Geng Aku

Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan

Ahad, 11 April 2010

Tahniah Pada Skuad Rusa.


Negeri Sembilan menjulang Piala FA edisi ke-21 setelah menewaskan Kedah 5-4 melalui sepakan penalti selepas terikat 1-1 setelah tamat masa tambahan pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu malam.

Ia merupakan kemenangan kedua skuad 'Hobin Jang Hobin' yang kali terakhir memenanginya pada 2003.

Pada perlawanan itu, Kedah yang terlebih dahulu membuka jaringan awal pada minit ke-27 melalui penyerang berbisa mereka, Baddrol Bakhtiar yang menewaskan penjaga gol lawan, Sani Anuar Kamsani.

Penyerang bawah 23 tahun kebangsaan itu menerima hantaran rakan sepasukan, Mohd Safiq Rahim sebelum bijak melambungkan bola ke gawang gol setelah Sani terkeluar dari posisinya.


Gol itu nyata membakar semangat anak-anak buah jurulatih Ahmad Yusof yang mendapat sorakan kira-kira 35,000 penyokong untuk terus mengasak bertali-arus namun dinafikan kekentalan benteng pertahanan lawan yang dikemudi oleh Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Mohd Syukor Adan.

Namun gol pendahuluan itu tidak bertahan lama apabila Negeri Sembilan mengemaskan rentak dan mengatur serangan seterusnya berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-38.

Mohd Shaffik Rahman licik memperdayakan tiga pertahanan Kedah yang diketuai oleh Mohd Fazliata Taib sebelum menolak bola menewaskan penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias menceriakan 25,000 penyokong 'Hobin Jang Hobin'.


Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan yang dibimbing jurulatih Wan Jamak Wan Hassan terus dihidangkan dua peluang melalui Mohd Zaquan Adha dan Mohd Aidil Zafuan namun dihampakan kecekapan Mohd Helmi.

Kedah turut mendapat beberapa peluang untuk menjaringkan gol terutamanya melalui Mohd Khril Muhyameen Zamri tetapi gagal diterjemahkannya untuk gol penyudah.

Berakhir 90 minit masa permainan, kedudukan masih terikat 1-1 memaksa perlawanan dilanjutkan masa tambahan 30 minit namun masih gagal mencari sebarang gol, memaksa penentuan menerusi sepakan penalti.

Tuah nyata milik Negeri Sembilan apabila berjaya memenangi sepakan penalti itu dengan keputusan 5-4 setelah penjaga golnya menyelamatkan tiga sepakan penalti lawan iaitu Mohd Fazliata, Mohd Helmi dan Mohd Sabre Mat Abu.


Kekecewaan Kedah sedikit terubat apabila penjaga golnya, Mohd Helmi dan Baddrol dipilih sebagai penjaga gol dan pemain terbaik perlawanan akhir.

Berangkat menyaksikan perlawanan adalah Tengku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tengku Anuar Sultan Badlisyah, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Mohamad Hasan.

-- BERNAMA

Sabtu, 10 April 2010

Negeri Sembilan Waspada Ancaman Pemain-Pemain Muda Kedah.


Negeri Sembilan yang dilihat mempunyai ramuan lengkap untuk bergelar juara tetap berwaspada dengan barisan pemain muda pasukan Kedah pada aksi perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu.

Jurulatih Negeri Sembilan Wan Jamak Wan Hassan berkata beliau tidak menganggap Kedah sebagai sebuah pasukan yang muda.


"Mereka telah bersama-sama sebagai satu pasukan sejak enam tahun lepas termasuk memenangi Piala FA dua tahun berturut-turut (musim 2006/2007 dan 2007/08) ketika dibimbing jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah.

"Mungkin sebelum ini mereka masih terkial-kial untuk mencari rentak namun skuad Hijau Kuning itu nampaknya telah kembali mendapatnya," katanya kepada pemberita pada sidang media di Stadium Nasional, petang Jumaat.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata kejayaan skuad Hijau Kuning itu menumpaskan Terengganu, yang sememangnya diketahui kuat, 4-1 secara agregat pada peringkat separuh akhir menunjukkan mereka merupakan pasukan yang tidak boleh dipandang ringan.

"Jelas Kedah memang mantap dari segenap posisi walaupun tanpa kehadiran beberapa pemain utama," katanya.



Mengenai persiapan Skuad rusa yang kali terakhir mengucup Piala FA pada 2003, Wan Jamak berkata semuanya berjalan lancar malah mendapat motivasi daripada Menteri Besar Datuk Mohamad Hasan yang mengumumkan hadiah berjumlah RM200,000 jika menjulang piala edisi ke-21 itu.

"Apa yang penting 11 pemain dalam padang dapat bersatu hati, mempamerkan disiplin yang tinggi dan menyempurnakan semua peluang yang terhidang selain cepat menyesuaikan diri dengan keadaan padang sama ada basah atau sebaliknya pasti akan menang," katanya.

Selain pemain sayap, Shahurain Abu Samah yang digantung satu perlawanan Negeri Sembilan dijangka menurunkan barisan terkuatnya seperti Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, Mohd Syukor Adan, Rezal Zambry Yahya, Idris Karim dan S. Kunalan.


Sementara itu jurulatih Kedah, Ahmad Yusof berkata walaupun turun pada perlawanan akhir buat pertama kali selaku jurulatih, ia tidak menjejaskan persiapan pasukan untuk merangkul Piala FA kali keempat sejak ia mula dipertandingkan pada 1990.


"Memang gementar dan terkejut kerana berjaya membawa Kedah ke perlawanan akhir pada musim pertama namun sebagai pemain saya telah banyak kali merasai aksi perlawanan akhir.

"Orang yang pandai tidak semestinya berjaya namun orang yang bersungguh-sungguh pasti berjaya," katanya yang tetap yakin skuad bimbingannya yang rata-rata dibarisi pemain-pemain bawah 23 tahun akan mencapai kemenangan.

Beliau tetap menghormati Negeri Sembilan yang mempunyai gabungan pemain-pemain lama dan baru yang jelas mempunyai pengalaman yang cukup tinggi.

"Namun kita ada strategi untuk menyekat mereka, malah perlawanan Liga Super sebelum ini turut memberi sedikit pengalaman dan pengajaran kepada kami," katanya.

Kedah akan turun tanpa penyerang sensasi mereka, Azlan Ismail yang masih menjalani penggantungan empat perlawanan selain kecederaan yang dialami Farizal Rozali.

Barisan kemungkinan:

Negeri Sembilan: Sani Anuar Kamsani, Aliff Shamsuddin, Mohd Shukor Adan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Ching Hong Aik, Idris Karim, Rezal Zambery Yahya, Muhd Shaffik Abdul Rahman, S. Kunalan, Muhd Arif Ismail, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.

Kedah: Helmi Eliza Elias, V. Thirumurugan, Khairul Helmi Johari, Fazliata Talib, Azmi Muslim, Sabre Mat Abu, Shahrulnizam Mustapa, Faizal Abu Bakar, Fadly Baharum, Baddrol Bakhtiar, Shafiq Jamal.

-- BERNAMA

Jumaat, 9 April 2010

'Kedah Mampu Julang Piala FA'


BARISAN pemain Kedah giat menjalani latihan menjelang aksi final Piala FA menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.


BEKAS jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah meramalkan skuad Kenari mampu menjulang Piala FA apabila menentang Negeri Sembilan pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Azraai berkata, walaupun Kedah dibarisi ramai pemain muda, namun ia bukan penghalang buat mereka mencipta kejutan ke atas Negeri Sembilan.

"Pemain muda ini sebenarnya telah mempunyai pengalaman bermain di peringkat yang lebih tinggi berbanding lawan seperti Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta beberapa perlawanan akhir," kata Azraai semalam. 

Malah Azraai berkata, pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) juga perlu bijak memberi motivasi kepada barisan pemain muda untuk mencipta kejayaan di bawah jurulatih Ahmad Yusof.



Pandangan Azraai itu tampak berasas kerana Kedah telah menjuarai Piala FA pada tahun 2007 dan 2008 serta beraksi di pentas Piala AFC untuk dua musim pada 2008 dan 2009.

"Nasihat saya, pemain perlu memberi fokus sepenuhnya kepada 90 minit masa permainan. Selain itu pasukan yang kurang membuat kesilapan akan berjaya," kata Azraai yang kini membimbing skuad bawah 21 tahun kebangsaan atau Harimau Muda A.

Sebelum ini, Azraai pernah membawa Kedah ke puncak kegemilangan apabila membimbing skuad Kenari itu menjuarai tiga piala termasuk Piala FA untuk dua musim berturut-turut pada 2006/07 dan 2007/08.

Sekiranya berjaya menjulang Piala FA edisi ke-21 kali ini, Kedah akan menjadi pasukan kedua terbaik dengan empat kali muncul selaku juara di belakang Selangor (lima kali) sejak piala terbabit diperkenalkan pada 1990. 

Kini Kedah terikat dengan Kuala Lumpur yang turut menjulang Piala FA sebanyak tiga kali dan muncul naib juara sekali pada 1992.

Kedah mara ke final Piala FA tahun ini apabila menyingkirkan Terengganu dengan agregat 4-1 manakala Negeri Sembilan menumpaskan juara bertahan, Selangor dengan peraturan gol di tempat lawan setelah terikat dengan agregat 2-2.

Ahad, 4 April 2010

Negeri Sembilan Vs. Kedah Di Final Piala FA.


AKHIRNYA impian penyandang juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan untuk beraksi di pentas final Piala FA tercapai.

Negeri Sembilan berjaya merealisasikan impian mereka itu apabila menyingkirkan juara bertahan, Selangor.

Sekalipun agregat terikat 2-2 selepas Negeri Sembilan tewas 0-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi, skuad Hoben Jang Hoben itu tetap melangkah ke final berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam Selasa lalu, Negeri Sembilan menang 2-1.

Gol tunggal Selangor malam tadi diperoleh hasil jaringan sendiri pertahanan Negeri Sembilan, Alif Shamsudin pada minit ke-56.

Terdahulu, pada babak pertama, Selangor dilihat gagal menyempurnakan beberapa peluang terbaik di depan pintu gol tuan rumah.

Begitu juga Negeri Sembilan yang terlepas untuk menggegar gawang pasukan pelawat.

Pada babak kedua, skrip yang sama hampir berulang apabila beberapa peluang yang diperoleh kedua-dua pasukan gagal dimanfaatkan sebaik mungkin.

Hanya jaringan tunggal Alif dapat dijelmakan bagi menceriakan seketika penyokong Selangor.



Sementara itu, Kedah membenam Terengganu 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Kemenangan itu menyaksikan Kedah mara ke final dengan agregat 4-1 selepas skuad Kenari itu mencipta kemenangan 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pada aksi malam tadi, Khairul Helmi Johari menjaringkan gol pertama Kedah seawal minit kelima.

Muhd. Syafiq Jamal menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-24.

Gol tunggal Terengganu dijaringkan oleh Wan Mohd. Aliff pada minit ke-42.

Rabu, 31 Mac 2010

Kedah, Negeri Sembilan Buat Kejutan.


Pasukan bukan pilihan Kedah dan Negeri Sembilan membuat kejutan apabila masing-masing mencipta kemenangan pada pertemuan pertama, suku akhir yang berlangsung malam Selasa.

Pasukan Negeri Sembilan berjaya menumpaskan pasukan tuan rumah, Selangor 2-1 di Stadium Shah Alam.


Kegembiraan Selangor memperolehi gol pertama menerusi tendangan Mohd Safee Sali pada minit ke-41 tidak bertahan lama apabila pasukan pelawat bangkit menjaringkan gol pada babak kedua perlawanan.


Ayam tambatan pasukan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak ternyata tidak kecewakan pasukanya apabila menjaring gol pertama pada minit ke-70.

Seminit selepas gol pertama, S.Kunanlan menjaringkan gol kemenangan bagi pasukan Negeri Sembilan.


Sementara itu, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu, Pasukan tuah rumah gagal menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri setelah tewas 0-2 kepada Kedah.

Penyerang pasukan Kedah, Mohd Faizal Abu Bakar menonjolkan aksi cemerlang apabila menjaringkan gol pertama Kedah pada minit ke-28.

Walaupun pasukan Terengganu berkali-kali membuat serangan namun ternyata kubu Kedah sukar ditembusi.


Gol kedua Kedah dijaringkan oleh Azlan Ismail pada minit ke-58.

Pertemuan kedua, suku akhir dijadualkan berlangsung pada 3 April ini melibatkan pertemuan kedua antara Negeri Sembilan dan Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.

Manakala pasukan Kedah pula akan bertemu Terengganu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

-- BERNAMA

Isnin, 29 Mac 2010

Button Tawan Albert Park.




Pemandu McLaren, Jenson Button menguasai perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Australia bagi musim kedua berturut-turut.

Semalam, pemandu McLaren itu bijak menggunakan strategi yang tepat untuk muncul juara di Litar Albert Park dengan catatan masa 1 jam 33:36.531 saat, sekali gus mengetepikan pencabar terdekatnya daripada Renault, Robert Kubica (1:33:48.565s).

Sebelum itu, Button terlibat dengan kemalangan dengan pemandu Ferrari, Fernando Alonso di selekoh pertama seawal pusingan pertama.

Namun dia berjaya bangkit mendahului pada pusingan ke-26 apabila pemandu Red Bull, Sebastian Vettel yang bermula di petak pertama, mengalami masalah brek.

"Saya sangkakan saya telah membuat kesilapan apabila menukar tayar terlalu awal," kata Button yang juga pemandu pertama memasuki pit untuk menukar tayar licin walaupun dalam keadaan litar masih basah.

"Sukar untuk saya mengawal jentera dengan baik dengan menggunakan tayar licin di litar yang masih basah.

"Namun sebaik sahaja litar semakin kering, saya mula dapat memecut dengan baik. Saya gembira kerana ia merupakan satu strategi yang tepat."



Sementara itu, dua pemandu Ferrari, Felipe Massa dan Alonso masing-masing menamatkan saingan di tempat ketiga dan keempat.

Massa mencatat masa 1:33:51.019s manakala Alonso yang juga juara perlumbaan pembuka tirai GP Bahrain mencatat masa 1:33:52.835s.

Dalam pada itu, impian pemandu Mercedes GP, Michael Schumacher untuk meraih kemenangan kelima pada GP Australia tidak kesampaian.

Schumacher yang kembali beraksi musim ini selepas bersara pada penghujung 2006, terbabas selepas jenteranya berlanggar dengan Alonso.

Jentera Schumacher mengalami kerosakan teruk di bahagian sayap hadapan dan dia terpaksa ke pit untuk menggantikannya sebelum meneruskan perlumbaan.

"Saya berpeluang untuk beraksi dengan baik hari ini (semalam) tetapi malangnya saya terlibat dengan kemalangan seawal selekoh pertama," kata Schumacher yang sekadar menamatkan saingan di tempat ke-10 pada perlumbaan itu.

"Kemalangan itu menjejaskan semuanya. Namun perkara sebegini sering berlaku dalam perlumbaan.

"Saya terpaksa meneruskan perlumbaan dengan kedudukan paling belakang tetapi saya tetap gembira kerana saya masih mampu untuk bangkit memintas beberapa pemandu lain dan meraih satu mata." - AFP

Sabtu, 27 Mac 2010

Azizulhasni Sekadar Rangkul Perak.


AZIZULHASNI menunjukkan pingat perak yang dimenanginya dalam acara keirin pada Kejohanan Trek Dunia di Copenhagen, Denmark semalam.


BIARPUN gagal dalam misinya melunas- kan dendam terhadap Chris Hoy, pelumba sensasi negara, Mohd. Azizulhasni Awang tetap menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Awal pagi semalam, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu menghadiahkan pingat perak pertama kepada Malaysia dalam acara keirin pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Dunia 2010 di Copenha- gen, Denmark.

Biarpun berjaya melakar sejarah tersendiri dengan kejayaannya itu, Azizul- hasni mengakui, dia masih kecewa kerana gagal membalas dendam ke atas Hoy yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2008.

"Saya sangat kecewa kerana gagal menebus kekalahan kepada Chris," kata Azizulhasni kepada Kosmo! semalam. 

"Pada pecutan terakhir, saya sudah bersedia untuk memintas Hoy tetapi terganggu oleh 'serangan' daripada pelumba Jerman, Levy Maxmillian.

"Oleh kerana gangguan daripada Maxmilian, saya tidak dapat cukup masa untuk memintas Hoy," katanya lagi.

Azizulhasni, 21, turun pada aksi final semalam dengan harapan menebus keka- lahan kepada Hoy selepas dia kecundang kepada musuh tradisinya itu pada saingan suku akhir Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.

Pada aksi final yang melibatkan lapan pusingan itu, Azizulhasni yang digelar The Pocketrocketman berjaya mengekori rapat Hoy sepanjang lima pusingan awal.

Namun, Hoy mula memecut pada pusi- ngan terakhir untuk meninggalkan Azizulhasni di tempat kedua.

Begitupun, Azizulhasni masih mampu menebus kekecewaannya itu apabila dia sekali lagi berpeluang berentap dengan jaguh sensasi Britain itu dalam acara pecut yang bermula hari ini.

Selasa, 23 Mac 2010

Kerajaan Pulau Pinang Hargai Chong Wei Dan Nicol Dengan Insentif


Jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei dan ratu skuasy negara Datuk Nicol David masing-masing menerima sumbangan penghargaan sebanyak RM20,000 daripada kerajaan negeri malam Isnin.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata sumbangan itu sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada kedua-dua wira negara itu yang juga merupakan anak jati Pulau Pinang.

"Kerajaan negeri tidak berpuas hati sekiranya kejayaan yang begitu gemilang tidak diberi sedikit imbuhan, lantaran itu pihak kerajaan negeri memberi sumbangan ini sebagai tanda penghargaan," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya negeri itu berasa bertuah kerana adanya jaguh dunia itu dan berharap mereka dapat menyumbang bakti melatih generasi baru terutamanya generasi negeri itu.

Baru-baru ini, Chong Wei merangkul kejuaraan All England ke-100 manakala Nicol memenangi Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur CIMB Sabtu lalu.

Sementara itu, Chong Wei berkata beliau bertuah menerima penghargaan daripada kerajaan negeri itu.

-- BERNAMA

Ahad, 21 Mac 2010

Selangor,NS,T'ganu & Kedah Ke Separuh Akhir.


RUDIE (kiri) diasak pemain pertahanan Pos Malaysia, Mohd. Roslan Basiron pada aksi di Stadium Shah Alam malam tadi.


SELANGOR mudah melangkah ke saingan separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Pos Malaysia 3-0 pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi.

Terdahulu, Selangor membelasah Pos Malaysia 5-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sekali gus layak ke saingan separuh akhir dengan agregat 8-1.

Pada aksi semalam, biarpun hanya dibarisi majoritinya pemain simpanan, Selangor tetap membuktikan kehebatan mereka apabila R. Surendran berjaya membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang dari dalam kotak penalti seawal minit kedua.

Skuad kendalian K. Devan itu terus menguasai perlawanan dan hasilnya, Rudie Ramli berjaya menyumbat gol kedua Selangor pada minit ke-38.
Surendran sekali lagi meletakkan namanya selaku penjaring apabila meledak gol ketiga pada minit ke-41.

Tersentak dengan tiga gol Selangor itu, Pos Malaysia dilihat memperkemaskan jentera serangan mereka dengan melancarkan serangan ke arah kubu Selangor.

Bagaimanapun, kekentalan bahagian pertahanan skuad Gergasi Merah yang diketuai oleh Bunyamin Omar berjaya mengekang setiap gerakan pasukan pelawat.



Sebaik babak kedua bersambung, Selangor mula memperlahankan rentak permainan sehingga keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Selangor akan berdepan dengan Negeri Sembilan dalam perlawanan separuh akhir pertama yang dijadual berlangsung pada 30 Mac ini.

Nicol Raih Gelaran Keenam.




DATUK Nicol David berjaya merangkul kejuaraan keenam Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB 2010.

Selepas kempunan muncul juara pada edisi 2009, ratu skuasy negara ini kembali merampas mahkota kejuaraan selepas membenam pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy pada aksi final di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur semalam.

Nicol hanya memerlukan masa selama 31 minit untuk menumbangkan pemain pilihan keempat itu dengan kemenangan straight set 11-4, 11-2, 13-11.


“Saya sudah menjangkakan perlawanan ini memang sukar. Omneya bermain dengan cukup tenang kerana dia tidak kisah sama ada menang atau kalah.

“Sebaliknya, saya perlu menang kerana saya bermain di tempat sendiri selain untuk menebus kegagalan tahun lalu.

“Pada suatu ketika, Omneya memberi sedikit tekanan kepada saya tetapi mujur, saya dapat mengekalkan rentak permainan untuk meraih kemenangan straight set,” kata Nicol yang juga pemain No. 1 dunia.

Selaku juara, Nicol membawa pulang trofi dan wang tunai US$8,550 manakala Omneya membawa pulang wang tunai US$6,075.


AKSI Nicol (kiri) ketika menentang Omneya pada final Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB 2010 di Berjaya Times Square semalam.


Untuk rekod, Nicol sebelum ini telah menjuarai kejohanan yang sama pada edisi 2000, 2002, 2005, 2007 dan 2008.

Dalam saingan final lelaki, pemain No. 1 dunia, Ramy Ashour meraih gelaran sulungnya di Kuala Lumpur setelah menewaskan rakan senegaranya dari Mesir, Karim Darwish 11-8, 11-8, 11-9 dalam masa 41 minit.

“Set terakhir agak sukar kerana saya terpaksa mengejar mata setelah ketinggalan 5-9. Karim bermain dengan bagus dan mentalnya juga kuat,” katanya.

Ramy membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai US$7,600 manakala Karim meraih US$5,200.

Isnin, 15 Mac 2010

Lee Chong Wei Juara All England.


Datuk Lee Chong Wei muncul juara Kejohanan Badminton All England awal pagi ini, sesuatu yang gagal dilakukan guru badmintonnya sendiri, Datuk Misbun Sidek.

Ia begitu bermakna lantaran Chong Wei memenangi kejohanan itu buat pertama kali dalam kariernya, apatah lagi kemenangan itu hadir pada ulang tahun ke-100 kejohanan tersebut.

Kemenangan itu, sekali gus menebus kehampaan beliau tahun lalu apabila tewas di tangan pemain China, Lin Dan pada perlawanan akhir kejohanan yang sama.

Bagaimanapun, Chong Wei terpaksa berhempas pula sebelum mengalahkan pemain Jepun, Kenichi Tago di National Indoor Arena, Birmingham yang berkesudahan dengan keputusan 21-19 bagi kedua-dua set.

Kali terakhir Malaysia menang kejohanan itu bagi acara perseorangan melalui Hafiz Hashim beberapa tahun lalu, juga anak didik Misbun.

Selasa, 2 Mac 2010

Sabotaj Elak MB Lepaskan Pelumba LTdL.



“Kami telah berbincang dan bersetuju memberi penghormatan kepada Menteri Besar bagi melepaskan pelumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) seperti tahun-tahun lepas. Namun malangnya ada sabotaj di saat-saat akhir apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr 
Awang Adek Hussin pula diminta penganjur melepaskan peserta, sedangkan Menteri Besar ada pada majlis berkenaan,” kata anggota Exco, Abdul Fattah Mahmood (gambar).

Menurutnya, tindakan pihak penganjur itu secara jelas telah memperlekehkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai ketua kerajaan negeri.

“Sedangkan sejak peringkat awal lagi perlumbaan LTdL diadakan kita memberi segala kerjasama sebaik mungkin,” katanya pada persidangan media di sini hari ini.

Upacara pelepasan pelumba ke Kuala Berang, Terengganu diadakan di Dataran Rehal pagi tadi.

Dan tengah hari semalam, Menteri Besar hadir pada program pengenalan pasukan bertanding yang diadakan di sebuah hotel.

Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri telah memberi kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan program tersebut.

Malah katanya, persetujuan telah dicapai di mana acara pelepasan dilakukan Menteri Besar, namun apa yang berlaku pagi tadi begitu mendukacitakan.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mengutus surat kepada pihak penganjur bagi menyatakan kekesalan terhadap insiden terbabit.

LTdL tahun ini buat pertama kali dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan disertai 20 pasukan.

Perlumbaan melibatkan tujuh peringkat sejauh 1,013.9 km bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM710,650.

LTdL 2010 menjadikan Kelantan sebagai tempat pelepasan pertama peserta bagi memulakan cabaran Kota Bharu ke Kuala Berang sejauh 174.5 km.

Abdul Fattah juga mendakwa tindakan Awang Adek dianggap biadap kerana semasa ketibaan Menteri Besar beliau tidak bangun, sedangkan VIP menghormati kehadiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Isnin, 1 Mac 2010

Nik Aziz Bersyukur, Kelantan Jadi Tumpuan,


Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersyukur kerana Kelantan menjadi pusat pelepasan acara perlumbaan jelajah basikal paling berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 pada Isnin.

"Acara ini boleh memberi kesan positif kepada pembangunan industri pelancongan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan peserta dari 20 pasukan LTdl 2010 itu, di sini, pada Ahad.

Beliau juga berharap peserta Malaysia dapat meraih kejayaan cemerlang dalam perlumbaan tahunan itu supaya ia dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Jarak keseluruhan perlumbaan edisi ke-15 dari 1 hingga 7 Mac ini melibatkan jarak sejauh 1,013.9 kilometer.


Peringkat pertama perlumbaan akan bermula di sini ke Kuala Berang sejauh 174.5km, diikuti Kuala Terengganu-Chukai (182.3km), Pekan-Mersing (145.6km), Mersing-Parit Sulong (163.5km), Muar-Port Dickson (111.5km), Putrajaya-Genting Highlands (102.8km) dan peringkat akhir dari Kuala Kubu Baru ke Dataran Merdeka sejauh 133.7km.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohd Yassin Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood.

-- BERNAMA

Khamis, 24 Disember 2009

Tony Fernandez Nafi Beli West Ham.




Tony Fernandes

Datuk Seri Tony Fernandes menafikan bahawa dia telah membuat tawaran untuk membeli kelab West Ham meskipun telah mengadakan perbincangan dengan kelab tersebut.

CB Holdings, syarikat yang memiliki West Ham, sedang mencari pelabur baru dan mereka sangat berharap ahli perniagaan dari Malaysia itu bersetuju membeli 51 peratus saham dalam kelab Liga Perdana England itu.

Tony Fernandes merupakan individu yang membawa semula pasukan Lotus ke kancah perlumbaan Formula Satu (F1) tahun depan dan dilihat sebagai alternatif terhadap penjualan West Ham kepada bekas pemilik Birmingham, David Gold dan David Sullivan.



Begitupun, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan tambang murah AirAsia itu menafikan laporan tersebut kepada akhbar London Evening Standard kelmarin.

"Tidak, bukan dalam masa terdekat ini. Saya sedang sibuk menguruskan tentang pasukan F1 saya, jadi ia (pembelian West Ham) bukan sesuatu yang akan saya lakukan," katanya.

Bank dari Iceland, Straumur memiliki saham sebanyak 70 peratus dalam syarikat CB Holdings dan telah menolak tawaran sekitar £50 juta (RM274.2 juta) daripada Gold dan Sullivan ke atas kelab yang dianggarkan bernilai £120 juta (RM658 juta) itu.



Tony Fernandes yang meminati kelab West Ham mengakui bahawa masa depan kelab yang menduduki tangga kedua terbawah Liga Perdana England itu tidak begitu cerah.

"Saya sangat risau tentang masa depan West Ham. Mereka dalam keadaan genting sekarang ini dan cara pengurusan kewangan juga teruk," kata Tony.

"Peminat kelab ini, termasuk saya mahukan yang terbaik, tetapi kedudukannya tidak begitu bagus untuk menarik pelabur baru." - Agensi

Rabu, 23 Disember 2009

Petronas Hanya Pentingkan Keuntungan..





KENAPA tak taja pasukan milik Malaysia Lotus 1MF1T?

Itu persoalan utama yang dilontarkan oleh beberapa peminat sukan pemotoran tempatan ketika diminta memberi pendapat mengenai perkembangan terbaru yang menyaksikan Petronas tampil sebagai penaja pasukan Mercedes.

Namun, yang sedihnya peminat serta beberapa individu berpengaruh dalam sukan pemotoran ini enggan nama mereka disiarkan.

Mereka berkata: "Keputusan Petronas untuk menjadi penaja utama pasukan Mercedes GP pada perlumbaan Formula Satu (F1) musim 2010 menimbulkan pelbagai persoalan tentang kredibiliti syarikat petroleum gergasi itu dalam memajukan pembangunan sukan pemotoran di Malaysia."


PETRONAS turut menjadi penaja pasukan Red Bull dalam saingan F1.


Sebagai satu-satunya syarikat minyak dan gas terbesar negara, peminat F1 menjangkakan Petronas akan memberi sokongan kepada pasukan milik Malaysia iaitu Lotus 1MF1T yang diketuai Datuk Seri Tony Fernandes.

Namun sebaliknya, Petronas yang mula menceburi bidang kejuruteraan F1 ketika bersama Red Bull Sauber pada 1996, mengeluarkan kenyataan kelmarin untuk menaja pasukan Mercedes selama lima tahun bermula 2010 selepas penajaan dengan pasukan BMW Sauber berakhir musim ini.

Begitupun, perbadanan minyak nasional itu mempertahankan bahawa keputusan yang dibuat itu adalah berdasarkan prinsip perniagaan semata-mata dan tidak seharusnya terikat dengan sesebuah negara atau entiti mana-mana pasukan.


PASUKAN BMW merupakan pasukan terakhir yang ditaja oleh Petronas sebelum beralih ke Mercedes.


"Penyertaan dan pelaburan Petronas dalam sukan adalah berasaskan dan berpandukan usaha sama yang memberi sokongan langsung terhadap perluasan perniagaan dan pada masa yang sama, melengkapkan usaha penjenamaan antarabangsa," kata sumber Petronas kepada Kosmo! semalam.

"Keputusan untuk menaja Mercedes dibuat berdasarkan pertimbangan komersil dengan matlamat menjana pertumbuhan perniagaan berkekalan untuk Petronas, terutama dalam operasi globalnya.

"Penyertaan lepas dan semasa Petronas dalam sukan F1 bukan sahaja membangunkan jenama globalnya, malah telah menyumbang terhadap pertumbuhan perniagaan, terutama perniagaan bendalir dan minyak pelincir dalam beberapa pasaran utama di Asia dan Eropah," kata sumber itu lagi.


BARISAN pemandu yang pernah bernaung di bawah pasukan tajaan Petronas.


Petronas mengalihkan tumpuan pemasaran mereka kepada pasukan Mercedes GP adalah kerana melihat reputasi dan imej pasaran global yang dimiliki pengeluar kenderaan dari Jerman itu lebih berpotensi dari segi penjenamaan berbanding pasukan baru dari Malaysia, Lotus 1MF1T.

"Mungkin ramai yang berasakan Petronas sepatutnya menjadi penaja dan memberi sokongan kepada pasukan Lotus 1MF1T kerana pasukan itu dari Malaysia.

"Tetapi kami melihat Mercedes adalah satu jenama yang besar di peringkat global dan pasukan itu juga telah memenangi dua kejuaraan dunia F1 dengan nama Brawn GP musim lepas.

"Jadi dengan menjalinkan usaha sama dengan pasukan yang dikenali sebagai Mercedes GP ini, Petronas bukan saja dapat mengembangkan lagi kepakaran dalam bidang kejuruteraan pelincir dan enjin jentera, malah dapat memperluaskan lagi jenama Petronas dan imej Malaysia di seluruh dunia.

"Kami juga tidak terikat dengan mana-mana pasukan atau entiti negara walaupun syarikat perbadanan ini merupakan hak milik kerajaan Malaysia," kata sumber itu lagi.

Sumber itu bagaimanapun memberitahu bahawa jumlah penajaan selama lima tahun dengan pasukan Merceders GP itu tidak dapat didedahkan.

Jumaat, 18 Disember 2009

Skuad Bola Sepak Malaysia Menang..


Malaysia akhirnya menamatkan kemarau pingat emas bola sepak dalam Sukan SEA selepas mengalahkan Vietnam, 1-0 di peringkat akhir yang berlansung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Kebangsaan di sini hari ini.


Pemain-pemain kebangsaan bawah 23 tahun tiba dengan tidak diberi harapan memenangi sebarang pingat membuat kejutan dengan memenangi pingat emas pada Sukan SEA-25 itu.

'Kemenangan' itu dihadiahkan oleh hasil gol sendiri pemain Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-84 sekali gus menjadikan jumlah pungutan pingat kontinjen negara sebanyak 40 emas di sini.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas untuk bola sepak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 1989, dengan kemenangan 1-0 ke atas Singapura.

Pemain Vietnam, Mai Xuan Hop (kanan) menangis ketika pemain-pemain Malaysia meraikan kemenangan mereka. Kemenangan itu menjadi lebih manis selepas Malaysia ditewaskan oleh Vietnam 1-3 pada perlawanan peringkat kumpulan 6 Disember lalu.

Mai Xuan Hop (kanan) hanya mampu bersedih ketika pemain-pemain negara meraikan kemenangan 1-0 ke atas Laos. -Foto AP
 
Pada saingan suku akhir, pemain-pemain muda negara menundukkan juara bertahan Thailand, 2-1 di peringkat kumpulan untuk menempah tempat separuh akhir sebelum menewaskan Laos, 3-1 di hadapan 20,000 penyokong tuan rumah.

Rabu, 16 Disember 2009

FAM Bertegas Singkirkan Pasukan Berstatus 'Pokai'


PASUKAN yang masih berdepan masalah kewangan dalam saingan Liga Malaysia musim depan bakal dikenakan hukuman tegas daripada FAM.



PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membatalkan serta-merta penyertaan sesebuah pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2010 jika mereka didapati berhutang biarpun untuk hanya tempoh sebulan.

Penolong Setiausaha Agung FAM, Ahmad Fuad Daud berkata, tindakan itu akan diambil sekira- nya terdapat aduan terhadap pasukan yang gagal membayar sama ada gaji pemain, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Jika kita mendapat aduan mereka gagal membayarnya selepas tamat sesatu bulan itu, maka penyertaan pasukan tersebut dalam Liga M 2010 akan terbatal serta- merta dan pemain mereka dibenarkan untuk pendaftaran khas dengan pasukan lain.



"Selain itu, pasukan boleh dikenakan tindakan penggantungan selama tiga musim, dilucut- kan deposit, diminta membayar kos pengelolaan dan didenda maksimum RM100,000," kata Ahmad Fuad pada Majlis Taklimat Liga M 2010 di Wisma FAM, Kelana Jaya pagi semalam.

Liga Super 2010 bakal disertai 14 pasukan iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, T-Team, Johor FC, Johor, KL Plus, Kuala Lumpur dan Perak.

Liga Perdana 2010 pula menampilkan 12 pasukan iaitu PKNS, Sabah, Harimau Muda B-19, Pos Malaysia, Staf USM, Melaka, Felda United, Sarawak, PDRM, ATM, Majlis Perbandaran Muar dan Shahzan Muda.


KETUA Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya (dua dari kanan) melakukan cabutan undian untuk pasukan yang akan bersaing dalam kempen Liga Malaysia bagi musim 2010 di Kelana Jaya semalam.


Jelas Ahmad Fuad, saingan Liga FAM 2010 pula kini baru mempunyai lima pasukan dari saingan musim lalu iaitu Tambun Tulang, UiTM FC, Ban Hoe Leong, Penjara Melaka dan Melodi Jaya.

"Liga FAM 2010 dikhaskan kepada pemain berusia 28 tahun (lahir 1982) dan ke bawah. Pemain lebih usia 28 tahun hanya dibenarkan jika dia merupakan pemain profesional yang diberi kontrak.

"Negeri-negeri juga diingatkan untk menyenaraikan pasukan untuk Liga FAM ini sebelum 11 Januari depan. Kita memerlukan minimum lapan pasukan dan jika gagal mencapai jumlah itu, Liga FAM 2010 akan dibatalkan," ujarnya.

Sementara itu, pendaftaran kedua untuk Liga Super dan Liga Perdana hanya akan dibuka dari 5 hingga 18 Mei depan manakala pendaftaran pemain pinjaman untuk saingan Piala Malaysia akan dibuka dari 26 Julai hingga 9 Ogos.

Menyentuh soal disiplin penonton, Ahmad Fuad berkata, tinda- kan tegas akan dikenakan terhadap pasukan yang para penyokongnya didapati bertindak liar.

"Pasukan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000, potong mata kemenangan, beraksi di stadium kosong dan juga stadium akan ditutup untuk beberapa perlawanan," katanya.

Liga M 2010 juga akan disiarkan secara langsung setiap Jumaat di Astro dan setiap Sabtu di RTM bagi perlawanan-perlawanan pilihan.

Selasa, 8 Disember 2009

Liga Super 'Pahang' Diselamatkan Lagi...






REKOD 'cemerlang' Pahang yang tidak pernah turun ke liga bawahan berterusan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan skuad Tok Gajah itu akan kembali bersaing dalam Liga Super 2010 yang ber- mula 9 Januari depan.

Pahang sebelum ini sepatutnya telah tersingkir ke Liga Perdana 2010 setelah tewas 1-5 ke- pada Selangor dalam aksi terakhir Liga Super 2009 pada 25 Julai lalu, sekali gus menduduki tangga kedua tercorot.



Pada 15 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis FAM juga mengesahkan bahawa Pahang akan turun beraksi dalam Liga Perdana 2010 bersama-sama pasukan tercorot Liga Super 2009 iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, Mesyuarat Majlis FAM semalam yang dipengerusikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM bertindak 'menyelamatkan' pasukan negeri itu pada saat akhir sambil 'mengorbankan' skuad B-21 kebangsaan, Harimau Muda A.

"Hari ini (semalam) mesyuarat Majlis FAM telah membuat sedikit perubahan untuk pasu- kan-pasukan bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana musim depan.

"Setelah dibincang secara panjang lebar, Harimau Muda A dicadangkan untuk tidak beraksi dalam Liga Super 2010 supaya pemain-pemainnya dilepaskan beraksi untuk pasukan negeri masing-masing.

"Bagi menggenapkan 14 pasukan, Pahang dinaikkan semula ke Liga Super. Liga Perdana pula, kami akan jemput satu pasukan dari Liga FAM untuk menggenapkan 12 pasukan," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh pada sidang media semalam.



SULTAN AHMAD SHAH beramah mesra dengan pegawai yang hadir sebelum baginda
mempengerusikan Mesyuarat Majlis FAM di Wisma FAM semalam.



Mengulas lanjut perkara tersebut, Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Pahang dipilih menggantikan Harimau Muda A kerana 'kedudukannya' yang paling atas dalam senarai asal pasukan-pasukan Liga Perdana 2010.

"Tiada soal pilih kasih. Keputusan ini telah dipersetujui oleh suara majoriti dalam mesyuarat Majlis FAM hari ini (semalam).



"Harimau Muda B iaitu skuad B-19 kebangsaan akan kekal dalam Liga Perdana manakala Harimau Muda A di bawah jurulatih Azraai Khor Abdullah hanya akan dikumpul apabila ada tugasan antarabangsa," jelas Khairy.

Kosmo! pada 27 Julai lalu telah melaporkan tentang kemungkinan Pahang akan diselamatkan lagi oleh FAM daripada terjerumus ke saingan Liga Perdana.

Keputusan FAM semalam sebenarnya 'ulangan' kepada tindakan mereka ketika menukar format Liga Malaysia 2007 sejurus berakhir saingan musim 2006.






FAM ketika itu mengubah format daripada lapan pasukan kepada 14 pasukan, sekali gus menyelamatkan Pahang yang menduduki tangga ketujuh daripada lapan pasukan pada Liga Super 2006.

Dalam pada itu, Sultan Ahmad Shah dalam titah baginda ketika mesyuarat semalam memberitahu, Datuk Gulzar Mohammad telah meletak jawatan sebagai Naib Presiden FAM secara sukarela berkuat kuasa 22 November lalu atas alasan kesihatan dan tumpuan kepada pernia- gaannya.

Selain itu, pada tarikh yang sama, FAM turut melantik Tan Sri Mohd. Noor Abdul Rahim sebagai Bendahari FAM yang baru mengganti- kan Datuk Cheong Keap Tai.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails