Geng Aku

Khamis, 18 Mac 2010

PKR Balas Salakan 'Anjing Penyerang' BN.

Setiauasaha agung PKR Saifuddin Nasution (bawah) hari ini melabelkan empat bekas ahlinya yang kini menjadi ahli parlimen bebas, khususnya Datuk Seri Mohd Zahrain Hashim (Bayan Baru) sebagai 'anjing penyerang' Barisan Nasional.

"Mereka digunakan sebagai 'anjing penyerang', 'askar upahan',” kata Saifuddin ketika sidang media di lobi parlimen.

Katanya, MP bebas itu kini adalah senjata terbaru BN untuk menyerang Pakatan Rakyat kerana terlalu sedikit MP Bn yang mampu berbuat demikian.

Semalam, ucapan sulung Zahrain selaku wakil rakyat Bebas yang mendedahkan punca beliau meninggalkan PKR, menyebabkan suasana persidangan Dewan Rakyat bertukar kecoh.

Malah kurang lima minit selepas bekas pengerusi PKR Pulau Pinang itu berucap mulai jam 5.05 petang semalam, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar Dewan selepas Zahrain (bawah) mengaitkan Anwar dengan kegagalan pakatan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan melalui perancangan "16 September".'Pemimpin Umno hidangkan arak'

Bagaimanapun menurut Saifuddin, fenomena itu hanya halangan kecil dan tidak akan mengalihkan perhatian Pakatan daripada musuh sebenar mereka - Umno dan BN.

“BN adalah musuh politik utama kita. Kita berdepan dengan pembunuh Altantuya, kita menghadapi mereka yang merompak kekayaan rakyat dan kita berdepan juga dengan kerajaan yang mengamalkan rasuah,” katanya.

Saifuddin juga mendakwa dia didatangi oleh seorang anggota kanan MP Umno yang juga seorang menteri kabinet dan diberi amaran agar menghentikan membuat pendedahan yang memalukan Umno dan BN.

Menteri kanan itu dikatakan tidak senang dengan kenyataan Saifuddin di Dewan Rakyat semalam bahawa ada pemimpin Umno yang menghidangkan minuman keras pada ulang tahun perkahwinannya.

Saifuddin juga memberitahu Dewan Rakyat dalam satu lawatan yang dianjurkan oleh Umno ke amerika syarikat, seorang pemimpin parti itu tertidur di kasino dan gagal mengikuti rombongan berkenaan.

Orang Asli Bukan Bumiputera.



Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim kesal kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz gagal memahami bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak meletakkan Orang Asli sebagai kaum bumiputera.
Katanya, menurut Perkara 153 and 161 Perlembagaan Persekutuan, Orang Asli tidak diberi hak keistimewaan sebagai Bumiputera.

Zaid (kanan) berkata Orang Asli tidak dikategorikan sebagai bumiputera, kerana Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak sahaja yang dianggap sebagai bumiputera.

“Hanya 'Malays and the Natives of Sabah and Sarawak' dianggap sebagai Bumiputera. Inilah nasib Orang Asal di negara ini,” katanya.

“Sepatutnya merekalah orang yang paling layak sekali kerana bukan sahaja sebagai Orang Asal dan anak putera bumi bertuah ini tetapi juga kerana mereka paling miskin.
“Menteri sendiri tidak mengetahui status mereka, masakan mereka akan mendapat pertolongan dan pembelaan yang patut dan sewajarnya,” katanya dalam tulisan di blognya.

Kedangkalan pemimpin Umno itu hanya disedari ketika MP Hulu Rajang, Billy Abit Joo pada sidang parlimen semalam bertanyakan sama ada pengiktirafan status bumiputera perlu diperjelaskan dan kriteria Bumiputera diseragamkan.

Nazri dilaporkan terus menjawab “tidak perlu”.

Beliau sebaliknya mendakwa status bumiputera telahpun diseleraskan dan digolongkan dalam tiga kategori seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaaan Persekutuan, iaitu Melayu, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.
Orang Asli naik minyak di Putrajaya

Zaid mengulas tindakan lebih 2,000 Orang Asli yang berarak ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka.
Memorandun itu mengandungi hal-hal penganiayaan di tangan kerajaan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun, tentang tanah nenek-moyang mereka yang dirampas dan diambil untuk pembangunan projek BN.

Zaid juga melahirkan rasa bangga dengan kebangkitan dan keberanian Orang Asli untuk menentang kezaliman Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli yang menindas kaum mereka.

“Walaupun polis menggunakan kuasa mereka untuk menahan perarakan itu ke pejabat Najib Razak, sekurang-kurangnya Orang Asal tanahair kita sudah berani bangkit. Mereka sudah mula “naik minyak” kerana masalah mereka selama ini dipandang ringan oleh kerajaan BN,” katanya..

Bagi Zaid, masa depan Orang Asli di bawah BN tidaklah cerah kerana jawapan Nazari semalam hanya membuktikan kerajaan BN tidak tahu sangat atau tidak mengambil berat perihal nasib Orang Asli.

Sultan Selangor Tidak Rasmi AGM Perkasa 27 Mac.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak akan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan pertama Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pimpinan Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali, 27 Mac ini.

Laporan media sebelum ini menyebut baginda akan merasmikan pertemuan tahunan itu.
Bagaimanapun Presiden Perkasa berkata mesyuarat tersebut akan diteruskan sebagaimana telah dirancang.

Dengan ditemani Timbalan Setiausaha Agungnya Daud Ibrahim, Ibrahim memberitahu pertemuan sulung mereka akan tetap diadakan pada tarikh itu di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra.

“AGM Perkasa akan diteruskan sebagaimana dirancang pada 27 Mac ini... kira-kira 10,000 ahli telah menyatakan persetujuan setakat ini. Kemungkinan lebih ramai lagi (akan hadir) sebagai pemerhati dan ramai lagi berminat untuk hadir,” kata Ibrahim di bangunan Parlimen hari ini.

“Tuanku Sultan Selangor telah memutuskan untuk tidak hadir kerana beberapa sebab... saya dimaklumkan pejabat Sultan Selangor akan mengeluarkan kenyataan hari ini, saya tiada komen apa-apa mengenai kenyataan itu,” katanya.

Bagaimanapun Ibrahim berkata beliau sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar The Sun yang semalam melaporkan bahawa Sultan Selangor tidak akan hadir merasmikan mesyuarat tahunan Perkasa.

“Saya telah melantik seorang peguam untuk mengambil tindakan perundangan ke atas The Sun.


“Saya tidak tahu di mana mereka mendapat maklumat. Laporan The Sun berniat jahat, mereka ada agenda tersembunyi,” kata beliau.

Kata Ibrahim, laporan itu mendalwa Sultan Selangor telah “menasihatkan” beliau agar tidak begitu lantang dalam pendiriannya yang dilihat sebagai “ultra-Melayu”.

Ibrahim menafikan beliau memperlihatkan suara seakan-akan “ultra-Melayu”.

Semalam Perkasa mengecam laporan The Sun yang disifatkan mempunyai niat jahat apabila cuba memburuk-burukkan pertubuhan itu dengan menggunakan nama Sultan Selangor.

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hasan Syed Ali berkata, laporan itu yang seolah-olah menunjukkan bahawa Sultan Selangor tidak berkenan untuk merasmikan mesyuarat agung pertama Perkasa adalah tidak benar.

Menurutnya, Perkasa telah menerima surat daripada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohd. Munir Majid pada 1 Feb lalu berhubung perkenan baginda untuk berangkat merasmikan mesyuarat agung Perkasa.


Laporan itu juga menyebut bahawa Sultan Selangor telah menyatakan rasa bimbang baginda mengenai perjuangan Perkasa Ibrahim pada satu pertemuan kelmarin.

The Sun melalui satu sumber dalam laporan itu turut mendakwa Sultan Selangor telah menasihati Ibrahim supaya mengurangkan sikap ultranya itu.

Syed Hasan berkata, Perkasa sedang menyusun rapi semua persiapan menyambut keberangkatan Sultan Selangor ke majlis perasmian mesyuarat agung pertubuhan itu.

“Ini termasuk mengedarkan kad jemputan kepada para tetamu kita nanti. Seramai 8,000 tetamu dijangka hadir,” katanya.

MB Perak Tidak Boleh Hadir Siding DUN 30 Mac Ini, Kata Sivakumar.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar hari ini berkata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak boleh menghadiri sidang DUN pada 30 Mac ini kerana tempoh penggantungannya  daripada menghadiri mesyuarat masih belum berakhir.

“Dr Zambry telah digantung selama 18 bulan manakala enam anggota exco selama 12 bulan...tempoh penggantungan enam anggota exco telah berakhir bulan ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabat DAP Perak di sini.

Sivakumar yang juga Adun Tronoh berkata penggantungan Dr Zambry yang berkuatkuasa sejak 3 Mac 2009 masih berjalan tetapi enam lagi exco yang digantung selama 12 bulan itu sudah tamat tempoh penggantungan dan akan dibenarkan hadir.

Sivakumar mendakwa beliau masih Speaker yang sah dan telah menghantar notis menghadiri Sidang DUN pada 30 Mac ini kepada semua Adun Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang kecuali Dr Zambry dan tiga Adun Bebas.


“Tiga katak (Adun Bebas) tidak dipanggil menghadiri Sidang DUN kali ini kerana saya sudah menerima surat peletakan jawatan mereka pada Februari 2009...mahkamah masih belum memutuskan sama ada mereka masih wakil rakyat yang sah kerana semakan kehakiman yang difailkan oleh saya terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya masih belum dibicara,” katanya.

Beliau berkata penggantungan Dr Zambry dan enam anggota exco oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN telah disahkan pada 3 Mac oleh Sidang DUN yang diadakan di bawah pokok berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan.


Mengenai kedudukan Speaker Datuk R.Ganesan, Sivakumar mengulangi bahawa pelantikan Ganesan adalah tidak sah kerana tidak dibuat mengikut peraturan.

Katanya, usul pelucutan Speaker dan usul pelantikan Speaker baru telah beliau tolak iaitu sehari sebelum Sidang DUN 7 Mei 2009, jadi mengikut peraturan sidang, usul berkenaan tidak berbangkit.

Katanya, pelantikan Ganesan juga dibuat sebelum titah perasmian oleh Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan itu bermakna peraturan mesyuarat telah dilanggar kerana perkara pertama dalam sidang perasmian ialah titah perasmian dan agenda lain adalah selepasnya.

Sivakumar berkata beliau menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu yang mengatakan Dr Zambry sebagai Menteri Besar yang sah atau ketua eksekutif tetapi jawatan beliau sebagai Ketua Legislatif tidak berubah dan oleh itu akan terus menjalankan tugas sebagai Speaker.

BN mempunyai 28 Adun serta tiga Adun bebas yang menyokongnya manakala PR mempunyai 28 Adun dalam DUN Perak. — Bernama

Hari Keputeraan Sultan Johor, Hari Hol Almarhum Dipinda.


Sambutan ulang tahun hari keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah dipinda daripada 8 April kepada 22 November.
 
Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dalam satu kenyataan berkata Hari Hol Almarhum turut dipinda daripada 19 Jun 2010 kepada 11 Januari 2011.

Sultan Ibrahim yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor kelima pada 23 Jan lepas, iaitu sehari selepas kemangkatan ayahanda baginda, telah berkenan terhadap pindaan tarikh-tarikh itu, kata kenyataan tersebut. - BERNAMA

Pendaftaran Pengundi Secara Automatik Tidak Akan Dilaksana.



Kerajaan tidak bercadang untuk mengadakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik bagi rakyat Malaysia yang mencapai umur 21 tahun, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kerajaan akan meneruskan dasar-dasar yang sedia ada dan tidak akan memaksa rakyat melakukan perkara di luar kerelaan mereka.

"Dalam pilihan raya, tak boleh paksa orang. Kita mengamalkan 'freedom of association, freedom of expression and freedom to make decision'. Kita anggap jika mereka tak mahu daftar, itu salah satu pilihan mereka untuk tidak mahu ambil bahagian," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.



Fong dalam soalannya bertanya tentang pendirian kerajaan berhubung cadangan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada 16 Mac untuk mendaftarkan pemilih secara automatik bagi menjimatkan masa, kos dan mengurangkan birokrasi.

Sementara itu, Nazri juga berkata kerajaan akan terus meningkatkan usaha-usaha menggalakkan rakyat mendaftar sebagai pengundi terutamanya dari golongan muda.

Menurutnya selain mengadakan promosi melalui iklan, kerajaan turut mengadakan pendaftaran secara berkala secara bulanan dan juga sepanjang masa di pusat-pusat pendaftaran di seluruh negara.

"Kalau remaja tak mahu datang ke pusat daftar, maka kita akan bawa pusat itu kepada mereka di tempat-tempat keramaian seperti di pusat beli-belah," katanya. - BERNAMA

Sultan Selangor Lantik 5 Jaksa Pendamai.


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini melantik lima orang Jaksa Pendamai yang merupakan pelantikan buat pertama kali dalam pemerintahan baginda.

Dalam satu istiadat di Istana Bukit Kayangan di sini pagi tadi, kelima-lima mereka mengangkat sumpah di hadapan baginda dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan Jaksa Pendamai di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Wira Mohtarudin Baki.

Mereka yang menerima pelantikan itu ialah Orang Besar Daerah Sepang, Prof Datuk Dr Tengku Jamaluddin Tengku Mahmud Shah, Pengerusi Multi-Purpose Bhd Datuk Razman Md Hashim, Ketua Pengarang Kumpulan akhbar The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai, Pemerintah Agung St John Ambulans Malaysia Datuk Dr Low Bin Tick dan Setiausaha Kehormat The Pure Life Society, S.Supramaniam.

Pada majlis itu baginda juga melantik Azman Yusof, 54, seorang pelukis sepenuh masa sebagai Pelukis DiRaja Selangor.

Pelantikan Jaksa Pendamai dan Pelukis DiRaja itu berkuatkuasa 1 Januari tahun ini. - BERNAMA

Sultan Perak Lantik Raja Bergelar Baru.


Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah memperkenankan kenaikan pangkat gelaran dan pelantikan baru Raja-Raja Bergelar dan Ahli Dewan Negara Perak.

Datuk Seri Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah dinaikkan pangkat gelaran daripada Raja Kechil Tengah Perak kepada Raja Kechil Besar Perak.

Gelaran yang disandangnya sebelum ini diganti oleh Raja Kechil Tengah Perak Datuk Seri Raja Ashman Shah ibni Sultan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, demikian diumumkan oleh Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayob Hashim dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sultan Perak juga berkenan membuat pelantikan Raja Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah sebagai Raja Kechil Tengah Perak yang baru.

Semua pelantikan berkuatkuasa 16 Mac 2010, kata Ayob.

Beliau berkata dua ahli baru Dewan Negara Perak yang dilantik bagi penggal dua tahun mulai 17 Mac 2010 ialah Datuk Seri Dr Jalaluddin Abdul Rahim dan Datuk Seri Ismail Shahudin.

Seramai 10 ahli lain yang dilantik semula ialah Tan Sri Raja Aznam Raja Ahmad, Datuk Yusof Sulaiman, Tan Sri Darshan Singh, Datuk Ismail Shah Bodin, Datuk Abdul Karim Mohd Jamil, Datuk Seri Dr Abdul Shukor Abdullah, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin, Datuk Zubairi Tajuddin dan Datuk Seri Raja Mansur Raja Razman. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails