

"Ini karektor dia (Zahrain). Yang menariknya Bayan Baru menulis kepada pemimpin yang dia sendiri label sebagai komunis dan cauvinis semata-mata untuk meminta gelaran," katanya.

Khamis, 18 Mac 2010

PKR Balas Salakan 'Anjing Penyerang' BN.

Setiauasaha agung PKR Saifuddin Nasution (bawah) hari ini melabelkan empat bekas ahlinya yang kini menjadi ahli parlimen bebas, khususnya Datuk Seri Mohd Zahrain Hashim (Bayan Baru) sebagai 'anjing penyerang' Barisan Nasional.

"Mereka digunakan sebagai 'anjing penyerang', 'askar upahan',” kata Saifuddin ketika sidang media di lobi parlimen.

Katanya, MP bebas itu kini adalah senjata terbaru BN untuk menyerang Pakatan Rakyat kerana terlalu sedikit MP Bn yang mampu berbuat demikian.

Semalam, ucapan sulung Zahrain selaku wakil rakyat Bebas yang mendedahkan punca beliau meninggalkan PKR, menyebabkan suasana persidangan Dewan Rakyat bertukar kecoh.

Malah kurang lima minit selepas bekas pengerusi PKR Pulau Pinang itu berucap mulai jam 5.05 petang semalam, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar Dewan selepas Zahrain (bawah) mengaitkan Anwar dengan kegagalan pakatan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan melalui perancangan "16 September".'Pemimpin Umno hidangkan arak'

Bagaimanapun menurut Saifuddin, fenomena itu hanya halangan kecil dan tidak akan mengalihkan perhatian Pakatan daripada musuh sebenar mereka - Umno dan BN.

“BN adalah musuh politik utama kita. Kita berdepan dengan pembunuh Altantuya, kita menghadapi mereka yang merompak kekayaan rakyat dan kita berdepan juga dengan kerajaan yang mengamalkan rasuah,” katanya.

Saifuddin juga mendakwa dia didatangi oleh seorang anggota kanan MP Umno yang juga seorang menteri kabinet dan diberi amaran agar menghentikan membuat pendedahan yang memalukan Umno dan BN.

Menteri kanan itu dikatakan tidak senang dengan kenyataan Saifuddin di Dewan Rakyat semalam bahawa ada pemimpin Umno yang menghidangkan minuman keras pada ulang tahun perkahwinannya.

Saifuddin juga memberitahu Dewan Rakyat dalam satu lawatan yang dianjurkan oleh Umno ke amerika syarikat, seorang pemimpin parti itu tertidur di kasino dan gagal mengikuti rombongan berkenaan.

Selasa, 16 Mac 2010

Usul KPN Ditolak, Ahli Parlimen PR Keluar Dewan.


Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan pada sidang Parlimen hari ini berikutan Timbalan Speaker, Ronald Kiandee menolak usul untuk membahas kedudukan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Usul itu dibawa Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dan  menerima sokongan beberapa Ahli Parlimen tetapi usul berkenaan tetap ditolak.

Kementerian Dalan Negeri kemudian membentangkan usul mengarahkan ketua polis negara supaya memastikan jalan dan laluan ke Parlimen dibuka sepanjang masa tanpa sebarang halangan kepada Ahli Parlimen.

Sebaliknya, Ronald meluluskan usul tersebut selepas mendapat sokongan majoriti sewaktu pengundian lisan, tanpa membukanya untuk dibahaskan.

Perang Mulut Pertikai 1Malaysia, Malaysia Sederhana.


Bahang sidang baru Parlimen dirasakan pagi ini dengan wakil Barisan Nasional dan pembangkang bertikam lidah berhubung konsep 1Malaysia diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak dan Malaysia Sederhana oleh DAP.

Pertikaman lidah bermula apabila Najib menyifatkan konsep Malaysia Sederhana atau ‘Middle Malaysia’, yang diperkenalkan DAP pada persidangan kebangsaannya di Ipoh baru-baru ini, sebagai satu penjenamaan semula konsep “Malaysian Malaysia”.

“Malaysian Malaysia adalah satu kegagalan. Apabila sesuatu gagal, apa lagi harus dilakukan selain menjenamakan semula (konsep),” kata beliau dengan senyuman di Dewan Rakyat pagi ini.

Beliau menambah pengenalan Malaysia Sederhana hanya satu respons pembangkang kepada konsep 1 Malaysia.

“Saya merasakan usaha untuk memperkenalkan Malaysia Sederhana hanya satu reaksi kepada 1 Malaysia.

“Selepas 1Malaysia semakin pupopular tiba-tiba ada usaha ini untuk mewujudkan satu lagi konsep atas nama Malaysia Sederhana,” katanya.

“Tetapi kita tahu bahawa ia hanya satu penjenamaan semula Malaysian Malaysian,” katanya.
Ketika penyokong Pakatan Rakyat memperli responsnya Najib yang juga Presiden Umno berkata , “malah Malaysia Sederhana tidak berasaskan Perlembagaan ataupun sejarah negara.”

“Malaysia Sederhana hanya slogan pembangkang dan datang dengan retorik tetapi 1Malaysia pula datang dengan tindakan, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan,” katanya.

Isu 1 Malaysia muncul apabila Perdana Menteri ditanya oleh  Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit) agar menjelaskan kejayaan konsep dalam menyatupadukan rakyat Malaysia.

MP Bebas Dicabar Kosongkan Kerusi.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh mencabar kesemua ahli parlimen Bebas mengosongkan kerusi parlimen bagi mendapatkan mandat baru daripada pengundi kawasan masing-masing.

Menurutnya, sekiranya mereka takut tidak dapat bertanding lagi sebagai calon jika meletak jawatan, mereka boleh memilih satu lagi kaedah iaitu dengan tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan berturut-turut.

Menurut peruntukan di bawah perkara 52(1) Perlembagaan Persekutuan, jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen tidak hadir pada tiap-tiap sidang Majlis Parlimen selama tempoh enam bulan tanpa kebenaran Majlis Parlimen itu, maka Majlis Parlimen itu boleh mengisytiharkan bahawa kerusinya kosong.

"Ada peruntukan 52(1), jika seseorang ahli parlimen tidak menyertai persidangan dalam enam bulan, kerusi dia kosong dan dia masih boleh bertanding sebagai calon," katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor.

Beliau berkata demikian semalam ketika diminta mengulas lima wakil rakyat yang kini berada di blok Bebas di parlimen.


Empat daripada mereka adalah bekas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim, Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Zulkifli Nordin (Kulim-Bandar Baharu), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Zahrain, Tee Beng dan Mohsin sebelum ini mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi ahli parlimen Bebas, manakala Zulkifli dipecat daripada PKR.

Seorang lagi ahli parlimen Bebas adalah Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas) yang bertanding dan menang atas tiket PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Tindakan beliau kemudian dilihat sering menentang pendirian PAS dan Pakatan Rakyat sehinga beliau didesak meletak jawatan.

"Jadi lebih baik kelima-lima yang bebas ini meletak jawatan (tidak hadir parlimen), kembali ke kawasan masing-masing untuk dapatkan mandat baru," tambah Karpal.

Isnin, 15 Mac 2010

Tuanku Mizan Rasmi Penggal Ketiga Parlimen.


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini merasmikan Penggal Ketiga Parlimen ke-12 dengan penuh adat istiadat.

Sejurus tiba di perkarangan Parlimen, Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datin Seri Rosmah Mansor, sebelum diiringi ke Peterana Diraja.

Turut menyambut Seri Paduka berdua ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Wong Foon Meng.

Tuanku Mizan kemudian menerima sembah "Hormat Diraja" sebelum lagu Negara Ku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi yang diketuai Mejar Zailani Mohd Okhtat.

Ia disusuli dengan kibaran Bendera Diraja yang disertai dengan tembakan meriam 13 das.

Yang di-Pertuan Agong kemudian memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Besi yang diketuai oleh Mejar Rozaini Mohd.

Selepas memeriksa perbarisan kehormat, Seri Paduka kembali ke Peterana Diraja dan menerima sembah "Hormat Diraja" kali kedua sebelum Negara Ku dimainkan.

Baginda kemudian diringi oleh Najib serta Muhyiddin memasuki bangunan Parlimen.

Perdana Menteri kemudian menyembahkan titah ucapan diraja kepada baginda bagi merasmikan Penggal Ketiga Parlimen ke-12. Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga akan bermula esok dan berakhir 15 April. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails