Geng Aku

Rabu, 11 November 2009

2 MP PKR bercakaran, Zul cabar Siva letak jawatan



Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini berhadapan dengan kemelut baru ekoran tindakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu ZUlkifli Noordin mencabar Naib Presidennya R. Sivarasa agar meletakkan jawatannya dalam 24 jam ekoran kenyataan bahawa tindak tanduknya tidak selaras dengan dasar parti itu.

Zulkifli memberi Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang tempoh 24 jam untuk berbuat demikian bagi menguji siapa yang berpengaruh dalam PKR.

Bagaimanapun beberapa jam selepas kenyataan Zulkifli itu, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul dengan reaksinya bahawa percakaran membabitkan kedua-dua wakil rakyat berkenaan sudah selesai.



“Zul merasakan bahawa Sivarasa tidak berbincang dengannya dan (oleh itu) merasakan dia harus membantah (kenyataan Sivarasa). Walaupun saya merasakan dia tidak harus membantah dengan membuat cabaran sedemikian tetapi dia harus telah berunding dengan saya terlebih dahulu.

“Hari ini kes ini telah diselesaikan dan cabar-mencabar tidak timbul lagi,” kata Anwar sambil menambah, tiada tindakan disiplin akan diambil ke atas kedua-dua mereka.
Dalam kenyataannya, Zulkifli menegaskan, jika tertewas beliau bersedia pada bila-bila masa untuk meninggalkan PKR, “yang tidak mahu mempertahan, membela dan memperjuangkan Islam dan hak Muslim bukanlah parti yang saya mahu bersekutu dengannya.”

“Dan saya mencabar Siva, sila letak jawatan beliau sebagai Naib Presiden dalam tempoh 24 jam dan mari kita bertanding satu lawan satu.

“Mari kita berikan hak demokrasi dan bersuara kepada ahli akar umbi PKR membuat keputusan sama ada mempertahan dan memperjuangkan Islam dan hak Muslim menjadi dasar PKR ataupun tidak,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.




Kenyataan itu turut dimuatkan dalam blognya petang ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Sivarasa semalam.
Sivarasa dipetik sebagai berkata “amaran Ketua Umum PKR kepada ahli PKR supaya keluar daripada PKR dan menyertai UMNO ditujukan kepada orang seperti Zulkifli Noordin, di mana tindak tanduknya tidak selaras dengan dasar parti.”

“Saya ingin menegaskan bahawa itu adalah tafsiran YB Siva sendiri kepada kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Adalah jelas daripada mesyuarat yang dipanggil oleh Datu Seri Anwar semalam di pejabatnya yang dihadiri oleh ahli-ahli Parlimen PKR bahawa isu utama yang dibincangkan adalah startegi baru PKR untuk melancarkan serangan terhadap YAB Perdana Menteri.

“Isu kepatuhan kepada dasar parti hanya disebut secara sampingan dan tiada pada bila-bila masa Datuk Seri Anwar menyebut ia dituju kepada saya,” katanya sambil menambah, malahan Anwar melahirkan rasa bangga bahawa saya satu-satunya Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang sering mengetengahkan isu yang menjadi kepentingan Muslim dan dan orang Melayu.


 Anwar Ibrahim


“Malah, Datuk Seri menegaskan bahawa adalah juga sangat penting untuk Pakatan menjuarai hak dan keistimewaan Muslim dan orang Melayu, tanpa melupakan hak penganut Kristian, Hindu, Buddha, kaum Cina, India dan lain-lain.

Kelmarin Anwar memberi kata dua kepada pemimpin dan anggotanya - sama ada setia atau keluar daripada parti itu jika tidak mahu mengikut dasar dan keputusan ditetapkan.
Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata, beliau bersedia untuk menerima kritikan terhadap parti tetapi tidak boleh berkompromi dengan ahli-ahli yang tidak boleh mengikut dasar yang ditetapkan oleh pucuk kepimpinan.

Dalam kenyataannya Zulkifli menambah, Anwar yang juga Ketua Pembangkang hanya menyentuh satu isu iaitu mana-mana ahli Parlimen wajar memaklumkan kepada Ketua Whip dan beliau sendiri jika hendak memfailkan apa-apa cadangan pindaan rang undang-undang persendirian atau usul.

“Datuk Seri Anwar tiada pada bila-bila masa menyebut bahawa saya melanggar apa-apa polisi parti.

“Saya ingin bertanya kepada Siva dan yang sewaktu dengannya, apa yang beliau maksudkan dengan mematuhi polisi parti. Polisi siapa yang beliau maksudkan? Polisi beliau? Apakah membela dan memperjuangkan hak Islam dan orang Muslim bertentangan dengan dasar PKR?” katanya.

“Nasihat saya kepada Siva dan yang sewaktu dengannya, apa yang baik untuk kamu tidak semestinya baik bagi orang lain,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails