Geng Aku

Memaparkan catatan dengan label PKR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PKR. Papar semua catatan

Rabu, 21 April 2010

Paling Tadah? MP Wangsa Maju Membisu.


Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong enggan mengulas apabila diajukan bahawa terdapat khabar angin yang bertiup kencang bahawa beliau adalah pemimpin PKR yang seterusnya akan berpaling tadah.
Beliau tidak mengesahkan ura-ura itu mahupun menafikannya tetapi sebaliknya berkata wartawan lebih mengetahui perkara berkenaan.

“Anda tahu segala-galanya. Kenapa perlu bertanya lagi? Anda lebih mengetahui, mengapa tidak anda siarkan berita itu terlebih dahulu?” katanya lewat semalam ketika ditanya wartawan di lobi parlimen.

Wee sehari sebelum itu berkata kepada akhbar-akhbar Cina bahawa jika beliau memilih meninggalkan PKR, beliau akan berbuat demikian dengan tempoh masanya sendiri dan bukan ditentukan oleh 'Napoleon kecil'.

Beliau kemudiannya menyerang media baru yang dilabelkannya sebagai tidak bertanggung-jawab.


“Saya akan hanya bercakap dengan media tertentu kerana sesetengah media adalah tidak bertangung-jawab,” katanya.

Menurut Wee sesetengah portal berita tidak boleh dipercayai kerana “mereka akan hanya memutar-belitkan kata-kata saya...mereka akan tukar B ke A dan A ke B”.

Ahli parlimen Kapar, S Manikavasagan pada ceramah di Ampang Petang semalam menaikkan kemarahan ahli-ahli PKR apabila beliau menimbulkan spekulasi bahawa seorang lagi MP parti itu akan berpaling tadah.

Menurut sumber, Wee memang telah bertekad meninggalkan PKR tetapi cuma mencari jalan keluar yang sesuai.

“Wee lebih gemar dipecat dari PKR supaya beliau tidak akan dituduh sebagai melompat dan digelar 'katak',” kata sumber itu.




Wee akan diperhatikan dengan teliti oleh rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat apabila BN dijangka akan membentangkan usul di Dewan Rakyat bagi mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Khamis ini.

Jika Wee berucap menentang parti dan juga ketua umumnya, beliau pastinya akan dipecat dan tidak perlu bertindak melompat keluar PKR.

Selasa, 20 April 2010

Pemimpin Umno Lebih Teruk Minum Arak, Berjudi.


Calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim (gambar) berkata pemimpin Umno juga ramai mengambil alkohol sepertinya dahulu namun tidak berniat untuk mengaibkan mereka.

Beliau sewaktu wawancara eksklusif bersama Harakah dan Harakahdaily semalam memberitahu, isu itu sengaja ditimbulkan pemimpin Umno/BN setelah beliau menyertai Pakatan Rakyat kerana mahu menjatuhkan karier politiknya.

"Saya berterus terang, itu dulu, dalam Umno pun ramai menteri-menteri macam saya dulu, tapi tidak menjadi isu pada waktu itu.

"Peribadi saya, karektor saya, Islam saya dipersoal setelah saya bersama-sama Pakatan Rakyat,” katanya yang juga pernah menjawat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, apa yang berlaku itu adalah sejarah lampau yang sudah lama ditinggalkannya yang berbeza dengan sesetengah pemimpin Umno lain yang masih tidak dapat meninggalkan tabiat buruk itu.

"Saya manusia, dalam lumrah hidup kita adalah salah silap, tapi yang pentingnya apakah saya insaf dan sedar.

"Itulah beza saya dengan menteri Umno, saya berterus terang bukan hipokrit," tambahnya lagi.

Mengenai serangan peribadi oleh Umno terhadapnya, beliau menyerahkan kepada pengundi Hulu Selangor untuk menilai sikapnya setelah membuat pengakuan jujur sebelum ini.

Berhubung tuduhan bahawa beliau kaki judi pula, Zaid berkata semua tohmahan yang dilemparkan Umno itu tidak betul, sebaliknya perkara itu dilakukan pemimpin Umno.

"Kaki judi ini sebenarnya langsung tidak betul, yang berjudi besar sebenarnya di kasino-kasino adalah menteri-menteri Umno, berjuta-juta ringgit, hutang tak bayar, tidak ada apa-apa tindakan terhadap mereka.

"Tapi saya tak nak sebut dan tak nak aibkan mereka," jelasnya.

Sewaktu bertanding sebagai calon Umno/BN pada PRU 2004 di Kelantan, katanya, PAS sebagai parti lawan pada waktu itu langsung tidak menyentuh isu peribadinya biarpun parti Islam itu tahu latar belakang dirinya.

Tetapi pemimpin Umno kini sangat terdesak dan sangat takut sehingga terpaksa menggunakan taktik jahat menyerang peribadinya.

"Inilah budaya politik Umno sebenarnya, politik manusia yang takut kuasa mereka hilang.

"Inilah petanda mereka sedang cemas," katanya

Isnin, 19 April 2010

Nasib Baik Dr Halili Tidak Jadi Calon Kat PRK Hulu Sgor, Kalau Tidak Melompat La Katak Ni Bila Menang.


Bendahari PKR Hulu Selangor, Dr Halili Rahmat hari ini mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Umno.

Dr Halili Rahmat (foto:kiri) merupakan seorang pakar bedah saraf dan rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pernah menjadi doktor peribadi ketua umum PKR itu.

Sebelum ini, beliau disebut-sebut antara yang disenaraikan untuk bertanding mewakili PKR dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Bagaimanapun, Anwar kemudiannya mengumumkan pemilihan penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut.

Anak kelahiran Ulu Yam, Dr Halili pernah dua kali bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini pada 1999 (Hulu Selangor) dan 2004 (DUN Batang Kali), tetapi tewas kedua-duanya. 

Bercakap dalam sidang akhbar dengan ditemani bekas setiausaha agung PKR, Salehuddin Hashim, beliau berkata:

"Saya menyedari akan ada yang menuduh bahawa tindakan saya ini kerana kecewa tidak terpilih sebagai calon PKR bagi pilihan raya kecil parimen Hulu selangor kali ini. 

"Saya tidak pernah meminta atau menawar diri untuk dipilih menjadi calon PKR dalam pilihan raya ekcil Hulu Selangor ini, dan saya juga tidak pernah mengatakan saya menerima pelawaan untuk menjadi calon, walaupun ada pemimpin PKR yang telah mencadangkan demikian."

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini, Dr Halili berkata, walaupun beliau pernah bertanding atas tiket PKR pada pilihanra amraya 1999 dan 2004, tetapi "bagi pilihan raya kecil kali ini, saya merasa berat kerana realiti di peringkat masyarakat bawahan kini sudah berubah."
"Saya juga membuat kenyataan ini pada hari ini semasa kehangatan kempen pilihan raya Hulu Selangor dengan tujuan tidak mahu nama saya digunakan oleh PKR untuk memancing undi seolah-olah pendirian saya terhadap PKR masih sama seperit di zaman Deklarasi Permatang Pauh," tambahnya.

Sebagai anak jati Hulu Selangor yang masih berkampung di Ulu Yan, Dr Halili berkata amat sukar baginya untuk mempertahankan kredibiliti PKR.

Beliau mendakwa, ia memandang tidak ada apa pun yang telah dibuat oleh PKR untuk kesejahteraan pengundi Hulu Selangor dalam masa dua tahun parlimen ini dikuasai oleh PKR dan Pakatan Rakyat memerintah Selangor.

"Saya mengetahui dan faham bahawa allahyarham wakil rakyat sebelum ini, uzur tetapi menghairan saya kenapa PKR tidak berbuat sesuatu bagi membantu pejabat beliau untuk memberi khimdat kepada pengundi di Hulu Selangor," tambahnya.

Sehubungan itu, Dr Halili berkata, terbukit yang PKR hanya sibuk merayu undi pada waktu pilihan raya sahaja tetapi mengabaikan amanah rakyat seperti yang dijanjikan masa kempen pilhanraya.

"Perkara sedemikian tidak ssepatutnya berlaku dan saya diberitahu oleh orang kampung saya bahawa mereka akan memastikan ia tidak akan berlaku lagi," tambahnya.

Sebab masuk Umno.

Dr Halili juga mendakwa bahawa PKR hari ini dikuasai oleh kumpulan kecil pemimpinnya yang berfikiran sempit dan memajukan ideologi-ideologi berhaluan kiri yang tidak disenangi oleh orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.

Sehubungan itu, beliau mendakwa bahawa sudah nyata lagi jelas, PKR bukan lagi sebuah wadah parti politik perjuangan "tetapi lebih condong kepada parti yang pentingkan kuasa, hingga tidak memperdulikan kesejahteraan rakyat walaupun diberi mandat untuk mentadbir di beberapa buah negeri."

Sebaliknya, kata beliau, pada masa yang sama, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk membawa perubahan politik untuk Umno dan BN.

Ini, katanya, mendorong beliau terus membuat keputusan untuk menyertai Umno.

'Mungkin diberi bedah hidung pula'

Dr Halili juga berkata keputusannya keluar parti dan menyertai Umno sudah lama dibuat.

Ditanya kenapa beliau hadir pada hari pengumuman calon PKR pada 13 April lalu, beliau hanya menjawab:

"Mungkin nama saya dicalonkan, dinaikan saya kena datanglah. Ingin tahu, kerana kamu juga yang tulis dalam suratkhabar media, anak tempatan, perkara macam itu," katanya,.

Beliau juga memberitahu, itu kali terakhir beliau bertemu Anwar.

Sejak disebut-sebut disenaraipendek menjadi calon PKR, ini merupakan kali pertama Dr Halili bersemuka dengan media membuat kenyataan mengejutnya itu.

Bagaimanapun, pengumumannya yang dibuat sehari selepas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membayangkkan membayangkan perkara itu, timbul tanda tanya sama ada beliau ditawarkan 'imbuhan' untuk itu.

Dr Halili bagaimanapun menafikannya dengan separuh berjenaka: "Saya sekarang ini (pakar) bedah otak, mungkin dia beri saya bedah hidung. Tak tahulah," kata Dr Halili.

Bagaimanapun, tambahnya, jika terdapat pihak yang akan menuduhnya dibeli, itu terpulanglang kepada mereka.

"Memang adatlah. Tetapi kita masyarakat sivil, sangat tamadun, ada demokrasi. Jadi macam-macam pandangan ada. Jadi kita kena hormatilah pandangan yang berbeza," katanya

Beliau juga enggan mengulas mengenapi pencalonan Zaid dan calon BN P Kamalanathan atau akan turut serta berkempen di Hulu Selangor.

Sebaliknya, jelasnya, beliau akan berlepas ke Melbourne, Australia selepas ini bagi menghadiri konvokesyennya di Universiti Monash - satu keputusannya yang didakwa sudah lama dibuat dan "bukan untuk lari".

Dalam sidang media kira-kira 25 minit itu, Dr Halili bagaimanapun kelihatan sedikit 'gugup' dengan mengabaikan beberapa soalan media, kerap meneguk air dan kerap kali mengambil masa dan berbisik kepada Salehuddin sebelum menjawab soalan.

Malah di pertengahan sidang media beliau sempat berkata: "tak pernah dapat banyak kamera sebelum ini."

Bagaimanapun, di penghujung sesi itu beliau kelihatan lebih yakin apabila meminta soalan tambahan walaupun Salehudin sudah mahu menamatkan sidang media itu.

"Seronok juga, boleh tanya dua lagi, bukan selalu boleh macam ni," katanya disambut gelak ketawa kira-kira 70 petugas media.

Sabtu, 17 April 2010

Zaid Yakin Menang Undi Melayu.


Di sebalik imej 'liberal' yang sering dikaitkan padanya, calon PKR bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim yakin dapat memenangi hati pengundi di kawasan parlimen tersebut, termasuk masyarakat Melayu.

Katanya, walaupun terdapat tinjauan bahawa orang Melayu selesa dengan pendekatan seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) - yang lantang bersuara dalam isu-isu Melayu - beliau "tidak akan menggadaikan prinsip demi populariti".

"Apa pun (keputusan) tinjauan, saya yakin, saya faham orang Melayu, saya faham orang Islam. Dan saya akan buktikan pada (hari pengundian) 25 haribulan (April) ini," kata Zaid.

Sebuah badan peninjau bebas Merdeka Centre sebelum ini pernah mengadakan tinjauan tentang penerimaan orang Melayu terhadap pendekatan PERKASA, di mana mendapati lebih separuh daripada mereka menyokongnya.

Zaid pula yang terkenal sebagai 'gergasi firma guaman' di Malaysia dilihat pelbagai pihak sebagai lebih 'liberal', 'urban' dan kononnya tidak cocok dengan imej Melayu tradisional.

Ketika diwawancara Malaysiakini di kediaman mewahnya di Petaling Jaya kelmarin, Zaid menolak keras label itu dan menyifatkannya sebagai hanya "propaganda".

"Liberal itu ertinya apa? Itu Umno punya propaganda," katanya sambil mendakwa perkataan yang digunakan itu mempunya konotasi negatif.

"Apa yang liberal sangat, yang ditakuti sangat itu? Hak rakyat tak kira bangsa kita kena bela."

Zaid yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau yakin cukup faham dengan masalah orang Melayu di Hulu Selangor.

"Saya lebih faham masalah Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) daripada orang BN. Kalau orang BN faham pun dia takut hendak bersuara. Itu bezanya," katanya.

Jumaat, 16 April 2010

Tian Chua Tidak Percaya ADUN Bakar Arang Lompat Secara 'Percuma'.


Tindakan Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu keluar parti menjelang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, didalangi Umno Barisan Nasional bagi mengimbangi pergeseran dalaman MIC.

Demikian kata Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang yakin Umno-BN akan sedaya upaya mensensasikan isu keluar parti itu bagi menutup masalah pemilihan calon di Hulu Selangor. 


Ahli Parlimen Batu itu juga tidak percaya ADUN Bakar Arang tidak dijanjikan sebarang imbuhan apabila keluar parti ketika bahang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor semakin panas.

“Saya tidak percaya dia (Wei Shu) keluar percuma sahaja. Saya tidak percaya dia pilih pada pilihan raya kecil Hulu Selangor untuk keluar dan dia tidak diberi 'reward'. Saya tidak percaya.


“Kita boleh jangka kerana kekecohan pemilihan calon MIC. Kita tahu Umno dan MIC tidak sepakat dalam menentukan calon untuk mewakili BN. Dengan berita Tan Wei Shu keluar parti, mereka harap dapat mengalih pandangan dari kemelut dalaman Umno-BN," katanya.

Kepada satu soalan, Tian Chua juga menolak keras spekulasi liar, kononnya wujud masalah dalaman antara Wei Shu dengan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.


“Sebenarnya keputusan untuk ganti dia (Wei Shu) datang dari kepimpinan parti bukan dari Ahli Parlimen Sungai Petani. Saya dan Ahli Parlimen Sungai Petani hanya menyampaikan mesej kepimpinan kepada Tan Wei Shu,” katanya.

Bercakap kepada TV Selangor, Tian Chua berkata, tindakan Tan sudah dijangka apabila digugur dari senarai exco kerajaan Kedah Mac lalu berikutan gagal menunjukkan prestasi baik dalam dua tahun perkhidmatan.

Parti Keadilan Rakyat (PKR), katanya terpaksa menggugurkan Wei Shu berikutan ADUN Bakar Arang itu dilihat tidak mampu menunaikan tanggungjawab dengan baik kepada rakyat.

“Kita sudah jangka Wei Shu mungkin lompat tetapi kita tetap tukar kerana dia pegang jawatan Exco. Oleh kerana prestasinya tidak memuaskan, kita tidak nampak dia mampumenjalankan tugas sebagai Exco dalam kerajaan negeri," katanya.

Khamis, 15 April 2010

Adun Bakar Arang Sudah Jadi Katak Keluar PKR.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu dijangka meninggalkan PKR hari ini.

Beliau sebelum ini merupakan exco kerajaan Kedah sebelum digugurkan dalam rombakan exco pada 10 Mac lalu.

Tempatnya diambil alih oleh seorang lagi wakil PKR, ADUN Sidam, Tan Show Kang.


Pada sidang medianya di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang ini, Wei Shu mendakwa tindakannya itu kerana dipermain-mainkan oleh pemimpin partinya.
Bodoh Punye Statement dari Wei Shu.

Berita selanjutnya akan menyusul.

Rabu, 14 April 2010

Zaid Tokoh Yang Teruji.

 Sewaktu mengumumkan zahid sebagai calon PR

Datuk Zaid Ibrahim yang dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mewakili Pakatan Rakyat adalah tokoh yang telah teruji, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
“Mana ada menteri Umno yang sanggup letak jawatan untuk pertahankan hak rakyat,” ujarnya yang mengumumkan Zaid sebagai calon PR dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

Pengumuman itu dibuat pada jam 11.00 malam ini di hadapan kira-kira 5,000 orang yang memenuhi Dewan Komuniti Serendah dan pekarangannya.

Zaid yang berucap selepas diberikan laluan oleh Anwar berkata, beliau menyedari dan menginsafi amanah yang dipikul itu sangat berat.


“(Tuan Guru) Nik Aziz sewaktu bercakap dengan saya minta kita semua bekerja untuk umat. Saya bukan asing di Selangor, saya tahu masalah orang Selangor, saya tahu masalah orang Hulu Selangor.

“Saya boleh menjadi suara untuk semua rakyat di sini,” ujarnya.

Berucap sebelum itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon PR yang ditonjolkan PKR itu.


“Saya mengarahkan seluruh jentera PAS seluruh kawasan Hulu Selangor turun padang dan bekerja keras. Calon yang dipilih adalah yang terbaik untuk bawa suara rakyat ke parlimen.

“Pilihan raya kecil ini medan rakyat untuk tegur kerajaan, rakyat perlu jadi hakim,” ujarnya.

Zaid yang dilahirkan pada 10 April 1951 di Kota Bharu adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas kapasiti senator yang pernah mencetuskan kontroversi apabila bertindak melepaskan jawatannya pada 15 September 2008 selepas beberapa bulan saja dilantik sebagai menteri ekoran tidak dapat menerima penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pengamal media, orang awam dan ahli politik.

Dalam memperjuangkan isu-isu seperti ISA, Zaid di antara tokoh pemimpin Umno yang paling berani apabila mengirim surat terbuka kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Badawi di samping mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan akta tersebut.


Pada 3 Disember 2008, beliau dipecat daripada Umno ekoran beberapa tindakannya termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang dan menyalahi peraturan parti.

Antaranya dilaporkan pernah menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Melawati, Shah Alam.

Justeru Zaid menyertai PKR di Bangi, Selangor pada 13 Jun 2009.

 Orang ramai yg hadir

Sehubungan itu, Anwar menyifatkan Zaid sebagai serius mempertahankan hak asasi dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia dalam memperjuangkan isu hak asasi, kebebasan, proses demokrasi dan bebebasan badan kehakiman.

Sepanjang penglibatan Zaid bersama PKR, beliau dilihat sebagai tokoh amat komited dalam usaha merangka dasar bersama PR sehingga berjaya merapatkan lagi jurang pakatan yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.

Isnin, 12 April 2010

Zaid Pilihan PKR Jika Palanivel Bertanding.


PKR dijangka meletakkan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calonnya dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor hanya jika BN menamakan timbalan presiden MIC Datuk G. Palanivel sebagai calonnya.

Menurut sumber dalaman parti sekalipun Zaid dilihat calon pilihan PKR, parti itu mungkin menukar beliau kepada orang lain pada saat-saat akhir jika BN tidak mencalonkan Palanivel.


PKR menjangkakan pertandingan antara dua calon yang berkaliber sekiranya BN meletakkan Palanivel, kata sumber itu kepada Bernama.

Beliau bagaimanapun tetap melihat Zaid sebagai calon terbaik bagi PKR untuk mempertahankan kerusi itu sekalipun pucuk pimpinan parti mempunyai percaturan lain jika ramalan Zaid dan Palanivel tidak menjadi kenyataan.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lepas akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR itu menewaskan Palanivel dengan majoriti 198 undi.



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding pada pilihan raya kecil yang akan diadakan 25 April ini.

BN dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April, iaitu dua hari sebelum penamaan calon, dan desas-desus mengatakan Palanivel akan diberi peluang kedua untuk merampas kembali kerusi yang pernah disandangnya sebanyak tiga penggal itu.

Ahad, 11 April 2010

Bangsa Kriteria No 2-MB Selangor.


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata PKR tidak meletakkan faktor bangsa sebagai kriteria penting dalam memilih calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April depan.

Beliau yang juga pengerusi perhubungan PKR negeri berkata parti itu hanya memilih calon yang "terbaik" yang dedikasi, bekerja keras untuk kebaikan penduduk dan pengundi di kawasan parlimen tersebut.

"Tidak perlu mempolitikkan isu itu (bangsa) apabila memilih calon yang terbaik bagi pilihan raya itu. Ini perkara politik. Isu (bangsa) jangan dilihat sebagai satu "sandiwara politik pilihan raya".


"Kita dalam PKR tidak melihat dari aspek itu (bangsa) tetapi sebaliknya untuk calon yang layak yang boleh memenangi hati dan minda pengundi di Hulu Selangor," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Tuisyen Rakyat peringkat Selangor hari ini.

Khalid diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang mencabar PKR untuk meletakkan calon bukan Melayu bertanding pada pilihan raya itu sebagai usaha memberikan keadilan kepada semua bangsa di kawasan pilihan raya tersebut.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lepas akibat barah otak. Hari penamaan calon bagi pilihan raya itu ialah pada Sabtu ini.


Khalid berkata pemimpin Pakatan Rakyat akan bermesyuarat dalam masa dua hari akan datang untuk memutuskan calon yang sesuai untuk bertanding pada pilihan raya tersebut.

Beliau berkata pemimpin Pakatan Rakyat dijangka mengumumkan calon itu pada malam Selasa.

Mengenai Program Tuisyen Rakyat, katanya kerajaan negeri membelanjakan RM3.4 juta setiap tahun untuk tujuan itu bagi 5,600 murid di Selangor.

- Bernama

Khamis, 8 April 2010

Zaid Calon PKR Di Hulu Selangor?


Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim disebut-sebut besar kemungkinan dipilih untuk mewakili PKR bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Perkara itu kini menjadi perbualan di kalangan pemimpin dan para penyokong PKR di cabang Selangor sejak beberapa hari lalu.

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan PKR cabang itu, pemilihan Zaid itu dibuat berdasarkan andaian beliau lebih berpeluang menang.

Katanya, ia berdasarkan pengalaman Zaid, seorang peguam dan pernah dilantik sebagai menteri kabinet sebelum ini.

Sumber-sumber itu juga berkata, pemilihan Zaid juga dibuat atas andaian bahawa BN berkemungkinan besar mengekalkan Datuk G Palanivel bertanding di situ.

"Heavyweight kena lawan dengan heavyweight...," kata sumber-sumber itu.

Katanya, walaupun terdapat andaian bahawa MIC sekarang ini hanya parti kecil dalam BN, tetapi parti India itu didakwa mempunyai sumber kewangan yang kukuh bagi menghadapi pilihan raya kecil pada 25 April ini.

Sumber-sumber menambah, walaupun 'pemilihan' Zaid telah dibuat, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh menukar pandangannya di saat-saat akhir.

Bagaimanapun, buat masa ini, difahamkan jentera parti di pelbagai peringkat juga telah sedia maklum tentang perkara tersebut.

Zaid juga difahamkan berhadapan dengan saingan sengit daripada bendahari PKR Cabang Hulu Selangor Dr Halili Rahmat - sahabat lama Awar dan pakar bedah saraf.

Sebelum ini, PKR dilaporkan mempertimbangkan 12 nama untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini. Daripada jumlah itu, lima orang telah disenarai pendek.

Selain Zaid, mereka ialah naib ketua Razali Mokhtar, bendahari cabang Dr Halili Rahmat, Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud, dan aktivis peguam N Surendran.

Di pihak BN pula, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam dilaporkan memberikan laluan kepada MIC di kawasan tersebut, walaupun tidak dipersetujui ahli akar umbi Umno di Hulu Selangor.

Bagaimanapun, nasib Palanivel dilihat masih juga menjadi tanda-tanya walaupun hanya satu-satu nama yang dicadangkan MIC kepada Najib.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi parlimen tersebut akan diadakan pada 17 April ini.

Ahad, 4 April 2010

Tanggal 4 April Ulang Tahun Penubuhan PKR.


TANGGAL 4 April adalah tarikh keramat buat gerakan perjuangan rakyat yang dipelopori Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui penubuhan Parti Keadilan Rakyat pada 11 tahun lalu.

PKR atau nama asalnya, Parti Keadilan Nasional dirasmikan penubuhannya oleh Datuk Seri Wan Azizah di Hotel Renanissance, Kuala Lumpur, membawa laungan reformasi ke seluruh pelusuk negara. 


Biarpun masih baru dalam arena politik, PKR pantas memberi impak besar dalam lanskap politik tanah air bermula pada pilihan raya umum pada 1999 yang menyaksi Umno Barisan Nasional mula tergugat.

Ia berikutan Umno-BN hilang penguasaaan di Terengganu dan gagal merampas Kelantan selain hilang ribuan undi majoriti bagi sesebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.

Biarpun mengalami zaman payah pada pilihan raya umum berikutnya dengan hanya tinggal satu kerusi Parlimen sahaja berikutan pemenjaraan Anwar, namun hasrat untuk menguburkan PKR tidak pernah kesampaian.


Sebaliknya, PKR menerajui pakatan pembangunan dalam menawan lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga Umno-BN pada pilihan raya umum ke-12, senario yang pertama kali berlaku sejarah politik Malaysia.

Pada masa ini, PKR bersama parti gabungan PAS dan DAP melalui entiti Pakatan Rakyat di ambang kejayaan lebih bermakna dalam menawan Putrajaya, sekalipun berdepan pelbagai fitnah, tohmah dan pembelotan.

Jumaat, 2 April 2010

Calon Hulu S'gor: Zaid Antara Dipanggil Anwar.


Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi telah menemui kira-kira 10 orang, termasuk penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, yang disebut-sebut bakal dipilih menjadi calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya Hulu Selangor tidak lama lagi.

Menurut sumber-sumber, pertemuan tersebut diadakan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya selepas tamatnya mesyuarat biro politik parti itu kira-kira jam 11 malam tadi.


“Mereka masuk (bertemu Anwar) secara berperingkat-peringkat, dimulakan dengan dua anggota biro politik, Datuk Zaid Ibrahim dan Shamsul Iskandar Md Akin,” kata mereka ketika ditanya tentang pertemuan tersebut.

Kerusi parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad ada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Berikutan itu spekulasi berhubung siapakah bakal dicalonkan bagi bertanding mempertahankan kerusi tersebut, berterusan dalam PKR. 


Pelbagai nama disebut-sebut telah dikemukakan kepada parti. Selain Zaid dan Shamsul , turut disebut-sebut ialah penceramah popular, Badrul Amin; 
presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud; bekas setiausaha akhbar Anwar, Khalid Jaafar; dan aktivis peguam, N Surendran.

Manakala PKR cabang tersebut pula menamakan dua anak tempatan - Razali Mokhtar dan Datuk Dr Halili Rahmat.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, sumber-sumber memberitahu kesemua nama yang disebut-sebut itu dipanggil, termasuk beberapa nama lagi yang tidak diketahuinya.

“Jumlah kesemuanya kira-kira sepuluh orang,” kata sumber-sumber itu. Terdapat sumber lain memberitahu, jumlah keseluruhannya 11 orang.


Tambah mereka, pertemuan tersebut hanya sesi “sembang-sembang” dengan Anwar bagi mengenalpasti calon yang paling layak untuk dipilih.

Ditanya tentang perbincangan biro politik yang bersidang malam tadi, sumber-sumber memaklumkan bahawa soal pemilihan calon ditimbulkan tetapi “tidak dibincangkan sangat” kerana ia merupakan bidang kuasa presiden dan ketua umum.

“Presiden dan ketua umumlah yang akan memilihnya,” katanya yang menjangka pemilihan calon tidak akan dibuat tergesa-gesa, termasuk dalam mesyuarat majlis tertinggi PKR Ahad ini.

Ditanya tentang nama-nama yang dianggap selesa, sumber tersebut menamakan Syed Shahir dan Khalid.

“Yang lainnya masih 50-50,” katanya sambil menambah, kemungkinan terdapat di kalangan mereka yang dipanggil semalam tidak berminat dan akan memberikan laluan kepada pihak lain.

Sabtu, 27 Mac 2010

Hulu Selangor: Komposisi kaum beri kelebihan pada PR.

Komposisi kaum yang agak ‘kacukan’ di kawasan Parlimen Hulu Selangor dengan pengundi Melayu sebanyak 53.9 peratus, Cina (26.7), India (19) dan lain-lain (0.4), memberi kelebihan kepada PKR dan Pakatan Rakyat berbanding Umno dan BN.

Bagi Pengarah Pilihan raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, Fuziah Salleh (gambar), pihaknya masih belum memilih calon walaupun tumpuan umum banyak menjangkakan bahawa Datuk Zaid Ibrahim bakal mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu.

“Keputusan berkenaan calon itu, sekarang ini ada ramai yang cukup berwibawa untuk dicalonkan, bagaimanapun saya akan menyerahkan nama-nama mereka kepada pucuk pimpinan untuk dibuat keputusan terakhir,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Pun begitu, beliau berkata, PKR tidak mempunyai banyak masalah dalam memilih calon kerana identiti PKR bukanlah berasaskan pada perkauman, bukan seperti Umno/BN.

Maka, kata beliau, Majlis Pimpinan Tertinggi PKR akan membuat ketetapan akhir berhubung persiapan pilihan raya kecil tersebut pada 4 April depan, sebelum dilanjutkan dalam Majlis Mesyuarat Pakatan Rakyat kelak.

Parlimen Hulu Selangor bakal menyaksikan pilihan raya kecil berikutan kematian wakilnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, malam tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat keputusan berhubung perkara itu Jumaat depan.

Dalam pada itu, Fuziah sendiri mengakui bahawa Umno tempatan, khususnya di Hulu Selangor cuba untuk meletakkan calon mereka di kerusi terbabit atas dasar majoriti pengundi adalah Melayu, sedangkan kerusi tersebut sebenarnya adalah kerusi tradisi MIC, Datuk G. Palanivel.

“Sesiapa pun (calon BN) yang diletakkan di situ, ia suatu kelebihan bagi kita, calon PKR sudah pun dilihat mewakili semua kaum,” ujarnya.

Ekoran itu, PKR menurut beliau, tidak perlu menganggap kelemahan BN tersebut sebagai kekuatan pada PKR.

Sebaliknya, beliau berkata, PKR serta Pakatan Rakyat seharusnya bersedia membuat persiapan kempen politik yang lebih rasional dan demokratik, bukannya kempen perkauman seperti Umno BN.

“Apabila kita masuk apa-apa pilihan raya, fokus dan persediaan kempen kita adalah apa yang boleh kita tawarkan kepada rakyat, tidak perlu fokus pada kedudukan orang lain (Umno BN),” jelasnya.

Demi menjayakan kempen tersebut, beliau bercadang untuk mengemukakan pencapaian-pencapaian Pakatan Rakyat sepanjang memerintah negeri Selangor supaya rakyat boleh membuat perhitungan dan perbandingan dengan rekod pemerintahan kerajaan negeri di bawah Umno/BN, sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu.

“Itu lebih penting, apa pencapaian Pakatan Rakyat di Selangor, bagaimana rakyat boleh mendapat manfaat dari kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, dengan berbuat demikian, rakyat sekaligus dididik dengan politik yang lebih sihat, anti perkauman, anti kronisme serta anti-kezaliman yang selama ini disinonimkan dengan pemimpin tertentu dalam Umno/BN.

Jumaat, 26 Mac 2010

MP Hulu Selangor Meninggal Dunia.

Ahli parlimen Hulu Selangor, Datuk Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada jam 9.27 malam tadi di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang akibat barah otak.

Beliau meninggalkan isteri Datin Siti Zaharah Mohd Zin dan empat orang anak.

Zainal Abdidin, 71 adalah juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, beliau merupakan orang kuat Umno Selangor dan pernah menjadi Exco kerajaan negeri selama lapan tahun dan Ketua Umno Bahagian Hulu Langat selama 14 tahun. 

Antara jawatan exco yang dipegangnya termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia. 

Pada Mac 2005, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.
Zainal Abidin berjaya memenangi kerusi Hulu Selangor dengan mengalahkan calon BN dari pari MIC, P Palanivel pada pilihan raya umum yang lalu.

Kerusi itu berjaya dirampasnya untuk PKR dengan hanya majoriti 198 undi.

Asal sebagai cikgu Zainal Abidin adalah seorang ahli akademik sebelum menceburi dunia politik sepenuh masa.

Dilahirkan di Cheras pada 10 Oktober 1939, beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968) dan kemudiannya Pengetua, Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru dari 1972-1973, sebelum dilantik sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.

Zainal yang mendapat Doktor Falsafah Sains Politik dari University of California, Los Angeles, pada 1980 pernah menjadi Dekan, Fakulti Pendidikan UKM sebelum meninggalkan dunia akademik dan menyertai politik pada 1989.

Dalam Umno, Zainal Abidin pernah menjadi Pengerusi, cawangan Umno Cheras (1987) serta pernah mengetuai Umno Bahagian Hulu Langat untuk beberapa penggal.

Zainal Abidin menyertai PKR pada tahun 2005 dan menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu bagi penggal 2007/2010.

Beliau turut aktif dalam pelbagai pertubuhan dan pernah menjawat jawatan seperti Pengerusi Persekutuan Pelajar Melayu, Pengerusi Majlis Pemuda Hulu Langat dan Naib Presiden Persatuan Olahraga Amatur Selangor.

Semasa dalam Umno, Zainal memenangi tiga penggal berturut-turut kerusi Dewan Undangan Negeri Dusun Tua atas tiket Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum 1990, 1995 dan 1999.
Kerusi jadi rebutan
Pilihan raya umum ke-11 pada 2004, Zainal digugurkan daripada menjadi calon.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G.Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

Mengikut
peraturan, pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari setelah speaker Dewan rakyat dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi berkenaan.

Kematian Zainal Abidin dilihat ramai penganalisis memburukkan lagi keadaan di PKR yang baru-baru menghadapi masalah apabila tiga ahli parlimennya berpaling tadah manakala seorang lagi dipecat.

Bagaimanapun, kekosongan kerusi Hulu Selangor juga bukan berita gempira bagi Barisan Nasional yang menghadapi dilema untuk mencari calon yang sesuai.

Sejak bekas menteri besar Selangor itu dilaporkan uzur, khabar angin bertiup kencang bahawa Umno cuba mendapatkan kerusi itu semula yang secara tradisinya diserahkan kepada sekutunya, MIC.

Khamis, 25 Mac 2010

Syed Husin Mahu Utusan Mohon Maaf Isu Pembubaran PRM.


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed husin Ali menghantar notis kepada Utusan Malaysia menuntut akhbar milik Umno-Barisan Nasional itu membuat permohonan maaf kepada beliau dan membayar ganti rugi RM10juta.

Notis yang dihantar semalam, melalui Peguambela & Peguamcara Edwin Lim Suren & Soh, diberikan kepada Pengarang dan Pengarang Pengurus Utusan Melayu Bhd dan juga seorang individu bernama Zamil Ibrahim.


Syed Husin dalam satu kenyataan medianya berkata, notis itu berhubung sebuah berita fitnah yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 6hb Mac 2010 bertajuk “RM500,000 Syed Husin dicabar lapor polis”.

Katanya dalam berita tersebut beliau dituduh kononnya menerima RM500,000 daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bayaran untuk membubar Parti Rakyat Malaysia (PRM) bagi memudahkan percantuman dengan Parti Keadilan Nasional dan membentuk Parti Keadilan Rakyat.

Beliau berkata, Utusan diberi tempoh tujuh hari dari tarikh surat tuntutan untuk memberikan jawapan dan sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan diambil terhadap akhbar berkenaan.

Selasa, 23 Mac 2010

Khalid Nafi Ini Penggal Terakhir Beliau Sebagai MB

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan spekulasi bahawa ini mungkin penggal terakhir beliau sebagai Menteri Besar Selangor dan akan kembali ke dunia korporat.

Katanya beliau tidak pernah memikirkan mengenai pekara itu atau dibangkitkan secara rasmi.

"Peranan saya di luar spekulasi kerana saya ingin berkhidmat kepada orang ramai selagi rakyat dan rakan-rakan saya dalam parti (Parti Keadilan Rakyat) mahukan saya," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan jabatan kerajaan negeri di sini hari ini.

Khalid yang juga pengerusi perhubungan PKR negeri berkata beliau akan terus aktif dalam politik jika itu adalah yang terbaik untuk beliau lakukan.

Beliau adalah ketua pegawai eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad dari 1995 hingga 2003 sebelum memasuki politik dan menyertai PKR.

Sementara itu, Khalid berkata permintaan untuk memperbaiki jalan-jalan di Selangor adalah tinggi kerana negeri ini bertanggungjawab untuk penyelengaraan kira-kira 4,000 kilometer (km) dan 1,000 km di negeri ini adalah jalan persekutuan.

Mengenai cadangan Sime Darby Property untuk membangunkan sebahagian kawasan Taman Subang Ria di Petaling Jaya sebagai taman rekreasi, beliau berkata ia lebih sesuai jika taman itu dimajukan dahulu sebelum kediaman.

Pengarah urusan Sime Darby Property Bhd, Datuk Tunku Putra Badlishah, dilaporkan berkata bahawa syarikat itu merancang membangunkan kediaman untuk membiayai kos taman rekreasi tersebut disebabkan kosnya yang tinggi, yang hanya kira-kira 20 peratus daripada harga hartanah itu. Khalid juga berkata Taman Subang Ria ialah sebuah hartanah persendirian milik Kumpulan Sime Darby, dan bukan taman awam seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. - BERNAMA

Khamis, 18 Mac 2010

PKR Balas Salakan 'Anjing Penyerang' BN.

Setiauasaha agung PKR Saifuddin Nasution (bawah) hari ini melabelkan empat bekas ahlinya yang kini menjadi ahli parlimen bebas, khususnya Datuk Seri Mohd Zahrain Hashim (Bayan Baru) sebagai 'anjing penyerang' Barisan Nasional.

"Mereka digunakan sebagai 'anjing penyerang', 'askar upahan',” kata Saifuddin ketika sidang media di lobi parlimen.

Katanya, MP bebas itu kini adalah senjata terbaru BN untuk menyerang Pakatan Rakyat kerana terlalu sedikit MP Bn yang mampu berbuat demikian.

Semalam, ucapan sulung Zahrain selaku wakil rakyat Bebas yang mendedahkan punca beliau meninggalkan PKR, menyebabkan suasana persidangan Dewan Rakyat bertukar kecoh.

Malah kurang lima minit selepas bekas pengerusi PKR Pulau Pinang itu berucap mulai jam 5.05 petang semalam, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar Dewan selepas Zahrain (bawah) mengaitkan Anwar dengan kegagalan pakatan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan melalui perancangan "16 September".'Pemimpin Umno hidangkan arak'

Bagaimanapun menurut Saifuddin, fenomena itu hanya halangan kecil dan tidak akan mengalihkan perhatian Pakatan daripada musuh sebenar mereka - Umno dan BN.

“BN adalah musuh politik utama kita. Kita berdepan dengan pembunuh Altantuya, kita menghadapi mereka yang merompak kekayaan rakyat dan kita berdepan juga dengan kerajaan yang mengamalkan rasuah,” katanya.

Saifuddin juga mendakwa dia didatangi oleh seorang anggota kanan MP Umno yang juga seorang menteri kabinet dan diberi amaran agar menghentikan membuat pendedahan yang memalukan Umno dan BN.

Menteri kanan itu dikatakan tidak senang dengan kenyataan Saifuddin di Dewan Rakyat semalam bahawa ada pemimpin Umno yang menghidangkan minuman keras pada ulang tahun perkahwinannya.

Saifuddin juga memberitahu Dewan Rakyat dalam satu lawatan yang dianjurkan oleh Umno ke amerika syarikat, seorang pemimpin parti itu tertidur di kasino dan gagal mengikuti rombongan berkenaan.

Sabtu, 13 Mac 2010

Tian Chua Kemalangan, Seorang Maut .


Sebuah kenderaan yang dinaiki Pengarah Strategik PKR yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal ketika mereka dalam perjalanan ke sini untuk menghadiri ceramah malam semalam mengakibatkan penunggangnya maut.

Insiden pukul 9 malam itu, dikatakan berlaku di Kilometer (KM) 49 Jalan Johor Baru-Mersing apabila kereta berkenaan bertembung dengan sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.

Penunggang motosikal itu meninggal dunia selepas dimasukkan ke Hospital Kota Tinggi - dua jam selepas kemalangan tersebut.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Salleh Hamdan, 23, seorang prebet di Kem Tentera Mersing.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Mohamed Sebot berkata, Tian Chua, pemandunya dan seorang lagi penumpang di dalam kereta Mercedes Benz yang dinaiki mereka itu tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Bagaimanapun katanya, lelaki berusia 45 tahun yang memandu kereta itu kini ditahan buat sementara waktu untuk membantu siasatan.

Sementara itu keluarga Mohd Salleh ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi masih tidak mempercayai yang mangsa telah meninggal dunia.

Tunangnya, Noraliza Said Abd Basar, 26, ketika ditemui berkata, mereka telah saling mengenali antara satu sama lain lebih sembilan tahun dan bercadang untuk berkahwin Jun ini.

“Saya seperti tidak percaya dia telah tiada dan apa yang tinggal kini hanyalah memori indah mereka bersama,” katanya.

Mereka telah melangsungkan pertunangan tiga bulan yang lalu.

Sementara itu bapa Mohd Salleh, Hamdan Saum, 48, berkata, anaknya adalah seorang yang penyayang dan sangat mengambil berat akan hal ehwal mereka sekeluarga.

“Dia jarang mengambil cuti tetapi entah kali ini dia mengambil cuti daripada latihannya dan mahu kembali ke rumah tetapi ini yang berlaku,” katanya yang juga bekas anggota tentera.

Tian Chua pula telah merakamkan rasa sedihnya di atas kejadian malang itu dan berkata, PKR telahpun melancarkan derma kilat untuk membantu meringankan kesengsaraan keluarga mangsa.

Khamis, 11 Mac 2010

Khalid Cabar Zulkifli Berdebat Isu Allah.


Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini mencabar Zulkifli Noordin berdebat bagi mencari kebenaran dan membuktikan hujah siapa yang bertepatan dengan pandangan agama berhubung isu kalimah Allah yang mempertembungkan mereka berdua.

Zulkifli yang membuat laporan polis terhadap Khalid berhubung isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam - telah dipecat daripada PKR Sabtu lalu.

Khalid berkata, beliau bersedia berdepan dengan ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu ini di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.

“ Sediakan sahaja tempat serta waktunya dan panggil Astro Awani atau Hujjah TV9, kita berdebat secara siaran langsung demi mencari kebenaran,” tulis Khalid dalam blognya. 

“Kemudian lihat sahaja siapa yang berhujah di atas kekuatan nas dan siapa yang bertindak di atas dasar sentimen semata. 

“Sekiranya ada di antara apa yang saya fahami tidak tepat, tersasar dan tidak berlandaskan syariat, maka saya sedia diperbetulkan dan demikian jugalah saya harapkan sebaliknya,” tulis Khalid lagi.

Khalid turut mengulas pemecatan Zulkifli dengan memuji tindakan tegas PKR memecat ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu itu ekoran laporan polis terhadapnya.

“Walaupun mereka sedar bahawa pemecatan Zul (Zulkifli) akan menyebabkan PKR kehilangan satu lagi kerusi parlimen; dan DAP akan mempunyai satu kerusi lebih dari PKR, namun mereka terus bertindak tegas. Syabas!

“Tindakan tegas ini memberi mesej yang jelas berhubung komitmen PKR terhadap Pakatan Rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, sepanjang 'perang mulut' antaranya Zulkifli dan pemimpin kanan partinya sendiri sebelum ini, Khalid hanya berdiam diri dan dilaporkan hanya menyifkan tindakan tersebut sebagai “hak dia”.



Khalid berkata, tindakan PKR itu telah melegakan penyokong PKR dan membuktikan ketegasan parti itu terhadap setiakawan dalam Pakatan, walaupun ia mengurangkan satu kerusi parlimennya.

“Tindakan (pemecatan) ini juga secara zahirnya bercanggah dengan kepentingan parti sendiri,” katanya yang juga sedang menjalani hukuman gantung jawatan oleh partinya sendiri.

Khalid turut mengucapkan tahniah kepada DAP yang “berjiwa besar” kerana sedia mengekalkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang walaupun kini mendominasi jumlah kerusi Pakatan di parlimen.

“Ini yang dikatakan pengorbanan demi menjaga kepentingan pakatan dan PR itu sendiri.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails