Geng Aku

Sabtu, 5 Disember 2009

Himpunan Sokong Nik Aziz, Signal Rakyat Kelantan Buat Umno

Perhimpunan lebih 10,000 penyokong Mursyidul Am PAS Tok Guru Datuki Nik Abdul Aziz Nik Mat dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat Kelantan yang berlangsung di Medan Ilmu di sini pagi ini merupakan satu signal ditunjukkan rakyat negeri ini kepada Umno-BN.



Rakyat di negeri ini mahu menunjukkan bahawa selagi Nik Abdul Aziz Nik menerajui kepimpinan dan pemerintahan negeri Kelantan maka selagi itulah Umno tidak boleh menawan negeri ini .

Exco Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPNK) Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman berkata momentum itu perlu diteruskan dalam usaha melebarkan kebangkitan ini ke seluruh Malaysia.

“Momentum ini perlu diteruskan terutama ketika seluruh struktur organisasi politik Umno dan Barisan Nasional (BN) kini sedang menghadapi keruntuhan apabila berlaku kemelut dalam parti komponen BN seperti MCA, MIC dan PPP,” katanya kepada media ketika ditemui pada perhimpunan rakyat di Medan Ilmu di sini semalam.

Serentak dengan itu, beliau bersetuju dengan cadangan supaya Pakatan Rakyat Malaysia yang kini dalam proses pendaftaran diketuai Nik Aziz sebagai Pengerusinya.

“Menteri Besar Kelantan perlu menjadi pemimpin kepada Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Malaysia), dan jika perkara ini terbentuk, ia akan menjadi ketumbukan yang kuat bagi melawan BN yang kini sudah lemah.

“Jadi kalau dibentuk satu Pakatan Rakayat yang kuat di mana Tok Guru Menteri Besar menjadi Pengerusi atau pun ketuanya bersama sahabat yang lain dalam Pakatan, insya Allah satu pasukan yang kuat dapat dibentuk bagi mencapai kesejahteraan yang baik untuk rakyat Malaysia umumnya,” katanya.

Mengulas perhimpunan hari ini, beliau berkata ianya menggambarkan demontrasi yang begitu hebat.  

“Saya selaku aktivis pemuda, belum lagi tengok satu demontrasi yang diadakan begitu hebat, yang mana kita sama-sama menyokong kepimpinan Tok Guru Menteri Besar.

“Dan kita mendoakan supaya Tok Guru Menteri Besar terus diberi kesihatan yang baik, kebijaksanaan dan kekuatan fizikal, mental dan spiritual untuk terus memerintah Kelantan,” katanya.

Mengulas gesaan Umno-BN supaya Menteri Besar Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat meletak jawatan, beliau berkata sepatutnya Najib lah yang sepatutnya meletakkan jawatan.

“Yang sepatutnya meletak jawatan ialah Najib dan bukan Tok Guru Menteri Besar.

“Ini memandangkan pengkhianatan yang dilakukan Najib terhadap pemberian royalti minyak kepada Kelantan.  

“Semenangnya Najib yang sepatutnya meletakkan jawatan.  Ini kerana kita semua tahu bahawa perjanjian di antara Kerajaan Negeri dengan Petronas telah pun termeterai sejak 1974.

“Jadi oleh kerana perjanjian ini tidak dipenuhi, tidak dipatuhi mengikut saluran undang-undang, jadi dialah yang sepatutnya meletakkan jawatan dan bukan Tok Guru.

“Kita adalah rakyat Kelantan, royalti minyak itu hak rakyat Kelantan, kita patut menuntut hak kita.  Islam pun menuntut (supaya) kita menuntut hak kita dan kita akan teruskan usaha ini sehingga kita dapat royalty, insya Allah,” tegasnya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

“Jadi kalau berlaku lagi gerakan meminta supaya Tok Guru meletakkan jawatan, insya Allah seluruh ‘massa’, setiap peringkat dari semua kaum akan bangun menentang gerakan ini, dan difahamkan bahawa gerakan ini akan diteruskan di seluruh negeri dan negara,” katanya.

Mengenai pengorbanannya meletakkan jawatan yang disandangnya (sebagai CEO PMBK) dianggap pengorbanan yang suci yang wajar dicontohi pegawai dan anggota kerajaan yang lain,  beliau memberitahu bahawa beliau meletak jawatan itu adalah atas nasihat Tok Guru dan pimpinan PAS Pusat.





“Dan perletakan jawatan ini akan ‘memutihkan’ unsur-unsur yang membolehkan Umno-BN membuat tuduhan terhadap amalan kronisma.  Pun perlantikan saya, saya melihat bahawa atas kepercayaan Tok Guru dan juga apa yang telah saya lakukan selama satu tahun setengah dan sepanjang saya berada di PMBK selama lapan tahun, bahawa saya fikir saya telah banyak menyumbang kepada Islam itu sendiri dan Kerajaan Negeri.

“Jadi pada hemat saya, perletakan jawatan saya merupakan satu pengorbanan, di atas nasihat pimpinan, dan saya kira dengan perletakan jawatan ini, saya harap dapat memadamkan unsur-unsur yang boleh memberi ruang melakukan fitnah oleh Umno-BN.

“Namun saya tidak akan berhenti di sini, saya akan terus menyumbang untuk kesejahteraan rakyat Kelantan, parti PAS dan jamaah Islam,” katanya yang juga menantu Meneri Besar.

Isu Ariffahmi CEO PMBK menjadi kontoversi apabila ada dakwaan menjadikan imej PAS tercalar dan memburukkan imej mertuanya Mursyidul Am PAS yang juja Menteri Besar Kelantan.

Namun kini beliau berkorban untuk parti PAS dan jamaah Islam dengan melepaskan jawatannya setelah dikatikan dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam PMBK, manakala Mursyidul Am PAS Dato’ Nik Abdul Aziz sendiri menunjukkan sikap tegas apabila berdepan dengan isu Ariffahmi menantunya demi menjaga survival Islam dan PAS khususnya.

Dalam menghadapi isunya yang kontroversi itu, Ariffahmi pada 23 November lalu pada sidang medianya menegaskan bahawa beliau akan sentiasa patuh kepada pucuk pimpinan dan akur dengan nasihat Menteri Besar.

Dan menerusi siaran medianya semalam, beliau setelah berbincang dengan Menteri Besar dan pengurusan PMBK memaklumkan bahawa beliau memberi notis perletakan jawatan pada 24 Disember 2009.

“Saya perlu memberi notis 90 hari dan ini bermakna tarikh akhir saya akan berada di pejabat ialah pada 23 Mac 2010,” katanya.

Dr Mohd Asri Cadang Kembang Dakwah Hingga Ke Pusat Hiburan



Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhasrat mengembangkan kegiatan dakwahnya sehingga ke pusat-pusat hiburan namun larangan Jabatan Agama Islam Selangar (JAIs) terhadapnya menghalang usaha itu.


Katanya beliau bercadang memulakan usaha itu di Selangor kerana terdapat banyak pusat hiburan di negeri itu dikunjungi oleh golongan Melayu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan motivasi sempena hari keluarga RTM Perlis di Tasoh Lake Resort & Retreat di sini hari ini, beliau berkata pada masa ini tumpuan ceramah oleh pendakwah hanya pada majlis rasmi dan tempat beribadat.

"Sepatutnya mereka juga memasuki pusat-pusat hiburan untuk menyedarkan golongan Melayu sedikit demi sedikit tentang kefahaman Islam sebenar," kata bekas mufti yang mencetuskan kontroversi di Selangor.



Ketika menyampaikan ceramah, Mohd Asri mencadangkan para artis tanah air supaya menyelitkan budaya murni dalam persembahan mereka termasuk menasihati orang ramai melakukan sesuatu yang baik semasa persembahan mereka.

Sebagai individu yang berpengaruh di kalangan masyarakat, beliau berkata golongan artis mempunyai peranan membentuk sikap masyarakat sama ada ke arah kebaikan atau sebaliknya.

Mohd Asri turut menyelar segelintir ibu bapa yang membiarkan tabiat songsang anak-anak mereka termasuk anak lelaki yang mempunyai jiwa perempuan dan lebih suka berlagak perempuan.

Katanya setiap lelaki perlu menjadi lelaki dan mereka tidak boleh diubah menjadi perempuan melalui perubahan perlakuan dan pakaian.-BERNAMA

Najib Sahkan Sulaiman Mahu Letak Jawatan



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan yang Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib telah menyatakan hasrat untuk meletakan jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Bagaimanapun beliau belum boleh membuat keputusan kerana tidak dapat berhubung dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Sulaiman merupakan anak kepada Taib.



“Beliau telah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan tetapi saya belum membuat keputusan kerana belum dapat menghubungi Pengerusi Barisan Nasional negeri,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini semalam.

Najib yang juga Pengerusi BN memberitahu Sulaiman menyatakan alasan peribadi.

“Ia (alasan) tidak penting tetapi kerana sebab peribadi,” katanya.

Ketika ditanya bila beliau menghantar surat letak jawatan, Najib memberitahu ia tidak perlu.

Sulaiman dilantik sebagai timbalan menteri selepas memenangi kerusi Parlimen Kota Samarahan pada 8 Mac 2008.

Beliau menggantikan bapanya di kerusi itu.



Beliau menyatakan masalah kesihatan sebagai alasan tetapi sumber-sumber memaklumkan bahawa wujud rasa tidak puas hati sejak kebelakangan ini berhubung layanan kerajaan persekutuan terhadap Sarawak.

Skuad Bola Sepak Wanita Kena Belasah 14-0.



DUA pemain Thailand meraikan gol yang dijaringkan ketika menentang Malaysia semalam. Thailand menang 14-0.


JIKA skuad bola sepak lelaki negara gah membelasah Timor Leste 11-0 pada perlawanan sulung mereka Rabu lalu, lain pula nasib yang diterima skuad bola sepak wanita Malaysia.

Mereka dibelasah teruk oleh Thailand 14-0 pada aksi sulung petang semalam bagi saingan yang dijalankan secara liga satu pusingan di kalangan lima pasukan yang bertanding.

Skuad wanita negara ketinggalan 0-8 pada separuh masa pertama sebelum melepaskan baki enam gol lagi sepanjang babak kedua.

Anak-anak buah Zhang Yan itu perlu segera bangkit sebelum mengharungi perlawanan kedua menentang Vietnam petang esok.


Pada satu lagi perlawanan semalam, tuan rumah Laos sekadar terikat 1-1 dengan Myanmar manakala Vietnam tidak turun beraksi.

Sementara itu, dalam acara bola sepak lelaki bagi saingan Kumpulan A semalam, juara bertahan Thailand mudah menewaskan Kemboja 4-0 setelah mereka terikat 1-1 dengan Vietnam pada aksi sulung Rabu lalu.

Satu lagi perlawanan menyaksikan Vietnam sekadar mencatat kemenangan 4-0 ke atas Timor Leste setelah terikat tanpa jaringan pada babak pertama.

Skuad negara bimbingan K. Rajagobal tidak beraksi semalam dan hanya akan menempuh perlawanan kedua mereka dengan menentang Vietnam petang esok.

PKR P.Pinang Kecewa Dianaktiri Media Tempatan



Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang melahirkan kekesalan dan tidak berpuas hati terhadap media televisyen tempatan yang dianggap berat sebelah dan hanya memandang remeh usaha kerajaan negeri itu dalam memperkenalkan dan mempromosikan sektor pelancongan kepada umum.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima, R. Sanisvara Nethaji, beliau melahirkan kekesalan dan mempersoalkan media tempatan yang tidak merencanakan sebarang promosi mengenai Pulau Pinang walaupun negeri itu antara yang menjadi tumpuan para pelancong.



Meskipun Pulau Pinang mencapai banyak kejayaan dalam sektor pelancongan, namun tiada sebarang promosi dari media tempatan.

Katanya, ini jelas terbukti selepas pilihanraya umum tahun lepas setelah pembangkang berjaya memerintah Pulau Pinang, tiada sebarang promosi yang dilakukan lagi oleh media tempatan seperti TV3, RTM1, RTM2 dan lain-lain.


Sanisvara menggesa Kementerian Penerangan dan Pelancongan mengambil tindakan inisiatif terhadap media tempatan supaya Pulau Pinang tidak dianaktirikan kerana Pelancongan merupakan sumber pendapatan terpenting di negeri itu.



Sementara itu, Adun Batu Lanchang, Law Heng Kiang menyokong kenyataan Sanisvara dimana Pulau Pinang telah mencapai satu tahap yang membanggakan setelah mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia pada 7 Julai 2008 dan mencatatkan peningkatan dari 5.1 juta ke 6.3 juta pada tahun sama.

Katanya, kejayaan sektor pelancongan telah menyumbang dua pertiga daripada pendapatan negara iaitu sebanyak RM250 juta ringgit.

Menurutnya lagi, pada Disember tahun lepas majalah ”Travel and Leisure” dari Amerika Syarikat juga telah menyenaraikan Pulau Pinang sebagai salah satu pulau yang terbaik di Rantau Asia dan menerusi undian dari ”The New York Times” pada tahun ini, pembaca telah memilih negeri ini sebagai destinasi kedua di antara 44 tempat mesti dilawati dalam kategori makanan enak.



Tambahnya, lebih membanggakan apabila syarikat televisyen Jerman dengan kerjasama pihak UNESCO datang ke Pulau Pinang pada September lepas untuk pembikinan dokumentari tentang warisan negeri ini.

Hal ini jelas menunjukkan pihak media luar negara berminat dan tertarik terhadap sektor pelancongan Pulau Pinang jika dibandingkan dengan media tempatan.

Persoalan yang menjadi tanda tanya segelintir pihak PKR adalah mengapa media tempatan tidak merencanakan sektor pelancongan tersebut kepada umum sebaliknya media luar negara yang berminat terhadap sektor pelancongan Pulau Pinang dan menjayakan sektor perlancongan ini.

SPRM Minta Bantuan PKR Kesan PI Bala



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta bantuan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengesan penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam dan membawanya ke pejabat itu. 

Perkara itu didedahkan Ketua Angakatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin selepas beliau dipanggil untuk memberikan keterangan oleh suruhanjaya berkenaan.
Shamsul berkata SPRM meminta PKR berbuat demikian secepat mungkin dan pihaknya akan sedaya upaya membantu suruhanjaya berkenaan. 



“ Cuma satu tadi, SPRM minta tolong dan bantuan kepada kita ialah mereka ingin sangat bertemu dengan Bala. Saya memberikan kerjasama, saya akan usahakan dan sama-sama berikhtiar untuk membawa Bala ini ke SPRM Putrajaya” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas memberikan keterangan berhubung rakaman temuramah Bala di SPRM Putrajaya pagi tadi. 

Katanya keterangan berkenaan dilakukan bagi membolehkan SPRM meneruskan prosedur siasatan setelah rakaman temuramah Bala diserahkan kepada SPRM awal minggu ini. 

Bala telah menghilangkan diri bersama keluarganya, sebelum muncul kembali tahun ini dan mendedahkan bahawa beliau telah dibawa lari ke India oleh kerajaan Malaysia. 



Rakaman perbualan Bala bersama 3 orang peguam membuktikan adanya usaha untuk menutupi hubungan Najib dan Altantuya Shaaribu. 

Dalam sesi soal siasat selama tiga jam itu, Shamsul diminta memberikan beberapa butiran mengenai laporan yang telah dibuat olehnya dan ditanya apakah soalan SPRM yang masih bermain di minda beliau sehingga waktu ini, ini jawapan Shamsul. 

“ Ditanya soalan adakah laporan ini berniat jahat atau sebagainya, saya kata tidak, laporan ini bertujuan untuk memastikan agar persoalan dan pertikaian yang timbul dengan dakwaan Perdana Menteri, Najib Tun Razak terlibat dengan pembunuhan wanita Mongolia ini dibersihkan”. 




Shamsul berkata laporan yang telah dibuat bukan hanya untuk mengembalikan kesejahteraan negara yang resah dengan persoalan kontroversi berhubung kaitan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak dengan kematian wanita Mongolia.

Namun laporan berkenaan juga dibuat bagi membantu SPRM mengembalikan imejnya yang tercalar. 

“ Saya beritahu saya datang hari ini, dan saya harap SPRM juga mengambil langkah yang sama memanggil kesmua nama yang terlibat. Nazim, Deepak malah Rosmah yang disebut dalam video itu bercadang untuk minum pagi, makan tengahari dengan Bala ini, ini dua tiga karekter, dan Najib tidak boleh mendiamkan diri, tampil dan memberikan kenyataan”. 



Rakaman temuramah Bala mengandungi tujuh perkara yang boleh difokuskan dan salah satunya ialah Najib sendiri melalui agen-agennya telah menawarkan wang RM 5 juta bagi mendorong Bala menarik balik akuan bersumpah bertarikh 1 Julai 2008. 



Bala mendakwa beliau disogok RM5 juta ringgit untuk menarik balik akuan bersumpah itu oleh Deepak Jaikshnan, yang dikatakan rapat dengan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor dan telah diseludup ke India tanpa melalui Jabatan Imigresen. 

Shamsul pagi tadi turut ditemani oleh ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf.

500 Ahli Umno Rantau Panjang Ancam Keluar Parti



Krisis Umno Rantau Panjang kini sampai ke kemuncak apabila ramai pemimpin di peringkat cawangan mengancam mahu keluar parti.


Kesemua 36 Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) dan tiga Ketua Penyelia Pembangunan Mukim (KPPM) yang dipecat Ketua Umno Rantau Panjang, Abdullah Mat Yasin tidak teragak-agak meninggalkan parti.

Difahamkan kira-kira 500 penyokong Umno dijangka keluar Umno di Cawangan Baroh Pial di Dun Bukit Tuku, kemudian dikuti 35 cawangan lagi di seluruh bahagian Rantau Panjang.

Bekas ketua cawangan Baroh Pial yang juga bekas PPM, Wan Yaakob Wan Ismail berkata, antara sebab utama mereka berbuat demikian kerana telah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti berkenaan.

Katanya, beliau mempertikaikan kesahihan kedudukan Abdullah selaku ketua bahagian kerana dikatakan tidak dipilih melalui mesyuarat agung perwakilan bahagian.

“Begitu juga pelantikan timbalan ketua bahagian, ketua pemuda dan ketua wanita diragui kesahihah jawatan masing-masing kerana penggantungan bekas ketua bahagian, Datuk Mohd Zin Ismail dibuat mendadak ketika tempoh pencalonan peringkat bahagian tamat.

“Peluang untuk ahli mencalon tokoh-tokoh lain yang bersesuaian untuk jawatan ketua bahagian, timbalan ketua, ketua pemuda dan ketua wanita sudah tidak ada lagi ketika itu,” katanya.

Mohd Zin bekas Adun Bukit Tuku digantung jawatannya oleh Lembaga Disiplin Umno selama tiga tahun kerana dikatakan menaja calon bebas di Dun Gual Periok pada pilihan raya umum 2008.

Wan Yaakob berkata, mereka yang memegang jawatan di Rantau Panjang sekarang seolah-olah dilantik Umno Pusat tanpa memberi peluang kepada ahli dari 160 cawangan membuat pemilihan.

Konflik yang berlaku antara Mohd Zin dan Abdullah memuncak ketua bahagian sekarang dikatakan memecat PPM serta KPPM yang dilantik bekas ketua bahagian sebelum ini.

“Ini membuatkan kami rasa panas hati dan harus dicari jalan penyelesaian segera,” kata Wan Yaakob ketika ditemui di majlis sambutan hari raya korban di cawangan Umno Baroh Pial semalam.
 A
Majlis tersebut diadakan di rumahnya dihadiri kira-kira 300 orang termasuk beberapa bekas PPM dan KPPM yang dipecat.

Menurutnya juga kesemua mereka yang dipecat telah meminta jasa baik pengerusi perhubungan Umno negeri, Datuk Mustapa Mohamad menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin.

“Saya bersama beberapa rakan telah berjumpa Datuk Pa dan timbalannya Datuk Dr Awang Adek Hussein meminta mereka campur tangan selesaikan perkara ini segera.

“Tetapi sampai sekarang tak ada sebarang tindakan diambil. Ini membuatkan kami merasa tawar hati,” kata Wan Yaakob.

Beliau juga berkata perjumpaan di Baroh Pial itu sebagai asas permulaan untuk tindakan protes selanjutnya.

Menurutnya selepas itu mereka akan majlis serupa di Dun Meranti kemudian dikuti Dun Gual Periok.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuk Mohd Zin, bekas KPPM, Mohd Zin Che Ngah, Zahari Omar (bekas KPPM), Yakob Yunus (bekas PPM dan AJK bahagian), Fauzi Mat Jusoh (AJK bahagian), Wan Aminuddin (AJK bahagian) dan ketua puteri bahagian, Norhayati Mat

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails