Geng Aku

Khamis, 29 April 2010

Keluarga Aminulrashid Terharu Dengan Keprihatinan Kerajaan Selangor


Ahli keluarga Allahyarham Aminulrashid, remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak polis, menyatakan rasa terharu dengan keprihatinan dan sumbangan  yang diberi kerajaan Selangor.

Mereka meluahkan demikian ketika dikunjungi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim di rumah mereka di Jalan Mahjung, Seksyen 11 di sini, kira-kira jam 4.30 petang semalam.

"Rasa bersyukur ada yang prihatin kepada ibu tunggal macam makcik. Sebab makcik pun ada anak sekolah hendak lanjutkan pelajaran. Apapun, kematian arwah terbela,  itu sahaja," kata Norsiah Abdullah.

Norsiah adalah ibu kepada Aminulrashid.

"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada orang yang prihatin masalah yang kami hadapi sekarang," kata Norazura kepada TV Selangor.

Akhirnya Ezam 'Kotak' Dapat Jawatan Senator.

Bekas ketua pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Nor adalah antara empat orang yang akan dilantik sebagai Senator.

Menurut The Star Online, mereka yang lain termasuk timbalan presiden MIC Datuk G Palanivel, pengerusi eksekutif firma Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan ketua Wanita Umno Pagoh, Noriah Mahat.
Mereka akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan presiden Senat, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Negara, Isnin depan.

Ezam (kiri) juga adalah bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang terkenal kerana pernah mengakui mempunyai enam kotak yang dikatakan mengandungi dokumen mengenai salah laku pemimpin kerajaan.

Dia bagaimanapun kemudian menafikan perkara itu sebaliknya mendakwa kotak itu suatu pembohongan dan dijaja sebagai modal politik sejak 1999 selepas Anwar dipecat daripada Umno dan kerajaan.

Selepas meninggalkan PKR dan menyertai Umno, Ezam berkata dia bukan saja dikutuk kerana meninggalkan perjuangan mereka tetapi juga digelar ahli parti itu sebagai "Ezam Kotak".

Sementara itu, bagi timbalan presiden MIC, Datuk G Palanivel, ura-ura yang beliau akan dilantik sebagai senator bukan lagi rahsia.

Perlantikannya itu dikatakan sebagai menghargai pengorbanannya yang tidak dicalonkan pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor tetapi sebaliknya menyokong calon kompromi, P Kamalanathan.

Selain dilantik sebagai senator, Palanivel juga dijangka akan diberikan jawatan sebagai timbalan menteri.

Adun BN Manipulasi Soalan Kerana Politik Sempit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa (gambar) menyifatkan beberapa Adun BN memanipulasikan soalannya kerana politik sempit mereka.

Beliau hari ini tampil menjelaskan isu kekecohan yang berpunca daripada soalan bertulis yang dikemukakannya semasa persidangan Dun Kedah, 26 April lalu.

Menurut beliau, soalan 'panas' yang meminta penjelasan berkaitan bidang kuasa Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam yang perlu dihormati telah mengundang pertikaian wakil-wakil Barisan Nasional (BN) yang tersalah tafsir maksud soalan yang dikemukakannya.

“Saya meletakkan soalan ini agar semua pihak mendapat penjelasan sebenarnya berkaitan bidang kuasa Tuanku Sultan yang mutakhir ini dilihat tidak dihormati oleh pihak-pihak tertentu.


"Soalan itu bertujuan mendapatkan batas sempadan supaya semua pihak dapat menghormati kuasa Tuanku Sultan dalam hal-hal berkaitan pentadbiran agama Islam yang diketuai oleh baginda kerana kebelakangan ini terdapat campur tangan terutama dalam soal perlantikan imam dan pegawai masjid.

"Turut diutarakan supaya dijelaskan kepada pihak tertentu yang menuduh kerajaan negeri akan memecat imam-imam apabila berusia 60 tahun," jelasnya.


Nasir berkata, wakil-wakil BN telah memanipulasikan soalan tersebut demi kepentingan politik sempit yang akhirnya mengakibatkan berlaku pertikaman lidah di antara mereka dengan wakil-wakil Pakatan Rakyat.

"Soalan tersebut cukup jelas dan tidak langsung berniat untuk mempertikaikan bidang kuasa Tuanku Sultan tetapi telah dipolitikkan oleh wakil BN yang bimbang akan dibuktikan mereka adalah pihak yang mengganggu gugat pentadbiran agama di negeri ini," katanya.

Menurutnya lagi, soalan yang dikemukakan adalah ekoran dari tindakan Adun Bakar Bata, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang mencampuri urusan pentadbiran agama Islam dalam hal berkaitan imam dan pegawai masjid, baru-baru ini.

Nasir tetap mempertahankan pendapatnya bahawa soalan itu tidak langsung menyentuh dan mempertikaikan bidang kuasa atau menghina Tuanku Sultan Kedah jika ia dibahaskan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails