Geng Aku

Selasa, 2 Mac 2010

DAP, PAS Mahu Anwar Terus Jadi Ketua.





Persoalan sama ada DAP akan terus menyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang tidak timbul sama sekali.

Sebaliknya menurut tokoh utama parti itu, Lim Kit Siang, DAP sentiasa memberikan sokongan padu kepada Anwar berhubung kepemimpinannya dalam Pakatan Rakyat, sebagai ketua pembangkang dan sebagai bakal perdana menteri apabila mereka menumbangkan Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.
Menurut Lim (kiri, berbaju cerah) lagi pada kenyataan medianya, hari ini, Anwar akan terus menjadi ketua pembangkang meskipun jika ahli parlimen PKR kurang daripada 28 ahli - jumlah yang kini dimiliki oleh DAP.

Dengan pengumuman keluar parti oleh ahli parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng semalam, PKR kini mempunyai 28 MP. Jumlah itu menyamai dengan kerusi yang dimiliki oleh DAP.

Menurut Lim, apa yang berlaku di PKR adalah proses pembersihan yang dilihat perit dan pedih tetapi amat diperlukan bagi menjamin kredibiliti dan masa depan PKR dan Pakatan Rakyat.



Menurut Lim, “perbezaan ketara antara PR dan BN ialah sampah-sarah PR adalah permata BN”.

Sekretariat DAP juga mengeluarkan kenyataan media yang ditandatangani olehi 28 ahli parlimennya dan dua senator yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Anwar.

Dalam pada itu, sekretariat PAS juga dalam satu kenyataan media menyatakan semua ahli parlimennya menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Anwar sebagai ketua pembangkang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariat PAS, ahli parlimen parti itu, sepakat untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat pada pilihanraya umum yang lalu.
PAS yang mempunyai 23 kerusi di Dewan Rakyat berkata ahli parlimen mereka sedar bahawa rakyat mengundi kerana mahu kepada perubahan dari suasana ketidakadilan, kezaliman, kemiskinan dan ketidaksamarataan hak-hak asasi kepada satu kerajaan berkebajikan dan bersih yang berasaskan prinsip-prinsip agama dan moral.

“Oleh itu kami kesal dengan tindakan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang telah memilih untuk meninggalkan prinsip-prinsip murni perjuangan ini.

“Kami kekal yakin dengan perjuangan dan kepimpinan parti-parti Pakatan Rakyat dan akan meningkatkan lagi usaha-usaha kami dikalangan masyarakat dan di Dewan Rakyat yang akan mula bersidang pada 15 Mac ini,” menurut kenyataan itu lagi.

PAS juga menyeru kepada masyarakat untuk bersama menentang cadangan-cadangan baru kerajaan BN untuk menaikkan harga petrol dan barang-barang keperluan lain dan memperkenalkan cukai baru seperti GST.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh 23 ahli parlimennya dan dua ahli dewan negara PAS.

Malukan Nik Aziz, PM Diminta Bertindak.



Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hangat seketika apabila beberapa wakil kerajaan membangkitkan tindakan penganjur perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi membelakangkan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (bawah) pada upacara melepaskan peserta semalam.
Rata-rata wakil rakyat PAS itu mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan segera terhadap penganjur yang didakwa mereka telah memalukan bukan sahaja kepada Nik Aziz tetapi kepada rakyat Kelantan keseluruhannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Abdul Fatah Mahmood berkata beliau telah menghantar mesej kepada Najib melalui laman sosial Facebook Perdana Menteri itu hari ini.

"Saya juga sudah mengutus surat secara rasmi kepada Perdana Menteri hari ini agar sesuatu tindakan susulan diambil terhadap penganjur yang telah memalukan Menteri Besar (Nik Aziz) dan juga rakyat Kelantan," katanya pada sesi soal jawab persidangan DUN, di Kota Bharu hari ini.

Semalam, nama Nik Aziz sebagai tetamu kehormat yang akan melepaskan peserta di hadapan Istana Balai Besar, digugurkan pada saat akhir tanpa dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Majlis pelepasan perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia yang memulakan peringkat pertama dari Kota Bharu ke Kuala Berang sejauh 174.5km itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Abdul Fatah berkata yang lebih mengecewakan ialah Nik Aziz pada mulanya tidak dibenar menaiki pentas utama untuk bersama-sama Awang Adek (kanan) membuat pelepasan itu tetapi selepas campurtangan pegawai, Menteri Besar itu dibenar naik ke pentas.

Mat Yusoff Abdul Ghani (BN-Nenggiri) bangun meminta penjelasan adakah benar Nik Aziz yang sepatutnya membuat pelepasan itu atau sebaliknya seperti yang diputus dalam mesyuarat jawatankuasa sambutan sebelum itu.

Abdul Fatah berkata perkara itu tidak timbul kerana pemilihan Nik Aziz diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Ketika ditemui di luar Dewan, beliau berkata kerajaan negeri akan menilai semula peranannya dalam memberikan kerjasama pada masa akan datang.

LTdL kali ini dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan disertai 20 pasukan.

Perlumbaan melibatkan tujuh peringkat sejauh 1,013.9 kilometer untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai RM710,650.

Sementara itu, Kelantan meminta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) melantik segera tiga wakil kerajaan negeri ke dalam lembaga pengarah agensi itu.

Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata pelantikan itu penting dalam menyelaraskan program pembangunan demi untuk rakyat di Kelantan Selatan terutama perkara yang membabitkan soal tanah.

Persidangan DUN ditangguh pada satu tarikh yang akan ditentukan.

- Bernama

Biar Rakyat Yang Nilaikan-Lim


Ketua Menteri Lim Guan Eng meminta penduduk Pulau Pinang menilai sendiri tindakan Anggota Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng dan bekas Timbalan Ketua Menteri Mohammad Fairus Khairuddin keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Rakyat sudah bijak untuk menilai mereka," katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan Tan dan Mohammad Fairus itu.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata tindakan kedua-dua anggota PKR itu tidak akan menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita akan terus berkhidmat dengan mandat yang diberikan kepada kita dan kita tidak akan terganggu dengan perkara itu," katanya.

Pengkianat PKR

Semalam, Mohammad Fairus mengumumkan keluar PKR dan menyertai Umno manakala Tan, yang mengumumkan keluar parti itu pagi ini, akan menjadi wakil rakyat Bebas.

Tan memberi alasan bahawa tindakannya itu disebabkan beliau kecewa dengan PKR yang tunduk kepada kepimpinan Lim yang dianggap seperti diktator manakala Mohammad Fairus berkata beliau telah hilang kepercayaan kepada kepimpinan PKR kerana gagal memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara.

-- BERNAMA

1 Malaysia Harga Ikan Naik,,,,



Pengguna di negara ini bakal berdepan dengan kenaikan harga semua jenis ikan segar yang dijangka meningkat sehingga RM3 sekilogram jika pihak pengimport dan pemborong terus enggan membawa masuk ikan import.

Tinjauan di kalangan peniaga ikan di seluruh negara semalam mendapati ramai di kalangan mereka menjangka harga ikan akan naik kerana bekalan ikan akan berkurangan memandangkan bekalan ikan tempatan tidak mampu menampung permintaan semasa.


Menurut mereka, secara purata harga ikan mungkin akan naik sehingga RM3 sekilogram atau lebih dan ia akan mula terasa sekiranya boikot itu berterusan selama tiga hari berturut-turut kerana ketika itu stok ikan semasa sudah kehabisan.

Lebih membimbangkan, kenaikan itu akan memberi kesan kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana kerana kebanyakan ikan yang diimport merupakan sajian utama mereka seperti ikan kembung, selar, selayang, cencaru serta bawal gred rendah.






Seorang peniaga ikan di Pasar Chow Kit di sini, Rosli Abdullah, 24, berkata, jika boikot berterusan, pembekal pasti akan menaikkan harga borong dan beliau terpaksa melaraskan harga jualan ikan.

"Ketika ini sebanyak 70 peratus bekalan ikan di pasar ini diimport dari Thailand," katanya ketika ditemui semalam.

Pemborong ikan di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan, Zakaria Abdul Hamid, 35, pula berpendapat, harga ikan mungkin akan naik sedikit masa lagi jika boikot berterusan.

Sabotaj Elak MB Lepaskan Pelumba LTdL.



“Kami telah berbincang dan bersetuju memberi penghormatan kepada Menteri Besar bagi melepaskan pelumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) seperti tahun-tahun lepas. Namun malangnya ada sabotaj di saat-saat akhir apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr 
Awang Adek Hussin pula diminta penganjur melepaskan peserta, sedangkan Menteri Besar ada pada majlis berkenaan,” kata anggota Exco, Abdul Fattah Mahmood (gambar).

Menurutnya, tindakan pihak penganjur itu secara jelas telah memperlekehkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai ketua kerajaan negeri.

“Sedangkan sejak peringkat awal lagi perlumbaan LTdL diadakan kita memberi segala kerjasama sebaik mungkin,” katanya pada persidangan media di sini hari ini.

Upacara pelepasan pelumba ke Kuala Berang, Terengganu diadakan di Dataran Rehal pagi tadi.

Dan tengah hari semalam, Menteri Besar hadir pada program pengenalan pasukan bertanding yang diadakan di sebuah hotel.

Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri telah memberi kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan program tersebut.

Malah katanya, persetujuan telah dicapai di mana acara pelepasan dilakukan Menteri Besar, namun apa yang berlaku pagi tadi begitu mendukacitakan.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mengutus surat kepada pihak penganjur bagi menyatakan kekesalan terhadap insiden terbabit.

LTdL tahun ini buat pertama kali dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan disertai 20 pasukan.

Perlumbaan melibatkan tujuh peringkat sejauh 1,013.9 km bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM710,650.

LTdL 2010 menjadikan Kelantan sebagai tempat pelepasan pertama peserta bagi memulakan cabaran Kota Bharu ke Kuala Berang sejauh 174.5 km.

Abdul Fattah juga mendakwa tindakan Awang Adek dianggap biadap kerana semasa ketibaan Menteri Besar beliau tidak bangun, sedangkan VIP menghormati kehadiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Dun Kelantan Setuju Isu Royalti Ke Mahkamah.



Usul agar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan bagi pihak Negeri Kelantan memikirkan tindakan-tindakan yang sesuai termasuklah tindakan mahkamah bagi memastikan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipatuhi disokong sebulat suara termasuk oleh pihak pembangkang Dun Kelantan. 

Usul itu yang dikemukakan oleh Adun Air Lanas, Abdullah Yaakub dibahas dan diluluskan sebulat suara.

Adun BN, Aziz Derasid (BN-Kuala Balah) antara yang bangkit dan berkata "sokong" ketika speaker minta ahli-ahli dewan lain memberi sokongan terhadap usul itu.

Speaker, Nasaruddin Daud berkata, selepas meneliti cadangan tersebut beliau mendapati ia memenuhi tiga syarat iaitu perkara yang tertentu dan mustahak, kedua, bagi kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Sebelum itu beliau menanyakan sokongan terhadap usul tersebut.

Ekoran itu kesemua Adun bangun sebagai menyatakan sokongan kepadal usul terbabit termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad, Mat Yusof Abdul Ghani (BN–Nenggiri) dan Datuk Abdul Rashid Aziz (BN–Kuala Balah).

Adun Barisan Nasional yang tidak berdiri iaitu Datuk Nozula Mat Diah (BN–Paloh) dan Adhan Kechik (BN–Bukit Bunga), manakala Datuk Noorzahidi Omar (BN–Pengkalan Kubur) tiada dalam dewan ketika itu.

Usul tersebut dikemukakan selepas selesai sesi soal jawab secara lisan.

Usul berkenaan berdasar kepada peruntukan Peraturan Tetap Dewan Negeri Kelantan Perkara 30 (1) bagi cadangan menangguh persidangan kerana merundingkan perkara-perkara mustahak bagi orang ramai.

Usul terbabit berbunyi, “bahawa Dun memberi mandat kepada MMK bagi pihak kerajaan negeri mengambil apa-apa tindakan mahkamah yang bersesuaian bagi mendapatkan bayaran tunai yang terhak kepada rakyat dan kerajaan Kelantan mengikut perjanjian dan penyerah hakkan kuasa-kuasa petroleum sama ada di daratan atau di lautan negeri Kelantan yang ditandatangani pada 1975.

“Seperti mana kehendak undang-undang tunggal yang berkaitan dengan pengeluaran petroleum iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974, pada bila-bila masa yang difikirkan oleh kerajaan negeri.”



Abdullah berkata, sebanyak 13 negeri di negara ini telah menandatangani penyerahan hak pada 1975 dan 1976 kepada Petronas bagi membolehkan carigali minyak dijalankan tanpa mengambil kira jarak kedudukan lokasi minyak.

Oleh itu katanya, mengikut Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974 sebagai balasan terhadap penyerahan kepunyaan dan hak-hak kuasa dan keistimewaan itu, Petronas hendaklah membuat bayaran tunai kepada negeri.

Cadangan tersebut disokong Datuk Omar Mohamad (PAS – Perupuk).

Ekoran sokongan padu itu Speaker menerima dan meluluskan cadangan tersebut dan kemudian dibuka kepada perbahasan.

Zulkifli Mamat (PAS–Pulai Chondong) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut berkata, biar pun beliau menyokong penuh usul tersebut namun cukup sedih apabila ada pihak gagal memahami perjanjian yang dibuat pada 1975.

“Saya cukup sedih apabila Peguam Negara, menteri-menteri dan timbalan menteri gagal untuk memahami perjanjian yang telah ditandatangani.

“Sedangkan semangat atau moral perjanjian itu Petronas perlu membayar wang tunai kepada negeri berdasar kepada petroleum yang dijumpai di negeri terbabit,” ujarnnya.

Menurutnya, suatu kezaliman telah berlaku di mana kerajaan pusat lebih mengutamakan politik apabila cuba menafikan hak yang sepatutnya diperolehi kerajaan Kelantan.

Kata beliau, amat mudah untuk memahami semangat perjanjian tersebut, di mana Pak Mat dan Pak Leh di kampung pun diyakini boleh faham.

Beliau berkata, tuntutan royalti sebenarnya tidak perlu dibawa ke mahkamah sekiranya kerajaan pusat menunaikan tanggungjawab mereka seperti terkandung dalam perjanjian.

Beliau juga mencadanngkan supaya kerajaan negeri mengkaji semula setiap perjanjian dengan mana-mana pihak dalam tempoh 10 tahun sekali.

Zulkifli juga berhujah sekiranya kuasa carigali diberi kepada syarikat asing Kelantan mampu menikmati royalti sehingga 25 peratus.

“Perkara itu pernah berlaku di mana Sarawak sebelum ada PDA telah menandatangani perjanjian dengan Shell, di mana syarikat tersebut memberi royalti antara 8 hingga 12 peratus kepada negeri berkenaan,” tambahnya.

 Petang semalam, diadakan majlis taklimat mengenai tuntutan royalti petroleum kepada wakil-wakil rakyat di Bilik Gerakan Negeri di sini yang disampaikan oleh bekas Ketua Jabatan Undang-Undang Petronas, Nik Syaghir Nik Mohd Nor, bekas peguam kanan di Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan peguam kes tuntutan royalti minyak Terengganu, Thommy Thomas.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Tuntuan Royalti Minyak Kelantan, Datuk Husam Musa dan wakil rakyat kerajaan, dua Adun BN iaitu Datuk Norzula Mat Diah (Paloh) dan Mohd Yusoff Abdul Ghani (Nenggiri) turut hadir.

Zulkifli Noordin Kekal Dalam PKR.

Cakap-cakap bahawa Zulkifli Noordin akan mengikuti jejak langkah Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee beng dan bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Salehuddin Hashim keluar parti belum menjadi kenyataan.



Sebaliknya hari ini, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu memberi jaminan tidak akan menuruti tindakan dua rakannya itu malah akan terus berjuang melawan 'firaun kecil' yang didakwa wujud dalam parti itu.

Menurutnya, beliau akan kekal dalam parti bagi memerangi kumpulan berkenaan dan mempertahankan haknya.

"Saya sejak daripada awal telah menyebut beberapa kali, firaun-firaun kecil ini memang tak sabar nak tunggu saya keluar.

"Mereka bawa banyak tohmahan dan cerita... tapi saya beri jaminan bahawa saya tak akan keluar daripada parti dan saya akan lawan mereka," katanya kepada pemberita selepas menemui lembaga disiplin parti di sinihari ini.

Selain itu Zulkifli juga menafikan beliau merupakan salah seorang daripada sepuluh wakil rakyat dan pemimpin PKR yang dijangka keluar daripada PKR seperti yang didakwa bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Salehuddin Hashim hari ini.



Berhubung pertemuannya dengan lembaga disiplin parti sebelum itu, Zulkifli berkata, beliau telah membangkitkan lapan isu yang perlu dijawab oleh pihak berkenaan sebelum perbicaraan terhadapnya dijalankan.

Oleh yang demikian pihak lembaga terbabit menangguhkan sehingga Khamis ini bagi meneliti isu-isu yang dibangkitkannya.

"Jadi Khamis ini saya akan datang semula bagi mengetahui mengenai isu yang saya bawa itu," katanya yang mengakui diberi peluang yang seadilnya oleh pihak lembaga berhubung kesnya itu.

Zulkifli dirujuk ke lembaga disiplin parti berikutan laporan polis yang dibuat beliau terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Menurut Zulkifli, beliau sebelum ini telah menghantar surat kepada pihak lembaga disiplin bertarikh 16, 23 dan 27 Februari lepas bagi membangkitkan mengenai lapan isu berkenaan.

Difahamkan salah satu daripada lapan isu yang dibangkitkan berkenaan ialah beliau mahu anggota lembaga disiplin yang akan mendengar keterangannya mestilah terdiri daripada orang yang beragama Islam.

Bagaimanapun beliau enggan mengesahkan mengenai perkara tersebut.

Mengenai dakwaan yang mengatakan beliau sengaja menggunakan pelbagai alasan supaya PKR mengambil keputusan memecatnya daripada parti, beliau berkata: "Mengapa pula saya nak buat macam itu, saya sendiri boleh pecat diri sendiri jika saya nak."

Dalam pada itu Zulkifli turut menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai masalah dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menyatakan sokongan terhadap Anwar.

"Saya boleh beritahu hubungan dengan Anwar tak ada masalah, malahan saya berpendapat sepatutnya dalam keadaan kritikal seperti ini, kita perlu bergabung tenaga untuk mempertahankan anwar.

"Tapi firaun kecil ini memilih untuk menimbulkan masalah," katanya.

Ditanya sama ada Anwar menyedari kewujudan firaun kecil berkenaan dalam PKR, beliau berkata: "Kadangkala mereka terlalu kecil sehingga tak nampak, tapi yang kecil-kecil ini timbulkan banyak masalah, macam anai-anai."

Sementara itu, ditanya sama ada beliau menerima tawaran daripada mana-mana parti politik untuk menyertai mereka, beliau dengan sinis menyatakan hanya DAP yang berminat dengannya.



"Saya rasa DAP nak saya menyertai mereka, saya dengar (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng mahukan saya.

"DAP memang sangat ghairah untuk mendapatkan saya," katanya sinis.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails