Geng Aku

Ahad, 3 Januari 2010

PAS Adakan Mesyuarat Khas Bincang Isu Nama Allah



PAS memanggil mesyuarat khas Lajnah Politik, iaitu lajnah paling berpengaruh dalam parti itu bagi membincangkan beberapa perkembangan terbaru termasuk isu penggunaan nama Allah oleh agama Kristian.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, mesyuarat itu akan diadakan malam esok di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.



"Kita turut menjemput AJK PAS Pusat dalam mesyuarat khas ini," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Mesyuarat ini dijangka membincangkan secara mendalam keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan majalah milik aktivis Kristian, Herald, untuk menggunakan nama Allah sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris.

Sejak keputusan itu dibuat, kelihatan pemimpin PAS tidak seragam pandangan mereka dalam isu ini.

Mesyuarat ini dijangka akan memberikan kata putus apakah pendirian bersama parti Islam itu dalam isu ini.

Anggota utama lajnah politik adalah pemimpin kanan PAS di samping beberapa pemimpin yang tidak berada dalam AJK PAS Pusat termasuk Khalid Samad, YDP PAS Shah Alam yang juga anggota Parlimen kawasan tersebut.

Makkal Sakti Sasar Tingkat Keanggotaan Tahun Ini



Parti Makkal Sakti Malaysia yang baru berusia lapan bulan mensasarkan meningkatkan keanggotaan kepada 300,000 daripada 57,000 sekarang menjelang akhir tahun ini.

Pengasas dan presiden kebangsaan parti, R.S. Thanenthiran berkata pelbagai program untuk menambah keanggotaan dirancang tahun ini termasuk melalui laman web dan secara online sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Kami meramalkan parti akan mempunyai 300,000 anggota menjelang akhir tahun, kebanyakannya golongan belia, berdasarkan sentimen di peringkat akar umbi. Berdasarkan respons, kami agak yakin kami dapat mencapai sasaran ini," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Parti Makkal Sakti ditubuhkan pada Mei dan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Okt, 2009.

Thanenthiran juga berkata kira-kira 60 peratus daripada 57,000 anggota parti masih belum berdaftar sebagai pengundi dan beliau akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mendaftarkan mereka.

Beliau turut mencadangkan kerajaan meminda undang-undang perkahwinan bagi mewajibkan orang bukan Islam menghadiri kelas kaunseling praperkahwinan.

"Pasangan perlu diberitahu mengenai tanggungjawab dan tugas masing-masing sebelum mendapatkan sijil kahwin," katanya dan menurutnya beliau merancang menubuhkan pusat kaunseling praperkahwinan pada tahun ini.

Sementara itu, Thanenthiran berkata beberapa pihak dalam Makkal Sakti telah melanggar perlembagaan parti dengan cuba mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dalam tempoh 90 hari bagi memilih presiden baru.

"Sesetengah pihak dalam parti telah menidakkan kehendak anggota dengan cuba mentafsir perlembagaan mengikut kepentingan dan faedah peribadi (untuk menyingkirkan presiden sekarang)," katanya dan menurutnya beliau tidak gentar dengan tindakan seumpama itu.

Baru-baru ini, setiausaha agung parti R. Kannan dipetik sebagai berkata bahawa EGM perlu diadakan kerana anggota berpendapat parti Makkal Sakti tidak aktif di bawah pimpinan Thanenthiran.

Beliau mendakwa sejak ditubuhkan, parti itu tidak menganjurkan aktviti bagi anggota dan gagal berkhidmat kepada rakyat khususnya masyarakat India.

Ku Li Masih Setia Dengan Umno.

Walaupun bersikap kritikal dan tidak bersetuju dengan banyak perkara dalam Umno, tetapi Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa itu tidak bermakna beliau akan meninggal parti itu.

Beliau yang juga ahli Parlimen Gua Musang berkata, semua itu 'belum cukup' untuk membuatnya 'menyeberang' ke parti lain.

"Ada perkara-perkara tertentu yang saya setuju, tetapi mungkin saya tidak bersetuju dengan banyak perkara lagi.

"Ia tidak bermakna yang saya tidak sepatutnya menjadi ahli Umno," katanya Tengku Razalegih.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu, beliau menjelaskan mengapa pindaan perlembagaan Umno baru-baru ini tidak banyak dapat membebaskan Umno dari imej rasuah - yang mengakibatkan BN mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum 2008.

Menurutnya lagi, sebarang perubahan yang berkesan dalam Umno - yang menjadi tunggak BN - hanya boleh berlaku sekiranya ahli-ahlinya dapat memisahkan diri mereka daripada politik naungan.

"Sikap dan cara pemikiran ahli-ahli Umno mesti berubah. Mereka tidak boleh bergantung kepada naungan sepanjang masa... dan mereka mesti membuang tabiat lama yang tidak baik," katanya.

Pindaan perlembagaanUmno itu menghapuskan sistem kuota dalam pemilihan parti itu, dan ini membuka peluang kepada Tengku Razaleigh untuk bertanding sekali lagi jawatan presiden.



Namun begitu, ia tidak membawa banyak makna kepada bekas menteri kewangan itu yang hampir menewaskan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno pada pemilihan 1987.

"Ia tidak mencapai separuh pun daripada apa yang telah saya cadangkan, Saya mencadangkan supaya setiap ahli diberi hak untuk memilih pemimpin mereka melalui satu pemilihan yang adil," katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails