Geng Aku

Memaparkan catatan dengan label Perak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perak. Papar semua catatan

Jumaat, 23 April 2010

Memang Sudah Dijangkakan..


Dua bekas anggota Exco kerajaan negeri Perak bersama tiga individu lain dibebaskan daripada tuduhan rasuah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Dua bekas anggota Exco terbabit ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu, 59, dan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, 54.

Kedua-dua mereka adalah bekas Adun Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini menjadi wakil Bebas.

Tiga lagi tertuduh yang dibebaskan ialah bekas Adun Bota, Kapten (B) Usaili Alias, 58, bekas Ahli Majlis Daerah Perak Tengah yang juga peniaga, Zul Hassan, 48, dan kontraktor, Fairul Azrim Ismail, 32.

Kesemua mereka menghadapi 16 tuduhan rasuah berkaitan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar. — Bernama

Khamis, 22 April 2010

Bayi Tanpa Hidung, Mata Ditanggung Kerajaan Perak.


HAMIDAH mendukung Chai Lim yang dilahirkan tanpa hidung dan mata di Ipoh semalam.


IPOH - Penjagaan bayi lelaki malang, Lee Chai Lim yang sebelum ini ditinggalkan di Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Ipoh (PKKC) di sini setelah enggan diterima ibu bapanya kini diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, selain mendapat penjagaan rapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semua keperluan bayi tersebut ditanggung kerajaan negeri.

"Punca kecacatan bayi berusia tiga minggu itu yang dilahirkan tanpa hidung dan mata, mulut tidak sempurna serta kaki dan tangan mengalami kecacatan dijangka diketahui selewat-lewatnya hujung bulan ini.

"Andaian awal mengatakan kecacatan ini mungkin disebabkan oleh kromosom, namun kita perlu tunggu sehingga laporan perubatan selesai bagi menentukan rawatan lanjut yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Chai Lim di Wad Kanak-Kanak hospital tersebut semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Chai Lim yang dilahirkan tanpa hidung dan mata, mulut tidak sempurna manakala kaki dan tangan mengalami kecacatan dihantar ke PKKC setelah ibu bapanya tidak dapat menerima kehadiran bayi sulung mereka.

Namun, nasib bayi tersebut mula mendapat pembelaan setelah diketahui Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Mah Hang Soon.

Hamidah berkata, kerajaan negeri juga menawarkan khidmat nasihat dan kaunseling percuma kepada ibu bapa Chai Lim yang dipercayai berasal dari Taiping.

Beliau percaya pasangan suami isteri tersebut bukan tidak menyayangi anak lelaki mereka tetapi bertindak meninggalkan bayi cacat berkenaan kerana masih dalam keadaan terkejut dan trauma.

Sabtu, 3 April 2010

Dun Perak Kecoh Kerana Tidak Ikut Peraturan - Nik Aziz


Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak tidak akan menjadi kecoh sekiranya anggota dewan khususnya mematuhi perlembagaan negeri yang sedia ada, namun yang paling utama ialah mematuhi perlembagaan diselaraskan dengan Al-Quran.

Serentak dengan itu, beliau yang juga Menteri Besar mempertikaikan ahli Dewan Negeri yang ‘dibawa masuk’ (menjadi anggota Dewan) melalui mahkamah, namun beliau akur bahawa perjalanan Dewan Negeri termasuk di Perak perlu berdasarkan peraturan.

“Dalam dewan ada peraturan, dan menjadi peraturan dewan (bahawa) mereka yang menganggotai dewan itu mesti wakil rakyat.

“Dan kalau nak jadi wakil rakyat mesti melalui undi (malalui proses demokrasi), itulah peraturannya.  Tetapi sekiranya (ahli yang menjadi anggota Dewan itu) sebahagiannya melalui undi, dan sebahagiannya pula melalui tok hakim (mahkamah), mana boleh demikian,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ceramah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi semalam.


Beliau diminta mengulas mengenai persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang disifatkan sesetengah pihak sebagai dalam ‘zoo’ sedangkan padanya termasuk di negeri Perak, ada peraturannya.

Beliau mendakwa kekecohan yang berlaku  dalam dewan itu di mana golongan yang cerdik yang tidak boleh tunduk kepada perbuatan zalim, manakala mereka yang satu pihak lagi merasakan dizalimi, mereka melawan.

“Itu tanda mereka cerdik, tetapi kalau dikhianati namun mereka buat senyap saja itu tanda tak cerdik.  Bagaimana pun, perbalahan itu mesti ada punca, takkan sebelah A lawan B dengan tidak ada sebab, tidak begitu.  Mesti B buat masalah pada A dan A kena lawan atau pun A buat masalah pada B dan B kena lawan.

“Islam pun mengajar demikian.  Demokrasi pun ajar, jadi jangan nampak benda kekecohan dalam Dewan lalu diburukkan lagi keadaan.  Mesti ada sebab, kita kena tengok kepada sebab, kekecohan itu kerana apa termasuk dalam Dewan Undangan Negeri Perak,” katanya.

Beliau mendakwa, kekecohan itu disebabkan rakyat yang mengundi memilih calon A ke dalam dewan, namun orang lain pula membawa masuk orang lain melalui mahkamah.

“Mana boleh, sepatutnya memberi peluang kepada rakyat.  Ini kerana membawa masuk wakil dalam dewan pun rakyat, hendak membawa masuk calon lain pun terlebih dahulu mesti tanya rakyat.

“Itu yang kita sebut beri peluang kepada pilihanraya semula, ini bendanya.  Orang bawa masuk wakil rakyat melalui dewan, kita (pihak tertentu) mengubahnya,” katanya.

Mursyiyul Am menasihatkan bahawa semua perkara hendaklah bertindak dengan betul mengikut peraturan.

“Dari segi agama mestilah mengikut Islam.  Kalau tak mahu agama, ikutlah perlembagaan, tetapi perlembagaan itu setakat di dunia sahaja.  Apabila masuk kubur (mati) tidak berguna lagi.

“Oleh sebab itu kita di Kelantan mempastikan bahawa proses perlaksanaan perlembgaan selaras dengan Quran, dengan itu dalam kubur nanti (di akhirat)  kita selamat , dan atas dunia pun kita jadi selamat, insya Allah,” katanya.

Jumaat, 2 April 2010

Tawar MB: Zambry cuba alih isu krisis Umno Perak.


Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bahawa beliau ditawarkan jawatan Menteri Besar Perak jika bersetuju menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Pilihan Raya Umum ke-12 hanyalah satu pembohongan dan usaha mengalihkan perhatian umum terhadap krisis dalaman Umno negeri itu.

Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, 'pendedahan' itu juga merupakan cara Zambry  menggambarkan kepada umum bahawa beliau merupakan calon paling layak memegang jawatan Menteri Besar.

"Ini satu daripada taktik pembohongan Zambry. Kami sendiri telah mengesahkan dengan Datuk Seri Anwar (Ibrahim), memang tidak betul. Kalau ada sekali pun, ramai lagi calon yang lebih hebat dan lebih layak daripada beliau.

"Umno Perak ada krisis dalaman dan ramai yang tidak bersetuju dengan Zambry. Jadi dia sebut perkara itu sekaligus mahu menunjukkan seolah-olah beliaulah calon yang paling baik sekali untuk menduduki jawatan Menteri Besar," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.


Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang juga berkata, tindakan Zambry itu juga hanyalah sandiwaranya untuk menutup kegagalan beliau serta Speaker Dun, S. Ganesan yang gagal mengendalikan sidang Dun dengan baik meskipun mendapat bantuan daripada pelbagai pihak khususnya kawalan ketat polis.

"Itu adalah cara dia untuk alihkan krisis di Perak semalam yang mana dia sebagai MB yang diisytihar oleh Mahkamah Persekutuan, speaker-speaker mereka, polis ada dalam dewan dan di luar dewan tapi masih tidak boleh mengendalikan sidang Dun. Jadi ini menunjukkan satu sikap pengecut Zambry,” ujarnya.

Zambry mendedahkan perkara tersebut ketika menggulung perbahasan sidang Dun Perak, Rabu lepas.

Mengulas lanjut mengenai sidang Dun yang berlangsung dua hari lepas, Nizar berkata, sidang Dun itu dijadikan sebagai alat untuk Umno/BN menunjukkan kuasa mereka sedangkan tiada apa yang dapat dicapai daripada persidangan tidak sampai lima jam itu.

"Persidangan bukan dua hari. Hari pertama perasmian, habis perasmian balik. Hari kedua pukul 10 selepas bacaan doa,  Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming bangun membacakan beberapa perkara 3, 4 dan 6 dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri.


 "Tapi Ganesan tidak  langsung beri hak untuk beliau bangun bahkan Ganesan terus berleter bahkan mikrofon kami semuanya dipadam. Suara kami tidak dapat didengar, dewan tidak dapat dimasuki oleh mana-mana media kecuali media Umno bahkan media alternatif dihantar ke galeri bersama polis. Orang awam tidak boleh masuk, yang ramai cumalah polis. Anggota polis dalam dewan pakai baju biasa yang di luar pakai uniform," ceritanya.

Tegasnya,  itulah sebab kenapa semua wakil rakyat Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan selain mereka tidak diberi peluang untuk berbahas.

"Kenapa kami keluar dewan? Pertamanya perintah tetap telah diketepikan, tidak dipatuhi dan tidak dihormati. Yang kedua dalam agenda semalam tidak dinyatakan agenda untuk membahaskan titah ucapan Tuanku.

"Kita tanya adakah perbahasan hendak diadakan tapi Ganesan dan Zambry tidak jawab. Jadi ini satu perkara yang mesti dijelaskan. Kalau ada perbahasan kita akan sediakan dan memang kita sediakan.

"Yang ketiga kami mahu persidangan ini dilanjutkan sampai lima hari. Oleh kerana belum pernah lagi sejak rampasan kuasa di Perak,  persidangan berlanjutan cuma yang ada sebelum ini pun tidak sampai dua tiga jam. Jadi kita minta supaya lebih adil dan kami boleh bersuara berkenaan tuntutan rakyat. Tapi ini pun tidak dijawab maka kami tidak ada pilihan lain kecuali keluar dewan," katanya.

Rabu, 31 Mac 2010

Sidang Dun Perak Kecoh Lagi.


Dewan undangan negeri Perak sekali lagi dicemari apabila ahli dewan undangan negeri Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bertikam lidah.

Wakil rakyat Pakatan Rakyat terus mengasak speaker R Ganesan yang didakwa dilantik secara tidak sah, sebaik sahaja selesainya bacaan doa.

Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir kemudiannya membentangkan usul kepercayaan kepada Ganesan dengan mengangkat tangan. Semua adun BN berbuat demikian.
 
Zambry kemudiannya mula menjawab soalan lisan pada jam10.15 pagi tetapi beliau terus diganggu oleh adun Pakatan.

Mereka cuba mencelah dangan memegang buku peraturan dewan tetapi mikrofon mereka telah dipadamkan.

Pada sidang hari ini, semua adun Pakatan Rakyat berpakaian serba hitam sebagai tanda bantahan mereka bahawa demokrasi telah mati di negeri itu.
Berikut laporan langsung perkembangan sidang itu.


11.00 pagi: Tujuh pengawal Ganesan yang berpakaian seragam biru muda, menghampiri Tai yang berdekatan dengan Zambry sambil memerhatikannya. Bentara kemudiannya menghalang mereka daripada menyentuh Tai. Ngeh Khoo Ham (DAP - Setiawan) meluru ke arah Tai dan menjerit kepada pengawal keselamatan supaya beredar kerana menurut peraturan Dewan, mereka tidak dibenarkan memasuki Dewan. Tai dan Neh kemudiannya melengkapakan jumlah semua adun Pakatan yang meninggalkan dewan.

10.58 pagi: Nizar kemudiannya bertindak keluar dewan. Bagaimanapun adun Pakatan mengambil masa sebelum meninggalkan dewan.

10.55 pagi: Pihak kerajaan menyambung pembentangan rang undang-undang. Kebanyakan wakil pakatan tidak lagi berada di tempat duduk mereka lagi.

 
10.50 pagi: Ganesan mengumumkan sesi soal jawab tamat. Pembangkang membantahnya sambil menunjukkan kepada jam di dinding yang menunjukkan masa 10.49 pagi, menandakan sesi tersebut lebih pendek berbanding tempoh sejam yang diperuntukkan.

10.42 pagi: Yee Seu Kai (DAP-Pokok Assam) diberikan peluang untuk bertanya soalan. Yee cuba membenarkan Nga untuk membangkitkan soal peraturan dewan. Ganesan berpindah kepada soalan berikutnya.

10.40 pagi:
Wakil pakatan membaling kad kecil bertulis "Dunia sedang melihat", "pencuri" dan "penyamun".

Nizar pergi kepada meja setiausaha kerajaan dan menjatuhkan salah satu poster tersebut di situ. Tiada sesiapa menghalangnya.

10.30 pagi:
Ganesan memanggil Tai Sng Ng (PKR-Kuala Sepetang) untuk bertanyakan soalan ketika.

Tai bangun dan berkata, beliau mahu memberikan laluan kepada Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) untuk membangkitkan peraturan dewan.

Ganesan mengabaikan permintaan itu. Berlaku kekecohan.

Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) bertempik dengan marah: “Ini peraturan dewan... speaker jenis apa ini?”

Ganesan melangkau soalan tersebut. Tempikan daripada kawasan Pakatan senyap seketika.

Selasa, 30 Mac 2010

Sidang DUN Perak Berjalan Lancar.


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berpuas hati dengan kelancaran majlis perasmian mesyuarat pertama penggal ketiga persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Namun beliau membidas pihak Pakatan Rakyat yang bertikam lidah dengan wakil kerajaan dan tindakan bekas Speaker, V Sivakumar mengacah untuk duduk di kerusi Speaker sebelum titah perasmian oleh Pemangku Sultan, Raja Nazrin Shah.

Selain itu, katanya pada sidang media selepas majlis perasmian beberapa adun Pakatan jelas bertindak tidak mematuhi berapa peratuuran yang ditetapka.

Antaranya, Zambry mendakwa seorang adun Pakatan enggan berdiri ketika bacaan doa manakala beberapa lagi membawa kamera masuk ke dewan.

“Kita sudah biasa dengan tindakan sedemikian...Sivakumar juga mengacah untuk merampas kerusi Ganesan. Mereka cuba tetapi mereka tahu bahawa masyarakat sedang memerhatikan mereka. Ada yang menasihatkan rakan mereka supaya jangan bertindak keterlaluan,” katanya.

Pada satu ketika Sivakumar dilaporkan cuba menghampiri speaker, tetapi enam pengawal keselamatan yang berkawal sekitar Ganesan menghalangnya. Sivakumar hanya berundur selepas dinasihatkan oleh rakan-rakan mereka.

Zambry mempertahankan bilangan polis dan pengawal keselamatan yang ramai pada sidang hari ini kerana menurut beliau kehadiran mereka amat diperlukan bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini.

“Kita terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga. Sesiapa yang tahu apa berlaku sebelum ini, pasti tidak akan memandang ringan,” katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan Pakatan Rakyat yang adun BN tidak perlu melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat seperti yang diamai mereka.

Mengenai pintu masuk ke dewan untuk adun Pakatan Rakyat dan BN, Zambry berkata ini bukan kali pertama, ia diadakan. Sebelum ini arahan berhubung perkara yang sama tidak dibantah.

“Mungkin ini sahaja isu yang mereka ada. Mereka sedar, sebelum ini, speaker juga mengarahkan mereka masuk melalui pintu yang berlainan. Kali terakhir, mereka tidak membantah,” kata Zambri.

Ditanya mengapa wartawan dilarang memasuki dewan, Zambri berkata tindakan itu bagi membolehkan lebih ramai wartawan membuat liputan.

“Saya tidak mahu mendiskriminasi dengan menghadkan jumlah wartawan yang boleh masuk kerana ia akan menyebabkan ada yang tidak berpuas hati. Maaf, jika ia menyusahkan anda,” katanya.

Isnin, 29 Mac 2010

ADUN BN Perak Iktiraf Sivakumar Sebagai Speaker Sah.


YB Dato' Seri Tajol Rosli, Adun BN Pengkalan Hulu yang juga mantan Menteri Besar Perak mengiktiraf YB Sivakumar sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Perak yang sah.

Melalui surat jawapan kehadiran beliau kepada Speaker Sivakumar dalam sidang DUN pada 30 Mac ini yang difaxkan ke pejabat Sivakumar membuktikan Sivakumar adalah Speaker yang sah negeri Perak, bukan sahaja melalui surat yang difaxkan, malahan pegawai Tajol Rosli juga mengubungi Sivakumar bertanyakan samada surat jawapan tersebut telah diterima atau belum.

YB Sivakumar

Dengan pengiktirafan ini, Zambry dan Ganesan serta BN Perak menerima tamparan hebat apabila anggota BN bahkan bekas Menteri Besar Perak turut mengiktiraf Sivakumar sebagai Speaker yang sah. Tidak mungkin Tajol Rosli tersalah hantar surat jawapan, kerana surat panggilan sidang DUN Perak tersebut jelas menggunakan nama dan ditandatangani oleh Sivakumar.

Ini juga boleh jadi satu isyarat yang UMNO dan BN Perak sedah menghadapi permasalahan dalam, dari sumber yang rapat dengan UMNO BN Perak, dikatakan 11 bahagian UMNO seluruh Perak tidak bersetuju dengan Zambry, kerana tindakan-tindakan Zambry sebagai pengerusi Perhubungan UMNO Perak dan juga Menteri Besar dilihat begitu angkuh dan sombong.


Beliau bukan sahaja angkuh dan sombong kepada pembangkang malahan kepada UMNO-UMNO bahagian juga bersikap angkuh dan sombong.

Tajol Rosli sebagai orang lama dalam UMNO Perak, bekas Pengerusi Perhubungan dan juga bekas Menteri Besar Perak kelihatan dipinggirkan oleh Zambry, jasanya dalam memimpin UMNO Perak seolah-olah tidak dihargai.

Menurut sumber Zambry hanya mementingkan orang-orangnya sahaja. Sikap Zambry ini sudah tentu mengecilkan hati Tajol Rosli.

Atau Tajol Rosli sememang berpegang kepada prinsip dan peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Perak.

Sangat jelas, pemilihan Ganesan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei yang lalu bertentangan dengan Perintah Tetap. Kes ini pula belum diputuskan oleh Mahkamah siapa Speaker Perak yang sah.

Kalau itulah pegangan Tajol Rosli, kita wajar hormati sikap YB Pengkalan Hulu ini dan wajib Adun-adun BN yang lain menghormatinya dan mengikut jejak langkah Tajol Rosli yang mengiktiraf Sivakumar sebagai Speaker yang sah.

Khamis, 18 Mac 2010

MB Perak Tidak Boleh Hadir Siding DUN 30 Mac Ini, Kata Sivakumar.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar hari ini berkata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak boleh menghadiri sidang DUN pada 30 Mac ini kerana tempoh penggantungannya  daripada menghadiri mesyuarat masih belum berakhir.

“Dr Zambry telah digantung selama 18 bulan manakala enam anggota exco selama 12 bulan...tempoh penggantungan enam anggota exco telah berakhir bulan ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabat DAP Perak di sini.

Sivakumar yang juga Adun Tronoh berkata penggantungan Dr Zambry yang berkuatkuasa sejak 3 Mac 2009 masih berjalan tetapi enam lagi exco yang digantung selama 12 bulan itu sudah tamat tempoh penggantungan dan akan dibenarkan hadir.

Sivakumar mendakwa beliau masih Speaker yang sah dan telah menghantar notis menghadiri Sidang DUN pada 30 Mac ini kepada semua Adun Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang kecuali Dr Zambry dan tiga Adun Bebas.


“Tiga katak (Adun Bebas) tidak dipanggil menghadiri Sidang DUN kali ini kerana saya sudah menerima surat peletakan jawatan mereka pada Februari 2009...mahkamah masih belum memutuskan sama ada mereka masih wakil rakyat yang sah kerana semakan kehakiman yang difailkan oleh saya terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya masih belum dibicara,” katanya.

Beliau berkata penggantungan Dr Zambry dan enam anggota exco oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN telah disahkan pada 3 Mac oleh Sidang DUN yang diadakan di bawah pokok berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan.


Mengenai kedudukan Speaker Datuk R.Ganesan, Sivakumar mengulangi bahawa pelantikan Ganesan adalah tidak sah kerana tidak dibuat mengikut peraturan.

Katanya, usul pelucutan Speaker dan usul pelantikan Speaker baru telah beliau tolak iaitu sehari sebelum Sidang DUN 7 Mei 2009, jadi mengikut peraturan sidang, usul berkenaan tidak berbangkit.

Katanya, pelantikan Ganesan juga dibuat sebelum titah perasmian oleh Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan itu bermakna peraturan mesyuarat telah dilanggar kerana perkara pertama dalam sidang perasmian ialah titah perasmian dan agenda lain adalah selepasnya.

Sivakumar berkata beliau menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu yang mengatakan Dr Zambry sebagai Menteri Besar yang sah atau ketua eksekutif tetapi jawatan beliau sebagai Ketua Legislatif tidak berubah dan oleh itu akan terus menjalankan tugas sebagai Speaker.

BN mempunyai 28 Adun serta tiga Adun bebas yang menyokongnya manakala PR mempunyai 28 Adun dalam DUN Perak. — Bernama

Sabtu, 6 Mac 2010

Sultan Perak Dipohon Tak Perkenan Sidang DUN.

Ketua DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham hari ini mendakwa jika Datuk R Ganesan diiktiraf sebagai speaker Perak yang sah, perkara itu akan menggugat sistem raja berpelembagaan di negara ini.

Ini kerana menurut beliau yang juga ADUN Sitiawan, Ganesan dipilih secara tidak sah.

Beliau mendakwa, Ganesan dilantik sebagai 'speaker' oleh ADUN BN dalam sidang DUN pada 7 Mei lalu ketika Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah belum merasmikan sidang.

Katanya, Ganesan dilantik ketika sesi pagi iaitu kira-kira jam 10.30 pagi sedangkan Raja Nazrin merasmikan sidang DUN kira-kira jam 3 petang.

"Jika Sultan Perak mengiktiraf Ganesan, kepercayaan rakyat terhadap institusi beraja akan merosot.

"BN juga sudah memulakan tradisi bahawa perasmian sidang DUN oleh Sultan atau Raja Muda tidak diperlukan kerana speaker boleh dilantik sebelum sesi bermula," katanya pada sidang akhbar di Ipoh hari ini.

Ngeh yang juga timbalan setiausaha agung DAP juga mempertikaikan sesi pagi yang dipengerusikan oleh adun Jelapang, Hee Yit Foong ketika proses pelantikan Ganesan.

Ini kerana Hee tidak dibenarkan memasuki sidang DUN kerana sudah meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Hee, bekas wakil rakyat DAP dan dua lagi adun bebas tidak dibenarkan memasuki sidang DUN ketika itu kerana speaker yang disingkirkan V Sivakumar mendakwa mereka sudah meletak jawatan berikutan tindakan ketiga-tiganya keluar parti masing-masing.

Dua lagi wakil rakyat bebas itu adalah adun Behrang, Jamaludin Mohd Radhi dan adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu.

Tindakan ketiga-tiga adun yang berpaling tadah itu membolehkan BN menubuhkan kerajaan Perak pada 6 Februari tahun lalu.

Rabu, 3 Mac 2010

PR Perak Tak Akan Hadiri Sidang DUN 30 Mac.



Kesemua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari Pakatan Rakyat tidak akan menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipanggil Speaker lantikan Barisan Nasional, Datuk R.Ganesan pada 30 Mac ini.

Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata Pakatan Rakyat tidak mengiktiraf notis yang dikeluarkan itu kerana Ganesan bukan Speaker yang sah, sebaliknya jawatan itu masih disandang Speaker V Sivakumar.


Bagaimanapun, Nizar berkata, ADUN Pakatan Rakyat sedia menghadiri sidang dewan berkenaan jika notis dikeluarkan oleh Speaker S. Sivakumar.

“Kalau dia panggil kita tidak hormat sebab dia bukan Speaker…kita tidak iktiraf surat dia. Jadi kita hanya hadir jika Speaker yang sah, Sivakumar panggil (sidang DUN),”katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Terdahulu, Speaker lantikan Barisan Nasional, Datuk R Ganesan melalui notis yang ditandatangani Setiausaha DUN Perak, Rumaizi Baharin memanggil sidang Dewan 30 Mac ini.

Sidang itu adalah yang pertama kali selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan kontroversi baru-baru ini, apabila mengisytiharkan Datuk Seri Zambry Kadir sebagai Menteri Besar yang sah.

Semua wakil rakyat turut diminta menghantar soalan bertulis sebelum 15 Mac.

Bagaimanapun, dalam sidang DUN berkenaan, setiap wakil rakyat hanya dibenar mengemukakan maksimum lima soalan bertulis dan tiga soalan lisan sahaja.

Nizar menjelaskan keputusan untuk tidak mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker dibuat kerana lantikan Speaker lantikan BN iyu telah melanggan peraturan 36A(5) Perlembagaan Negeri Perak

Ganesan sebelum ini gagal meletakkan jawatan sebagai Peguam selepas tiga bulan dilantik sebagai Speaker.

“Dia telah melanggar peraturan 36A(5) Perlembagaan Negeri Perak yang dilanggar oleh Ganesan ini, dari segi peraturan juga dia melanggar Peraturan Dewan, dari segi Perlembagaan, dia melanggar Perlembagaan Perak…dia tidak patuh pada Perlembagaan Perak. Jadi semua ini menunjukkan dia adalah bukan Speaker,” katanya. -TVS

Isnin, 1 Mac 2010

Tiada Pilihan Raya Mengejut Di Perak.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini menafikan desas-desus bahawa satu pilihan raya negeri mengejut akan diadakan di Perak menjelang September ini. 

ahmad husni hanadzlahBeliau berkata, parti komponen BN di Perak juga tidak menerima sebarang arahan untuk mengemukakan senarai calon parti masing-masing sebagai persediaan menghadapi pilihan raya mengejut itu.

Ahmad Husni berkata, selaku Bendahari BN dan UMNO serta memegang jawatan Timbalan Pengerusi UMNO Perak, beliau pastinya telah mempunyai maklumat jika benar satu pilihan raya mengejut akan diadakan di Perak.

"BN Pusat bermesyuarat kira-kira dua minggu lepas, UMNO Pusat bermesyuarat pada minggu lepas dan BN Perak juga telah bermesyuarat baru-baru ini, tidak ada dibincangkan langsung mengenai soal pilihan raya mengejut.

"Sebaliknya mesyuarat berkenaan hanya mengingatkan bahawa semua parti komponen BN perlu bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang bagi memastikan kerajaan BN mendapat mandat besar bagi terus mentadbir negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Pemimpin di Dewan Merdeka di Tapah hari ini sempena lawatan kerja beliau ke Parlimen Tapah.

zambry perak state pc 130509 01Desas-desas pilihan raya mengejut di Perak timbul selepas seorang Timbalan Presiden sebuah parti komponen BN dikatakan menyerahkan senarai nama calon daripada parti itu kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam satu perjumpaan tertutup di kediaman rasmi Menteri Besar pada petang semalam.

Sumber daripada parti komponen BN itu turut mendakwa bahawa pilihan raya mengejut berkenaan akan berlangsung pada September ini mengikut perancangan awal Zambry.
- Bernama

Jumaat, 26 Februari 2010

Adun Titi Serong Selamat Dalam Kemalangan.



Adun Titi Serong, Perak, Drs Khalil Idham Lim terlibat dalam kemalangan kereta di Bukit Berapit petang semalam ketika dalam perjalanan memenuhi undangan program hi-tea dan ceramah di Tapah.

Ketika dihubungi, Khalil yang juga Ketua Penerangan PAS Perak berkata, beliau dan pemandunya tidak dapat mengelak apabila tiba-tiba sahaja sebuah lori kontena keluar dan meski mengelak namun berlaku juga geselan di sebelah kiri.

“Saya bersyukur kerana kami tidak mengalami apa-apa kecederaan meskipun kereta saya mengalami kerosakan teruk, namun dalam keadaan menggeletar dan trauma, saya masih boleh keluar dan menghubungi kawan-kawan berhampiran,” jelasnya.

Di dalam blognya, Cina Islam, beliau menyatakan selamat sampai sekitar jam 10.30 malam tadi di rumahnya di Parit Buntar dihantar oleh Unit Amal Bukit Gantang.

“Sebenarnya sehari dua ini badan juga kurang sihat dan pagi tadi saya sempat menemui doktor meminta ubat batuk, demam dan selsema. Selain itu saya mengambil peluang untuk memeriksa jantung, kolesterol dan kandungan gula. Alhamdulillah keadaan jantung dalam keadaan baik, kandungan gula 4.2 dan kolesterol 5.06. Kata doktor semuanya baik dan normal.

“Alhamdulillah saya dalam keadaan baik dan akan kembali bertugas esok hari. Petang esok saya akan menaiki kapal terbang dari Penang ke KL untuk menaiki kapal terbang ke Miri, Sarawak pada awal pagi sabtu ini kerana program yang telah diatur lebih awal. 

”Awal pagi minggu 28 Februari saya balik ke Kuala Lumpur untuk mengikuti tiga program yang diatur dan hanya akan kembali ke Parit Buntar pada pagi Isnin depan,” tambahnya lagi.

Menurutnya, semangat kembali pulih walaupun telinga masih rasa bengang dan terbayang-bayang bagaimana kejadian petang tadi, namun tidak melemahkan semangat untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, pimpinan PAS Perak serta sahabat-sahabat yang membantu semasa dan selepas kejadian, ketika membuat laporan di IPD Kuala Kangsar sehinggalah yang menghantarnya sampai ke rumah di Parit Buntar.

Selasa, 16 Februari 2010

BN Yang Sememangnya Pengecut.



Keikhlasan Umno dalam membela nasib Melayu terus dipertikai oleh rakyat ekoran beberapa pemimpin parti perkauman tersebut dilihat mengamalkan kronisme dan nepotisme. 

Bercakap pada suatu sidang media di Pejabat PAS negeri di sini semalam, Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain mendakwa amalan kronisme dan nepotisme tersebut sebagai salah satu punca yang mendesak Umno negeri takut membubarkan Dun Perak seperti yang dicabar oleh PAS dan Pakatan Rakyat sebelum ini.



Dakwanya lagi, budaya kronisme-nepotisme tersebut mengakibatkan kepemimpinan Umno negeri sendiri sedar bahawa hanya ahli-ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) sahaja sedang menyokong kerajaan 'kudeta' Perak, seperti yang diputuskan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Sedangkan rakyat, menurutnya lagi kian celik politik apabila membandingkan antara kerajaan negeri era Pakatan Rakyat yang dilihat bersih denga kerajaan negeri era Umno serta BN yang dianggap kronisme-nepotisme.



Mengambil contoh inisiatif Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengadakan rumah terbuka khas sempena perayaan Tahun Baru Cina kelmarin, beliau mendakwa bahawa Umno sekarang sedang cemas melihat sindrom penolakan rakyat bukan Melayu dan bukan BN ke atas ‘kerajaan mahkamah' di Perak.


Sehubungan itu, beliau menaruh rasa yakin bahawa masyarakat Melayu dan bukan Melayu di Perak umumnya bersama PAS serta Pakatan Rakyat kerana menolak budaya kronisme-nepotisme yang dilihat lazim dilakukan oleh Umno peringkat negeri dan nasional.

Isnin, 1 Februari 2010

Apo Kono Dengan Zambry Ni?

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mencabar bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan 27 lagi wakil rakyat pembangkang mengosongkan kerusi mereka bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan di 28 kerusi DUN pembangkang di Perak.


Beliau berkata, Mohammad Nizar dan wakil rakyat pembangkang berkenaan tidak perlu teragak-agak untuk mengosongkan kerusi DUN masing-masing sekiranya mereka benar-benar yakin bahawa sebahagian besar rakyat Perak teguh menyokong pembangkang.

"Kalau pembangkang rasa mereka popular sekarang, bubarlah 28 kerusi mereka. Kita tengok sama ada mereka dapat semula 28 kerusi DUN ataupun tidak (pada pilihan raya kecil)," katanya kepada pemberita selepas diwawancara dalam program Setahun Melayari Arus di studio Perak FM di sini hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Mohammad Nizar sebelum ini bahawa bekas Menteri Besar Perak itu akan memohon perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk membubarkan DUN Perak sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung siapa Menteri Besar Perak yang sah pada 9 Februari ini berpihak kepadanya.

Zambry menegaskan bahawa kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) tidak akan membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihan raya negeri semula diadakan seperti yang dikehendaki oleh pembangkang.

"Nak bubar DUN ini adalah permainan mereka. Saya tidak akan ikut permainan mereka, bukan kerana takut tapi kerana tidak mahu terikut-ikut rentak permainan pembangkang ini," katanya.

Terdahulu dalam wawancara itu, Zambry berkata, fokus utama kerajaan negeri BN yang diterajuinya adalah untuk membangunkan ekonomi dan memakmurkan negeri Perak dan bukannya terheret ke dalam permainan politik pembangkang yang tidak berkesudahan.

"Sebaik sahaja kita (BN) mentadbir, saya telah memaklumkan bahawa kita tidak boleh selamanya bermain dengan politik kerana rakyat di luar sana inginkan sesuatu daripada kita.

Ada masanya rakyat ingin memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi negeri," katanya.

Zambry yang dilantik Menteri Besar Perak Ke-11 menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Februari lepas menyatakan keyakinannya bahawa sokongan masyarakat pelbagai kaum di Perak terhadap BN akan terus bertambah disebalik pelbagai permainan politik yang dimainkan oleh pembangkang.

"Saya yakin bahawa rakyat di Perak tidak akan termakan dengan cara mereka (pembangkang) dan dengan adanya perkembangan ekonomi yang baik, kedudukan keamanan yang baik di Perak dan program pembasmian kemiskinan efektif yang kita lakukan, saya yakin akhirnya rakyat akan bersama-sama dengan kita... dengan syarat kita pun kena buat kerja dengan kuat," katanya. - BERNAMA

Khamis, 3 Disember 2009

Nizar V'8! DAP Perak Mohon Maaf Isu Pijak Gambar ADUN

Akibat dikecam pelbagai pihak, DAP Perak hari ini memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perbuatan beberapa pemimpin parti itu memijak poster wajah tiga anggota Bebas Dewan Undangan Negeri Perak pada Ahad lepas.



Sambil mengakui perbuatan itu satu kesalahan, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming berharap isu berkenaan akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Nga yang juga Anggota Parlimen Taiping, berkata parti itu bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan terhadap tiga anggotanya yang meletakkan poster itu di pintu masuk ke konvensyen parti itu.



Pada konvensyen DAP Perak Ahad lepas, poster yang memaparkan wajah Hee Yit Fong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) diletakkan di pintu masuk bertujuan agar perwakilan yang menghadiri konvensyen itu memijak gambar mereka.

Hee sebelum ini adalah daripada DAP manakala Jamaluddin dan Mohd Osman adalah daripada Parti Keadilan Rakyat.  
BERNAMA

Ahad, 29 November 2009

Nizar V'8! Dun Perak: Cawangan, Ahli Digesa Siap Sedia Hadapi Pilihan Raya

Cawangan PAS digesa bersiap lebih awal untuk menghadapi kemungkinan pembubaran DUN berdasarkan kemelut suasana politik Perak yang tidak menentu.


Demikian antara penegasan ADUN Titi Serong yang juga Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim semasa memberi taklimat Pembubaran DUN Perak untuk Cawangan PAS Parit Kasa di sini semalam.

"Sejak BN merampas kuasa pada Februari yang lepas, saya ingatkan kepada Jentera PAS bahawa BN telah melakukan sesuatu untuk menghadapi Pilihanraya, kerana itu jentera parti PAS juga mesti melakukan sesuatu juga,"jelasnya sambil memuji langkah proaktif yang dilakukan oleh cawangan tersebut dan wajar dicontohi oleh cawangan PAS di DUN Titi Serong dan seluruh negeri Perak.

Hadir sama dalam taklimat itu ialah Ketua Cawangan dan Ajk Cawangan tersebut dengan petugas pilihan raya di kalangan pemuda cawangan yang terletak dalam DUN Titi Serong tersebut.

"Usaha yang dilakukan oleh BN termasuklah mempergunakan badan-badan seperti Suruhanjaya Pilihan raya,"kata Drs. Khalil.

Beliau juga mengharapkan cawangan perlu mengadakan sesuatu dan program tertentu seperti pergerakan jentera lebih awal seperti culaan undi dan pendaftaran pemilih yang baru.

"Pemuda perlu memeriksa setiap rumah penyokong PAS di cawangan dan memastikan kalau masih ada pengundi yang belum didaftarkan, kerana cawangan boleh tahu masalah ini berdasarkan pemeriksaan yang teliti yang dilakukan oleh cawangan," jelasnya lagi.

Tambahnya,PAS dan pakatan Rakyat perlu ada jentera yang kuat untuk menghadapi pilihan raya apalagi berdepan dengan BN yang mempergunakan sepenuhnya jentera kerajaan yang ada.

"Kemelut politik yang berlaku  tidak akan dapat diselesaikan dengan perbicaraan di Mahkamah dan persidangan DUN...hanya pembubaran DUN yang mampu memyelesaikan krisis ini," tegasnya.

Selasa, 24 November 2009

Nizar V'8! Jangan gantung kes Perak secara tidak bertali



PAS Perak mendesak supaya kes semakan keputusan SPR yang difailkan oleh Speaker Dun Perak, V Sivakumar yang digantung tidak bertali dan masih belum dibicarakan mestilah diputuskan segera.


Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata, keputusan penghakiman kes Kota Seputeh oleh Mahkamah Tinggi perlu disemak oleh SPR yang sebelum ini menolak keputusan Speaker Dun perak.


Bagi beliau, SPR mestilah menyemak kembali keputusan silapnya dalam kes tiga Adun Perak itu dan memaklumkan kekosongan tiga kerusi tersebut secepat mungkin.

Bagi beliau, kes Kota Siputeh sama dengan kes tiga DUN di Perak itu dan SPR kena tarik keputusannya di Perak sebelum ini.

Khalil mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Putrajaya yang menolak permohonan SPR untuk menangguhkan pelaksanaan keputusannya sebelum ini yang memerintahkan agar pilihan raya kecil diadakan dalam masa 60 hari di Kota Seputeh.


"Sekarang nampak sungguh SPR sudah tersasar dari tugas sebenarnya dan betul-betul jadi barua Umno dan BN dengan berkerja kuat untuk mengelakkan berlaku kekosongan kerusi tersebut," kata Khali, Adun Titi Serong itu.



Khalil mempersoalkan, bukankah SPR kerjanya tidak lebih dari menguruskan soal berkaitan pilihanraya. Atau sejak bila SPR sudah jadi satu entiti yang boleh mempertikaikan apa saja surat dan dokumen termasuklah kesahan dari segi undang-undang yang tidak selayaknya dipertikaikan oleh badan itu," katanya.

Bgai beliau, SPR kerjanya hanyalah mengurus soal pilihanraya. Sesudah menerima apa-apa makluman dari mana-mana Speaker SPR hendaklah bermesyuarat.

"Biasanya bila kita mendengar SPR ingin bermesyuarat semuanya rasa berdebar dan menunggu-nunggu apakah SPR menerima surat atau dokumen sebagai bukti kerusi itu dikosongkan.




"Ini adalah sudah salah dari pandangan yang sebenarnya kepada apa yang sepatutunya dimesyuarat," katanya.

Yang lebih malang lagi, katanya, ternyata SPR sudah jadi barua dan diperkudakan dalam banyak hal termasuklah apa yang berlaku di Perak.

"Dengan tidak profesionalnya SPR kemelut di Perak telah jadi "gila khinzir' sekarang. Tidakkah seperti yang disebutkan oleh hakim pada hari ini sangat jelas bahawa SPR bertindak tidak wajar dalam Kes Kota Siputeh. Bagi saya termasuklah di Perak," katanya.

Hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan, katanya.

Kata Hakim lagi pada hari ini, "Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.




"Ertinya kalau perkara ini di rujuk kepada kes Jelapang, Behrang, dan Changkat Jering jelas makluman Speaker Sivakumar mengenai perletakan jawatan, Hee, Osman, dan Jamaluddin mesti diterima oleh SPR sebagai makulmat dan SPR cuma bermesyuarat untuk menentukan bila tarikh penamaan calon, hari mengundi dan berbincang berbagi hal yang berkaitan dengan pengundian bagi 3 DUN tersebut," katanya.

Penghakiman pada hari ini juga baginya memberi jawapan bahawa SPR tidak ada hak untuk menafikan makluman Sivakumar di Perak dan satu laluan kepada pilihanraya di 3 DUN di Perak tersebut mesti disegerakan.

Sabtu, 21 November 2009

Nizar V'8! Muhyidin dan 9 yang lain disaman RM105 juta.



10 pihak termasuk Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyidin Yasin dan Komanden Kem 1Malaysia Kuala Dipang disaman RM105 sebagai gantirugi berikutan kematian tiga kanak-kanak selepas mereka jatuh dan hanyut berikutan jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang.

Selain kedua-duanya, turut disaman adalah guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, gurubesar SJKT Gopeng; Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan; Pengarah Pelajaran Negeri Perak; Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dan Komanden Kem 1Malaysia Kuala Dipang, penderma jambatan gantung itu iaitu syarikat GS Synergy Sdn Bhd, syarikat kontraktor CWL Enterprise dan kerajaan Malaysia.


Tiga bapa kepada tiga peserta Kem 1Malaysia yang terkorban dalam tragedi jambatan gantung runtuh di pusat kokurikulum pejabat pelajaran daerah Kinta Selatan di Kampar pada 26 Oktober lalu, memfailkan saman menuntut gantirugi itu di Mahkamah Tinggi Ipoh.
(Gambar: Jambatan gantung yang runtuh dalam tragedi Kuala Dipang yang mengorbankan tiga pelajar sekolah)
K Mageswaran, K Vasudevan dan T Nathan, bapa kepada tiga kanak-kanak yang mati akibat kejadian di pusat tersebut yang terletak berhampiran Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang.

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan A.Sivanesan & Coi di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Ipoh  pagi tadi.

Selain menuntut gantirugi am sebanyak RM35 juta setiap seorang, mereka masing-masing menuntut RM19,120 bagi gantirugi khas, RM100,000 bagi gantirugi teladan, faedah 8 peratus bagi jumlah penghakiman dari tarikh kematian hingga tarikh penyelesaian sepenuhnya, kos guaman dan apa-apa relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif mendakwa, pada masa kejadian, kawasan itu dipercayai gelap gelita, tidak ada lampu besar yang dipasang untuk keselamatan murid-murid, dan ini menunjukkan kecuaian kerana dengan adanya lampu besar, kanak-kanak yang jatuh ke dalam sungai boleh dilihat dengan jelas serta mempunyai peluang yang lebih baik untuk menyelamatkan diri atau diselamatkan.

Mereka juga mendakwa tidak ada seliaan atau kawalan yang baik di jambatan oleh pihak penganjur yang mana sepatutnya penggunaan jambatan perlu diawasi, dengan menentukan kapasiti iaitu bilangan murid yang boleh menggunakan pada satu-satu masa.

Mereka juga mendakwa murid-murid tidak dilengkapi jaket keselamatan ketika menyeberangi sungai, guru-guru didapati tidak terlatih untuk mengendalikan kem seperti itu serta tiada doktor atau pegawai perubatan ditempatkan untuk keselamatan peserta kem tersebut.

Plaintif juga mendakwa jambatan gantung tersebut tidak diperiksa oleh Majlis Daerah Kampar dan Jabatan Kerja Raya Perak bagi memastikan ciri-ciri keselamatan telah dipatuhi.

Mereka juga mendakwa kematian anak-anak mereka amat menyedihkan dan telah mengancam ketenteraman mereka dan keluarga selain masih mengalami dan menanggung kehilangan dan kerugian.

Jumaat, 20 November 2009

Nizar V'8! Tragedi Jambatan Runtuh: Keluarga Saman Kerajaan Dan 10 Yang Lain RM105 Juta

Keluarga ketiga-tiga mangsa yang terbunuh dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang pada 26 Oktober lalu hari ini memfailkan saman berjumlah RM105 juta terhadap kerajaan dan 10 yang lain di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.


Responden yang lain terdiri daripada, Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri Perak,SJK (T) Mambang Diawan, SJK (T) Gopeng, GS Synergy Sdn Bhd (pihak yang menaja pembinaan jambatan), CWL Enterprise (kontraktor) dan pihak yang terlibat.

Menurut peguam yang mewakili keluarga mangsa, A. Sivanesan, ayah ketiga-tiga keluarga mangsa itu akan mengemukakan saman bernilai Rm35 juta bagi setiap pihak yang terlibat dengan jumlah keseluruhan saman itu berjumlah RM105 juta kerana didakwa berlaku

kecuaian daripada pihak yang terlibat dalam tragedi yang berlaku pada 26 Oktober lalu.
Oktober lalu, tiga pelajar sekolah rendah yang menghadiri kem 1Malaysia, N. Dina Deve and M. Devatharshini, kedua-duanya berusia 11 tahun dan V. Divyashree, 12, ditemui mati lemas selepas jambatan gantung yang dilalui di tapak perkhemahan mereka tiba-tiba runtuh ke dalam Sungai Kampar.

Bagaimanapun, tindakan pantas pihak penganjur berjaya menyelamatkan 19 orang pelajar yang turut sama tenggelam dalam kejadian malang itu.

Dua buah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi menyiasat tragedi malang berkenaan, satu di bawah Kementerian Pelajaran dan satu lagi jawatankuasa ditubuhkan oleh Pakatan Rakyat Negeri Perak.

Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran akan mengumumkan hasil siasatan yang dijalankan berhubung insiden berkenaan dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, jawatankuasa yang diwujudkan oleh Pakatan Rakyat negeri mendakwa jambatan gantung itu runtuh kerana didakwa menggunakan bahan binaan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan dua orang guru yang sepatutnya menyelia perjalanan kem tersebut tidak hadir pada hari kejadian.

Khamis, 19 November 2009

Nizar V'8! Umno Perak Terbahagi 3.



Team PerakEx mendapat maklumat bahawa UMNO Perak kini sedang mengalami krisis hebat. Maklumat daripada orang UMNO sendiri dan ditulis oleh blog PerakKume, antara lain menyebut, “kumpulan Mahyuddin Yassin kini telah pun mula menjalankan gerak kerja menghancurkan Zambry Kader disamping orang Najib juga dikatakan cukup berminat dengan jawatan MB Perak walaupun HARAM.” 



Tulisnya lagi, “[a]da bekas EXCO UMNO sendiri secara terang-terangan menentang Zambry Kader dan meminta najib membuat pertukaran segera MB sebelum menerima padah!!!”

Perebutan itu dikatakan berlaku antara tiga kuasa besar dalam UMNO. Kuasa-kuasa itu adalah dari kalangan orang Najib, orang Muhyiddin dan proksi KJ. 




Dan lagi terdapat juga bekas EXCO yang teringin untuk jadi Adun kembali.

“Pertentangan seorang EXCO dengan seorang Adun yang dikatakan tidak “ngam” dan sering berbalah dalam banyak isu termasuklah pembahagian tender atau projek.

Tulis blog PerakKume lagi, “sikap Adun Bebas yang dah mula bercakap dan memburuk-buruk Zambry kerana menolak permohonan kroni-kroninya untuk mendapatkan projek….” 





Dalam perkebangan yang sama terdapat juga perbualan di kedai-kedai kopi UMNO , “Zambry Kader akan digantikan…..?”

Antara perbualan-perbualannya, “ada diantara Ketua-Ketua Bahagian UMNO telah pun bercakap sendiri dengan Timbalan Presiden UMNO. Zambry tidak sesuai sebagai MB, Zambry bukan orang “najib” bukan orang “mahyuddin”, ini kata mereka.”

Zambry dikatakan sebagai “proksi” KJ di Perak. 






Keretakan UMNO Perak bermula ketika Mahyuddin datang melawat tragedi “jambatan runtuh” di Kuala Dipang dimana Mahyuddin datang bersama 2 Ketua UMNO Perak menaiki helicopter bersama Mahyuddin.

Beberapa “pertemuan sulit” dikatakan telah berlaku bagi menurunkan Zambry Kader di Perak.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails