Geng Aku

Jumaat, 13 November 2009

Nizar V'8! Jais Tolak 7 Penceramah Wahabi?




Tujuh ilmuan Islam yang tidak diberikan tauliah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) beberapa bulan lalu dipercayai kerana mereka disyaki membawa aliran Wahabi dan dekat dengan Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Penolakan terhadap permohonan ketujuh-tujuh mereka, selepas diwawancara sebelum bulan Ramadhan lalu, bagaimanapun tidak menyatakan sebarang alasan.

Malaysiakini difahamkan soalan-soalan tiga pegawai Jais yang menemuduga mereka menjurus kepada usaha menyelidik sikap mereka terhadap beberapa isu fekah dan akidah yang boleh dikaitkan dengan aliran Wahabi.

Soalan-soalan itu, antaranya, isu lafaz niat sembahyang, marhaban dibolehkan atau tidak, aliran teologi Ash-Shaari dan perdebatan isu 13 sifat-sifat Allah yang menjadi pengetahuan umum penganut Ahlus Sunnah Wal Jama'ah.


Ketujuh-tujuh diwawancara pada hari yang sama setelah permohonan mereka untuk mendapatkan tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) disokong ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Menurutnya, pada 19 Ogos lalu, Jais mengeluarkan surat menolak permohonan tauliah mengajar atau berceramah kepada tujuh pemohon ini.

Dalam persidangan DUN Selangor semalam, wakil rakyat PAS itu mendedahkan nama tujuh penceramah agama tersebut, yang dipercayai daripada aliran pemikiran agama yang sama, seperti berikut:

Fathul Bari Mat Jahya - kelulusan BA Hadis (Universiti Madinah), MA (Universiti Yarmouk, Jordan), sedang menamatkan PhD di Universiti Islam Antarabangsa (UIA)

Mohd Khairi Anwar Abdul Latif - BA al-Quran dan Sunnah (UIA), MA Hadis (UIA), bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa

Abdul Razak Mutalib - BA Usul Fiqh (UIA), MA Hadis, bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa

Muzairi Mustafa - BA Tafsir, Usul dan Dakwah (Al-Azhar, Kaherah), sedang menuntut di peringkat sarjana

Fathlan Mohd Osman - BA Dakwah, MA Tafsir (UKM), sedang menyiapkan PhD Hadis di UIA

Dr Azwira Abd Aziz - BA (Univeristi Madianah) MA (Univeristi Madianah), PhD (Universiti Jordan), ketua Jabatan Al-Quran dan Sunnah UKM

Mohd Roesfan Sazzerin Mohamad Sufi - BA Hadis, Diploma Dakwah (Universiti Madinah), MA Hadis (UIA)

Saari, mantan presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), mencadangkan anggota majlis fatwa dan ahli akademik ini dikecualikan daripada tauliah seperti diperuntukkan dalam bahagian kesembilan Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Dalam ucapan sama, beliau mendedahkan Fathul Bari pernah ditahan kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah, tiga tahun lalu.

Jais nafi tolak Wahabi

Fathul Bari, anak bekas mufti Perlis Datuk Mat Jahya Hussin, dan Dr Azwira, ahli Majlis Fatwa Perlis yang pernah dicalonkan untuk memegang jawatan mufti di negeri itu, dikenali rapat dengan Dr Mohd Asri.




Bekas mufti Perlis yang kontroversi itu sering dikaitkan dengan aliran Wahabi walaupun beliau berkali-kali menafikannya.

Penangkapannya awal bulan ini, dan pendakwaannya di mahkamah minggu depan, atas kesalahan mengajar tanpa tauliah turut membangkitkan semula isu Wahabi.

Dr Azwira juga terlibat dalam Kelompok Intelektual Muslim Muda (KIMM), kumpulan untuk membela Dr Mohd Asri yang turut disertai bekas menteri besar Perlis dan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim.

KIMM mengemukakan lapan tuntutan, antaranya:

- Meminta layanan yang adil kepada semua pendakwah tanpa prasangka seperti menolak permohonan tauliah dan ceramah tanpa sebab.

- Meminta supaya dibuang senjata tuduhan Wahabi kepada golongan agama atau tokoh agama hanya kerana berbeza pendapat.

Kelompok ini juga mendesak stigma negatif terhadap aliran Wahabi, yang dipelopori Muhammad Abdul Wahab, dan ulama Arab Saudi dihentikan.

Dihubungi Malaysiakini petang ini, ketua penolong pengarah Bahagian Dakwah Jais, Ahmad Zaki Arshad menafikan ketujuh-tujuh ilmuan Islam ditolak tauliah mereka kerana disyaki beraliran Wahabi.

Jelasnya, permohonan itu ditolak kerana ia dibuat tanpa mengikut "prosedur mengisi borang" yang tepat, antaranya, ia seharusnya disokong oleh ketua jabatan jika kakitangan awam, penghulu atau ketua pegawai eksekutif jika bekerja swasta.

Permohonan melalui ADUN tidak mengikut peraturan, tambahnya.

Nizar V'8! Pas Amal Bai'ah Sumpah Setia Laknat Bai'ah Bukan Cerai



  Pas mengakui ia hanya mengamalkan bai”ah sumpah setia laknat bukannya amalan bai”ah talak tiga seperti yang dinyatakan oleh Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata, amalan yang dilakukan sejak sekian lama itu adalah bertepatan dengan dasar Pas yang memperjuangkan Islam di samping menunjukkan yang mereka sedia dilaknat sekiranya mengkhianati perjuangan Islam.


 Mustafa ALi

"Pas ada cara sendiri, kita guna tradisi dalam Islam. Bai”ah kita adalah ikrar setia dalam perjuangan. Pas buat benda ni sebelum pilihan raya lagi, sewaktu kita dipilih sebagai calon.

"Walaupun kita (Jawatankuasa Pas Pusat) tak setuju apa yang dilakukan oleh Khalid, tetapi kita hormati pendirian beliau. Mungkin itu pilihan dia untuk tunjukkan kesetiaan kepada parti,” katanya pada sidang media berhubung isu bai”ah di ibu pejabat Pas di sini hari ini.

Khalid baru-baru ini telah mendedahkan mengenai wujudnya amalan bai”ah dalam kalangan calon wakil rakyat parti itu yang dikehendaki melafazkan akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing sekiranya keluar parti. - Bernama

Nizar V'8! Barisan Kepinpinan Baru PKR Penang.


Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Dr.Mansor Othman telah melantik dua exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menganggotai Majlis Pimpinan PKR Negeri Pulau Pinang yang baru.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tambun, Law Choo Kiang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani. Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir telah dilantik menjadi Timbalan Pengerusi PKR Negeri Pulau Pinang.

Manakala Adun Batu Maung. Abdul Malik Abul Kassim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah dilantik sebagai Naib Pengerusi.

Dua lagi Naib Pengerusi yang dilantik ialah Adun Sungei Bakap, Maktar Shafie serta Adun Batu Uban, S.Raveentharan.

Dalam pelantikan tersebut Senator Mustafa Kamal Mohd Yusoff kekal sebagai Setiausaha.

Tiga timbalan setiausaha yang telah dilantik ialah Ong Eu Leong sebagai timbalan setiausaha 1, Johar Othman sebagai timbalan setiausaha 2 dan Abd Rahman Ismail sebagai timbalan setiausaha 3 Majlis Pimpinan PKR Negeri Pulau Pinang.

Bendahari yang telah diberi kepercayaan oleh kepimpinan ialah Francis Joseph manakala timbalan bendahari(dana)ialah Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Ketua Penerangan yang dilantik ialah Timbalan Speaker Dun Negeri Pulau Pinang, Tan Hock Leong yang juga Adun Machang Bubok.




Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff [gambar] kekal sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri.

Ketua Wanita juga kekal ditangan Norhayati Jaafar.

Dr.Mansor berkata demikian semasa sidang media yang telah diadakan di Yayasan Aman, Penanti.

Dalam pada itu bekas Pengerusi PKR Negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim dalam satu kenyataan berharap penyusunan semula kepimpinan PKR Negeri Pulau Pinang mampu mengangkat martabat PKR sebagai sebuah parti yang terulung bagi memperjuangkan kebenaran dan keadilan bagi seluruh rakyat negara ini.


Dr Mansor bersama barisan AJK baru Perhubungan PKR Negeri
Pulau Pinang semasa sidang media di Yayasan Aman

Nizar V'8! Piala Malaysia Diarak Seluuh Negeri Sembilan.









Penduduk Negeri Sembilan yang masih bergembira dengan kejayaan pasukan negeri menjuarai Piala Malaysia musim ini berpeluang melihat piala keagungan bola sepak negara itu dengan lebih dekat apabila ia diarak di seluruh negeri bermula di sini, petang esok.

Pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu, Negeri Sembilan menewaskan Kelantan 3-1.



Naib Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, berkata pemain skuad negeri akan diarak bersama piala itu menggunakan bas tanpa bumbung di seluruh bandar ini mulai jam 3 petang, bermula dari Dataran Senawang menuju Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Ampangan, Sikamat, Rasah Jaya dan berakhir di City Park Seremban 2.

Nizar V'8! Muhyiddin Hina Kerajaan Pakatan.


Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya telah mendapat sokongan rakyat daripada semua golongan termasuklah pemimpin parti-parti pembangkang.



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat dan pemimpin parti-parti pembangkang sedar dan tahu bahawa gagasan itu bukanlah retorik politik malah ia telah dilaksanakan sebagai satu dasar yang baru oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).



"Kita tidak pernah dengar pembangkang menolak gagasan 1Malaysia kerana mereka tahu ia bukanlah retorik dan sekarang ia telah menjadi satu tagline yang begitu berpengaruh," katanya ketika melancarkan Kempen Gerak Mesra 1Malaysia "BN Menang, Kedah Senang," anjuran BN negeri di sini Khamis.



Katanya rakyat menerima gagasan 1Malaysia sebagai satu pendekatan baru dalam kerajaan untuk meliberisasikan ekonomi dan pembangunan sosial.

Beliau berkata rakyat mula sedar bahawa pakatan pembangkang yang memerintah beberapa buah negeri termasuk di Kedah kini tidak mampu untuk membangunkan negeri.

Muhyiddin berkata beliau sendiri bimbang dengan ketidakmampuan kerajaan Kedah sekarang untuk meneruskan projek-projek yang dirancang oleh kerajaan pimpinan BN sebelum ini dan rakyat terpaksa menerima kesannya.


Katanya semasa di bawah pemerintahan BN dahulu, kerajaan negeri terpaksa memohon bantuan daripada kerajaan pusat kerana Kedah tidak mempunyai hasil pendapatan yang cukup untuk projek pembangunan.

"Saya bimbang Kedah jadi macam Kelantan, negeri paling mundur di Malaysia, Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat) hanya pandai berdoa tetapi tidak tahu mentadbir dan disebabkan itu apabila rakyat berjumpa dengan saya di Manek Urai, mereka memohon bantuan termasuklah untuk membaiki masjid dan membina jambatan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata atas dasar rakyat diutamakan, kerajaan pusat tetap membantu rakyat Kelantan dan membina jambatan di Manek Urai walaupun tewas pada pilihan raya kecil di kawasan itu baru-baru ini.

-- BERNAMA

Nizar V'8! Nik Aziz Batal Tunai Haji Kerana Tajaan Dipertikai


Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membatalkan hasratnya menunaikan fardu haji musim ini kerana bosan dengan kerenah media, yang katanya banyak mempersoalkan permergian beliau ke tanah suci itu yang ditaja pihak tertentu.

Beliau berkata pemergiannya ke tanah suci yang dijadual pada 17 November ini ditangguhkan kerana media heboh mempersoalkan pemergiannya itu kerana ditaja orang tertentu yang didakwa mempunyai kepentingan dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am Pas, berkata laporan dalam media dan laman blog mengenai tajaan untuk beliau itu bertujuan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

"Kalau di zaman Nabi dahulu baginda pernah dihalang oleh orang Quraisy daripada memasuki Kota Mekah, maka kini saya dihalang daripada niat untuk mengerjakan haji di tanah suci itu oleh Qurasy Malaysia," katanya ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di sini hari ini.

Dalam ceramah itu, Nik Aziz berkata, beliau tidak begitu "pelahap" (menagih) tajaan oleh seseorang untuk menunaikan ibadah haji kerana beliau mempunyai wang sendiri, tetapi menerima tawaran itu kerana mahu memenuhi niat orang yang ingin menaja pemergiannya.


"Tapi oleh kerana akhbar geger (bising) sangat, saya tangguhkan dulu niat untuk pergi ke Mekah kali ini," katanya.Bercakap kepada pemberita kemudian, Nik Aziz mengakui ada pihak membiayai perbelanjaannya untuk menunaikan ibadah haji dan beranggapan ia tidak salah selagi tidak melanggar peraturan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya beliau menerima terlalu banyak tawaran daripada pelbagai pihak yang sanggup menanggung perbelanjaannya ke Mekah.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan bahawa SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan yang Menteri Besar Kelantan dan keluarganya mendapat tajaan untuk menunaikan ibadah haji.

Laporan yang memetik sumber itu menyebut bahawa jika ada unsur rasuah dan salah laku dalam kes itu, SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya. BERNAMA

Nizar V'8! Norman Persoal Kenapa KRU Sahaja Didakwa Berhutang Dengan Finas

KETUA pengarah kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim mengaku sedang dalam proses membayar semula pinjaman di bawah Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC) yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Namun begitu, penyanyi dan pelakon itu mempersoalkan kenapa Finas hanya mendakwa KRU sedangkan ramai lagi produser yang dikenalpasti belum melunaskan bayaran mereka dengan perbadanan itu.

"Kenyataan Finas dalam salah sebuah akhbar baru-baru ini yang menyebut KRU sahaja adalah tidak adil. Kenapa tidak memaklumkan majoriti peminjam SPFC yang betul-betul tidak membuat bayaran langsung berbanding KRU yang konsisten membuat bayaran?




"Isunya, saya tidak faham kenapa SPFC yang dibuat oleh KRU yang dikemukakan kepada publik sedangkan kami hanya salah satu daripada beberapa produser yang bertanggungjawab dalam pembayaran semula pinjaman SPFC.

"Saya menyarankan agar penyiasatan dilakukan terhadap Finas dan minta mereka bincangkan dengan semua produser yang belum membuat bayaran semula. Selepas itu, semua orang akan kagum kenapa hanya KRU yang dikaitkan dalam masalah ini," jawab Norman menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dari Los Angeles semalam.




Jelas Norman, KRU sedang dalam proses membayar semula pinjaman untuk filem 'Cicakman 2' secara ansuran mengikut tempoh pinjaman yang ditetapkan.

"Filem 'Cicakman 2' telah ditayangkan pada pertengahan Disember tahun lalu dan kutipan daripada penghutang mengambil masa dalam 12 hingga 18 bulan.

"Bagi filem 'Cicakman 1' dan 'Duyung', jabatan kewangan saya telah mengesahkan penyelesaian penuh semua amaun pinjaman tetapi saya akan periksa dengan bank sama ada betul 10 peratus pinjaman untuk filem 'Duyung' belum dijelaskan apabila saya pulang dari Los Angeles pada Jumaat (hari ini)," tegasnya.




Tambah produser filem 'Jin Notti' ini lagi, "Kami mempunyai rekod yang baik dengan bank SME dan sebab itu kami mempunyai pelbagai kemudahan kewangan dengan bank itu sejak lapan tahun lalu.

"Tidak salah membuat pinjaman untuk dijadikan modal kerja bagi menghasilkan filem dan selepas itu ia mengambil masa 12 hingga 18 bulan untuk mengambil duit kami. Sebab itu SPFC adalah bagus kerana ia menggalakkan produser mengambil masa untuk membuat kutipan.




"Tak kira la berhutang dengan bank ke, kawan ke, abang ke atau sesiapa, asalkan tempoh tamat amaun pinjaman telah selesai dibayar mengikut tempoh perjanjian."

Pada 10 November lalu, Finas mengesahkan KRU masih berhutang dengan perbadanan itu.
Jumlah hutang yang belum diselesaikan itu dirahsiakan oleh Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim.

Nizar V'8! Jais Dakwa Asri 18 Nov, Bukan Hari Ini.


Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin (gambar) yang sebelum ini disebut-sebut akan didakwa pagi ini dijangka hanya akan dihadapkan di mahkamah minggu depan.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah memperoleh tarikh awal iaitu 18 November untuk mengenakaan dakwaan secara rasmi ke atas Asri yang ditahan 1 November lalu kerana
 menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah.

Tarikh itu ditetapkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur selepas Jais memfailkan kertas pertuduhan terhadap Asri pada pukul 11 pagi semalam.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jais, Mohd Hidayat Abd Rani yang dipetik Utusan Malaysia berkata, kertas pertuduhan telah difailkan oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Syukor Abd Hamid.

"Kita jangka dakwaan terhadap Asri dapat dilakukan pada hari itu. Namun segala keputusan dari segi tarikh dan masa adalah tertakluk pada arahan mahkamah," katanya.

Jelas beliau, pihaknya akan menghubungi Asri bila-bila masa untuk memaklumkan perkara tersebut.




Semalam Asri yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, beliau tidak akan hadir di mahkamah.

Difahamkan beliau mahu bertindak demikian bagi mengelakkan kekecewaan yang dialami awal bulan ini.

Pada 2 November lalu iaitu sehari selepas ditahan, beliau terpaksa menanti kira-kira tiga jam di mahkamah tetapi tidak didakwa manakala pasukan pendakwa pula tidak hadir.
Asri berkata, beliau tidak akan berada di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur kerana tidak menerima apa-apa notis ataupun makluman untuk berbuat demikian.

"Saya belum terima sebarang notis (sehingga malam ini). Ini bukan mahkamah rimba," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Laporan media kelmarin menyebut Asri yang ditahan 1 November lalu akan didakwa esok.
Malah Mohd Hidayat juga memberitahu, pasukan pendakwa sedang meneliti kertas tuduhan untuk mendakwa Asri minggu ini.



 Asri akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Bagaimanapun Hidayat memberitahu, Jais akan memohon untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana melibatkan profil tinggi.

Memandangkan mahkamah tidak bersidang Sabtu, kemungkinan Asri akan didakwa esok melainkan ada perubahan terakhir di pihak Jais.



 Kelmarin, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan tindakan JAIS yang menahan bekas Mufti Perlis itu atas alasan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri berkata, tindakan Jais bukan sesuatu yang mencurigakan kerana mana-mana ulama yang ingin memberi ceramah perlu mendapatkan kebenaran dan tauliah Jais.

Nizar V'8! KAFA Didenda RM50.000




Annuar Musa

Denda RM50,000 yang terpaksa dibayar oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ekoran tindakan liar segelintir penyokong pada perlawanan akhir Piala Malaysia bukan jumlah yang kecil sebenarnya.
 
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah tersebut amat besar bagi persatuan yang perjalanan operasinya bergantung kepada wang sumbangan, juga pengorbanan peribadi mereka yang menggerakkan persatuan.

Denda yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu lebih membebankan ketika KAFA masih terbeban dengan hutang lapuk yang bertimbun selain denda keseluruhan yang mencecah suku juta ringgit, tegas Annuar.




‘‘Denda keseluruhan yang kita bayar tidak sepadan dengan jumlah geran RM300,000 yang kita terima dari FAM.

‘‘Perlu diingat KAFA juga membayar levi hampir RM200,000 kepada FAM. Ini bermakna kita ‘memberi’ lebih daripada apa yang kita terima daripada FAM,’’ katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Tambah Annuar, nilai kerosakan keseluruhan di Stadium Nasional Bukit Jalil bukan angkara penyokong Kelantan semata-mata.

“Satu perkara yang kita harus ingat bahawa RM1.2 juta daripada nilai keseluruhan jualan tiket pada perlawanan akhir tempoh hari dijual oleh KAFA kepada peminat Kelantan bagi pihak FAM.



 “Bagi saya, denda RM50,000 ini adalah berat, terutama ketika pasukan perlukan setiap sen untuk mengikat kontrak pemain baru.
‘‘Kita juga tiada pendapatan tiga bulan sementara menanti permulaan musim baru liga 2010,’’ katanya.

Sementara itu, nasib malang yang menimpa skuad bola sepak Kelantan - dihukum gara-gara perbuatan peminat fanatik mereka mengundang rasa simpati rakan-rakan Liga Super yang lain.

Bagi pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof, bukan jumlah denda yang menjadi isu di sini, tetapi sampai bilakah persatuan negeri terpaksa menanggung akibat daripada perbuatan penyokong mereka.




Malah ujarnya lagi, KAFA juga sebenarnya bernasib baik kerana hanya didenda RM50,000 - hukuman yang sangat minimum berbanding digantung penyertaan atau penonton mereka dilarang memasuki stadium.

“Sebenarnya berapa jumlah denda bukan isu utama, yang menjadi persoalan sekarang sampai bilakah persatuan terpaksa menanggung akibat daripada sikap fanatik penyokong mereka, dan apakah yang boleh kita lakukan untuk memastikan perkara ini tidak berulang.
“Dalam kes KAFA, saya sangat bersimpati dengan mereka. Sudahlah persatuan tidak ada wang, kemudian kena denda pula kerana masalah yang bukan ditimbulkan oleh mereka, ia memang sesuatu yang amat malang.

“Masalah ini tidak akan selesai selagi peminat mereka tidak ubah sikap,’’ kata Sheikh Ahmad.

Kata Sheikh Ahmad lagi, sekiranya FAM mengambil tindakan lebih keras seperti mengharamkan peminat Kelantan memasuki stadium, ia hanya merugikan KAFA yang tidak dapat menikmati pendapatan hasil kutipan tiket.

Pandangan yang sama turut dikongsi pengurus pasukan Perlis, Mohd. Noor Aziz, yang menambah perbuatan penyokong Kelantan ini hanya menyusahkan persatuan dan pasukan mereka sendiri.

Katanya, penyokong turut bertanggungjawab dalam menentukan perjalanan pasukan mereka, malah sikap yang terlalu fanatik ini sebenarnya boleh memusnahkan pasukan tanpa disedari.
“Tindakan penyokong Kelantan adalah di luar kawalan KAFA tetapi pada akhirnya mereka yang terpaksa menanggung akibat, saya sangat bersimpati.

“Selain itu, aspek keselamatan stadium juga perlu dipertingkatkan jika mahu kejadian seperti ini tidak berulang,’’ kata Mohd. Noor.



Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Ismail Lasim pula berkata, denda yang dikenakan FAM terhadap KAFA sebenarnya lebih rendah daripada jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung badan bola sepak kebangsaan itu - RM138,150.
Beliau percaya, FAM juga patut mengambil tindakan terhadap penyokong yang menimbulkan masalah.

“Penyokong tidak sepatutnya menyusahkan pasukan mereka, perbuatan seperti ini meninggalkan kesan, apatah lagi bagi negeri seperti Kelantan kerana ini bukan kali pertama mereka dihukum gara-gara perbuatan penonton.

“Sebagai peminat kita sepatutnya memberi sokongan moral kepada pasukan kita, bukannya hanya menambah tekanan dan menyusahkan mereka, mereka patut belajar lebih bertanggungjawab,’’ kata Ismail.

Nizar V'8! Mufti, Ulama Perlu Dapat Kebenaran Untuk Berceramah?

 Para ulama dan mufti perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terlebih dahulu sebelum dibenar menyampaikan ceramah agama ataupun khutbah di negeri ini walaupun mereka menerima pengecualian tauliah JAIS. 



Pengarah JAIS Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata pengecualian tauliah kepada mereka yang ingin mengadakan ceramah atau khutbah di Selangor hanya diberikan kepada golongan tertentu antaranya ulama, mufti negeri, jawatankuasa fatwa, Hakim Mahkamah atau Pendaftar Mahkamah Syariah serta Menteri atau Exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam. 




"Memang ada pengecualian syarat tauliah diberikan kepada individu tertentu tetapi untuk menyampaikan khutbah atau ceramah di Selangor, mereka yang dikecualikan juga perlu mendapatkan kebenaran daripada JAIS, bukannya boleh terus buat begitu saja. 




"Bagi penceramah bebas, mereka tidak tertakluk kepada pengecualian ini dan perlu mendapatkan tauliah daripada JAIS,” katanya ketika ditemui pemberita pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini. - Bernama

Nizar V'8! Raja Petra Dedah Isu Baru Altantuya.



 Semalam sekali lagi pemilik blog Malaysia Today membuat pendedahan besar. Beliau mendedahkan bagaimana P.I Balasubramaniam yang pernah membuat pengakuan bersumpah mengenai keterlibatan Perdana Menteri dan isterinya dalam kes pembunuhan Altantuya.

Shariibuu telah diugut, dibawa ke India dan dibayar RM 50,000 sebulan bagi memastikan kes tersebut ditutup. Klik disini untuk membaca pendedahan Raja Petra yang mesra dengan panggilan RPK.




RPK turut memuatkan salinan cek bagi menguatkan lagi pendedahannya.
Pendedahan ini sudah pasti akan menghidupkan kembali kes ini.

Sejauh manakah kebenarannya?
Selama mana isu ini akan terus hidup?
Kita tunggu dan lihat.

Nizar V'8! Sokong Pakatan Rakyat [Asalkan Bukan Umno].



 Benarkah banyak orang mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008 kerana bukan sangat menyokong PAS, DAP atau KeADILan, tetapi sebab menolak Umno? Maknanya mereka memilih tidak kira siapa asalkan calon pilihan raya itu bukan Umno. Asal bukan Umno atau ABU.

Disebut sebagai asal bukan Umno dan bukannya asal bukan Barisan Nasional kerana kebencian dan kemarahan pengundi, tidak kira Melayu, Cina atau India, pada Umno. Justeru, mereka menyokong PAS, DAP atau KeADILan.

Hakikatnya kejayaan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008 mempunyai banyak faktor. Walaupun terdapat sebahagian pengundi memilih PAS kerana ABU tetapi tentunya tidak semua berbuat demikian.


 Undi Pada Pada PRU-12


Ada banyak yang sememangnya memilih PAS kerana mendokong parti itu, serta program-programnya. Atau fahamannya, atau budaya serta para pemimpinnya.

 Kalau dilihat setiap kawasan pilihan raya, tidak boleh dinafikan bahawa terdapat calon-calon PAS yang jauh lebih baik daripada Umno dan mereka menang.

Dalam hal ini pengundi memilih calon berkenaan dan bukannya parti. Tidaklah pula mereka memilih seseorang asal bukan Umno. Ini kerana calon itu begitu kuat, walaupun katakan seseorang pengundi tidak begitu cenderung untuk menyokong PAS.




 Keputusan PRU-12

 Justeru, dalam memilih calon untuk disokongnya, terdapat banyak faktor yang terlibat. Lain pengundi, lain pula motivasinya. Untuk mengatakan bahawa orang memilih PAS kerana menolak Umno adalah suatu yang simplistik.

Kajian sememangnya boleh dibuat, dan daripada angka-angka itu hendak ditunjukkan bahawa orang muda menolak Umno, dan mereka memilih PAS hanya kerana tidak mahu Umno. Tetapi untuk mengatakannya secara menyeluruh, ia adalah tidak wajar, dan merupakan satu mitos.



 Bagi diri penulis, sebagai pendokong PAS sejak tahun 1982, tentunya tidak pernah timbul mengundi parti Islam dalam pilihan raya 2008 kerana menolak Umno.

Sebagai pendokong, PAS jiwa penulis adalah memihak kepada pembangkang. Tidak kira siapa, asalkan ia menolak Barisan Nasional pimpinan Umno. Adakah penulis mengundi sepanjang hidup ini kerana asalkan bukan Umno?

 Dalam pilihan raya tahun 1982, di kawasam penulis, yang bertanding ialah DAP, yang dilawan MCA. Penulis sebagai pendokong PAS, iaitu pembangkang memilih DAP. Pada zaman di mana PAS dan DAP menentang dengan keras pada satu sama lain. Semasa itu orang belum terfikir tentang Barisan Alternatif apatah lagi Pakatan Rakyat.


 Dari satu segi, sememangnya penulis memilih DAP kerana asalkan bukan BN kerana dokongan adalah pada pihak pembangkang. PAS pula adalah pembangkang. Kawasan itu terus dipegang oleh DAP termasuk dalam pilihan raya umum lalu.

 Pada pilihan raya umum 1986, penulis berpindah kawasan. Di kawasan penulis, yang bertanding adalah PAS lawan Umno. Itu mudah kerana penulis memilih PAS, walaupun kalah di kawasan itu. Pada tahun 1990 dan 1995, PAS terus bertanding menentang Umno. Penulis tetap mengundi untuk PAS. Tetapi PAS terus kalah di kawasan itu. Tetapi undi bertambah setiap kali pilihan raya umum pada tahun 1999 dan 2004.




Tetapi pada tahun 2008, buat pertama kali PAS mengalahkan Umno. Adakah pengundi memilih PAS hanya kerana asal bukan Umno? Sedangkan jelas setiap kali pilihan raya umum, undi bagi PAS terus bertambah.

 Pada tahun-tahun itu, penulis sudah berpindah kawasan. Di kawasan baru ini, dalam pilihan raya umum tahun 1999 dan 2004, PAS bertanding menentang Umno di kawasan Dewan Undangan Negeri dan KeADILan di kerusi Parlimen. Seperti biasa penulis memilih PAS dan KeADILan.

Penulis memilih KeADILan bukan kerana ia sekutu PAS. Parti itu dipilih kerana ia adalah pembangkang. Katakan KeADILan memusuhi PAS, penulis tetap memilih KeADILan. Begitu juga kalau DAP yang bertanding. Penulis mengundi DAP. Iaitu kalau PAS tidak bertanding.

 Pada tahun 1999, buat pertama kalinya PAS dan KeADILan menang di kawasan-kawasan itu. Dalam pilihan raya tahun 2004, penulis sekali lagi memilih PAS dan KeADILan di kawasan itu. Tetapi kali ini Umno menang untuk kedua-dua kerusi. Namun pada tahun 2008, PAS dan KeADILan menang semula.

 Dalam pilihan raya kali ini, anak sulung penulis sudah boleh mengundi. Dia memilih PAS dan KeADILan. Sebab apa? Dia berasa bahawa BN dan Umno sudah tidak wajar diberikan sokongan. Kalau DAP yang bertanding, adakah dia menyokong? Katanya, dia memihak kepada pembangkang. Dan sekarang kepada Pakatan Rakyat. Kalau Parti Sosialis Malaysia (PSM) bertanding? Dia memilih parti itu. Adakah pemilihannya kerana asal bukan  Umno atau asal bukan BN?





Bagi dia, tidak. Sememangnya dia menolak Umno dan BN. Tetapi dia memilih Pakatan Rakyat bukannya kerana menolak BN. Sememangnya dia menyokong Pakatan Rakyat. Tetapi bukannya PAS, DAP atau KeADILan. Malah bukan kerana pembangkang pun.

 Dia memilih PAS, DAP dan KeADILan kerana fahaman parti-parti itu yang segar, bersih dan bebas, walaupun banyak masalah. Apabila Pakatan Rakyat ditubuhkan, dia gembira kerana akhirnya ketiga-tiga parti itu menyerlahkan fahaman bersama. Baginya ia berbeza daripada BN. Generasi muda sememangnya memilih Pakatan Rakyat, dan bukannya asal bukan Umno.

Oleh ABU FIRDAUS

Nizar V'8! Kapal PKR Kian Goncang-Analisis.



 KADANG-KADANG pelik betul dunia politik di Malaysia, bila timbul sesuatu masalah dalaman sesebuah parti politik terutamanya pihak pembangkang, cepat betul keluar kenyataan pemimpin tertinggi parti yang mengatakan masalah itu telah berjaya diselesaikan.

Tatkala tengah panas dengan pelbagai kenyataan dari banyak pihak, keluarlah kenyataan-kenyataan klise seperti 'sesuatu yang unik dalam parti ialah kita berjaya selesaikan perselisihan faham dikalangan ahli secara baik, semua pihak berhak kemukakan pandangan dalam parti'.

Tapi pada hakikatnya timbul persoalan berhubung kesahihan perkara berkenaan kerana mana mungkin ledakan sesuatu isu itu berjaya diselesaikan sekelip mata.


Terbaru, konflik dalaman yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mencabar Naib Presiden parti, R. Sivarasa supaya meletak jawatan.

Malah Zulkifli juga mencabar Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang supaya bertanding satu lawan satu dengannya bagi jawatan itu untuk membuktikan siapakah di antara mereka berdua paling relevan kepada parti dan ahli.

Tindakan cabar-mencabar itu ekoran kenyataan Sivarasa dalam akhbar The Star yang dipetik sebagai berkata: "Amaran Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada ahli PKR supaya keluar parti dan menyertai Umno ditujukan kepada orang seperti Zulkifli, akibat tindak tanduknya yang tidak selaras dengan dasar parti."

Nampaknya goncangan yang berlaku dalam kapal PKR yang dinakhodakan oleh Anwar sebagai penasihat parti bukan lagi rahsia tertutup yang boleh dilindung.



 Satu demi satu pendedahan terdedah di depan mata, bermula dengan pengumuman 'cuti politik' oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim selama enam bulan berkuatkuasa serta merta selepas Anwar dikatakan menghalangnya daripada menghadiri program parti itu di Sabah.

Kes Zaid ini secara tak langsung mengheret seorang lagi Naib Presiden PKR, Azmin Ali berhubung konflik kepimpinan yang melanda PKR Sabah.


Belum sempat habis isu kepimpinan ini selesai, goncangan terus melanda PKR apabila Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan anggota majlis tertinggi dan biro politik.

Dalam masa kurang 24 jam selepas Dr Jeffrey mengumumkan pendiriannya, Ketua Bahagian Kota Kinabalu Christina Liew pula mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota majlis tertinggi parti.

Badai sekali lagi melanda PKR apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah bertindak keluar daripada PKR setelah tidak lagi menyokong prinsip serta amalan dalam parti pembangkang itu yang didakwa 'menganaktirikan' beliau sebagai wakil rakyat berbanding ADUN-ADUN lain di Selangor.


Bagi kes Dr Jeffrey, Christina dan Badrul, ketiga-tiga mereka menyatakan telah hilang sokongan terhadap PKR yang diterajui '3A' iaitu Anwar; Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin.

Berbalik kepada kes terbaru yang melibatkan Zulkifli dan Sivarasa, secara tidak langsung perbalahan mereka telah membuka satu lagi pekung dalam parti itu.

Sekali pandang nampak macam wujud tiga 'kem' dikalangan 30 Ahli Parlimen PKR.
Kem pertama ialah yang teguh berdiri di belakang Anwar seperti Azizah, Azmin, Nurul Izzah, Sivarasa dan Pengarah Pilihan Raya, Saifuddin Nasution.




Kumpulan ini juga cukup berpegang teguh kepada polisi parti itu.
Kem kedua ialah yang berada di belakang Zulkifli, seperti Datuk Zahrin Mohd Hashim (Bayan Baru), Wee Choo Keong (Wangsa Maju), Datuk Kamarul Bahrin Abbas (Teluk Kemang), Abdullah Sani Abd Hamid (Kuala Langat), Mohd Yusmadi Yusof (Balik Pulau), Azan Ismail (Indera Mahkota) serta Abd Aziz Abd Kadir (Ketereh).

Selain mereka ialah S. Manikavasagam (Kampar), Loh Gwo Burne (Kelana Jaya) dan Datuk Rashid Din Zainudin (Merbok).

Manakala kem ketiga ialah kelompok yang memilih jalan selamat dengan menyatakan pendirian berkecuali seperti Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan) dan Datuk Johari Abdul (Sungai Petani).


Namun walau apa jua pendirian mereka, gambaran yang ditunjukkan kepada umum ialah PKR sememangnya parti yang mempunyai masalah dari segi kempimpinannya.

Kapal yang berlayar gah selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, nampaknya telah mula hilang arah selepas satu demi satu anak kapalnya mula 'buat hal' dengan sikap masing-masing.
Apa yang sebenarnya berlaku dalam parti itu mungkin sukar ditelaah pada masa ini.

Tapi yang pasti memang berlaku goncangan yang cukup hebat dalam kapal PKR dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

Jika tidak, takut nanti kapal yang dibina atas simbul keadilan itu karam sebelum cita-cita politik mereka berjaya direalisasikan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails