Geng Aku

Rabu, 2 September 2009

Dun Perak Tetap Bersidang-V.Sivakumar.

Speaker Pakatan Rakyat Perak, V.Sivakumar akan tetap meneruskan sidang DUN esok biarpun Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak permohonan injunksinya.
Pada kes yang didengar dalam kamar Mahkamah Tinggi 3 siang tadi, Pesuruhjaya Kehakiman, Tuan Tarmizi Abdul Rahman menolak permohonan V.Sivakumar (Plaintif) untuk menghalang Setiausaha Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Hashim (Defendan) daripada menghalangnya menggunakan Dewan Negeri di bangunan SUK untuk persidangan DUN esok.
Mahkamah juga menetapkan tarikh 1 Oktober depan untuk kes tersebut didengar semula.
Dalam sidang media selepas itu, Sivakumar memberitahu, persidangan DUN Perak akan tetap diadakan esok walaupun permohonan injunksinya ditolak mahkamah.
Ujarnya, keputusan mahkamah itu bukan alasan untuk beliau dan kesemua ADUN tidak bersidang esok.
Image
"Saya tetap akan teruskan persidangan esok seperti dirancang. Walaupun tak berjaya dapatkan injunksi, itu bukan alasan untuk mereka menghalang ADUN buat kerja. Halang ADUN buat kerja adalah salah di sisi undang-undang," katanya kepada pemberita selepas selesai kes tersebut didengar.
Ditanya samada beliau tetap akan memasuki Dewan DUN esok, Sivakumar berkata ianya sudah tentu, kerana itu adalah matlamat asalnya sehingga terpaksa memohon injunksi.
"saya memang nak bersidang di dalam Dewan Negeri Perak. Itu memang motif kita dari awal," katanya lagi.
(Apakah peristiwa sidang bawah pokok akan berulang lagi esok)
Siva dalam permohonannya sebelum ini memohon injunksi mahkamah bagi menghalang Abdul Rahman dan/atau agen-agen dan/atau pekerjanya daripada bertindak menghalang beliau dari menggunakan Dewan Negeri untuk tarikh 2 September 2009 iaitu esok untuk diadakan persidangan.
Turut dipohon supaya defenden tidak menghalangnya menggunakan pejabat dan menjalankan tugas sebagai Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Perak.
Image
Selain itu beliau juga memohon injunksi untuk mencegah sebarang penyalahgunaan, campur tangan dan pencerobohan daripada pihak defendan dan/atau agen-agen dan/atau pekerjanya.
Permohonan itu dibuat mengelak kejadian Mac lalu daripada berulang. Pada 3 Mac lalu, Sivakumar beserta kesemua ADUN Pakatan Rakyat Perak telah dihalang oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Hashim beserta agen-agennya termasuk pihak polis dari memasuki bangunan SUK untuk mengadakan persidangan DUN.
Ekoran kejadian itu, kesemua ADUN Pakatan Rakyat tersebut bertindak mengadakan sidang DUN di bawah pokok.
Esok sekali lagi bakal menyaksikan episod lanjutan krisis perlembagaan Perak. ADUN Pakatan rakyat telahpun menyatakan komitmen untuk hadir seperti notis yang telah dikeluarkan Speker V.Sivakumar sebelum ini.
Mengulas samada suasana esok akan sama seperti yang berlaku Mac lalu, Sivakumar memberi kata begini,
"Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi, kita tunggu dan lihat sahaja esok," katanya. _

Tiada PRK Di Kota Siputeh.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif masih kekal sebagai ADUN Kota Siputeh, Kedah.
Oleh itu, menurut SPR, pilihanraya kecil tidak perlu diadakan di DUN tersebut.


Sebelum ini Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail telah menghantar surat kepada SPR berhubung kedudukan Abu Hassan dari Umno, yang didakwa hilang keanggotaannya.

Surat Dr Abdul Isa itu memaklumkan bahawa Abu Hassan hilang keanggotaan setelah dua kali gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Abu Hassan, ketua Umno bahagian Jerlun menyandang kerusi DUN Kota Siputeh selama empat penggal berturut-turut.

Seksyen 51 Perlembagaan Negeri memperuntukkan mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang Dewan dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.
Bagaimanapun, Abu Hassan telah menjelaskan bahawa beliau mempunyai sijil cuti sakit pada hari yang beliau tidak dapat hadir.
Abdul Isa bagaimanapun sebelum ini bertegas dengan keputusannya dan menolak penjelasan Abu Hassan bahawa beliau sakit dan menolak permohonan maafnya.
Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, SPR dalam mesyuaratnya hari ini, sebulat suara memutuskan ADUN Kota Siputeh itu tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam dua penggal yang berbeza, bukan dua mesyuarat di dalam satu penggal yang sama.

"Setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan kepada SPR serta kedudukan undang-undang yang berkaitan, pada menjalankan kuasa di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, surat cuti sakit yang dikemukakan oleh ADUN Kota Siputeh, diterima oleh SPR bahawa kegagalan beliau menghantar surat cuti sakit kepada Speaker lebih awal tidak menjadikan surat cuti sakit itu terbatal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman digunakan, ia terlebih dahulu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Mengenai surat pemakluman daripada Speaker DUN Kedah, Abdul Aziz menjelaskan bahawa Abu Hassan telah diberi peluang untuk menjelaskan sebab sebenar ketidakhadiran beliau dalam sidang itu.

"SPR telah meneliti surat daripada beliau yang memohon maaf kerana tidak dapat hadir dalam Sidang Dewan pada 9 Ogos 2009. Bersama surat itu dilampirkan surat cuti sakit daripada doktor yang mendapati beliau tidak sihat untuk menjalankan tugas selama dua hari iaitu dari 9 hingga 10 Ogos.

"Turut diteliti ialah kenyataan beliau bahawa beliau telah menghantar sms (khidmat pesanan ringkas) kepada Ketua Pembangkang untuk memaklumkan mengenai ketidakhadiran itu kerana sakit dada," katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails