Geng Aku

Memaparkan catatan dengan label Pengkianat Bangsa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pengkianat Bangsa. Papar semua catatan

Khamis, 29 April 2010

Akhirnya Ezam 'Kotak' Dapat Jawatan Senator.

Bekas ketua pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Nor adalah antara empat orang yang akan dilantik sebagai Senator.

Menurut The Star Online, mereka yang lain termasuk timbalan presiden MIC Datuk G Palanivel, pengerusi eksekutif firma Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan ketua Wanita Umno Pagoh, Noriah Mahat.
Mereka akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan presiden Senat, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Negara, Isnin depan.

Ezam (kiri) juga adalah bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang terkenal kerana pernah mengakui mempunyai enam kotak yang dikatakan mengandungi dokumen mengenai salah laku pemimpin kerajaan.

Dia bagaimanapun kemudian menafikan perkara itu sebaliknya mendakwa kotak itu suatu pembohongan dan dijaja sebagai modal politik sejak 1999 selepas Anwar dipecat daripada Umno dan kerajaan.

Selepas meninggalkan PKR dan menyertai Umno, Ezam berkata dia bukan saja dikutuk kerana meninggalkan perjuangan mereka tetapi juga digelar ahli parti itu sebagai "Ezam Kotak".

Sementara itu, bagi timbalan presiden MIC, Datuk G Palanivel, ura-ura yang beliau akan dilantik sebagai senator bukan lagi rahsia.

Perlantikannya itu dikatakan sebagai menghargai pengorbanannya yang tidak dicalonkan pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor tetapi sebaliknya menyokong calon kompromi, P Kamalanathan.

Selain dilantik sebagai senator, Palanivel juga dijangka akan diberikan jawatan sebagai timbalan menteri.

Rabu, 21 April 2010

Paling Tadah? MP Wangsa Maju Membisu.


Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong enggan mengulas apabila diajukan bahawa terdapat khabar angin yang bertiup kencang bahawa beliau adalah pemimpin PKR yang seterusnya akan berpaling tadah.
Beliau tidak mengesahkan ura-ura itu mahupun menafikannya tetapi sebaliknya berkata wartawan lebih mengetahui perkara berkenaan.

“Anda tahu segala-galanya. Kenapa perlu bertanya lagi? Anda lebih mengetahui, mengapa tidak anda siarkan berita itu terlebih dahulu?” katanya lewat semalam ketika ditanya wartawan di lobi parlimen.

Wee sehari sebelum itu berkata kepada akhbar-akhbar Cina bahawa jika beliau memilih meninggalkan PKR, beliau akan berbuat demikian dengan tempoh masanya sendiri dan bukan ditentukan oleh 'Napoleon kecil'.

Beliau kemudiannya menyerang media baru yang dilabelkannya sebagai tidak bertanggung-jawab.


“Saya akan hanya bercakap dengan media tertentu kerana sesetengah media adalah tidak bertangung-jawab,” katanya.

Menurut Wee sesetengah portal berita tidak boleh dipercayai kerana “mereka akan hanya memutar-belitkan kata-kata saya...mereka akan tukar B ke A dan A ke B”.

Ahli parlimen Kapar, S Manikavasagan pada ceramah di Ampang Petang semalam menaikkan kemarahan ahli-ahli PKR apabila beliau menimbulkan spekulasi bahawa seorang lagi MP parti itu akan berpaling tadah.

Menurut sumber, Wee memang telah bertekad meninggalkan PKR tetapi cuma mencari jalan keluar yang sesuai.

“Wee lebih gemar dipecat dari PKR supaya beliau tidak akan dituduh sebagai melompat dan digelar 'katak',” kata sumber itu.




Wee akan diperhatikan dengan teliti oleh rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat apabila BN dijangka akan membentangkan usul di Dewan Rakyat bagi mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Khamis ini.

Jika Wee berucap menentang parti dan juga ketua umumnya, beliau pastinya akan dipecat dan tidak perlu bertindak melompat keluar PKR.

Jumaat, 16 April 2010

Tian Chua Tidak Percaya ADUN Bakar Arang Lompat Secara 'Percuma'.


Tindakan Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu keluar parti menjelang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, didalangi Umno Barisan Nasional bagi mengimbangi pergeseran dalaman MIC.

Demikian kata Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang yakin Umno-BN akan sedaya upaya mensensasikan isu keluar parti itu bagi menutup masalah pemilihan calon di Hulu Selangor. 


Ahli Parlimen Batu itu juga tidak percaya ADUN Bakar Arang tidak dijanjikan sebarang imbuhan apabila keluar parti ketika bahang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor semakin panas.

“Saya tidak percaya dia (Wei Shu) keluar percuma sahaja. Saya tidak percaya dia pilih pada pilihan raya kecil Hulu Selangor untuk keluar dan dia tidak diberi 'reward'. Saya tidak percaya.


“Kita boleh jangka kerana kekecohan pemilihan calon MIC. Kita tahu Umno dan MIC tidak sepakat dalam menentukan calon untuk mewakili BN. Dengan berita Tan Wei Shu keluar parti, mereka harap dapat mengalih pandangan dari kemelut dalaman Umno-BN," katanya.

Kepada satu soalan, Tian Chua juga menolak keras spekulasi liar, kononnya wujud masalah dalaman antara Wei Shu dengan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.


“Sebenarnya keputusan untuk ganti dia (Wei Shu) datang dari kepimpinan parti bukan dari Ahli Parlimen Sungai Petani. Saya dan Ahli Parlimen Sungai Petani hanya menyampaikan mesej kepimpinan kepada Tan Wei Shu,” katanya.

Bercakap kepada TV Selangor, Tian Chua berkata, tindakan Tan sudah dijangka apabila digugur dari senarai exco kerajaan Kedah Mac lalu berikutan gagal menunjukkan prestasi baik dalam dua tahun perkhidmatan.

Parti Keadilan Rakyat (PKR), katanya terpaksa menggugurkan Wei Shu berikutan ADUN Bakar Arang itu dilihat tidak mampu menunaikan tanggungjawab dengan baik kepada rakyat.

“Kita sudah jangka Wei Shu mungkin lompat tetapi kita tetap tukar kerana dia pegang jawatan Exco. Oleh kerana prestasinya tidak memuaskan, kita tidak nampak dia mampumenjalankan tugas sebagai Exco dalam kerajaan negeri," katanya.

Khamis, 15 April 2010

Adun Bakar Arang Sudah Jadi Katak Keluar PKR.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu dijangka meninggalkan PKR hari ini.

Beliau sebelum ini merupakan exco kerajaan Kedah sebelum digugurkan dalam rombakan exco pada 10 Mac lalu.

Tempatnya diambil alih oleh seorang lagi wakil PKR, ADUN Sidam, Tan Show Kang.


Pada sidang medianya di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang ini, Wei Shu mendakwa tindakannya itu kerana dipermain-mainkan oleh pemimpin partinya.
Bodoh Punye Statement dari Wei Shu.

Berita selanjutnya akan menyusul.

Jumaat, 9 April 2010

2 MP Bebas Dibawa Melancong Ke USA Oleh Najib.



Tindakan kerajaan membawa dua anggota Parlimen Bebas Zulkifli Nordin dan Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim bersama rombongan Perdana Menteri ke Amerika Syarikat dilihat sebagai sebahagian dari 'bayaran balik'.

Ini kerana, jasa kedua-duanya memukul PKR, PAS dan DAP serta Datuk Seri Anwar Ibrahim khasnya selepas mereka meninggal parti itu perlu dibayar balik selain apa yang mereka telah terima sebelum ini.

Zulkifli Nordin

Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim

"Nampaknya ini adalah masa untuk membayar balik dan mereka nampaknya menjadi anggota Parlimen kegemaran pemimpin BN (berbanding MP dari Umno sendiri)," kata Dr Hatta Ramli, anggota Parlimen Kuala Krai kepada Harakahdaily.

Tindakan ini nampaknya tidak menyenangkan anggota Parlimen BN sendiri kerana biasanya merekalah yang mendapat peluang ini.

Untuk itu, pentadbiran Datuk Seri Najib menjadikan sikap Pakatan Rakyat yang suka membuat undian belah bahagi sejak kebelakangan ini sebagai alasan.

Ia disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bagi pihak kerajaan BN.


"Disebabkan kekerapan MP pembangkang membuat undian secara blok (memerlukan kehadiran MP untuk mengundi) pada setiap kali sidang Parlimen, saya memutuskan bahawa tiada MP Barisan Nasional yang akan dibawa keluar negara apabila parlimen bersidang.

"Juga adalah tidak adil bagi memaksa MP pembangkang mengiringi Perdana Menteri untuk lawatan ini.

"Mereka akan menuduh saya tidak berlaku adil kerana mereka juga memerlukan jumlah berkenaan bagi pengundian secara blok.

“Jadi, yang boleh pergi ialah hanya MP Bebas,” katanya di lobi parlimen.

Ketika kecoh dengan dakwaan rasuah dan pembelian anggota Parlimen, tiga anggota Parlimen PKR keluar parti manakala seorang lagi dipecat.


Yang keluar adalah Zahrain sendiri selain Tan Tee Beng dan Mohsin Samsuri manakala Zulkifli dipecat.

"Mereka bukannya anggota bebas sebenarnya kerana setiap kali bercakap mereka menghentam PKR, PAS dan DAP," kata Tian Chua, anggota Parlimen PKR kawasan Batu.

Perdana Menteri telah bertolak ke Amerika Syarikat untuk bertemu Barack Obama manakala timbalannya ke Perancis. Kedua-dua anggota Parlimen Bebas itu dijangka akan bersama PM di Amerika Rabu depan.

Selasa, 16 Mac 2010

'Mohsin Perlu Berani Berdepan Dengan Rakyat'

Ahli parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri tidak perlu takut dan khuatir untuk berdepan dengan rakyat di kawasannya sekiranya beliau yakin berada di pihak yang benar, kata pengerusi PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub hari ini.

Mustaffa diminta mengulas kenyataan Mohsin yang
beliau tidak dapat dihubungi kira-kira seminggu selepas keluar PKR baru-baru ini kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

Mohsin dilaporkan berkata beliau 'menghilangkan diri' selepas mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil bebas pada 3 Mac lalu atas alasan tidak bersetuju dengan pandangan parti berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Pengundurannya itu dikritik pelbagai pihak dalam pembangkang, termasuk melalui beberapa siri demonstrasi dan solat hajat tujuh malam supaya beliau mengosongkan kerusi itu bagi memberikan laluan kepada pilihan raya kecil.

Mengulas lanjut, Mustaffa yang juga naib presiden PKR berkata, tidak ada sebarang ancaman terhadap Mohsin tetapi "siapa yang makan cili, dialah yang rasa pedas".

"Beliau tidak perlu menyalahkan orang lain, sebaliknya menilai diri sendiri. Kalau beliau betul, beliau harus berani berdepan dengan rakyat," katanya.

Ditanya sama ada kenyataan Mohsin yang bimbangkan keselamatan itu sebagai satu alasan, Mustaffa mendakwa, ia mungkin sekadar alasan sahaja kerana tidak berani berdepan dengan rakyat selepas keluar parti.

Mustaffa berkata perhimpunan di hadapan pejabat Mohsin bagi mendesaknya mengosongkan kerusi Bagan Serai dilakukan secara aman.

Dilaporkan sekurang-kurangnya demonstrasi diadakan di Bagan Serai susulan peletakan jawatan Mohsin daripada PKR dua minggu lalu.

Hanya sehari selepas beliau mengisytihar keluar PKR, kira-kira 200 pengundi berdemontrasi di hadapan pejabatnya.

Manakala bermula Sabtu lalu, satu solat hajat khas anjuran ahli majlis syura Ulama PAS Ahmad Awang diadakan di pelbagai tempat di parlimen itu bagi memohon hukuman Allah terhadap Mohsin kerana didakwa mengkhianati perjuangan.

Ia dijadual berakhir di Masjid Kampung Tinggi pada Jumaat ini.

MP Bebas Dicabar Kosongkan Kerusi.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh mencabar kesemua ahli parlimen Bebas mengosongkan kerusi parlimen bagi mendapatkan mandat baru daripada pengundi kawasan masing-masing.

Menurutnya, sekiranya mereka takut tidak dapat bertanding lagi sebagai calon jika meletak jawatan, mereka boleh memilih satu lagi kaedah iaitu dengan tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan berturut-turut.

Menurut peruntukan di bawah perkara 52(1) Perlembagaan Persekutuan, jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen tidak hadir pada tiap-tiap sidang Majlis Parlimen selama tempoh enam bulan tanpa kebenaran Majlis Parlimen itu, maka Majlis Parlimen itu boleh mengisytiharkan bahawa kerusinya kosong.

"Ada peruntukan 52(1), jika seseorang ahli parlimen tidak menyertai persidangan dalam enam bulan, kerusi dia kosong dan dia masih boleh bertanding sebagai calon," katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor.

Beliau berkata demikian semalam ketika diminta mengulas lima wakil rakyat yang kini berada di blok Bebas di parlimen.


Empat daripada mereka adalah bekas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim, Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Zulkifli Nordin (Kulim-Bandar Baharu), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Zahrain, Tee Beng dan Mohsin sebelum ini mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi ahli parlimen Bebas, manakala Zulkifli dipecat daripada PKR.

Seorang lagi ahli parlimen Bebas adalah Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas) yang bertanding dan menang atas tiket PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Tindakan beliau kemudian dilihat sering menentang pendirian PAS dan Pakatan Rakyat sehinga beliau didesak meletak jawatan.

"Jadi lebih baik kelima-lima yang bebas ini meletak jawatan (tidak hadir parlimen), kembali ke kawasan masing-masing untuk dapatkan mandat baru," tambah Karpal.

Selasa, 9 Mac 2010

GERAK Cadang Ahli Parlimen Lompat Parti Hilang Kelayakan, Jawatan.


Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK) hari ini mencadangkan Ahli  Parlimen yang melompat parti, hilang kelayakan dan jawatan secara automatik sebagaimana amalan Parlimen India.

Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu juga menggesa  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan sama ada tindakan melompat parti itu didorong gejala rasuah atau suapan politik bernilai jutaan ringgit.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Ahli Lembaga Pengarah GERAK, mereka melihat gejala lompat parti sebagai mengkhianati dan menodai kepercayaan pengundi terhadap amalan demokrasi berparlimen di Malaysia.



GERAK juga menggesa SPRM memantau gejala lompat parti dan mengambil tindakan segera jika ada bukti, selain meminta mana-mana pihak yang memiliki maklumat mengenai amalan rasuah menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

GERAK juga menyeru supaya Ahli Parlimen di Malaysia supaya lebih berintegriti dan amanah terhadap tanggungjawab memperjuangkan nasib rakyat dan negara.


Kebelakangan ini, beberapa pemimpin bermasalah dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) belot dan melompat parti sama ada mengaku sebagai wakil rakyat bebas atau menyertai Umno.

Antara mereka ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Samsuri.

Jumaat, 5 Mac 2010

MP Lompat Seperti 'Buaya Di Balik Batu'-Nik Aziz


Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, tindakan beberapa wakil rakyat PKR yang keluar parti dan menjadi wakil bebas disifatkan sebagai "buaya di sebalik batu".

"Sedihnya, ribut tidak (ada), hujan pun tidak, tiba-tiba bah melanda! Syak saya teramat kuat akan adanya kepentingan politik (mereka) tersendiri. Ini bukannya udang di sebalik batu, bahkan buaya," katanya.

Nik Aziz (kiri, berserban) yang juga mursyidul am PAS mengulas 'fenomena' keluar parti yang menghantui PKR setelah tiga anggota parlimennya berpaling tadah dalam tempoh yang amat dekat.

Mereka ialah Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Lepas), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Dalam satu kenyatan hari ini, Nik Aziz berkata, jika terdapat perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan sedia ada, perkara itu boleh disuarakan dengan dengan pelbagai cara, tetapi bukan dengan melompat parti.

"Usulkan sahaja sidang tergempar, ambil tindakan kepada mana-mana pemimpin yang bersalah. Paling tidak, adakan perbincangan dari hati ke hati.

"Bukankah ini menjadi amalan biasa turun temurun di dalam menyelesaikan urusan rumahtangga parti?" soalnya yang kini sedang mendapatkan rawatan kerana sakit dada di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu sejak kelmarin.

Sehubungan itu, Nik Aziz menambah, pemimpin yang meninggalkan parti perlu juga meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen sebagai tanda menghormati mandat yang diberikan rakyat kepadanya.

"Bertanding atas tiket parti lain, tiba-tiba menukar haluan. Bukankah ini satu penipuan? Umpama meminang anak dara orang dengan perwatakan lebai, alih-alih bertukar rupa menjadi pencuri," sindirnya.

Beliau juga menasihatkan PKR - yang disifatkanya sebagai parti yang masih muda - tidak berputus asa kerana perkara yang sama pernah berlaku pada PAS sendiri, termasuk melibatkan pemimpin tertingginya.

"Hari ini, PAS sudah dewasa dan matang, tidak lagi kedengaran pimpinan yang melompat sebagaimana dahulu.

"Bahkan Kelantan pernah diperintah dengan kelebihan satu kerusi dan dua undi! Alhamdulillah, tidak ada yang melompat," katanya.

Rabu, 3 Mac 2010

Tee Beng Letaklah Jawatan.



Para pendokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nibong Tebal mencabar ahli parlimen kawasan itu, Tan Tee Beng yang keluar parti kelmarin supaya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal.

Timbalan Ketua PKR Cabang Nibong Tebal, Mohd Kamil Abu Bakar berkata, ini kerana rakyat memilih PKR sebagai wakil rakyat dan bukan Tee Beng secara peribadi.

“Beliau juga telah mengkhianati amanah rakyat Nibong Tebal. Oleh itu, kami sekali lagi mencabar Tan Tee Beng, sekiranya beliau anak jantan dan tidak bacul, sila lepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal dengan serta merta bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan,” ujarnya.

Tambahnya, PKR Nibong Tebal bersedia menguburkan karier politik Tee Beng dalam pilihan raya akan datang.

Menurutnya lagi, pengumuman keluar parti oleh Tee Beng memang telah dijangkakan.

Ini kerana, katanya, sepanjang menjadi ahli parlimen, tindak tanduk Tee Beng sering menentang arus perjuangan parti dan semangat permuafakatan dalam Pakatan Rakyat.

“Beliau telah memulakan serangan terhadap Ketua KeADILan Cabang Nibong Tebal dengan berbagai fitnah dalam akhbar berbahasa Cina, begitu juga serangan terhadap Adun Jawi.

“Selepas itu beliau meneruskan pula serangannya terhadap Ahli-ahli Majlis MPSP, seolah-olah hanya beliau sahaja yang tahu menjalankan kerja,” ujarnya.


Untuk pengetahuan semua, kata Mohd Kamil, kehadiran Tee Beng sebenarnya telah memporak-perandakan keharmonian PKR Cabang Nibong Tebal.

Tambahnya lagi, Tee Beng cuba memecah-belahkan ahli parti dan cuba membentuk puak dalam parti, namun kelicikannya dapat dihidu dan dibendung oleh Jawatankuasa PKR Cabang Nibong Tebal.

“Kami pendokong parti bukanlah bodoh untuk diperkotak-katikkan oleh orang seperti Tee Beng. Kami sentiasa teguh di belakang pimpinan PKR Cabang Nibong Tebal.

“Kami mengalu-alukan kepergian Tee Beng kerana beliau langsung tidak memberi manfaat kepada parti. Malah sekiranya masih ada saki baki mereka yang mahu mengikut jejak Tee Beng, parti membuka pintu seluas-luasnya untuk mereka pergi,” katanya.

Katak Bangan Serai Melompat Pulak.


Ahli parliman Bagan Serai, Mohsin Samsuri hari ini mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas.


Mohsin (foto), 65, yang dilantik mewakili PKR di kerusi utara Perak adalah ahli parlimen ketiga parti itu yang bertindak keluar parti.
Dua yang lain itu ialah MP Bayan Baru, Zahrain Hashim dan MP Nibong Tebal, Tan Tee Beng.

Pada sidang media, pagi ini di Ampang, Moshin diiringi oleh bekas setiausaha agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.

Salehuddin sebelum ini juga muncul pada dua sidang media di mana dua ahli parlimen PKR berkenaan mengumumkan tindakan keluar parti mereka.

Turut keluar PKR ialah bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin.
 

Pada pilihan raya umum 2008 lalu, Mohsin yang pertama kali bertanding mengalahkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin dari Umno dengan majoriti 3,413 undi.
Parlimen Bagan Serai mempunyai 47,111 pengundi berdaftar.

Berikutan ini, jumlah ahli parlimen PKR kini tinggal 27 orang.

Jumlah itu adalah kurang daripada kerusi yang dimiliki oleh sekutunya dalam Pakatan Rakyat, DAP.

DAP mempunyai 28 kerusi, manakala PKR sekarang ini memiliki 27 dan PAS 23.

Bagaimanpun pemimpin DAP dan juga PAS semalam memaklumkan mereka akan terus memberi sokongan padu kepada ketua umum PKR untuk menjadi Ketua Pembangkang di parlimen.
Isnin lalu, Salehuddin meramalkan, lebih 10 lagi wakil rakyat PKR akan keluar parti itu.


Bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Mohsin berkata beliau bertindak keluar parti kerana tidak bersetuju dengan pendirian PKR berhubung isu Allah.
Menurutnya, beliau telah membangkitkan perkara itu melalui saluran parti tetapi mendakwa ia tidak dihiraukan.

Salehudin pula berkata, PKR tidak seharusnya membuat sebarang pendirian ketika ahli-ahlinya masih bercelaru mengenai isu tersebut.

Beliau mendakwa, keputusan dibuat oleh satu dua orang tanpa dibahaskan.
Keadaan itu, tambahnya, telah menimbulkan kegelisahan di kalangan pemimpin di peringkat akar umbi.

Umno Beli AP Untuk Persempadan Semula Kawasan Pilihan Raya.

 Raja Petra

Blogger kontroversi, Raja Petra Kamarudin mendakwa, Umno sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membeli wakil rakyat Pakatan bagi membolehkan mereka kembali dengan kuasa dua pertiga.

Kuasa dua pertiga ini diperlukan untuk meluluskan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang bakal digunakan untuk menumpaskan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya ini pula dibuat dengan cara gerrymandering.

(Gerrymandering adalah kaedah persempadanan kawasan pilihan raya yang dibuat sedemikian rupa untuk menyusun para pengundi untuk kepentingan pihak tertentu yang menghasilkan bentuk yang luar dari biasa)


Menurut perlembagaan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhak membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya pada setiap lapan tahun sekali.

Kali terakhir ia dibuat adalah pada tahun 2003 iaitu sebelum pilihan raya 2004 berlangsung. Hasilnya, BN menang besar dalam pilihan raya itu.


Pencapaian Barisan Nasional (BN) akan sentiasa bertambah baik dalam pilihan raya yang diadakan selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya melalui gerrymandering ini.

Ia berlaku menjelang pilihan raya 1986, 1995 dan 2004. Dalam kesemua pilihan raya tersebut, pencapaian BN sentiasa lebih baik dari pilihan raya sebelumnya.

Menurut Raja Petra dalam tulisannya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dipisahkan dari Selangor untuk memecahkan kuasa politik Cina di Selangor dengan mengumpulkan mereka di Kuala Lumpur sahaja.

Ia dibuat ekoran kejatuhan Selangor ke tangan pembangkang pada pilihan raya 1969.


Pengalaman PAS
Sementara itu, mengikut pengalaman PAS pula, dua tokoh penting PAS telah hilang kerusi Parlimen mereka akibat dari persempadanan semula kawasan pilihan raya ini iaitu Haji Mohamad Sabu di Kuala Kedah dan Datuk Mahfuz Omar di Pokok Sena.

Kedua-duanya telah menang di kawasan tersebut dalam pilihan raya 1999. Ia ekoran sokongan kuat Melayu kepada PAS dalam pilihan raya tersebut.

Bagi memecahkan pengundi Melayu, beberapa kawasan Cina di Alor Setar telah dimasukkan ke kawasan parlimen Kuala Kedah dan Pokok Sena dalam persempadanan semula kawasan pilihan rayan 2003.

Terbukti ia berjaya dan kedua-duanya kalah dalam pilihan raya 2004. Namun Mahfuz yang terus bertanding di Pokok Sena dalam pilihan raya 2008 menang selepas pengundi Cina pula lari kepada pembangkang dalam pilihan raya itu. Mohamad Sabu kalah dalam pilihan raya itu kerana dia bertanding di Kuala Terengganu dan bukannya di Kuala Kedah.

Menjelang PRU 13
Kini, menjelang pilihan raya umum ke 13, Umno dan pakar-pakarnya sedang menyusun semula strategi untuk persempadanan semula kawasan pilihan raya . Tanpa kuasa dua pertiga Parlimen, ia tidak akan berjaya. Maka datanglah usaha ini, membeli seramai mungkin wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Menurut Raja Petra, "Orang di belakang 'shoping spree' membeli anggota Parlimen Pakatan Rakyat ini adalah Hamdan, sepupu Najib, yang telah diberikan Kudat IPP sebagai 'cash cow' untuk membiayai 'shoping spree' ini."

Menurut Raja Petra, Hamdan bekerja rapat dengan Special Branch (Cawangan Khas) dan Military Intelligence (Penyiasat Tentera).

"Orang hubungan beliau di Bukit Aman adalah Akril Sani manakala dalam Military Intelligence adalah Datuk Salleh," tulis Raja Petra.

"Nombor telefon Hamdan adalah +6012-279-5945," tulis Petra lagi.

Menurutnya, Hee Yit Fong, Adun DAP Perak yang meninggalkan partinya dibayar RM25 juta kerana peranan beliau untuk menjatuhkan kerajaan negeri Perak.

Namun, katanya, Tan Tee Beng, anggota Parlimen PKR dari Pulau Pinang yang baru sahaja keluar dari PKR dibayar hanya RM2 juta sahaja.

Isnin, 1 Mac 2010

Mohammad Fairus Keluar PKR, Sertai Umno.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) bersalaman dengan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin selepas mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyertai Umno. - foto BERNAMA 
Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus menerima tamparan hebat apabila bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyertai Umno.

Menurut beliau keputusan berkenaan dibuat atas dasar hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti.


"Saya dengan ini atas dasar mempertahankan prinsip memperjuangkan agama, bangsa dan negara serta kepentingan rakyat malaysia, saya mengumumkan penyertaan saya dalam umno dan Barisan Nasional (BN).

"Oleh yang demikian dengan rasmi saya keluar daripada PKR atas dasar hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti tersebut," katanya pada majlis perjumpaan kepemimpinan tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia bersama Perdana Menteri di sini malam ini.
Pengumuman bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut dibuat selepas hampir setahun menyepi daripada arena politik tanah air.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Mohammad Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219.

Bagaimanapun beliau meletakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang pada 8 April 2009 dan sebagai ADUN Penanti pada 16 April tahun yang sama atas alasan ingin melanjutkan pelajaran di peringkat pasca ijazah.

Menurut Mohammad Fairus, beliau mengambil keputusan meningalkan PKR kerana parti itu dilihat tidak konsisten dalam mempertahankan agama dan bangsa Melayu.



"Kemuncak batas kesabaran saya ialah apabila isu kalimah Allah timbul, saya memantau setiap kenyataan pemimpin yang ada di Malaysia tanpa mengambil kira parti politik.

"Tapi bila lihat kenyataan pucuk pimpinan dan kenyataan rasmi PKR, ianya amat mendukacitakan... tenyata mereka begitu longgar mempertahankan perkara sepenting itu dan sedasar itu," katanya.

Pertengahan bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggugurkan tuduhan rasuah terhadapnya yang dikaitkan dengan aktiviti kuari haram di Pulau Pinang.
Kes berkenaan antara lapan kes berprofil tinggi yang ditutup SPRM.


Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan borang keahlian Umno kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Najib dalam ucapannya berkata, beliau sebagai Presiden Umno menerima penyertaan Mohammad Fairus dengan senang hati.

Katanya, beliau menyedari tindakan Mohammad Fairus menyertai Umno adalah atas dasar prinsip perjuangan dan bukan kerana jawatan.

"Kami terima dengan senang hati kerana saya tahu bahawa Fairus mengambil keputusan ini atas soal prinsip dan dasar (perjuangan), bukan kerana jawatan, bukan kerana ganjaran.

Selain itu Najib juga menyatakan keyakinan bahawa Mohammad Fairus mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada Umno.

"Selamat datang Fairus... kita akan jaga dia dengan baik, saya percaya dia boleh bagi sumbangan yang besar kepada Umno untuk membela nusa dan bangsa," katanya.

Tambah Najib lagi, tindakan Mohammad Fairus itu membuktikan PKR gagal mempertahankan prinsip untuk memartabatkan agama Islam.

"Fairus sudah hilang kepercayaan kepada PKR kerana parti itu gagal mempertahankan apa yang dianggap sebagai soal prinsip.

"Prinsip yang paling penting ialah maruah dan martabat agama Islam, dalam hal ini dia berpendapat PKR gagal berbuat demikian," katanya.

Rabu, 4 November 2009

20 Pengkianatan Terhadap Bangsa Melayu..

Sejak 52 tahun lalu, negara ini hanya diperintah oleh Umno/BN/Perikatan, selain itu tiada parti lain yang berjaya menjadi pemerintah di negara yang majoriti penduduknya Melayu.


Adapun parti yang memerintah negeri-negeri seperti Kelantan (PAS- kini), Terengganu (PAS 1999-2004); Perak (Pakatan Rakyat,DAP-PAS-KeADILan sejak Mac 2008-Februari 2009); Selangor Mac 2008-kini), Kedah (Mac 2008-kini) dan Pulau Pinang (Mac 2008-kini), semuanya dianak-tirikan dari menerima bantuan pembangunan oleh kerajaan pusat.

Sejak itu juga, Umno/BN menggunakan ‘kesempatan’ dengan agensi kerajaan, media dan kuasa untuk mencengkam jiwa-jiwa orang melayu dan kaum-kaum lain bagi mengekalkan kuasa mereka.

Malah dengan akta-akta seperti Ordinan Darurat, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Umno/BN berjaya ‘menutup’ mulut-mulut rakyat, dan setiap kali getir melanda periuk nasi Umno/BN, pastinya akta-akta ini digunakan bagi emnakut-nakutkan rakyat.

Dalam masa yang sama, bak kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu pertemuan dengan kakitangan Harakah pada 28 Oktober lalu di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, Umno/BN memperbodohkan rakyat dengan akhbar-akhbar mereka hingga rakyat menjadi ‘pak turut’.
Berita-berita yang dimuatkan dalam media milik Umno/BN hanya memaparkan pandangan sebelah pihak, selebihnya menghentam dan memfitnah pembangkang.

Sejarah pastinya tidak akan melupai akan Umno/BN lah yang mengurangkan kuasa Raja-raha Melayu, yang menderhaka kepada Sultan apabila di Terengganu, selepas pilihan raya umum 2008, Umno/BN tidak bersetuju dengan perkenan Sultan Terengganu melantik Dato’ Seri Ahmad Said selaku Menteri Besar menggantikan Dato’ Seri Idris Jusoh.

Mereka (Umno/BN) turun ke jalan-jalan raya bagi membantah tindakan Sultan hinggakan slogan ‘natang’ ditujukan kepada Sultan dan Istana.Penderhakaan ini tidakpun diambil tindakan oleh mana-mana pihak berkuasa hingga kini.

Sementara AJK PAS Pusat, Dato’ Kamaruddin Jaffar pada satu majlis di Gombak satu ketika lalu pernah mengingatkan bahawa rakyat tidak akan lupa, Umno telah melakukan pelbagai pengkhianatan terhadap orang-orang Melayu semenjak pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohammad sehingga sekarang di bawah Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

Ujarnya pada zaman Dr Mahathir, beliau telah menghapuskan imuniti raja-raja Melayu. sedangkan Institusi Raja Melayu adalah simbol ketuanan orang Melayu.

Seterusnya, pengkhianatan Umno yang kedua, dengan merosakkan sistem kehakiman negara yang juga dilakukan bermula pada zaman pemerintahan Dr Mahathir hinggalah hari ini apabila sistem kehakiman semakin dibobrokkan.

Bekas Perdana Menteri (Dr Mahathir) itu juga, telah campur tangan di dalam sistem kehakiman negara, yang menjadi simbol kedaulatan undang-undang negara dan krisis ini membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas.

Kemudian, selepas pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan Terengganu jatuh ke tangan PAS, kerajaan Umno menarik balik royalti minyak di sana.

Walhal, majoriti besar rakyat negeri Terengganu adalah daripada orang-orang Melayu dan Umno sanggup berbuat demikian demi membalas dendam akibat kalah teruk dalam pilihan raya berkenaan.

Pada zaman Dr Mahathir juga, Umno/BNmemperkenalkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang secara terang melanggar Perlembagaan Malaysia.Hak tunggal bahasa Melayu ini dicabuli dan pemimpin Umno/BN mempertahankannya.

Akibatnya, dasar yang digubal dan dilaksanakan itu akhirnya melemahkan pencapaian anak-anak Melayu dalam subjek Sains dan Matematik, selain keciciran Melayu di kawasan pedalaman.

Rakyat pastinya tidak akan lupa dengan tindakan Umno/BN menarik semula geran peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menjadi tempat belajar anak-anak orang Melayu.Umno/BN melaungkan bahawa SAR tempat melahirkan pengganas, dan ia adalah menurut kajian orang kanan Najib, Abdul Razak Baginda yang pernah dikaitkan dengan dakwaan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu.

Berikut adalah antara senarai pengkhianatan Umno terhadap orang Melayu ”

1. Melemahkan institusi raja-raja Melayu yang menjadi simbol ketuanan Melayu.

2. Melemahkan sistem kehakiman negara.

3. Menarik balik royalti rakyat petroleum rakyat Terengganu yang majoriti orang Melayu.

4. Memperkenalkan PPSMI; menghapuskan bahasa Melayu.

5. Menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat, tempat belajar agama anak-anak Melayu.

6. Memperkenalkan meritrokrasi; mengurangkan peluang belajar anak-anak Melayu.

7. Memperkenalkan PTPTN dan mengurangkan biasiswa kepada anak-anak Melayu.

8. Persempadanan semula pilihan raya pada 2002; mengurangkan kawasan majoriti orang Melayu.

9. Menafikan hak royalti rakyat Kelantan yang majoriti Melayu.

10. Memperkenalkan Islam Hadhari yang mengelirukan orang Melayu.

11. Menyenaraiawamkan syarikat TH Plantation yang dahulunya dimiliki 100% oleh Tabung Haji dan              dimiliki   oleh orang Melayu. Tetapi sekarang orang bukan Melayu boleh memiliki saham TH Plantation.

12. Menggabungkan syarikat-syarikat konglomerat orang Melayu iaitu; Sime Darby, Guthrie dan Golden Hope, dan sekaligus mengurangkan peluang orang Melayu daripada tiga syarikat kepada satu syarikat sahaja.

13. Memetik kenyataan Mufti Perak, Dato’ Harussani Zakarian 250 ribu orang Melayu murtad. Semua ini adalah di bawah pemerintahan kerajaan Umno.

14. Mewujudkan Wilayah Iskandar yang menjadi zon bebas, maka orang-orang Singapura boleh masuk secara bebas ke sana.

15. Krisis Menteri Besar di Perlis dan Terengganu apabila Umno sendiri yang menentang keputusan Sultan di negeri berkenaan.

16. Membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi sumber bantuan usahawan-usahawan Melayu.

17. Memperkenalkan liberalisasi ekonomi, maka sekaligus menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang tujuannya membantu ekonomi orang-orang Melayu Bumiputra.

18. Mendedahkan pelaburan wang Tabung Haji satu ketika lalu dalam dengan syarikat Judi Pan Sweep, seperti yang didedahkan dalam buku Exco Kerajaan Kelantan, Dato’ Paduka Husam Musa.

19. Enggan membayar royalti minyak kepada kerajaan Kelantan sejak tahun 2004.

20. Mengkhianati amanah rakyat dengan merampas kerajaan negeri Perak dari tangan Pakatan Rakyat dengan cara yang tidak bermoral pada Februari 2009.

Selain itu, Kerajaan Umno/BN juga mengadakan hubungan erat dengan Israel sebuah negara Yahudi yang ganas walaupun dasar negara tidak mengiktiaf negara yahudi itu.Talam dua muka yang mengkhianati sokongan bangsa sendiri yang menentang keganasan Zionis terhadap rakyat Palestin.

Umno/BN juga hanya memberi kontrak yang diperuntukkan untuk bumiputera kepada kroni iaitu Umnoputra yang rapat dengan pemimpin pemerintah yang kemudianya menjual projek kepada tauke tauke kaya dengan keuntungan berjuta ringgit tanpa membuat sebarang kerja.

Sementara tauke ini akan membuat projek berkenaan dengan baki modal yang kurang dari yang diperuntukkan. Maka jadilah lebuhraya retak, bangunan bocor, projek-projek tidak siap seperti PKFZ dab landasan berkembar Ipoh Rawang yang rugi sekitar RM1.14 billion, masjid runtuh, jambatan runtuh dan stadium di Terengganu yang runtuh.

Ahad, 9 Ogos 2009

Polemik Pengkianat Melayu=Tanda Pilihan Raya Makin Dekat.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) memandang serius akan trend media-media arus perdana yang begitu serius memainkan isu ‘Pengkhianat Melayu’ mutakhir ini. Pandangan dan komentar pimpinan-pimpinan Umno khususnya disebar luas melalui media-media cetak dan elektronik yang jelas bertujuan untuk memberikan impak negatif ke atas imej Ketua Umum KEADILAN, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat secara umumnya.
Berdasarkan kepada analisis trend, AMK yakin dan percaya bahawa strategi ini bertujuan sebagai persediaan Pilihanraya Umum yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat. Dan ini juga sebagai persediaan awal bagi kempen Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir yang dijadualkan akan diumum oleh SPR esok, 10 Ogos 2009.
Polemik pengkhianat Melayu ini berterusan dimainkan dengan restu Perdana Menteri Najib yang jelas menggambarkan ketandusan idea kepimpinan beliau untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat secara gentleman dan terbuka. AMK percaya ini berlaku rentetan beberapa isu mutakhir yang gagal didepani dengan baik oleh kepimpinan Najib termasuklah pendedahan isu skandal penyelewengan PKFZ, isu kematian Teoh Beng Hock dalam siasatan SPRM dan ditambah dengan sambutan luar biasa ke atas Perhimpunan Aman GMI-MANSUH ISA yang diadakan pada 1 Ogos 2009 lepas di mana berjaya mengumpulkan seramai puluhan ribu rakyat.

Label pengkhianat berterusan dicop ke atas batang tubuh Datuk Seri Anwar bertujuan sebagai satu kaedah pembunuhan karakter ke atas imej Datuk Seri Anwar, sebagaimana yang dilakukan ke atas imej Tuan Guru Nik Abdul Aziz sempena Pilihanraya Kecil DUN Manek Urai yang lepas. Tetapi kaedah serangan karakter yang begitu agresif ini pastinya memberikan modal politik yang positif kepada Pakatan Rakyat. Untuk rekod, serangan bertalu-talu terhadap YB Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dimainkan beberapa hari sebelum pilihanraya umum yang lalu di mana ternyata strategi UMNO/BN telah memberikan kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat !
Bukanlah sukar untuk mengenal siapa pengkhianat Melayu.
- Siapakah yang meminda Perlembagaan Persekutuan mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu?
- Siapakah yang melacur pendidikan negara dengan pelaksanaan PPSMI yang membunuh potensi Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?
- Siapakah yang menyerahkan tanah seluas 51,170 hektar kepada Singapura dengan bayaran RM350 juta seperti didedahkan oleh hubaya tertentu?
- Siapakah yang menafikan hak masyarakat Melayu di negeri Kelantan dan Terengganu untuk memperolehi royalti petroleum sejak sekian lama?
- Siapakah yang memecat Almarhum Datuk Ishak Baharom yang menggazetkan fatwa pengharaman penyertaan orang Melayu di dalam Pertandingan Ratu Cantik Di Selangor satu ketika dahulu?
- Siapakah yang menyeleweng kuota masyarakat Melayu di dalam pengagihan kontrak-kontrak untuk kroni-kroni mereka semata?
- Siapakah yang meminda Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan Persempadanan Semula kawasan Pilihanraya yang mengecilkan undi Melayu untuk tujuan kepentingan politik mereka?
- Siapa pula yang satu ketika dahulu bermati-matian mahu menggugurkan nama Islam di dalam semua pertubuhan politik dan NGO satu ketika dahulu?
Soalan-soalan ini jika dijawab hanya akan disimpulkan dengan satu jawapan, iaitu Umno. AMK percaya apa yang berlaku kini bukanlah masyarakat Melayu yang berada di persimpangan, sebaliknya Umnolah yang berada di persimpangan: samada berubah ataupun rebah di tangan rakyat. Tidak timbul soal Melayu berpecah, sebaliknya yang berlaku ialah peralihan sokongan masyarakat Melayu daripada Umno kepada Pakatan Rakyat.
AMK menyarankan agar Umno bertaubat daripada memainkan sentimen perkauman yang dahsyat ini. Hakikat menunjukkan bahawa Rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu tidak mudah lupa dan tidak akan lupa dengan segala penyelewengan dan politik adu-domba tajaan Umno yang kini semakin nazak dan gusar untuk berhadapan dengan rakyat.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails