Geng Aku

Rabu, 2 Disember 2009

Biar Orang Ramai Tentukan Nasib Chin Peng-Mahathir


Keputusan untuk membenarkan bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaysa (PKM) Chin Peng untuk balik ke Malaysia perlu mengikut suara ramai, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau sendiri akan bersetuju dengan apa yang diputuskan oleh orang ramai.

"Saya kena ambil kira perasaan orang. Kalau orang suka tiada masalahlah, tapi kalau orang tak suka apa nak buat," katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA 2009) di Dewan Pameran Mahsuri Antarabangsa (MIEC) di Langkawi hari ini.


Diminta mengulas kenyataan bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor bahawa Chin Peng berhak kembali ke Malaysia sekurang-kurang secara lawatan sosial di bawah Perjanjian Damai Haadyai, Dr Mahathir berkata perjanjian itu perlu diperjelaskan kepada masyarakat.

"Kena terang dengan orang ramai dahululah, kata dah janji," katanya.

Isu mengenai Chin Peng timbul apabila beliau menyatakan hasrat untuk pulang ke tanah air bagi menziarahi keluarganya di Sitiawan, Perak, tetapi hasrat ini dibantah keras khususnya oleh bekas anggota tentera yang pernah berdepan dengan kekejaman
komunis dahulu.

Kerajaan telah menyatakan pendirian bahawa ia bertegas tidak akan membenarkan bekas pemimpin komunis itu pulang.
BERNAMA

Kerajaan Negeri Pulau Pinang Larang Sertai BTN.



Pulau Pinang hari ini mengikut jejak Selangor dengan memutuskan untuk melarang kakitangannya menyertai kursus Biro Tatanegara (BTN), yang menghentam pembangkang, berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman dalam sidang media di lobi DUN Pulau Pinang tengahari tadi.


Beliau dilaporkan berkata langkah terbaru itu diambil kerana biro bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu tidak melaksanakan modul sebenar, malah mengisi modul "dengan sikap jijik, menghina dan mencemuh kepimpinan Pakatan Rakyat."

Kerajaan negeri juga sedang mengkaji mana-mana pihak yang menganjurkan kursus serupa kerana ada laporan mengatakan mereka sengaja melemparkan kata-kata nista kepada pihak tertentu yang tidak menyokong BN, lapor akhbar web PAS Harakahdaily.net.

Mansor, yang juga ADUN Penanti, dipetik berkata laporan yang diterima daripada peserta BTN amat mendukacitakan, malahan "ada yang tertekan dengan tindakan membuli peserta jika mereka tidak memberi kerjasama kepada penganjur."

Minggu lalu, Selangor melarang kakitangan kerajaan negeri dan pelajar di institusi pengajian tinggi miliknya menghadiri program BTN dengan alasan ia dijadikan tempat indoktrinasi dan punca pecah-belah antara kaum dan agama.




Dua lagi negeri Pakatan Rakyat, Kedah dan Kelantan, mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung isu tersebut yang kini hangat dibahaskan sehingga kabinet mengarahkan sukatan kursus BTN dirombak agar sesuai dengan semangat 1Malaysia.

S'gor Lantik 42 Ketua Komuniti India



Satu sesi temuduga telah dijalankan di bangunan pentadbiran kerajaan negeri (SUK) untuk memilih ketua komuniti kaum India bagi 42 kampung dan kawasan perumahan yang ramai masyarakat India di seluruh Selangor.

Ini adalah langkah julung kali kerajaan Pakatan Rakyat melantik ketua komuniti yang mewakili masyarakat India sebagai sebahagian dari struktur pentadbiran di negeri Selangor.

Sesi temuduga tersebut dijalankan pada semalam dan kelmarin yang dihadiri oleh 90 orang calon, demikian menurut kenyataan sekretariat akhbar kerajaan negeri hari ini.

Mereka ditemuduga oleh panel pemilihan yang diketuai exco kerajaan negeri Yaakub Sapari dan Dr Xavier Jayakumar serta pembantu exco yang juga ADUN Sri Muda, Suhaimi Shafie.

Mereka dibantu oleh ketua penolong pegawai daerah serta penghulu mukim daerah masing-masing serta pegawai seksyen pihak berkuasa tempatan, Upen.

Antara lain matlamat perlantikan ini adalah untuk membolehkan kerajaan negeri menyampaikan maklumat kepada masyarakat India akar umbi melalui ketua-ketua komuniti yang akan dilantik nanti.

Bajet Pulau Pinang Jamin Masa Depan Rakyat.




Bajet Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang bertemakan 'Menjamin Masa Depan Kita' memberi harapan baru kepada keseluruhan rakyat negeri ini.

Penumpuan khusus diberikan terhadap sektor pendidikan serta tiga teras utama pada bajet 2008 iaitu merancakan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjamin keadilan sosio ekonomi.

Paling mengembirakan walaupun baru hampir dua tahun memerintah, Ketua Menteri melakukan beberapa pembaharuan memberi peluang kepada para peniaga melaksanakan urusan dengan tander terbuka selari dengan dasar Cekap, Akautabiliti dan Telus (CAT) sehingga mendapat kepujian oleh Ketua Audit Negara dan badan Anti Rasuah terulung.

Kepujian itu merupakan lambang kejayaan kerajaan yang telus serta merupakan negeri pertama mendapat gelaran tersebut di Malaysia setelah berjaya membaiki kelemahan kerajaan terdahulu.

Melalui bajet 2010 ini, kerajaan Pulau Pinang telah bertekad mendirikan suatu Hab Pendidikan Cemerlang di Pondok Upeh, Balik Pulau dengan kos RM121 juta termasuk kos pengambilan tanah.

Selain menekankan pertumbuhan ekonomi, kerajaan negeri juga berhasrat membentuk sebuah negeri bercorak demokratik, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika di bawah nilai-nilai 5K iaitu kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dan ketaqwaan kepada Tuhan.

Antaranya meningkatkan daya saing ekonomi ekoran krisis ekonomi dunia masih meninggalkan impak ke atas ekonomi dunia keseluruhanya.

Namun begitu, Pulau Pinang tetap berusaha ke arah memantapkan ekonomi dan ia berjaya dibuktikan apabila 151 projek pelaburan telah diterima oleh Pulau Pinang dengan kadar pelaburan RM10.156 bilion.

Pada masa yang sama 22,215 pekerjaan dapat diwujudkan setelah mendapat pelaburan baru oleh Kerajaan Negeri iaitu berjumlah RM1.66 bilion pada tempoh Januari hingga Ogos tahun lepas.

Dari jumlah itu RM466 juta adalah pelaburan domestik dan baki sebanyak RM1.2 bilion merupakan pelaburan asing.

Sektor infrastruktur dan kemudahan awam juga diberikan penekanan berikutan aduan yang diterima serta memperbaiki kelemahan yang ada.  Contoh paling ketara ialah pengangkuan awam Rapid Penang yang dikatakan belum memenuhi tahap kualiti pengangkutan awam.

Akan tetapi pertambahan 100 bas lagi dipercayai akan mengatasi masalah tersebut selari dengan fokus yang diberikan menerusi janji kerajaan yang lebih efesyen dan cekap.

Bagi mencapai hasrat pembangunan sejagat Kerajaan Negeri juga berterima kasih pada Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan dua projek terbesar iaitu projek pembesaran Empangan Mengkuang dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Projek Empangan Mengkuang mendapat kenaikan peruntukan dari RM506.64 juta kepada RM955 juta di mana ia akan dimulakan pada awal 2010 dan dijangka siap dalam jangkamasa empat tahun.



Manakala pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pianag pula dilaksanakan semula dengan kos RM1.75 bilion di bawah Rancangan Malaysia (RMK 10) dengan mengambil masa setahun untuk siap sepenuhnya.

Kerajaan Negeri juga memfokuskan kepada memperkasaan sektor pertanian dan Industri Asas Tani walaupun kadar pertumbuhanya hanya 2.3 peratus dalam tempuh 2007-2010 berbanding kadar nasional sebanyak 7.1 peratus.

Namun begitu, memandangkan pembangunan sektor itu berpotensi pada masa depan Kerajaan Negeri telah memajukan lot 1441, Mukim Juru 12, Daerah Seberang Perai Tengah dengan keluasan 284.62 hektar sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Bukan sahaja sektor ekonomi malahan sektor ekologi juga turut diberikan keutamaan kerana selama ini sektor tersebut terlepas pandang sehingga mencetuskan fenomena baru dan ancaman kepada rakyat.

Jesteru itu, kali ini Kerajaan Negeri telah membuat penelitian terhadap isu hijau dengan menyasarkan program kualiti alam sekitar dengan lebih berkesan lagi.

Antara program yang telah dilaksanakan untuk menimbulkan kesedaran rakyat ialah Hari Kempen Tanpa Beg Plastik, Kempen Green State serta pelancaran EM Mud Ball di semua peringkat daerah di Pulau Pinang.

Hasilnya boleh dikatakan semua pemaju perumahan telah bekerjasama dengan mengwujudkan kawasan hijau di setiap rumah atau kawasan perumahan.  Tidak hairanlah kesanya Negeri Pulau Pinang telah diiftirafkan sebagai negeri pertama di Malaysia mengadakan polisi seumpama itu bagi menggalakan dan menyokong inisiatif bangunan hijau (Green Building Index) atau ringkasnya GBI.

'Jabulani'Nama Bola Piala Dunia 2010









Bola rasmi Piala Dunia 2010 didakwa oleh pembuatnya sebagai bola yang paling bulat pernah dihasilkan menerusi lapan panel acuan khas.

Ia akan dilancarkan secara rasmi oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter pada majlis undian Piala Dunia 2010 di Cape Town, Jumaat ini.

Bagaimanapun, imej bola tersebut telah dipaparkan secara eksklusif oleh akhbar SunSport semalam.

Bola tersebut diberi nama 'Jabulani' yang bermaksud untuk meraikan dalam bahasa Zulu dan reka bentuknya berdasarkan ciri-ciri Afrika Sela- tan.

Sebelas warna berbeza digunakan bagi menggambarkan 11 pemain setiap pasukan, 11 bahasa rasmi Afrika Selatan dan 11 suku kaum di negara itu.

Sheila Rusly Terpaksa Bergayut Atas Pokok Demi Malika

Shiela Rusly melakonkan watak Malika bergambar dengan Mohd Naim (Raqib)di set penggambaran drama bersiri 'Cucu Betong'
 
AKTRES Sheila Rusly terpaksa memberanikan diri bergayut dari tempat-tempat tinggi bagi memberi penghayatan pada watak jahat yang dibawanya, 'Malika', dalam drama 'Cucu Betong'.

Sheila menganggap aksi bergantung di tempat tinggi ini salah satu cabaran yang perlu dihadapinya untuk drama seram ini.

'Cucu Betong' akan ke udara pada pukul 4.30 petang dari hari Isnin (8 Disember) hingga Khamis dalam slot Lagenda TV3 dan merupakan kesinambungan drama ‘Anak Betong’ yang pernah popular sedikit masa dulu.



'Cucu Betong' dan 'Anak Betong' adalah arahan suami Sheila, Jinggo.

Namun, kata Shiela, ini tidak bermakna yang dia tidak risau mengenai keselamatan diri.
"Walaupun risau mengenai keselamatan diri, saya tetap memberanikan diri untuk bergantung dari tempat-tempat yang tinggi seperti di atas pokok dan bangunan pada waktu malam.

"Saya lakukan semua ini untuk mendapatkan sudut penggambaran yang terbaik," jelas Shiela semasa ditemui di majlis ramah mesra drama bersiri ‘Cucu Betong’ di Sri Pentas semalam.

Apabila ditanya kenapa aktres itu sering berlakon dibawah terbitan syarikatnya sendiri, J.S Pictures (J.S bagi singkatan nama Jinggo dan Sheila), Sheila berkata pengarah tempatan lain tidak berani memberi peluang kepadanya untuk melakonkan watak yang mencabar kepada pelakon-pelakon yang bertudung.

Shiela Rusly melakonkan aksi lasak di set penggambaran drama bersiri 'Cucu Betong'
 
"Walaupun mendapat tawaran berlakon di bawah syarikat terbitan lain, saya memilih untuk berlakon dalam watak yang lebih mencabar walaupun kini sudah bertudung.

"Saya ingin menolak persepsi masyarakat yang menganggap wanita bertudung mempunyai perwatakan yang sopan dan tidak boleh beraksi lasak semasa berlakon.

Sheila juga lebih selesa berlakon dibawah arahan suaminya Jinggo.

"Suami saya memahami keadaan diri saya yang sudah bertudung dan mengizinkan saya untuk membawa watak-watak yang mencabar.



"Berlakon seperti sudah sebati dengan darah daging saya dan apabila sudah mencapai tahap ini, saya ingin melakukan sesuatu yang lebih mencabar dan berhasrat membawa watak-watak yang jarang dilakonkan oleh wanita bertudung," tambah Sheila.

Sheila kini sedang sibuk berlakon dalam drama bersiri ‘Bila Musang Berjanggut’ dan ‘Roh.’
Beliau juga akan berlakon dalam sebuah telemovie yang akan ditayangkan sempena hari Mulidur Rasul nanti.

Bercakap mengenai syarikat terbitannya iaitu J.S Pictures Sdn.Bhd, Sheila berkata syarikatnya tidak akan menerbitkan filem dalam masa terdekat.

"Kami sekarang lebih tertumpu menerbitkan drama kerana drama lebih mendapat sambutan dari filem.

"Syarikat kami juga tidak mempunyai kapasiti dari segi tenaga kerja dan kewangan buat masa ini.

"Walaupun begitu, saya mempunyai banyak idea untuk masa-masa akan datang. Saya juga bercadang untuk menerbitkan filem apabila keadaan ekonomi bertambah pulih nanti," akhiri Sheila.

Pengarah drama 'Cucu Betong', Jinggo atau nama sebenarnya Azman Yahya, pula berkata, apa yang menarik mengenai ‘Cucu Betong’ ialah ianya lebih seram dan dramatik.
"Karakter-karakter yang dipaparkan lebih menyerlah berbanding ‘Anak Betong.’

"Walaupun ianya merupakan sebuah drama sekuel, ceritanya penuh dengan misteri dan akan membuatkan penonton tertunggu-tunggu untuk episod seterusnya," jelas Jinggo.

Selain itu tambahnya lagi, walaupun drama bersiri ini hanya untuk hiburan, ada juga diselitkan ciri-ciri keislaman seperti amalan berzikir.

"Watak Malissa (lakonan Farisha Ayu) dalam drama ini akan putus asa dengan hidup dan untuk mencari ketenangan, dia akan mula berzikir.

"Walaupun drama ini hanya sekadar hiburan, ia juga disertakan dengan unsur-unsur keagamaan yang mengingatkan para penonton untuk kembali ke jalan benar," ujar Jinggo.

Sementara itu, antara barisan pelakon drama bersiri ini adalah Ezany (Zaman), Fizz Fairuz (Jagat) Sheila Rusly (Malika) Mohd Naim (Raqib) Farisha Ayu (Malissa), Maya Matahari (Naya), Sofia Jane (Ratu Solowangi) Emilda Rosmila (Katrina) dan ramai lagi.

Hanya Paket Rokok 20 Batang Akan Dijual Mulai 1 Jun.




Penjualan paket rokok yang mengandungi kurang daripada 20 batang adalah dilarang mulai 1 Jun tahun depan.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sejajar dengan keputusan itu, pihak syarikat rokok diberi masa tujuh bulan mulai sekarang hingga 31 Mei ini untuk menghabiskan stok paket rokok yang kurang daripada 20 batang rokok di pasaran.



"Kerajaan tidak akan melayan sebarang rayuan ke atas perkara ini dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan pengilangan dan penjualan paket rokok kurang dari 20 batang rokok mulai 1 Jun 2010," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata keputusan itu telah dipersetujui oleh semua syarikat rokok dan kerajaan berterima kasih di atas sokongan dan kerjasama syarikat-syarikat tersebut.

"Larangan pengilangan dan penjualan rokok paket rokok yang mengandungi kurang dari 20 batang sebenarnya telahpun diwartakan pada 23 Sept 2004 melalui peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, bagaimanapun penguatkuasaan terhadap larangan tersebut telah ditangguhkan selepas kerajaan mempertimbangkan rayuan daripada syarikat-syarikat rokok," katanya.

Liow berkata sehubungan dengan penguatkuasaan itu, sesiapa yang didapati melanggar peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun.



Menurut beliau lagi, larangan itu juga selaras dengan saranan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Larangan penjualan paket rokok bungkusan kecil ini adalah bertujuan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan golongan kanak-kanak dan remaja untuk membeli dan memulakan tabiat merokok yang tidak sihat dan merugikan," katanya.
BERNAMA

Nizar V'8! Saya Sudah Lali Dengan Desakan Letak Jawatan- Nik Aziz


Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu sudah lali dengan desakan supaya beliau meletakkan jawatan.

Tindakan sama sebelum ini katanya pernah beberpa kali dibuat pemimpin Umno negeri itu malah berpendapat tidak perlu melayan perkara tersebut.

"Kalau sebelum ini Tan Sri Annuar Musa yang membuat desakan seperti itu dan sekarang pemimpin Umno lain pula.

"Kalau hendak diikut dengan desakan mereka tidak boleh buat kerjalah kita.  Saya sudah lali dengan desakan seperti itu," katanya ketika mengulas demonstrasi pagi tadi.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, tiada sebab kenapa beliau harus tunduk kepada desakan tersebut kerana ianya datang dari Umno dan bukannya dari PAS sendiri.

"Saya ini pemimpin PAS dan bagaimana pula mereka (Umno) desak saya letak jawatan. Lainlah kalau PAS desak saya barulah saya boleh berhenti. Ini pemimpin parti lain yang tidak ada kena mengena," katanya lagi.

Malah kata beliau perhimpunan mendesaknya meletak jawatan diadakan bertujuan menutup banyak kepincangan lain yang berlaku termasuk pergolakan Umno di Terengganu, dua kerajaan di Perak dan perpecahan MCA serta PPP.

"Bagi melarikan perhatian rakyat terhadap isu tersebut maka dibuat perhimpunan di sini dengan harapan rakyat tidak ingat lagi terhadap isu yang lebih besar berlaku," ujarnya..

Memorandum itu diserahkan Setiausaha Politiknya Haji Anual Bakri Harun selepas menerima daripada Timbalan Ketua Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pa.

Lebih 50 penyokong Umno berhimpun di hadapan pintu masuk ke Kota Darulnaim bagi mendesak Tuan Guru Nik Abdul Aziz meletak jawatan.

Desakan itu dibuat ekoran kenyataan Menteri Besar yang mahu mendoakan supaya Datuk Seri najib dibuka pintu hati dan mengembalikan royalti kepada rakyat Kelantan, namun sekiranya masih enggan dipohon dikenakan bala kepadanya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga meminta penyokong PAS membaikot akhbar yang sengaja yang mengapi-apikan isu di Kelantan bagi menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

"Baik tak usah baca suratkhabar terbabit yang sengaja menjadi kesalahan PAS dan kerajaan negeri," ujarnya.

Demontrasi yang didalangi Umno bermula jam 10.25 berlarutan sehingga 11.35 pagi. Pada awalnya mereka enggan bersurai biar pun diminta berkali-kali oleh pihak polis. Namun hujan lebat yang turun kemudian menyebabkan mereka beredar.

Perhimpunan terbabit difahamkan diketuai Che Johan dan kemudian menyerah memorandum kepada Setiausaha Politik Menteri Besar.

Selepas menyerah memorandum itu yang dinamakan atas Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan JRPK, mereka diminta bersurai oleh polis dan hanya seorang wakil sahaja dibenarkan berucap.

Namun mereka tetap berdegil biar pun pegawai polis mengarahkan mereka supaya bersurai dengan alasan ingin mendapat jawapan dari Menteri Besar.

Ekoran itu kira-kira jam 10.40 pagi Ketua Polis Kelantan, SAC 1, Datuk Abdul Rahim Hanafi hadir dan meminta mereka supaya bersurai kerana perhimpunan tersebut tiada permit.

Lebih 30 anggota polis dilihat mengawal keadaan.

"Polis terpaksa meminta mereka supaya bersurai segera dalam tempoh setengah jam memandangkan perhimpunan mereka tidak mempunyai permit.

"Walaupun penganjur memohon permit malam tadi namun kami tidak dapat meluluskan perhimpunan ini.

“Mana ada jabatan yang memohon malam tadi, pagi ini boleh luluskan. Sekurang-kurangnya kena tiga hari. Kena ikut prosedur," katanya kepada pemberita selepas itu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails