Geng Aku

Rabu, 11 November 2009

'Merehatkan' MCA daripada BN strategi terbaik.



GUMPALAN benang boleh dileraikan, tetapi kekusutan dalaman MCA lebih teruk. Formula menyelesaikannya belum ditemui. Lantas, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin sekali lagi memberi amaran parti itu perlu menyelesaikan segera krisis kepemimpinannya yang semakin berlarutan atau berdepan risiko calonnya ditolak rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Siapakah yang akan menolak calon MCA? Barisan Nasional (BN) atau pengundi? Andai kalangan pemimpin MCA tidak berdamai adalah wajar bagi BN 'mengetepikan' parti itu buat sementara waktu. Tindakan itu perlu dan adil daripada menggadaikan kerusi kuota MCA pada pilihan raya umum akan datang. 'Merehatkan' MCA adalah lebih bijak daripada membiarkan pengundi menolak calon MCA seterusnya menyumbang kepada kekalahan BN. Wajar untuk BN tidak berkompromi lagi dengan MCA selepas beberapa kali sindiran dan amaran daripada Najib tidak dipedulikan.


Oleh itu, apabila Najib yang juga Pengerusi BN kelmarin sekali lagi menyatakan kesediaan campur tangan jika diminta, maka mana-mana pemimpin MCA yang sayang parti dan ada kesedaran menyelesaikan isu dalamannya mesti tampil menyatakan hasrat kepada Perdana Menteri supaya segera berbuat demikian. Beliau pasti ada formulanya dan hanya boleh dikemukakan bermula dengan pertemuan semua pemimpin terbabit di meja rundingan.

Namun, analisis paling radikal berhubung MCA sekarang ialah mungkin ada kalangan tertentu sama ada di dalam atau luar mahu persengketaan parti itu berpanjangan. Mungkin keadaan sengketa itu akan membosankan dan secara semula jadi akan berlaku perpindahan keluar ahli dan pemimpinnya secara besar-besaran daripada MCA, sekali gus menyertai pihak yang mendakwa boleh terus memperjuangkan kepentingan mereka. Andaian ini terpaksa dinyatakan di sini kerana tidak nampak kesungguhan mana-mana pemimpin bersengketa untuk berkompromi dan menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan beberapa bulan itu. 
 

Sebaliknya, setiap keputusan atau cadangan satu pihak akan dihalang atau dicabar pihak lain. Sehingga bila permainan ini akan tamat? Apakah selepas sebahagian ahli dan pemimpinnya bosan? Kebosanan ahli akar umbi MCA dan komuniti Cina akibat persengketaan itu mencapai kemuncak. Ini diakui di kalangan pemimpin tertinggi MCA sendiri. Antaranya, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung, yang berkata: "Memang akar umbi dah bosan lama. Bukan saja akar umbi dah bosan, tetapi komuniti Cina pun dah bosan.
 
Sambil berharap kebosanan itu tidak sampai ke tahap mereka memberi sokongan kepada pihak lain, beliau berkata, MCA tidak boleh berlengah menyelesaikan krisisnya dengan menunggu sehingga hampir tempoh pilihan raya umum akan datang. Chor berpegang kepada keyakinan isu dalaman MCA boleh diselesaikan jika semua pihak terbabit ikhlas mahu berbuat demikian. Beliau turut melihat Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA boleh dijadikan platform merungkai masalah parti.

"Jika semua pihak ikhlas, boleh (selesai isu). Saya percaya Datuk Seri Liow Tiong Lai (dan), pihak kita ini cukup ikhlas. Tetapi kita tidak tahu Presiden (Datuk Seri Ong Tee Keat) dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek macam mana mereka melihat perkara itu."

AGM parti itu dijadual pada 5 Disember ini. Ia bakal dihadiri 2,380 perwakilan dari seluruh negara dan usul bakal dibincangkan dalam perkumpulan sehari itu masih terlalu awal untuk dikemukakan. Namun, mesyuarat agung Wanita dan Pemuda MCA pada 4 Disember pastinya panas dengan isu hala tuju parti itu dan dijangka melarat kepada hari berikutnya.

Chor bagaimanapun membidas: "Susah... AGM mana boleh jadi platform penyelesaian. Saya rasa, sebelum AGM kena ada satu cara penyelesaian yang boleh diterima semua pihak. Jika tidak, AGM itu ada masalah. Lagipun, sekarang ada dua Timbalan Presiden. Ini kali pertama dalam sejarah MCA ada masalah seperti itu.
Beliau bagaimanapun, melihat antara penyelesaian isu dua Timbalan Presiden ialah melalui proses perundangan dengan meminta mahkamah tinggi membuat satu perisytiharan yang dimohon Liow supaya mahkamah boleh membuat pertimbangan selepas membuat penelitian bagi menentukan siapa penyandang jawatan itu.

"Jika tidak diselesaikan, nampaknya susah juga bagi sebuah parti mara ke hadapan. Jadi saya berpendapat, cara penyelesaian harus melalui proses perundangan yang lebih adil dan saksama. Jika tidak, tiada orang boleh terima. Dua-dua (pihak) kata dia betul. Jadi (yang diperlukan) cuma satu deklarasi terhadap keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS), itu saja," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan campur tangan Najib untuk menyelesaikan krisis itu, beliau berkata: "Pun tak bagus juga sebab Perdana Menteri memang cukup ikhlas nak bantu, tetapi ada sesetengah pihak pula yang tak berapa setuju. Mereka akan kata apa ni, MCA punya masalah awak minta Perdana Menteri campur tangan pula? Itu nanti tidak ada pasal, Perdana Menteri pun kena (tuduhan bukan-bukan). Tak baguslah..."



Sementara itu, bekas Naib Presiden MCA, Datuk Dr Fong Chan Onn, melihat konflik dalaman parti itu sebagai mengelirukan. Cuma sebagai ahli MCA, beliau mahu Ong dan Dr Chua diberi tempoh dan peluang untuk bekerjasama serta membina semula kestabilan parti.

Beliau melihat MCA dalam keadaan amat lemah dan sebarang cadangan yang mampu memperkukuhkan perpaduan parti perlu diberi peluang untuk dilaksanakan.

"Saya harap ia boleh dilaksana dengan jujur membabitkan semua pihak dan akhirnya dapat sokongan daripada semua pihak," katanya.

Lantas Dr Fong mahu semua pihak berhenti mengkritik dan mempertikaikan antara satu sama lain, sebaliknya menumpukan kepada kerjasama. Ini termasuk, Pelan Perpaduan Besar yang memerlukan sokongan semua pihak untuk menjayakannya.

Sementara itu, sebagai anggota paling berpengaruh dalam MCA, harus ada sikap positif di kalangan 42 ahli Jawatankuasa Pusat (CC) ke arah penyelesaian masalah dalaman parti itu. Kini 16 daripadanya tekad memanggil satu lagi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 28 November ini dan 29 yang lain pula menyatakan sokongan secara bertulis supaya parti melaksanakan Pelan Perpaduan Besar yang diusahakan Ong dan Dr Chua.

Cadangan diadakan EGM kali kedua itu belum tentu boleh diadakan. Jika Liow boleh mencabar keputusan ROS kerana tidak puas hati atau mahu mencari kepastian berhubung status jawatannya sama ada masih Naib Presiden atau kekal Timbalan Presiden MCA, maka cadangan mengadakan EGM juga boleh dikenakan injunksi mahkamah oleh mana-mana pihak yang tidak mahu ia diadakan. Atau, pendirian 29 ahli CC secara bertulis dan memihak kepada Ong serta Dr Chua apakah akan memutar hala Liow supaya menuju ke arah Pelan Perpaduan Besar itu? Pelan berkenaan difahamkan sudah dikemukakan kepada Najib dan beliau menyatakan sokongannya. Apakah Liow berani mengingkari pelan itu yang mendapat 'lampu hijau' Najib?



Ong berkata: "MCA kini pada peringkat pelaksanaan pelan perpaduan itu. Pemimpin utama MCA akan mengadakan kempen untuk menerangkan mengenai keseluruhan pelan itu." B/H

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails