Geng Aku

Rabu, 30 Disember 2009

Sokong Husam, Elakkan Keluarga Campuri Hal Kerajaan



Kebanyakan blog pro-PAS, termasuk di kalangan aktivisnya, menyokong ketegasan exco kanan kerajaan Kelantan mendesak pentadbiran kerajaan dipisahkan daripada kepentingan keluarga.

Walaupun teguran Datuk Husam Musa itu tidak jelas ditujukan kepada Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi penulis-penulis blog itu menyifatkan artikel 'Malaysia atau diri' kelmarin merujuk perkembangan terkini politik negeri itu.

Penulis yang turut berdiri di belakang Husam, dalam isu ini, termasuklah Mohd Sayuti Omar, penulis politik terkenal yang selalunya kritikal pada bekas naib presiden PAS itu.




"Kalau Husam menegur Nik Aziz dan sesiapa dengan pandangan itu, tujuannya tidak lain untuk menjaga PAS dan kerajaan Kelantan.

"Saya tidak fikir dia ada udang di sebalik batu dan mengharap sesuatu untuk dirinya dengan teguran itu," kata pengamat politik kelahiran Kelantan itu.

"Saya bersetuju dengan apa yang disuarakan oleh Husam. Kebimbangan Husam itu, adalah juga kebimbangan saya malahan itulah yang telah saya suarakan sebelum ini."

Seperti tanggapan beberapa blog lain, seorang pemimpin PAS Wilayah Persekutuan pula menyifatkan teguran Husam itu sebagai keberanian baru setelah lama berdiam diri.

Seorang bekas pegawai mantan menteri besar Perak, Anuar Hashim, turut melontarkan sokongan bersama Husam di blognya Perakite semalam.

Menulis di blognya Cetusan Hati, Husam menggesa pemimpin sesebuah kerajaan, termasuk PAS, memisahkan hal-ehwal pentadbiran daripada kepentingan kekeluargaan.


Dengan mengungkit semula betapa negatifnya isu tersebut pernah melanda mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, Husam menyeru agar wujud pemisahan jelas dua bidang tersebut.

"Politik Malaysia memandang serong politik keluarga seperti ini. Kemenangan besar (BN) tahun 2004 tidak berulang.

"Isu-isu keluarga antara penyumbang kepada tumbangnya Pak Lah selepas pilihan raya 2008," coretnya.

"Dihimpit antara kritikalnya kedudukan negara dan sedikit sebanyak gangguan dalaman yang wujud, peliharalah integriti pemimpin-pemimpin kita dengan anggota keluarga tidak merasa diri mereka adalah pemegang kepentingan yang lebih penting daripada pihak yang dipilih oleh rakyat secara yang sah."

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails