Geng Aku

Isnin, 30 November 2009

MB NS Dihujung Kuasa..




Sebaik sahaja bekas Naib Presiden Umno, Isa Samad di isytihar menjadi calon BN bagi pilihanraya kecil Bagan Pinang, telah timbul banyak cakap-cakap bahawasanya Mohamad Hasan [Gambar] menunggu waktu sebelum “ditendang keluar” dari kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan.




Belumpun lama Isa Samad [Gambar] menjadi wakil rakyat Bagan Pinang setelah pencen dalam satu tempoh yang agak lama, keluar isu siasatan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap Mohamad Hasan berikutan tindakan beliau memindahkan wang yang bernilai RM 10 juta ke London dengan menggunakan khidmat “Money Changer”.

Kes ini membuka banyak persoalan. Diantaranya ialah, dimanakah Mohamad Hasan memperolehi wang sebanyak RM 10 juta? Kedua, mengapa wang ini dipindahkan secara tergesa-gesa?

Mohamad Hasan memilih untuk hanya mendiamkan diri dalam isu ini. Tindakan ini tidak akan banyak membantunya.



Apakah Mohamad Hasan akan mengulangi kes yang pernah terjadi kepada bekas MB Selangor, Muhammad Taib [Gambar]? Gerakan daripada “pembesar-pembesar Umno” Negeri Sembilan telah dimulakan untuk menjatuhkan Mohamad Hasan. Katanya, mereka tidak mahu isu ini dimanipulasi oleh pihak pembangkang.

Berapa lamakah lagi Mohamad Hasan boleh bertahan?
-AminIskandar

Nizar V'8! Rakyat Masih Perlukan Nik Aziz


“Saya tidak akan lepaskan jawatan... kecuali disebabkan keuzuran sangat.” 

Demikian tegas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat [Gambar] meskipun bertubi-tubi diasak agar melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar ekoran siri  krisis yang melanda kerajaan negeri kebelakangan ini.

Beliau yang menyandang jawatan tersebut hampir 20 tahun tidak akan bertindak untuk mengambil jalan pintas lebih-lebih lagi ketika kemelut sedang melanda pentadbiran kerajaannya.

Malah beliau sama sekali tidak akan akur pada desakan pelbagai pihak terutama pihak musuh sendiri biarpun pelbagai alasan diberi termasuk perkhidmatannya yang sudah begitu lama.

Bagi Nik Aziz, soal lama ataupun baru tempoh kepimpinannya beliau tidak wajar untuk dijadikan isu memandangkan masih ramai pemimpin politik ataupun kerajaan yang lebih lama berkhidmat berbanding beliau.



“Mahathir[Gambar] jadi Perdana Menteri 22 tahun, Taib Mahmud, Ketua Menteri Sabah lebih lama dari Mahathir. Malah Rasulullah dulu meneruskan perjuangannya hingga ke akhir hayat.

“Inikan saya belum sampai 20 tahun, masih terlalu kecil,” tegas beliau di samping turut mengakui Kelantan tidak ketandusan tokoh daripada golongan pelapis bakal menggantinya apabila beliau mengundur diri.

Kontroversi personaliti Nik Aziz masih hangat dibicarakan sehingga kini ekoran beberapa isu yang timbul dalam pentadbirannya sejak kebelakangan ini telah melatahkan segelintir kepimpinan Umno negeri berterusan menyerang batang tubuhnya.

Pun begitu, pendirian Nik Aziz itu disambut baik Dewan Pemuda PAS Kelantan dan berharap keputusan Nik Aziz itu sekali gus dapat memadamkan segala kontroversi.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Baihaqi Atiqullah memberitahu  Dewan Pemuda PAS Kelantan kesal dengan sesetengah media massa dengan lantang menyerang kepimpinan PAS negeri menerusi berita berunsur provokasi di mana sumbernya tidak spesifik dan tidak pernah terkandung dalam laporan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri.

Serentak dengan itu juga, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Zaki Ibrahim semasa ditemui pada majlis korban Aidiladha memaklumkan PAS Kelantan akan terus mempertahankan jawatan Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan selain sebagai Mursyidul Am dan Pesuruhjaya PAS Negeri walaupun pelbagai tekanan dihadapinya susulan kemelut yang melanda pentadbiran kerajaan negeri.

Zaki yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata tiada alasan untuk Nik Aziz melepaskan jawatannya memandangkan rakyat negeri ini sentiasa memerlukan kepada kepimpinan tokoh ulama disegani di peringkat dunia itu.

“Lagipun mereka yakin kekuatan mental dan fizikal Tok Guru sentiasa berupaya menerajui perubahan dalam kepimpinannya demi rakyat khasnya di Kelantan,” katanya yang turut percaya kemelut yang melanda pentadbiran negeri itu juga dapat diselesaikan dengan baik oleh Nik Aziz.

Gempa Bumi Lemah Di Kuala Pilah.


Gempa bumi lemah berukuran 3.3 pada skala Richter berlaku di Kuala Pilah, Negeri Sembilan awal pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini hari ini, gempa bumi itu berlaku pada pukul 12.15 pagi dan berpusat di 22 kilometer timur Seremban.

Bagaimanapun tiada gegaran dirasai akibat gempa bumi itu, menurut kenyataan itu. - Bernama

Ustaz Saleh Angkat Sumpah Adun.




Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man telah mengangkat sumpah sebagai Adun pagi tadi sempena Mesyuarat Ke Tiga Penggal Ke Dua Dewan Undangan Negeri Kali Ke Dua Belas.




Beliau mengangkat sumpah di hadapan Speker Dun, Dato' Abdul Halim Husin jam 9.30 pagi sebagai mengganti kerusi yang ditinggalkan oleh bekas Adun Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 31 Julai lalu.



Pada pilihanraya kecil N11 Permatang Pasir pada 25 Ogos lalu, Ustaz Saleh menang mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman dengan majoriti 4,551 undi.

Nizar V'8! PAS Sokong Larang Kursus BTN Di Negeri Pakatan

PAS menyokong tindakan Kerajaan Selangor yang telah mengambil keputusan melarang kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri itu, daripada mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) berkuat kuasa serta merta.


"Ini adalah kuputusan yang bijak. Kursus Biro  Tata Negara yang dijalankan selama ini memang tidak mendatangkan faedah dan membazir wang rakyat sahaja," kata Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Biro Tata Negara mengundang kontroversi selepas tujuh wakil rakyat Selangor menyerahkan memorandum menggesa penuntut di institut pendidikan milik kerajaan negeri dan penjawat awam negeri dilindungi dari program indoktrinasi BTN.

Memorandum tersebut berkata, akal peserta BTN disusun-semula supaya membenci kaum Cina dan parti-parti yang tidak sealiran dengan Umno-BN.



Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil keputusan menyekat penyertaan penjawat awam negeri dan para penuntut di institut pendidikan milik kerajaan negeri bagi menjaga keharmonian di Selangor  yang pernah menyaksikan ketegangan akibat tingkah-laku Umno dalam kes demo kepala lembu.



Ekoran itu, beberapa negeri Pakatan Rakyat yang lain turut mengkaji untuk menuruti tindakan Selangor itu. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz hari ini berkata, kerajaan akan mengkaji semula modul latihan BTN.

Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dijangka akan mendengar usul mengenai pengharaman BTN di negeri itu hari ini.

Bagi Idris, Biro Tata Negara yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri hanya berperanan untuk indoktrinasi kepada peserta untuk benci kepada parti pembangkang dan menyokong Umno/BN sahaja.

Modul yang diselit ialah kononnya negara sedang mengalami ancaman perkauman. Kuasa Melayu semakin terhakis. Ini adalah modal lapuk yang dihidangkan kepada para peserta, katanya.



Menurut beliau, apabila  pensyarah yang hendak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran MA dan Phd perlu lulus kursus Biro Tata Negera.

Mereka yang tidak sealiran tidak akan mendapat biasiswa walaupun akademik mereka cemeralang.

"Inilah yang pernah dialami oleh Saudara Ramadhan Fitri  Alias bekas Presiden Mahasiswa Universiti Malaya walaupun beliau mendapat kelas pertama dan sijil dekan setiap semester," kata Idris.

Menurutnya lagi, beliau telah gagal dalam  kursus Biro Tata Negara, lalu beliau tidak layak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi.  

"Beliau gagal kerana tidak memenuhi cita rasa golongan primitif," kata Idris.

Sehati Berdansa-Giliran Didie Tersingkir.Tapi Ada SB Masuk La Pulak,,





Satu kejutan diumumkan dalam Debaran Sehati Berdansa yang berlangsung sebentar tadi apabila SBMASUK diperkenalkan. Dengan ini, kesemua pasangan yang telah tersingkir sebelum ini akan berpeluang diserapkan kembali ke dalam program Sehati Berdansa 3 (SB3).

Debaran Sehati Berdansa yang bersiaran langsung dari Studio 1, Astro Bukit Jalil pada awalnya menyaksikan pasangan Didie dan suaminya, Sham menjadi pasangan kelima tersingkir pada minggu keenam SB3. Tarian Bollywood dipilih menjadi tema untuk setiap pasangan yang bertanding pada Malam Sehati Berdansa yang bersiaran di Astro Ria (saluran 104) pada malam Sabtu lalu. 




Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah Binti Mohammad Ali, 36 dan suami, Nor Isham Bin Ismail, 33, bagaimanapun berjaya mengumpul RM6,000 untuk disumbangkan kepada Persatuan Epilepsi Malaysia. Cek disampaikan kepada wakil dari pertubuhan tersebut.


Untuk minggu hadapan, kesemua lima pasangan yang tersingkir sebelum ini iaitu  Anita & Ismadi, Enot & Zainol, Mirna & Norah, Oshin & Firdaus serta pasangan baru yang tersingkir iaitu Didie & Sham akan kembali berentap di dalam Malam Sehati Berdansa dan pasangan yang menerima undian SBMASUK tertinggi akan diserapkan kembali ke dalam Sehati Berdansa pada minggu seterusnya. 


Selain Joseph Gonzales sebagai juri tetap, Sabrina Hassan dan juara Sehati Berdansa musim pertama, Vanidah Imran diundang sebagai menjadi juri jemputan pada persembahan Malam Sehati Berdansa. Ia dikendalikan oleh Scha Al Yahya dan Fahrin Ahmad.

Nizar V'8! P.Pinang Timbang Ikut Langkah Selangor Haramkan Kursus BTN



Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menimbangkan secara serius untuk mengikuti jejak langkah kerajaan negeri Selangor mengharamkan kursus Biro Tata Negara (BTN) kepada kakitangannya.


Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman berkata kerajaan negeri memandang serius cadangan anggota Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yussof bagi kerajaan negeri mengikuti langkah Selangor.



Usul cadangan itu dijangka dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri esok untuk kelulusan, kata Mansor yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan perdana Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang di Yayasan Aman, di sini hari ini.

Beberapa hari lalu, Yusmadi mencadangkan supaya kerajaan negeri mencontohi Selangor berhubung isu BTN dan mengulangi cadangan itu pada perhimpunan hari ini.



Sementara itu, Ketua AMK Pusat Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, sebuah sekretariat yang diketuai oleh Yusmadi akan ditubuhkan untuk mengumpulkan pandangan rakyat mengenai BTN, yang didakwa mengindoktrinasikan ideologi Barisan Nasional (BN).

Katanya, orang ramai yang mempunyai pengalaman dan pandangan mengenai BTN boleh mengemukakannya kepada sekretariat itu.

"Kita akan buat referendum mengenai perkara ini," katanya.

Terdahulu, Shamsul mengumumkan pelantikan barisan baru kepimpinan AMK Pulau Pinang.


Ketua AMK Permatang Pauh Amir Ghazali dilantik sebagai ketua AMK negeri yang baru menggantikan Yusmadi manakala Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Jerejak, Sim Tze Tzin sebagai timbalannya.

Ahmad Azrizal Tahir, Ong Chin Wen dan M.Muneswaran pula masingmasing dilantik sebagai Naib Ketua 1, 2 dan 3 manakala Syed Mikael Rizal Aidid sebagai setiausaha dan Philip Thor sebagai bendahari.
BERNAMA

Nizar V'8! 'Kickdefella' kata Kolonel Mat Yang Dimaksudkan Nik Aziz Itu Ayahnya...


Bekas Pegawai Perhubungan Korporat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Syed Azidi Syed Abdul Aziz membuat pengakuan bahawa arwah ayahnya, Leftenan Kolonel Syed Abdul Aziz turut dikenali dengan nama 'Kolonel Mat', nama yang disebut Oleh pemimpin PAS sebagai individu yang cuba menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan.


Dalam posting terbaru di laman blognya 'Kickdefella' semalam, beliau berkata masyarakat di Kelantan turut memanggil ayahnya dengan gelaran 'Syed Amat'.

"Di kampung, bagi orang yang kurang mesra dengan Syed Amat, mereka panggil dia 'Kolonel Mat'.

"'Kolonel Mat' yang saya kenali ialah arwah ayah saya, "katanya dalam posting terbaru di blognya semalam.

Menurut Syed Azidi, pangkat tertinggi arwah ayahnya dalam angkatan tentera ialah sebagai Leftenan Kolonel.

"Walaupun beliau tidak pernah diangkat ke pangkat Kolonel penuh, tetapi menjadi lumrah Leftenan Kolonel dipanggil Kolonel sahaja. Jelasnya, Kolonel Mat ialah anak kepada arwah Abid Razak yang pernah menjadi Dresser di Hospital Besar Kota Bharu.

"Kolonel Mat menyertai tentera sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Selepas menerima tauliah perlantikan, Kolonel Mat pulang ke Kelantan mengahwini anak sepupu Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang bernama Tuan Bidah Tuan Long. Waktu itu Nik Aziz dikenali dengan panggilan Ayah Zit oleh saudara mara," katanya.



Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Nik Aziz Khamis lalu, bahawa wujud konspirasi yang didalangi oleh 'Kolonel Mat' untuk menjatuhkannya daripada jawatan Menteri Besar dan Kerajaan PAS Kelantan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun dipetik sebagai berkata 'Kolonel Mat' yang disebut oleh Nik Aziz itu tidak merujuk kepada mana-mana individu sebaliknya ia hanya satu simbol mengenai wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan kepimpinan PAS di Kelantan.

Mengulas lanjut mengenai isu 'Kolonel Mat', Azidi berkata, ayahnya telah meninggal dunia enam tahun yang lalu.

"'Kolonel Mat' yang saya kenali itu telah meninggal dunia pada jam 7.40 petang pada 7 Oktober 2003 di Hospital Pakar Subang Jaya.

"Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keenam-enam anaknya," katanya.
Pada 11 November lalu, Syed Azidi yang dipecat oleh menantu Nik Aziz,Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK berkata beliau bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam perbadanan itu.



Isu menantu Nik Aziz itu timbul setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu PMBK dua kali untuk menyiasat dakwaan surat layang berhubung tuduhan kronisme, salah guna kuasa dan mempersoalkan pelantikan anggota keluarga terdekat menerajui syarikat milik kerajaan (GLC) awal bulan ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails