Geng Aku

Ahad, 21 Mac 2010

Shah Pelajar Pertama Tinggalkan AF8.


Pengumuman penyingkiran dibuat oleh hos, Sarimah Ibrahim dalam Debaran AF yang bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, dan turut dipancarkan melalui Astro Ria (Saluran 104).

Shah atau nama sebenarnya, Muhammed Shahril Mohd Saleh Hussein, 26, berasal dari Klang menerima undian terendah berbanding 11 pelajar lain sekali gus memecah tradisi AF sebelum ini yang melihat pelajar wanita menjadi pelajar pertama tersingkir.

Sarimah pada awal rancangan turut mengumumkan dua lagi pelajar yang menrima undian terendah di atas Shah iaitu Alif dan Maulana. Kedudukan ini tidak banyak berbeza dengan kedudukan undian pada awal konsert semalam di mana Shah turut diumumkan sebagai pelajar di kedudukan terbawah undian.

Dengan penyingkiran itu, kini 11 pelajar lain akan meneruskan perjuangan pada minggu depan.

Bini Najib Dengan Sape Tu?

Gambar Rosmah Dengan Menteri Mentor Singapura 
`~~Happy sungguh berborak~~`



Bayi Dibuang Di Tempat Sampah.


KESIAN... Bayi perempuan yang dijumpai ditinggalkan di tempat pembuangan sampah oleh orang ramai yang lalu lalang di Jalan Medan Ipoh 1, petang semalam. Bayi yang dilahirkan cukup sifat itu kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

IPOH: Seorang bayi perempuan yang berbalut dengan sehelai kain dijumpai ditinggalkan di tempat pembuangan sampah di sebuah pusat membeli belah di sini semalam.

Bayi yang baru dilahirkan itu dijumpai oleh orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu dan telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Timbalan Pengarah HRPB, Dr Raimi Goon berkata bayi yang cukup sifat itu telah dikejarkan ke hospital berkenaan selepas dijumpai oleh orang awam pada kira-kira 6 petang.

Beliau berkata bayi tersebut sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Azisman Alias berkata polis telah menerima laporan mengenai penemuan bayi berkenaan dan sedang menyiasat.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan Pada 30 Mac.


Sambutan Hari Keputeraan ke-60 Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra diteruskan dengan acara penganugerahan diadakan pada 30 Mac ini.

Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata penganugerahan itu akan diteruskan sempena sambutan tersebut tetapi acara perayaan tidak dijalankan dan ianya digantikan dengan solat hajat dan doa selamat di kesemua masjid di negeri berkenaan.

"Penganugerahan akan diteruskan dan Pemangku Raja Tuanku Tengku Muhammad Faris Petra Ismail Petra akan menentukan siapa yang berhak menerima anugerah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata selain acara penganugerahan, acara solat hajat dan majlis hari hol Almarhum Sultan Yahya Petra diadakan pada 25 Mac ini.

Sebelum ini, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mendakwa dirinya, Setiausaha Sulit Sultan Kelantan dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Tuanku Ismail Petra menitahkan semua perayaan dan penganugerahan sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-60 pada 30 Mac ini tidak dilangsungkan.

Berikutan itu, Abdul Halim telah membuat laporan polis dua hari lepas kerana mempertikaikan kesahihan kenyataan dan pelantikan Wan Hashim kerana pelantikan itu tidak melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).

Akhbar hari ini melaporkan Wan Hashim mendakwa pelantikannya tidak tertakluk di bawah SPN kerana pelantikannya di bawah bidang kuasa Sultan Ismail Petra. - BERNAMA

Musa: Ada Campurtangan 'Orang Ketiga' Dalam PDRM.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kebelakangan ini "semacam ada tekanan kepada pasukan polis, sama ada dari pihak politik atau orang-orang tertentu".

Menurutnya, mereka cuba memberi tekanan, mungkin kerana kurang selesa dengan tindakan yang beliau arahkan.
"Jadi, ada juga arahan yang diberikan terus kepada pegawai-pegawai bawahan saya tanpa pengetahuan pengurusan atasan," kata Musa dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia hari ini.

"Bagi saya, ini merupakan satu trend yang salah kerana dalam pasukan polis, terdapat perintah dan kawalan.

"Yang hanya boleh memberi arahan adalah KPN kalau ikut undang-undang," katanya sambil menegaskan bahawa Seksyen 4 Akta Polis 1957 mengatakan bahawa semua arahan dan kawalan PDRM adalah di bawah KPN.

"Maka kalau ada mereka yang cuba campurtangan, ini boleh merosakkan polis. Kerana pada masa itu, anggota akan merasa serba salah kerana terdapat autoriti lain yang memberi arahan kepada mereka," tegasnya.

Musa menjelaskan, kalau ada seorang ketua yang memberi arahan, maka ketua berkenaan akan bertanggungjawab terhadap arahan itu.

"Dalam polis, jika ketua memberi arahan yang salah, maka dia perlu bertanggungjawab terhadap arahan itu," katanya sambil menambah bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka.

"Tetapi jika orang ketiga yang memberi arahan dan kita tidak tahu siapa mereka, kemudiannya pegawai pula menjalankan kerja yang salah, jadi pegawai saya yang akan menjadi mangsa.

"Ini kerana kesalahan yang dilakukan, mengikut arahan yang tidak sepatutnya. Jika orang yang memberi arahan kemudiannya nafi memberi arahan tersebut, maka ia akan merosakkan pasukan polis," tegas Musa lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap agar perkara sedemikian perlu dihentikan kerana pentadbiran kepolisian dan segala tindakan dan operasi dijalankan adalah di bawah bidang kuasa KPN dan pegawai atasan yang mengendalikan operasi berkenaan.Ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar yang mendakwa beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya, Musa berkata beliau hairan dan terkejut kenapa berita itu boleh keluar.

"Benda yang saya tidak buat, kata saya buat. Ini seolah-olah macam hendak mempercepatkan pemergian saya dari jawatan ini.

"Kita pun tahu bila hendak pergi, jadi tidak perlulah suruh dipercepatkan.

"Tapi kalau seseorang itu mahu mempercepatkan(nya), saya kena dapat arahan dari kerajaan untuk bersara awal.

"Jika demikian saya akan bersaralah. Itu yang saya boleh cakap tapi sekarang ini di pihak kerajaan tidak ada apa-apa yang berlaku," tambahnya.

Musa juga ditanya mengenai dakwaan yang menyatakan terdapat menteri yang tidak berapa sebulu dengan beliau.

"Itu saya tidak tahu. Saya hanya menjalankan tugas saya sama ada orang suka atau tidak selesa dengan cara saya menjalankan tugas, saya tidak tahu," jawabnya.

Ditanya sama ada isu tersebut akan memberi kesan kepada PDRM, Musa berkata: "Saya rasa begitulah".

"Kalau dilihat apabila seorang ketua boleh diperkotak-katikkan sebegini rupa, maka anggota bawahan akan turut merasa begitu," kata beliau sambil menambah, ada yang menghantar SMS bertanyakan kenapa jadi begitu.

"Saya pun tidak tahu nak jawab. Jadi saya suruh anggota saya bersabar. Saya pun faham, saya akan pencen pada bulan September ini," tambahnya.

Chua Soi Lek Sah Tanding Presiden.


Pertandingan merebut jawatan presiden MCA hujung bulan ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru selepas Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mengesahkan akan bertanding jawatan tersebut.

Dengan sokongan lebih 1,000 penyokong yang hadir di sebuah hotel di ibunegara hari ini, tokoh berusia 61 tahun itu, akan berdepan dengan penyandangnya Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas presiden, Tan Sri Ong Ka Ting.
Ketika mengumumkan keputusannya itu, Dr Chua berkata, beliau mempunyai strateginya sendiri untuk menyatukan parti dan MCA kembali dihormati masyarakat.

Sambil membidas Ka Ting, Dr Chua berkata prestasi lemah parti dalam pilihan raya umum lalu adalah akibat kesilapan Ka Ting memilih calon.

"Inilah yang diharap dapat dipulihkan semula apabila saya menang dan menjadikan MCA sebuah parti yang kuat dalam BN, untuk menyediakan dan membantu gabungan itu menang dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Walaupun MCA mengalami kekalahan pada 2008, kata Dr Chua, bagaimanapun struktur dan ketaatan ahli-ahli parti kekal kuat dan padu.

Beliau juga menyuarakan rasa optimisnya terhadap peluangnya dipilih sebagai presiden parti, dan berharap para perwakilan memberinya peluang.

Dr Chua berkata sokongan akar umbi yang kuat terhadapnya akan mencerahkan peluangnya dalam pemilihan minggu depan.

Beliau juga berikrar akan bekerjasama dengan mereka yang menang dalam pemilihan parti itu pada 28 Mac ini bagi menguat dan menjamin kestabilan MCA.

Boikot Coca-Cola! Kami Tidak Bangga Kilang Di NS..

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa amat bimbang apabila mendapati Syarikat Coca-Cola akan mendirikan kilang pembotolan minumannya di Negeri Sembilan, Malaysia.

Ketika majlis pecah tanah yang diadakan pada 16 Mac 2010 di Bandar Enstek, Nilai, wakil syarikat menyatakan bahawa Coca-Cola akan menguasai pasaran minuman tempatan yang akan mensasarkan lebih daripada 60% penduduk iaitu mereka yang berusia di bawah 30 tahun.


Lihat ulasan lanjut dari CAP..
 
Gambar atas: Bila di lihat dan diperhatikan dengan teliti, yang di 'saf' belakang tu orang sebenarnye. Mereka mengiklankan solat dengan berpakaian seperti ini. Berkupiah jenama 'coke'.

 

Perhatikan word 'coca-cola'. Cube beli satu botol coke dan koyakkan plastik cover die, & then terbalik kan. Kite akan dapat lihat tulisan nya akan menjadi '' La' Muhammad La' Makkah ''. yang bermasud TIADA MUHAMMAD, TIADA MAKKAH.

Sedarlah wahai sahabat2, bile kita mengucapkan kata-kata TIADA MUHAMMAD, TIADA MAKKAH, sebenarnya akidah kita dah terpesong. Kita renungkan kembali, bangsa yahudi tidak akan aman selagi Islam itu tak tenggelam.

Sila rujuk..
Boikot Coca Cola(klik 2x untuk besarkan gambar)

Presiden Bangga MP, Adun PAS Tidak Keluar Dari Parti.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berbangga dengan prestasi semua ahli parlimen (MP) mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu seluruh negara kerana tidak gopoh terjun daripada bahtera yang sedang belayar.

 









Ketika menyampaikan amanat di Dewan Perpustakaan Negeri di sini, pagi tadi beliau menambah, berbanding parti lain dalam Pakatan Rakyat, PAS ternyata ke hadapan sebagai sebuah organisasi yang mantap.

"Walaupun bahtera kadang-kadang terumbang ambing namun PAS berjaya menunjukan prestasi yang baik tidak mudah terjerat dengan mainan politik yang dicipta oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).  Sikap tidak gopoh menghadapi sebarang rintangan, " jelasnya dalam program anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang.

Oleh itu, beliau menggesa semua organisasi PAS harus mengatur program dengan lebih berkesan dan agresif supaya muncul formula baru yang dapat mendekatkan lagi PAS dengan masyarakat.


 “Di sinilah kekebalan PAS menerusi baiah, usrah dan pertemuan dapat menghindarkan tanggapan buruk serta memperjelaskan kedudukan sebenar sekaligus dapat membersihkan tohmahan musuh.

"Sebenarnya baiah, usroh dan pertemuan dalaman memberi kelebihan pada PAS sendiri. Kita dapat membina kekuatan dalaman dan mengawal tindak tanduk yang boleh mengancam kestabilan politik parti sendiri," tegasnya.

Katanya, sikap sedemikian dapat membentuk jati diri yang kuat di samping bersatu hati dalam sebarang isu dan bersama memantau jika timbul persoalan yang sukar diselesaikan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan PAS tetap memilih jalan demokrasi untuk menawan Malaysia walaupun tahu ia datang dari barat.

Melaluinya, kata beliau PAS berpeluang menyampaikan dakwah dan penerangan dengan lebih baik asalkan bijak mengatur isi penyampaian samada di masjid, surau ataupun medan ceramah sempena hari kebesaran Islam dan sebagainya.

Tambahnya, PAS adalah wadah politik yang perlu dipertanggugjawabkan bukan untuk main-main, maka apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan telah mengambil kira semua risiko.

"Kita bukan berperang yang mahu membunuh musuh tapi kita berdemokrasi yang mana perlu mengintai peluang agar terus berjaya menonjolkan PAS ke arah yang lebih tinggi, " tambahnya.

DAP Sedia Sokong BN Gubal Akta Anti Lompat Parti.

DAP yang pernah menyatakan keperluan digubal undang-undang antilompat parti sebelum ini menyatakan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menggubal undang-undang bagi tujuan itu.

Pengerusi DAP Karpal Singh (kanan) berkata, DAP bersedia menyokong BN jika mereka mahu membentangkan undang-undang itu dan memberi jaminan bahawa 28 Ahli Parlimen parti itu akan memberi sokongan.

“Pendirian saya jelas bahawa saya menentang tindakan melompat parti dan usaha meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan undang-undang anti lompat parti diluluskan nampaknya cara terbaik bagi menyelesaikan isu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa Ahli Parlimen yang keluar parti menjadi wakil rakyat Bebas yang disifatkannya sebagai mengkhianati kepercayaan pengundi.

Katanya Ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) sepatutnya meletak jawatan bagi membolehkan orang ramai memilih wakil mereka selepas mereka meninggalkan parti.

Selain itu beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri PKR dan DAP juga telah keluar parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat Bebas di Perak, Kedah dan Selangor.

Bukan Mudah Kukuhkan Karier Pengacaraan - Yasmin Hani




PENGACARA dan pelakon Yasmin Hani mengakui bukan mudah untuk mengukuhkan karier pengacaraannya setelah kontrak bersama Astro tamat kira-kira dua tahun yang lalu.
Sejak kali terakhir wajah jelita ini menghiasi program signatur Astro Ria, Ria Sentral pada tahun 2008, sehingga hari ini Hani masih terus mencari peluang pengacaraan yang baru bagi melancarkan kariernya.

Walaupun namanya bukan lagi asing dalam dunia pengacaraan, pengalaman selama sembilan tahun itu belum mampu membuatkan pengacara berusia 31 tahun ini kukuh berdiri dalam bidang ini.

"Saya menganggap kerjaya saya hari ini seperti satu permulaan baru. Saya bagaikan orang baru yang perlu bekerja keras.

"Saya perlu ringan mulut untuk bertanya sana dan sini bagi mencari tawaran pengacaraan," ujarnya.

Malah, sejak bergerak sendiri tanpa ikatan kontrak dengan mana-mana program atau stesen TV, Hani menganggap dirinya tidak ubah seperti pendatang baru yang masih bertatih untuk terus mengukuhkan karier dan periuk nasi.

"Kemunculan saya sebagai pengacara bebas kini boleh diibaratkan seperti salam perkenalan.

"Macam orang baru, saya perlu mencari peluang kerja. Saya lalui waktu yang sukar tapi saya perlu terus berusaha untuk mencari rezeki," luah hati Hani.

Situasi itu pernah membuatkan Hani hampir 'terduduk' kekecewaan. Akuinya, mencari rezeki di luar sana secara bersendirian tanpa ikatan kontrak dengan mana-mana program bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi. Namun, Hani terus melangkah demi bidang yang dicintainya ini.

"Sebelum ini, saya cukup selesa selama sembilan tahun terikat dengan Astro. Karier pengacaraan saya berjalan dengan lancar.

"Saya tidak perlu runsing kerana semua perkara melibatkan program disusun dengan baik. Saya hanya perlu datang untuk rakaman dan balik selepas rakaman selesai.

"Namun, sejak kontrak tamat saya amat merasakan keperitan untuk mengembangkan karier ini.

"Terus-terang saya kata, bukan senang untuk mengukuhkan karier pengacaraan bila tiada kontrak dengan mana-mana stesen atau program TV.

"Saya mengenalpasti punca yang membuatkan karier pengacaraan saya tidak begitu lancar kerana mungkin ramai yang tidak tahu saya sudah tiada apa-apa kontrak dengan Astro lagi.

"Selama ini saya begitu sinonim dengan program-program Astro. Apabila kontrak dengan mereka sudah tamat pun orang luar sangka saya masih selebriti Astro.

"Mungkin sebab itu, tidak banyak tawaran pengacaraan lain yang datang. Apa pun, saya bersyukur kerana masih ada juga beberapa tawaran program telah dan bakal saya kendalikan," katanya.

Namun, dengan beberapa tawaran pengacaraan yang datang kebelakangan ini, Hani mungkin boleh menarik nafas lega.

Terbaru, dia terlibat dalam proses rakaman untuk program hiburan 13 episod, Layar Lensa di RTM. Sebelum itu, pelakon berdarah kacukan ini baru sahaja menyiapkan rakaman program Pop Sensasi yang juga akan bersiaran di RTM.

Hani juga bakal mengendalikan program Prelude Anugerah Industri Muzik (AIM) bulan depan.

Kerajaan Harus Ambil Iktibar Dari Bantahan Dunia.



Kerajaan diminta mengambil iktibar dari bantahan Ahli-Ahli Parlimen United Kingdom mendesak Umno-BN menghentikan penderaan politik terhadap pembangkang.

Pelbagai pihak berpandangan bahawa maruah negara dan rakyat Malaysia telah diperjudikan di mata dunia oleh pemimpin-pemimpin politik yang menghalalkan apa sahaja cara demi kepentingan politik sempit.


Badan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia mengulangi gesaan masyarakat antarabangsa mendesak Umno-BN untuk tidak memperkudakan aparatus kerajaan untuk menghancurkan seteru politik mereka.

Penyelaras Suaram, E Nalini berkata pihaknya telah melihat dan menerima pelbagai aduan berhubung salahguna kuasa pemerintah yang menghalang pembangkang dari merapati masyarakat.


"Ceramah-ceramah yang dianjurkan pembangkang, misalnya yang dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, selalu dihentikan oleh polis. Polis adalah di bawah institusi kerajaan. 

Mereka menerima arahan daripada IGP dan ini menunjukkan memang ada diskriminasi kepada pembangkang," jelas beliau.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Tian Chua dan Nurul Izzah dipanggil ke Balai Polis Petaling untuk diambil keterangan berhubung ceramah mereka di Taman Seri Sentosa. Mereka dipanggil atas alasan melanggar syarat permit dan menyentuh isu perkauman.


Pada malam 8 Mac lepas, program memperingati Kemenangan Dua Tahun Pakatan Rakyat terhalang selepas Unit Simpanan Persekutuan merempuh masuk premis Kelab Sultan Sulaiman dan menyerbu pentas yang menempatkan pimpinan Pakatan Rakyat.

Modus operandi seperti ini tidak terhenti di lapangan, bahkan terlanjur sehingga ke Dewan Rakyat.

" Di Parlimen juga kita boleh nampak sebarang resolusi yang dibawa oleh pembangkang selalunya akan ditolak. Walaupun resolusi yang dibawa bermanfaat kepada rakyat tetapi akan ditolak atas alasan tidak ada masa," kata Nalini.

Selangor,NS,T'ganu & Kedah Ke Separuh Akhir.


RUDIE (kiri) diasak pemain pertahanan Pos Malaysia, Mohd. Roslan Basiron pada aksi di Stadium Shah Alam malam tadi.


SELANGOR mudah melangkah ke saingan separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Pos Malaysia 3-0 pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi.

Terdahulu, Selangor membelasah Pos Malaysia 5-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sekali gus layak ke saingan separuh akhir dengan agregat 8-1.

Pada aksi semalam, biarpun hanya dibarisi majoritinya pemain simpanan, Selangor tetap membuktikan kehebatan mereka apabila R. Surendran berjaya membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang dari dalam kotak penalti seawal minit kedua.

Skuad kendalian K. Devan itu terus menguasai perlawanan dan hasilnya, Rudie Ramli berjaya menyumbat gol kedua Selangor pada minit ke-38.
Surendran sekali lagi meletakkan namanya selaku penjaring apabila meledak gol ketiga pada minit ke-41.

Tersentak dengan tiga gol Selangor itu, Pos Malaysia dilihat memperkemaskan jentera serangan mereka dengan melancarkan serangan ke arah kubu Selangor.

Bagaimanapun, kekentalan bahagian pertahanan skuad Gergasi Merah yang diketuai oleh Bunyamin Omar berjaya mengekang setiap gerakan pasukan pelawat.



Sebaik babak kedua bersambung, Selangor mula memperlahankan rentak permainan sehingga keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Selangor akan berdepan dengan Negeri Sembilan dalam perlawanan separuh akhir pertama yang dijadual berlangsung pada 30 Mac ini.

Cucu Maut Di Pangkuan Nenek.


KEADAAN kereta mangsa yang remuk dalam kemalangan maut di Kilometer 17, Jalan Seremban-Kuala Pilah semalam.


KUALA PILAH – Memang ditakdirkan sepasang suami isteri, Roslley Hasan, 48, dan Roziah Shamsudin, 42, terkorban dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Ulu Bendul di sini semalam.

Lebih memilukan, mayat cucu mereka, Mohd. Danish Mohd. Zaidi berusia setahun lima bulan ditemui tidak bernyawa di atas pangkuan Roziah.

Kejadian berlaku ketika pasangan suami isteri itu sedang menuju ke stesen bas Terminal One di Seremban untuk menghantar anak mereka, Nurul Zailin pulang ke Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang. 

Selain Nurul, seorang lagi anak mereka, Nurul Shamimi, 11, dan menantu, Saidatul Akmal Samsudin, 18, turut berada dalam kereta yang dipandu Roslley.




Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, semua mangsa maut akibat cedera parah di kepala dan badan selepas bertempung dengan sebuah kereta lain dari arah bertentangan.

Nicol Raih Gelaran Keenam.




DATUK Nicol David berjaya merangkul kejuaraan keenam Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB 2010.

Selepas kempunan muncul juara pada edisi 2009, ratu skuasy negara ini kembali merampas mahkota kejuaraan selepas membenam pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy pada aksi final di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur semalam.

Nicol hanya memerlukan masa selama 31 minit untuk menumbangkan pemain pilihan keempat itu dengan kemenangan straight set 11-4, 11-2, 13-11.


“Saya sudah menjangkakan perlawanan ini memang sukar. Omneya bermain dengan cukup tenang kerana dia tidak kisah sama ada menang atau kalah.

“Sebaliknya, saya perlu menang kerana saya bermain di tempat sendiri selain untuk menebus kegagalan tahun lalu.

“Pada suatu ketika, Omneya memberi sedikit tekanan kepada saya tetapi mujur, saya dapat mengekalkan rentak permainan untuk meraih kemenangan straight set,” kata Nicol yang juga pemain No. 1 dunia.

Selaku juara, Nicol membawa pulang trofi dan wang tunai US$8,550 manakala Omneya membawa pulang wang tunai US$6,075.


AKSI Nicol (kiri) ketika menentang Omneya pada final Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB 2010 di Berjaya Times Square semalam.


Untuk rekod, Nicol sebelum ini telah menjuarai kejohanan yang sama pada edisi 2000, 2002, 2005, 2007 dan 2008.

Dalam saingan final lelaki, pemain No. 1 dunia, Ramy Ashour meraih gelaran sulungnya di Kuala Lumpur setelah menewaskan rakan senegaranya dari Mesir, Karim Darwish 11-8, 11-8, 11-9 dalam masa 41 minit.

“Set terakhir agak sukar kerana saya terpaksa mengejar mata setelah ketinggalan 5-9. Karim bermain dengan bagus dan mentalnya juga kuat,” katanya.

Ramy membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai US$7,600 manakala Karim meraih US$5,200.

Petronas Temui Lapangan Minyak Terbesar Di Dunia?


Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mendakwa beliau diberitahu bahawa syarikat minyak nasional, Petronas, telah 'menemui satu lapangan minyak yang sangat besar,kemungkinan yang terbesar di dunia'.

Penemuan ini, tegasnya, bermakna Petronas akan mempunyai masa depan yang sangat baik.

Bagaimanapun, pengerusi pengasas Petronas itu enggan memberikan butiran lanjut.

"Saya diberitahu...tiada pengumuman dibuat mengenai penemuan lapangan minyak yang sangat besar. Saya diberitahu terdapat penemuan besar... yang boleh memberi tekanan kepada harga minyak.

"Saya juga diberitahu ia merupakan lapangan minyak atau telaga minyak terbesar (bukan hanya) di sini tetapi juga di tempat-tempat lain di dunia.

"Saya tidak boleh dedah (lokasi)...saya tidak boleh beri tahu anda," katanya semasa ditanya berulang kali mengenai penemuan itu, yang beliau sebutkan dalam ceramahnya yang bertajuk, "Conversations on the Constitution and Oil Royalty -- A Constitutional Right?" anjuran Majlis Peguam Malaysia, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga tidak menamakan siapa yang memberitahunya mengenai perkembangan Petronas itu. 



Sementara itu, Petronas dalam satu kenyataan ringkas, menafikan penemuan tersebut.

"Petronas ingin menjelaskan bahawa ia tidak membuat sebarang penemuan seumpama itu dan sebarang kenyataan yang menyebut mengenai penemuan sedemikian adalah tidak benar," kata perbadanan minyak nasional itu semasa dihubungi Bernama.

Tengku Razaleigh baru-baru ini tidak bersetuju dengan pendirian Kerajaan Persekutuan bahawa kerajaan Kelantan tidak mempunyai hak untuk menuntut royalti bagi minyak yang dikeluarkan dari kawasan luar pantai negeri itu.

Tengku Razaleigh, yang juga bekas menteri kewangan berkata penemuan lapangan minyak yang besar bermakna Petronas mempunyai masa depan yang baik tetapi menambah, ia perlu diurus dengan sewajarnya.

"Saya berharap Petronas akan diurus dengan baik...tiada ketirisan, agar wang dapat kembali kepada rakyat," katanya.

Beliau juga berkata beliau gembira walaupun Petronas terpaksa membelanjakan wang bagi pembinaan Menara Berkembar Petronas di sini dan pembangunan Putrajaya, pusat pentadbiran persekutuan, syarikat minyak nasional itu "masih meraih untung, dengan wang dan masih mempunyai baki rizab".

Petronas menyumbang kira-kira RM75 bilion setahun kepada kerajaan persekutuan, di mana ia bersamaan dengan kira-kira 42 peratus daripada pendapatan negara.

Sejak ditubuhkan pada 17 Ogos, 1974, Petronas telah berkembang menjadi sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa bersepadu dengan kepentingan perniagaan di 31 negara.

Petronas tersenarai di kalangan syarikat terbesar Fortune Global 500 di dunia.

Fortune menyenaraikan Petronas sebagai syarikat ke-95 terbesar dunia pada 2008 dan ke-80 terbesar pada 2009.

Ia juga menyenaraikan Petronas di kedudukan kelapan bagi syarikat paling mendapat untung di dunia dan syarikat yang paling meraih untung di Asia.

Harga minyak jatuh sejak dua minggu lepas sebanyak 2.8 peratus kepada di bawah AS$80 setong pada Jumaat. London Brent Crude bagi Mei turun AS$1.60 setong kepada AS$79.88.

- Bernama

92 Peratus Rakyat Malaysia Percaya Media Baru.

Sebanyak 92 peratus rakyat Malaysia mengikuti media baru seperti laman sosial Facebook dan Twitter, kata pensyarah kanan Universiti Malaya Prof Dr Abu Hassan Hasbullah.
Katanya, jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat dan Eropah, Malaysia mempunyai lebih ramai pengikut setia media baru yang lebih percayakan laporannya berbanding dengan media arus perdana.

Menggalakkan penyertaan golongan muda dalam jaringan sosial, Abu Hassan mengajak lebih banyak penyertaan golongan tersebut di internet.

Bercakap kepada kira-kira 900 pemuda di Kongres Anak Muda Kebangsaan di Petaling Jaya, Abu Hassan berkata kebangkitan media baru sekarang ini telah menjadi semacam “agama” pada masa kini.

Katanya, untuk membawa perubahan dalam negara ini, orang muda mestilah melangkah setapak lagi memasuki media baru dan meninggalkan politik lama.

“Keluarlah daripada politik primitif dan majulah ke depan,” katanya yang terkenal dengan kajian masa depan melalui pusat kajiannya Zentrum Future Studies.

Sementara itu, dalam persidangan sehari anjuran sekretariat belia Selangor itu turut dihadiri beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat, antaranya Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), Khalid Samad (Shah Alam) dan Tony Pua (Petaling Jaya Utara).

Penutupannnya petang tadi dirasmikan oleh Menteri Mesar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri.

Dalam ucapannya, Khalid antaranya menyeru golongan muda supaya mengambil bahagian dalam lebih banyak aktiviti kerajaan negeri, antaranya "Jom daftar undi" dan rancangan pembangunan sektor pertanian luar bandar.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails