Geng Aku

Sabtu, 20 Mac 2010

Zizan, Fazilah Selamat Diijab Kabul.


ZIZAN dan Fazilah Hani (kiri) ceria selepas majlis akad nikah yang diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur semalam.


Pelakon popular, Zizan Nin, 36, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya yang merupakan wartawan penyiaran dan penyampai berita Bahasa Malaysia Edisi 7 saluran ntv7, Fazilah Hani Harun di Masjid Negara di sini semalam.

Dengan mas kahwin RM651, Zizan yang terkenal menerusi drama Saka sah menjadi suami Fazilah Hani dengan hanya sekali lafaz.

SPR Umum Kata Putus Pilihan Raya PBT Selasa Ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan pendiriannya Selasa ini berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang hendak diadakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat.

SPR akan mengadakan mesyuarat terakhir Isnin ini sebelum mengumumkan keputusannya pada keesokan hari.

“Sebenarnya kami (panel SPR) sudah membincangkan permintaan Pulau Pinang dan Selangor Selasa lalu dan cuma pada Isnin ini kami akan membuat penelitian terakhir berhubung kenyataan yang akan dibuat, selewat-lewatnya Selasa minggu depan,” kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Perbincangan panel SPR di ibu negara Selasa lalu berlandaskan laporan yang dikemukakan penasihat perundangan.

“Keputusan yang kami akan buat, umumkan adalah berlandaskan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan... tidak berkaitan dengan aspek-aspek lain... kami mahu keputusan yang bakal dibuat itu tepat, sempurna dari segi lunas perundangan,” katanya.
Selain itu tambah beliau, perkara tersebut perlu diteliti dengan mendalam memandangkan permintaan Pulau Pinang dan Selangor agak berlainan walaupun menyentuh perkara yang sama.


“Pulau Pinang mahu memberi kuasa kepada kami (SPR) mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan manakala Selangor mahu kami mengkaji sama ada boleh mengadakan pilihan raya (kerajaan tempatan).

“Jadi ini melibatkan soal perundangan dan perlu diteliti secara mendalam,” katanya.
Kedua-dua negeri itu baru-baru ini meminta agar SPR mengadakan perbincangan dengan mereka sebelum membuat keputusan terakhir.

Selasa lalu Abdul Aziz berkata, kajian teliti perlu dilakukan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berkaitan sebelum menjawab dua surat yang diterima daripada kedua-dua kerajaan negeri tersebut.

Katanya langkah itu bagi memastikan jawapan yang akan diberikan kepada mereka tepat dan betul dan mereka benar-benar faham mengenai kedudukan perkara itu pada masa ini.

“Kita akan hantar surat jawapan kepada kerajaan negeri itu terlebih dahulu sebelum mengumumkan pendirian SPR selewat-selewatnya minggu depan,” katanya.

Abdul Aziz juga berkata sebagai badan bebas dan profesional, SPR tidak terikat dengan sesiapa sama ada pendapat Perdana Menteri, pihak pembangkang atau sesiapa sahaja dalam memutuskan perkara itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menulis surat kepada Pengerusi SPR pada 8 Mac lalu dengan memberi kuasa kepada mereka untuk mengadakan pilihan raya PBT.

Isnin lalu kerajaan Selangor meminta SPR mengkaji peraturan dan memberi pandangan mengenai tindakan mengadakan pilihan raya PBT di negeri itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata pilihan raya PBT yang sudah dimansuhkan sejak sekian lama itu tidak perlu diwujudkan semula.
Katanya proses pemilihan ahli majlis PBT tidak semestinya menjamin mutu perkhidmatan PBT yang lebih baik.

Pejabat Sultan Pertikai Kesahihan Kenyataan Wan Hashim.


Pejabat Sultan Kelantan hari ini mempertikai kesahihan kenyataan yang dikeluarkan semalam berhubung titah Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra mengenai sambutan Hari Keputeraan Baginda ke-60 pada 30 dan 31 Mac nanti.

Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad Abdul Halim berkata kesahihan kenyataan itu dipertikaikan kerana pihak Istana tidak dimaklumkan mengenai pelantikan Datuk Wan Hashim Wan Daud sebagai Setiausaha Sulit Baginda dan tiada pelantikan jawatan itu dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).

"Sepanjang pengetahuan pejabat Sultan jawatan Setiausaha Sulit kepada Sultan itu masih kosong," katanya kepada pemberita pada sidang media di Istana Balai Besar, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) Kelantan, Datuk Ismail Mohd Noor dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan (Pengurusan) Shafie Ismail.

Dalam kenyataan pengisytiharan yang dibaca oleh Wan Hashim semalam, beliau berkata, baginda menitahkan bahawa semua acara sempena Perayaan Hari Keputeraan baginda ke-60 pada tahun ini tidak diadakan kecuali majlis solat hajat dan doa selamat sahaja yang melibatkan seluruh rakyat jelata setiap masjid di negeri ini.

Kenyataan itu juga menyebut, Sultan Kelantan sama sekali tidak memperkenankan pengurniaan gelaran Kebesaran serta pingat-pingat kemuliaan di bawah perkara 43, Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan.

Abdul Halim berkata kenyataan yang dikeluarkan Wan Hashim di dalam media adalah mengelirukan dan tidak benar kerana Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra yang dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan oleh Majlis Perajaan Negeri pada 24 Mei tahun lalu mempunyai kuasa untuk menentukan pelantikan jawatan itu.

"Untuk makluman, segala urusan Diraja diuruskan oleh Pejabat Sultan Kelantan yang sentiasa patuh dan taat setia kepada Sultan dan Pemangku Raja. Pejabat ini juga tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang telah digariskan pihak kerajaan," katanya.

Ditanya mengenai sambutan hari keputeraan baginda, Abdul Halim berkata majlis sambutan akan dipenuhi dengan acara keagamaan seperti solat hajat dan doa selamat, manakala acara pengurniaan darjat dan pingat bergantung kepada keputusan Pemangku Raja.

Susulan kenyataan Wan Hashim itu, dua laporan polis telah dibuat Pejabat Istana Kelantan terhadap Wan Hashim kerana penyamaran dan penggunaan kepala surat Pejabat Sultan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Laporan itu dibuat oleh Abdul Halim dan seorang pegawai Pejabat Sultan Kelantan, Mohamed Safaruddin Ismail di Ibu Pejabata Polis Daerah Kota Baharu hari ini.

Satu lagi laporan dibuat oleh pegawai Pejabat Sultan Kelantan, Tuan Saharizam Tuan Hamzah, terhadap seorang penulis blog yang dikenali sebagai Kickdefella berhubung sesi ramah mesra antara Abdul Halim dengan wakil media di Hotel Sutera Inn yang didakwa telah disalahertikan di laman blog itu dan menganggap laporan laman blog itu cuba mengelirukan rakyat dan mempunyai unsur-unsur fitnah dan tidak berasas. - BERNAMA

Penangan No Plat.


Nombor plat kenderaan TAY 1 yang dikeluarkan di Terengganu dibeli dengan harga RM220,000, mengatasi harga plat TAN 1 sebelum ini yang bernilai RM200,090.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata harga tersebut diperolehi setelah enam pembeli membuat bidaan sejak tender dibuka dari 2 hingga 22 Feb lalu.

"Harga paling tinggi yang kita terima ialah bagi TAY 1 iaitu RM220,000, diikuti TAY 8 sebanyak RM62,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata notis kepada mereka yang berjaya membida akan dikeluarkan tidak lama lagi, tanpa mahu mendedahkan identiti pembeli.

Menurutnya, sepanjang tempoh tender, JPJ Terengganu menerima 1,119 bidaan daripada 534 pembida yang ingin mendapatkan nombor pendaftaran di bawah siri TAY.

Selain TAY 1 dan TAN 1, nombor pendaftaran TAX 1 sebelum ini mencatat harga jualan RM165,000. - BERNAMA

Kerajaan Dicabar Pamer Perjanjian Royalti Minyak.


Penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim mencabar kerajaan mempamerkan perjanjian royalti minyak antara Petronas dan kerajaan-kerajaan negeri kepada umum supaya rakyat dapat menilainya sendiri.

“Tuan-tuan pernah lihat perjanjian tersebut? Kenapa perjanjian tiga mukasurat itu tidak boleh dipamerkan kepada umum? Kenapa? Kerana mereka hendak tipu,” katanya.


Isu pemberian royalti minyak kepada Kelantan hangat kembali baru-baru ini apabila dua gabungan NGO daripada Kelantan dan Terengganu mahu menyerahkan memorandum tuntutan mereka kepada Yang di-Pertuan Agung hari ini.

Bagaimanapun, perhimpunan yang dijangka menghimpun ribuan rakyat daripada kedua-dua negeri di lapangan terbang Kuala Terengganu pagi ini terpaksa dibatalkan atas arahan polis.

Bercakap dalam seminar kepimpinan anak muda anjuran kerajaan Selangor di Petaling Jaya, Zaid berkata perjanjian royalti minyak antara kerajaan negeri dan Petronas jelas menggariskan pembahagian yang berhak diterima pihak masing-masing.

“Ia tidak ada sebut tentang jarak berapa batu nautika (yang dipertikaikan kerajaan persekutuan). Ia kata, aku dapat seringgit, engkau (kerajaan negeri) dapat lima sen,” katanya dengan analogi menarik.

'PERKASA, Siapa hendak rampas hak Melayu'

Sementara itu, ketika mengulas isu kepimpinan pada abad ini, Zaid mengambil peluang mengkritik Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang didakwanya sengaja menakut-nakutkan orang Melayu.


Beliau mempersoalkan kepada NGO pimpinan ahli parlimen Pasir Mas Ibrahim Ali itu berulang kali menyebut kebimbangan terhadap hak-hak keistimewaan orang Melayu seperti yang diperuntukan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam wawancara Ibrahim dengan Malaysiakini, beliau berkata kita mesti pertahankan hak-hak dalam Perkara 153. Saya pun Melayu. Siapa yang hendak ambil hak kita yang dia cakap sangat itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kira-kira 900 peserta perhimpunan kongres tersebut - kesemuanya berumur bawah 35 tahun - supaya tidak terikut-ikut dengan “ketakutan yang sengaja direka oleh orang politik”.

“Di Malaysia ini bumiputera (jumlahnya) besar. Di Sabah dan Sarawak, Iban sahaja sudah 60 peratus. Itu belum campur Melanau. Mustahil hak kita akan diambil oleh sesiapun,” katanya kepada peserta yang kebanyakannya berbangsa Melayu.

Zahrain Pembohong Besar.

Satu pembohongan yang besar.

Itulah reaksi Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Parti Sabah Maju (SAPP) berhubung dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Hashim mengenai beberapa nama ahli Parlimen dari Sabah yang didakwa terlibat dengan rancangan pembangkang untuk mengambil alih Kerajaan Pusat pada 16 September 2008.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata, Zahrain cuba mencari publisiti murahan dengan dakwaan sedemikian.

“Saya tidak pernah bertemu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini semua satu pembohongan,” kata Bung Mokhtar ketika diminta mengulas dakwaan Zahrain bahawa dia (Bung Mokhtar) antara Ahli Parlimen BN yang dinamakan dalam rancangan berkenaan di sini hari ini.

Katanya, wakil rakyat yang dipilih mempunyai tanggungjawab untuk memberi khidmat kepada pengundi dan bukannya melaksanakan agenda peribadi Ketua Pembangkang.

"Jangan sesuka dakwa kita boleh lompat parti," katanya.

Semalam, Zahrain yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang mendedahkan nama lapan Ahli Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti ke PKR bagi menjayakan rancangan pembangkang itu.


Sementara itu, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Dr Chua Soon Bui pula menegaskan beliau tidak pernah bermimpi dan berbincang untuk menyertai Pakatan Rakyat.

“Tidak ada satu pun yang benar dalam apa yang diperkatakannya dan dia berbohong dalam Parlimen. Ini satu perbuatan yang memalukan kepada pengundi terutamanya di Sabah dan Malaysia amnya.

“Saya dan Datuk Eric Enchin Majimbun tidak pernah bermimpi dan berbincang untuk menyertai Pakatan Rakyat pada 16 September 2008,” katanya dalam kepada mStar Online hari ini.

Soon Bui berkata, perkara tersebut berlaku kerana Zahrain sangat obses dengan kepentingan peribadi.

“Zahrain mungkin lupa kepada sejarah SAPP dan kepentingan rakyat Sabah. Kami keluar BN kerana hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Sehingga hari ini kami masih kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas dan SAPP tidak menyertai PR atau mana-mana parti. Bagi saya, dia tidak layak untuk bercakap bagi pihak wakil rakyat Sabah yang lain,” katanya.


Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Ghapur Salleh pula berkata beliau akan menerangkan sendiri dakwaan Zahrain ketika membahaskan titah diraja pada 22 atau 23 Mac ini.

“Zahrain patut dedahkan senarai sebenar Ahli Parlimen BN keluar parti, bukan buat tuduhan tidak berasas,” katanya.


Sementara itu, di KOTA BHARU, Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan dakwaan berkenaan.

"Saya tak mahu komen pasal ini, 48 tahun saya bersama Umno. Apa yang didakwa itu sebagai satu cerita dongeng," katanya.

Tengku Razaleigh berkata, jika dakwaan itu benar, beliau kini pasti sudah memegang satu jawatan besar dalam PKR yang dipimpin oleh Anwar.

Beliau berkata disebabkan dakwaan itu ibarat sebuah cerita yang direka mengikut fantasi pembangkang, beliau tidak mahu membuat sebarang komen terhadap dakwaan yang tidak betul itu.

Beliau turut menafikan didatangi pihak berkenaan agar keluar BN bagi membolehkan pembangkang membentuk kerajaan Persekutuan kira-kira tujuh bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Antara nama yang disebut ialah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; Dr Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat); Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar (Jerantut). Salah seorang daripada Timbalan Speaker juga tersenarai dan dikatakan akan melompat menyertai pembangkang.

Rakyat Malaysia Ditipu Lagi.



APCO KEMPEN SATU MALAYSIA



APCO KEMPEN SATU ISREAL

Nik Aziz Selar Pemimpin Politik Buka Pekung Sendiri Bila Keluar Parti.


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar tindakan sesetengah pemimpin politik yang mendedahkan keburukan pemimpin lain atau ketuanya di khalayak umum apabila keluar parti.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, sepatutnya jika anggota parti yang tidak suka kepada pemimpinnya, ia boleh diselesaikan di peringkat dalaman mengikut prosedur dalam sesebuah pertubuhan, sama ada melalui mesyuarat agung atau sebagainya.

"Mendedahkan keburukan bekas pemimpin kepada orang lain di khalayak umum perbuatan tidak berakhlak dan tidak bertamaddun," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramahnya di Dataran Ilmu, di sini, Jumaat.

Nik Aziz diminta mengulas tindakan Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mendedahkan kepincangan dalam Parti Pakatan Rakyat (PKR), membabitkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila keluar dari parti itu dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Terbaru, Zahrain mendedahkan nama lapan anggota Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti ke PKR bagi menjayakan rancangan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan pusat pada 16 Sept 2008.

Nik Abdul Aziz berkata masyarakat bukan Islam akan memerhatikan bagaimana buruknya politik orang Melayu apabila bertelagah sesama sendiri.

Beliau mahu rakyat mencontohi cara berpolitik pemimpin MCA kerana mereka memlilih dan menjatuhkan seseorang pemimpin melalui pemilihan di peringkat dalaman parti.

Nik Aziz berkata, anggota parti mempunyai saluran tertentu untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin yang mereka tidak suka dan bukan cara mendedahkan keaiban pemimpin itu di khalayak umum.

"Ini cara tidak kena dan peluang masih terbuka untuk pihak yang melakukan perbuatan itu kembali ke pangkal jalan untuk bertaubat daripada melakukan kesalahan itu," katanya.

Mengenai kenyataannya dalam ceramahnya sebelum itu yang mengajak rakyat Kelantan beramai-ramai menyertai perarakan di Terengganu esok anjuran badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyerahkan memorandum tuntutan royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nik Aziz berkata beliau tidak dapat hadir ke majlis itu kerana ada urusan lain.

Menurutnya, rombongan Kelantan ke majlis itu akan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa.

Parlimen UK Desak Henti Tekanan Terhadap Anwar


Ahli-ahli Parlimen United Kingdom mengemukakan usul mendesak kerajaan Malaysia menghentikan tindakan menekan pihak pembangkang di negara ini dengan cara menggunakan mahkamah dan instrumen keselamatan lain.

Sehubungan itu, mereka mahu pertuduhan yang tidak mengikut peraturan dan piawaian keadilan antarabangsa terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan. 

Dalam usul awal yang dibentangkan oleh Jeremy corbyn dan ditandatangani 15 wakil rakyat Britain lain, Anwar dianggap sebagai pejuang demokrasi di Malaysia dan aktivis keamanan di kalangan dunia Islam dan Barat.

Beliau berkata, ahli-ahli parlimen Britain amat gusar terhadap pertuduhan terhadap Anwar yang tidak mengikut amalan keadilan antarabangsa.

Ini, kata beliau mengingatkan dunia pada kes pertuduhan pertama terhadap anwar pada 1998 yang dikecam hebat oleh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa.

Corbyn berkata, ahli-ahli parlimen United Kingdom juga membuat desakan itu setelah mengambil kira gesaan sama yang dibuat Amnesty Antarabangsa dan Pemerhati  Hak Asasi Manusia serta pemimpin terkemuka Komanwel.

Sebelum ini, pemimpin Kanada, Paul Martin dan ahli parlimen Australia serta 59 wakil rakyat lain negara itu mendesak kerajaan Malaysia menggugurkan pertuduhan terhadap Anwar.

Mereka juga mahu kerajaan Malaysia menghentikan pelbagai tekanan yang dikenakan ke atas pihak pembangkang.

Umno BN Takut Kalah Walaupun Undi Pengundi Muda Masih Misteri.


Pakatan Rakyat menegaskan pendaftaran pengundi automatik perlu dipraktik segera walaupun tiada jaminan pengundi muda memihak calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya akan datang.

Pada masa ini, lebih 4.38 juta daripada 15.4 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas belum mendaftar dan fakta ini diakui Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf.

Sebaliknya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menolak cadangan yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya SPR membuat pendaftaran automatik kepada rakyat berusia 21 tahun.


Mengulas hal itu, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke [Gambar] menyifatkan kenyataan Nazri itu semata-mata berasaskan kebimbangan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) terhadap  ‘kuasa’ pengundi muda. 

“Tetapi nampaknya, ini tidak diingini oleh BN dan kita tahu bahawa mereka bimbang kalau pengundi muda terlalu ramai, maka ini akan menggugat kedudukan politik mereka," katanya.

Beliau menyatakan  pengundi muda masa kini memiliki lebih maklumat berbanding pengundi lain berikutan pendedahan mereka lebih luas dan kecenderungan politik mereka sukar dijangka.

“Saya mengambil pendirian, kita jangan terlalu confident (yakin). Yang kita pasti ialah pengundi muda lebih kritikal dan boleh membuat analisis sebab saluran maklumatnya lebih menyeluruh," katanya.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kepada Yusof Qaradawi Tiada Ertinya.


Tiada ertinya kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) menobatkan Dr Sheikh Yusof al-Qardawi sebagai Tokoh Maal Hijrah sedangkan fatwa ulama tersohor itu dibakulsampahkan.

Pengerusi Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Muhammad Nur Manuty senada dengan pimpinan Pakatan Rakyat, mencabar kerajaan menarik balik anugerah berkenaan daripada Pengerusi Ulama Sedunia itu.

Beliau juga kesal kerana kerajaan Umno BN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak peduli terhadap fatwa yang menyebelahi Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertuduhan kes konspirasi kedua.

“Kalau mereka sendiri menobatkan Yusof Qardawi sebagai Tokoh Maal Hijrah kerana kewibawaan ilmunya tapi pada masa yang sama Yusof Qardawi prihatin dan mahu Anwar dibela menerusi prosedur qazaf, malangnya  ia tidak diberi perhatian oleh pihak berwajib termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Agama sendiri.

"Maka, memang munasabah cadangan untuk ditarik balik gelaran berkenaan,” katanya kepada TV Selangor.

Yusof Qaraqawi sebelum ini mengeluarkan fatwa, sesiapa yang merancang dalam fitnah tersebut, sama ada secara langsung atau tidak maka hukumnya adalah munafik; sesiapa yang membantu menyebarkan berita fitnah tersebut, maka jatuh hukumnya sebagai fasik.

Terdahulu, kerajaan Umno BN dilihat cuba melengah-lengahkan permohonan qazaf yang difailkan Anwar terhadap Saiful Bukhari Azlan walaupun mendakwa memartabatkan sistem perundangan syariah.

Dr Muhammad Manuty menyifatkan keengganan kerajaan Umno BN mempercepat kes qazaf terhadap Saiful mencerminkan ketidakikhlasan kerajaan dalam memartabatkan perundangan syariah Islam.

“Dalam kes Anwar mahupun Kartika Sari lebih bermotif politik daripada kejujuran, keikhlasan untuk menobatkan syariah,” katanya membuat kesimpulan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails