Geng Aku

Rabu, 11 November 2009

Menteri Besar Perak Minta PAFA Selesaikan Segera Isu



Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meminta pimpinan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) supaya segera menangani masalah yang dihadapi persatuan itu bagi menyelamatkan maruah bola sepak negeri dan pasukan Perak.

Skuad Seladang adalah antara enam pasukan yang tidak layak bertanding dalam Liga Malaysia tahun depan setelah didapati gagal memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ketika diminta mengulas isu berkenaan, Zambry yang terkejut dengan perkara yang berlaku itu berkata masalah yang berlaku perlu diatasi demi kepentingan peminat dan rakyat.

"Ye ke, bila?...saya pun sebenarnya tidak tahu, susah saya nak jawab (isu ini) sebab kalau saya jawab nanti saya dituduh macam-macam. Saya jadi serba salah, saya tidak berani nak sentuh sebab itu bidang kuasa PAFA," katanya kepada pemberita.

Dr Zambry berkata beliau agak serba salah mengulas mengenai PAFA kerana pernah dianggap 'gila kuasa' dan 'terhegeh-hegeh' mahu memegang jawatan, semasa memberi komen mengenai masalah kewangan Pafa sebelum ini.

FAM membuat keputusan berkenaan pada 2 November lepas namun keputusan muktamad akan diputuskan pada mesyuarat Majlis FAM yang akan dipengerusikan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Keputusan itu dibuat selepas pasukan terbabit gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan FAM seperti melunaskan gaji pemain dan hutang tertunggak dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga tarikh akhir iaitu 31 Oktober lepas.

Dr Zambry berkata Kelab Penyokong Bola sepak Perak (KPBP) dan para pemain ada bertemu beliau berhubung masalah yang dihadapi Pafa baru-baru ini.

"Saya sedih (dengan situasi itu) kerana saya juga peminat bola sepak, waktu orang lain tidak peduli bola sepak Perak, saya selalu pergi tengok," katanya.

Ahad lepas, Presiden KPBP Abdul Jamil Othman membuat rayuan kepada FAM supaya tidak menyingkirkan Perak daripada saingan Liga Malaysia musim depan selain menggesa pengurusan PAFA menyelesaikan segera masalah hutang yang ditanggung oleh badan induk bola sepak Perak itu.

PAFA diterajui bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menang tanpa bertanding pada Kongres Tahunan PAFA tahun lepas dan beliau telah mengumumkan akan berundur apabila tiba waktu yang bersesuaian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails