Geng Aku

Khamis, 4 Mac 2010

5 Hari Sambutan Dua Tahun PR P Pinang.


Menjelang dua tahun pemerintahan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada 8 Mac ini, berbagai program telah disusun atur bagi memeriahkan sambutan yang diadakan selama lima hari bermula 6 Mac.

Pengerusi Hal Ehwal Islam Pulau Pinang, Abdul Malek Kasim dalam kenyataan medianya berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) diwajibkan berada di setiap program yang melibatkan penyertaan mereka seperti mengedarkan risalah penerangan di beberapa lokasi pasar malam, pasar hari, medan selera, pasar raya dan sebagainya.

Malam kemuncak sambutan turut melibatkan semua pemimpin keempat-empat negeri di bawah Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan pada 10 Mac bertempat di Tapak Ekspo Seberang Jaya bermula jam 9.00 malam.

Datuk Seri Azizan Abdul Razak

Tan Sri Khalid Ibrahim

Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik

Lim Guan Eng

Mereka ialah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat serta Lim Guan Eng.

"Semua rakyat diminta hadir beramai-ramai untuk mendengar sendiri apa yang diperjuang dan menjadi dasar kerajaan yang ada di bawah Pakatan Rakyat, " tambahnya yang juga Pengerusi Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang.

Menurut beliau yang juga Adun Batu Maung, pada 6 Mac sebelah pagi, semua Adun Pakatan Rakyat akan ke pasar Bayan Baru, Sungai Ara, Taman Lip Sin dan Taman Ipin, Jalan Baru Batu Maung.

Sebelah malamnya pula siri ceramah penerangan diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibung dengan menampilkan tiga setiausaha agung parti PR.

Pada 7 Mac, program edaran risalah diteruskan ke pasar Kepala Batas, pasar hari di Penaga, Tasek Gelugor dan Nibung Tebal.


Manakala Majlis Kenduri Rakyat juga diadakan di Bakau Tua pada pukul 12 tengah hari di mana para petugas dan Adun Pakatan Rakyat akan dipertemukan di sana.

Sebelah malam, dua ceramah serentak iaitu di Dewan Millenium yang diuruskan oleh Sekrateriat Wanita Pakatan Rakyat dan debat perdana antara Sekrateriat Pemuda Pakatan Rakyat dengan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Jais Karim, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP), Rizal Faris Mohideen dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zailan.

Pada 8 Mac pula, pukul 4.00 petang taklimat GST oleh kepimpinan Pakatan Rakyat.
Kuliah Maghrib khusus menceritakan dasar dan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat di Masjid Kampung Melayu dan Pusat Pendidikan Padang Menora, Tasek Gelugor.

Malam tersebut juga diadakan dua ceramah serentak iaitu di Padang Menora dan Dewan Serbaguna Nibung Tebal.

Pada 9 Mac, edaran risalah diteruskan di Pasar Chowrasta.  Kuliah Maghrib di Masjid Terapung, Tanjung Bungah manakala ceramah diadakan di Kompleks Sukan, Balik Pulau dan Taman Ciku, Bukit Mertajam.

Pada 10 Mac, semua Adun akan menyedarkan risalah di Pasar Seberang Jaya dan Taman Cermai, Permatang Pauh.

Kuliah Maghrib diadakan di semua daerah di mana kemuncaknya cerama menteri besar dan ketua menteri dari negeri Pakatan Rakyat.

Soi Lek Letak Jawatan Timbalan Supaya Ada Pemilihan Yang Baru.


Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden MCA berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan pemilihan baru diadakan dalam tempoh sebulan untuk menyelesaikan krisis parti itu.

Ketika mengumumkan keputusannya itu pada satu sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini, beliau berkata, tujuh lagi anggota jawatankuasa pusat (CC) MCA juga telah meletak jawatan.

Sebelum ini, 13 anggota jawatankuasa itu berbuat demikian. Ini bermakna 21 orang iaitu dua pertiga daripada anggota CC yang dipilih telah meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

Ketika ditanya sama ada beliau telah memberitahu Presiden Parti, Datuk Seri Ong Tee Keat mengenai tindakannya itu, Dr Chua berkata beliau tidak berbuat demikian.

"Saya masih belum beritahu kepada presiden, akan tetapi borang peletakan jawatan masih ada pada saya kerana setiausaha agung tiada di pejabatnya," katanya.



Beliau juga meminta supaya mesyuarat agung tahunan MCA hujung minggu ini ditangguhkan.

"Peletakan jawatan ini adalah untuk memenuhi janji saya pada EGM (mesyuarat agung luar biasa) tahun lepas di mana saya telah mengutarakan pandangan bahawa kita mungkin perlu pemilihan baru agar kemelut parti dapat ditangani.

"Yang penting ialah parti bukannya soal pemimpin atau kepentingan diri melebihi parti," katanya.

Chua berkata, sejak Januari hingga semalam, beliau telah menerima surat peletakan jawatan daripada tujuh anggota CC yang dipilih.

Mereka ialah Naib Presiden Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Gan Tian Loo, Dr Por Choo Chor, Datuk Seri Tan Chai Ho, Tee Siew Keong, Datuk Chong Itt Chiew dan Loh Seng Kok.

Dalam pada itu, Chua berkata, dengan 21 ahli CC meletakkan jawatan,pemilihan baru perlu dibuat dalam masa satu bulan mengikut fasa 41 perlembagaan parti.

Jangan Takut Dengar Ceramah Pakatan Rakyat


Rakyat di negara ini tidak perlu takut mendengar ceramah politik yang dianjurkan Pakatan Rakyat kerana fungsi parti politik adalah untuk membela rakyat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Berucap pada ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau, di Felda Jengka 17, dekat sini, semalam, Tuan Ibrahim berkata rakyat perlu membebaskan diri mereka daripada resapan budaya Umno yang mahu rakyat terkongkong daripada mendapat maklumat secara bebas. 

“Corak pentadbiran dan pengurusan pemerintahan Umno yang banyak menyeleweng menyebabkan negara kehilangan berbilion-bilion ringgit. Banyak isu yang belum selesai seperti isu PKFZ, kehilangan injin jet, stadium runtuh, kapal selam yang tidak boleh menyelam.  

“Penyelewengan ini cuba ditutup dengan mereka mencipta berbagai isu bagi mengalih pandangan dan tumpuan rakyat. Mereka cuba tutup, maka sebab itu rakyat kena hadir ceramah bagi mendapatkan maklumat yang tidak mampu didedahkan media. Rakyat termasuk orang Umno tak perlu takut hadir ceramah. Tak perlu takut pada orang politik kerana tugas orang politik untuk membela dan menjaga rakyat,” katanya.  

Turut berceramah ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Sharil Azman dan Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.

‘Veteran’ Bekas PKR Dianggap Musuh Masa Depan Negara.


Wakil-wakil rakyat muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganggap beberapa wakil rakyat `veteran’ yang keluar daripada parti itu dan Pakatan Rakyat sebagai musuh pada masa depan negara dan mengkhianati harapan rakyat.

“Tindakan mereka tidak peduli malam sesungguhnya memusuhi masa depan negara dan rakyat. Mereka telah mengkhianati harapan rakyat biasa di Malaysia yang memilih (mereka yang terbabit) untuk perubahan dua tahun lalu,” jelas Adun Batu Caves, Amirudin Shari selaku jurucakap bagi wakil rakyat muda PKR itu dalam suatu sidang media di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Menurut beliau lagi, tindakan mereka yang terbabit meninggalkan parti itu bukanlah disebabkan dasar parti yang tidak adil.

Sebaliknya, beliau mendakwa insiatif mereka yang terbabit keluar dari parti itu disebabkan masalah yang terlalu peribadi, yang bukan menjurus pada kepentingan rakyat.

Ekoran itu, beliau bersama-sama 11 wakil rakyat belia PKR menganggap pemimpin-pemimpin veteran PKR terbabit sebagai ‘biawak-biawak hidup’.

Disebabkan tindakan keluar dari parti itu, Amiruddin turut menyuarakan rasa yakin bahawa rakyat sedang menilai ‘biawak-biawak hidup’ terbabit.

“Mereka mengisytiharkan diri mereka bebas, sedangkan semua (rakyat) melihat mereka sedang bergantung dengan corak rasuah dan pendekatan kuno masa lalu.”

“Dengan memilih tindakan jahat ini, mantan pimpinan Keadilan yang bertindak keluar parti ini memilih untuk terus memandang ke belakang,” jelasnya.

Tambahnya lagi, walaupun mungkin akan ada lagi wakil rakyat veteran meninggalkan PKR kelak, beliau menegaskan bahawa wakil rakyat belia dari parti tersebut tetap berikrar untuk tidak meninggalkan parti tersebut serta tidak akan mengkhianati muafakat Pakatan Rakyat.

“Kami (wakil rakyat belia) tetap tidak akan patah balik dan kami mahukan perubahan, kamu mahu berkhidmat kepada rakyat dan kami kamu terus dipercayai oleh rakyat dan Pakatan Rakyat,” jelasnya lagi.

Sebagai wakil rakyat berusia belia, beliau bersama-sama 11 wakil rakyat belia PKR yang lain turut menyatakan sikap terbuka untuk menerima nasihat, saranan dan kritikan daripada rakyat asalkan agenda selamatkan tanah air dari kepincangan kerajaan Umno/BN boleh direalisasikan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Selain beliau, 11 lagi wakil rakyat belia PKR mengumumkan tidak meninggalkan parti pada majlis itu ialah Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Amran Ghani (Ahli Parlimen Tanah Merah), S. Manikumar (Adun Bukit Selambau merangkap Exco Kerajaan Negeri Kedah), Gan Pei Nei (Adun  Rawang), Yunus Jamhari (Adun Kuala Kurau), Chang Lih Kang (Adun Teja), Chan Ming Kai (Adun Simpang Pulai), Sim Tze Tzin (Adun Pantai Jerejak), Kesavan (Adun Hutang Melintang) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Adun Seri Setia).

Turut menyertai mereka ialah Yusmadi Yusoff walaupun Ahli Parlimen Balik Pulau itu telah pun menyatakan pendirian untuk tidak meninggalkan PKR pada suatu kenyataan akhbar petang semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, 12 Ahli Parlimen yang tidak berjawatan penting dalam PKR petang semalam turut menjelaskan pendirian yang sama, iaitu tidak meninggalkan parti itu serta kekal menjadi wakil rakyat bagi Pakatan Rakyat.

Manakala, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, iaitu tiga pemimpin yang dianggap veteran sebelum ini telah pun mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Dalam perkembangan yang lain, pergolakan dalaman yang dipercayai umum didalangi oleh Umno itu dikatakan akan berterusan sehingga BN mendapat dua pertiga suara majoriti di Parlimen kelak.

Dengan adanya dua pertiga representasi tersebut, Umno/BN seperti dipercayai umum boleh membuat persempadanan semula Parlimen dan Dun, sebagaimana yang diperjelaskan dalam Perlembagaan, sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan masa PRU13 kelak.

Umno Rampas Jawatan Ketua Bahagian Batu Dari Gerakan,

Dalam menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil di parlimen Batu, Umno bahagian itu dengan cepat 'merampas' jawatan ketua bahagian Batu BN daripada Gerakan.

Ini petanda pertama Gerakan mula hilang cengkamannya ke atas kerusi parlimen itu yang diduduki lebih 22 tahun.

Menurut sumber
dari Gerakan, ketua Umno bahagian Batu, Yahya May Ghani dilantik sebagai ketua BN bagi kawasan parlimen itu Jumaat lalu.

Jawatan itu sebelum ini dipegang oleh ahli parlimen Batu, Ng Lip Yong sehingga kerusi Gerakan itu dirampas oleh Tian Chua (kiri, berbaju putih) dari PKR pada pilihan raya umum 2008. Sejak itu, jawatan berkenaan dibiarkan kosong sehingga Jumaat lalu.

Perlantikan itu dikatakan menimbulkan rasa tidak puas hati yang tebal di kalangan ahli Gerakan di Batu.

Seorang ahli menyifatkan perkembangan terbaru itu sebagai ”amat buruk”.

"Pada peringkat bahagian, kami tidak boleh berbuat apa-apa. Terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya tanpa mahu mendedahkan identitinya.

Ger
akan khuatir kerusi Batu mungkin diberikan kepada Umno kerana lazimnya, ketua bahagian BN akan dipilih sebagai calon kerusi berkenaan.

Kebimbangan mereka memuncak apabila khabar angin bertiup kencang mengenai kemungkinan pilihan raya kecil di Batu.

Oktober tahun lalu, Tian Chua dijatuhkan denda RM3000 dan penjara enam bulan kerana kesalahan menggigit seorang anggota polis. Dia akan hilang kerusi parlimennya itu jika permohonan rayuannya yang dijadualkan pada 13 April ini ditolak.

Batu terletak di wilayah persekutuan Kuala Lumpur. Sejak diwujudkan pada 1986, ketua bahagian BN telah dipegang oleh Gerakan sehingga 2008.

Menurut sumber Gerakan lagi, ketua bahagian BN menguasai sumber-sumber kerajaan termasuk pengagihan dana.

Sultan Kelantan Pulang Ke Kota Bharu .


Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra berangkat pulang hari ini setelah berada di Singapura sejak Mei tahun lepas untuk menjalani rawatan perubatan di Hospital Mt Elizabeth di sini.

Baginda, yang ditemani Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Hamid, kelihatan sihat dan sentiasa tersenyum kepada para doktor dan kakitangan hospital itu yang menghantar baginda ke kenderaannya.

Sultan Ismail Petra, yang berpakaian baju lengan panjang dan seluar hitam dan berkerusi roda, dibawa ke Lapangan Terbang Changi dengan diiringi anggota polis trafik Singapura.

Baginda dan Raja Perempuan menaiki pesawat khas kerajaan Malaysia untuk berlepas ke Kota Bharu.

Turut menghantar baginda di lapangan terbang ialah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang juga kerabat diraja Kelantan.

Baginda dimasukkan ke hospital itu pada 24 Mei 2009 untuk mendapatkan rawatan susulan sakit jantung. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails