Geng Aku

Memaparkan catatan dengan label Chin Peng. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Chin Peng. Papar semua catatan

Jumaat, 4 Disember 2009

PKM, Thai Telah Tunaikan Janji, Bagaimana Pula Malaysia?

Kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.  Setelah 20 tahun Perjanjian Damai Haadyai dimeterai antara Parti Komunis Malaya (PKM), kerajaan Malaysia dan kerajaan Thai, sejauh manakah janji yang termaktub dalam persetujuan ini ditunaikan?

Seperti yang dijanjikan, PKM telah menamatkan perjuangan bersenjatanya; kerajaan Thai pula, menghulurkan bantuan kepada anggota PKM untuk memulakan kehidupan baru.  Kerajaan Malaysia kini menjadi tumpuan, lebih-lebih lagi apabila mengumumkan bahawa Chin Peng tidak dibenarkan untuk pulang ke tanahairnya.

"20 tahun telah berlalu, kami dengan bangga mengumumkan, pihak Parti Komunis Malaya telah melaksanakan semua janji dan kewajipan yang ditentukan oleh Perjanjian Damai Haadyai," kata IndraVijaya Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Memperingati Ulang Tahun ke-20 Penandatanganan Persetujuan Damai Haadyai.

Mengimbas kembali sejarah 20 tahun yang lalu, Indra Vijaya Abdullah mendakwa bahawa perjanjian damai tercapai kerana "semua pihak betul-betul ingin menyelesaikan masalah", dan berpegang kepada prinsip ikhlas, samarata, saling menghormati dan sama-sama menang.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada kerajaan Thai yang membantu anggota PKM melalui projek Kampung Puteri Chulabhorn, dan menerima mereka sebagai warganegara Thailand.

Keikhlasan kerajaan Malaysia teruji

Indra Vijaya Abdullah mungkin menyampaikan maksudnya secara tersirat kepada kerajaan Malaysia, apabila berkata "melaksanakan perjanjian itu menguji kesungguhan, keikhlasan dan amanah ketiga-tiga pihak yang berkenaan".

Beliau seterusnya merayu kepada semua pihak yang berkenaan, agar bersungguh-sungguh melaksanakan semua terma dan kewajipan yang termaktub dalam Perjanjian Damai Haadyai pada tahun 1989.

Lebih daripada seribu orang, dari pelbagai kaum dan bangsa menyertai Mesyuarat Agung Tahun 2009 dan Majlis Memperingati Ulang Tahun ke-20 Penandatanganan Persetujuan Damai Haadyai yang diadakan di Hotel Lee Gardens, Haadyai, semalam.  Ramai antara mereka yang berpelukan dan berjabat tangan, apabila berjumpa dengan rakan seperjuangan yang lama.

Majlis ini turut dihadiri pihak kerajaan Thai yang diwakili oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Thai, Thavon, serta beberapa wakil daripada angkatan tentera Thai.  Kerajaan Malaysia walaupun diundang, namun tidak menghantar wakilnya untuk menghadiri majlis ini.  Apa yang menarik adalah, kedua-dua Mesyuarat Agung dan majlis ini dikendalikan dengan beberapa bahasa pengantar, antaranya bahasa Melayu, Cina, Thai dan Inggeris.

Chin Peng, Setiausaha Agung PKM menjadi tumpuan apabila muncul di Majlis ini pada usia ke-85 tahun.  Beliau menerima tepukan gemuruh ketika memasuki dewan di Hotel Lee Gardens, hotel yang sama ketika Perjanjian Damai Haadyai ditandatangani 20 tahun yang lalu.

Hasrat Chin Peng tidak tercapai

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Persahabatan Abab ke-21 Malaysia, Chai Kan Fook ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahun 2009, menyeru agar kerajaan Malaysia melaksanakan kewajipan yang termaktub dalam Perjanjian Damai.

Persatuan Persahabatan Abab ke-21 Malaysia ditubuhkan oleh bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM).  Mesyuarat Agungnya pada tahun 2008 diadakan di Setiawan, iaitu tempat Chin Peng berasal, dengan tujuan agar Setiausaha Agung ini dibenarkan kembali ke Malaysia dan menghadirinya.

Walau bagaimanapun, mereka terpaksa menunggu sehingga tahun ini, untuk melihat kehadiran Chin Peng.  Chai Kan Fook menceritakan bagaimana anggota PKM memulakan kehidupan baru selepas tamatnya perjuangan senjata dalam hutan.

Chai Kan Fook bersyukur kerana keperitan dalam zaman perperangan telah melatih agar anggota PKM tidak tumbang walaupun berdepan dengan kesulitan hidup yang baru.  Chai juga mengingatkan bahawa masih ada rakan seperjuangan kaum Melayu yang hidup dalam kesusahan, jadi mereka perlu saling membantu untuk mengharungi keperitan hidup.

Chai Kan Fook juga merakamkan penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam usaha mencatat sejarah perjuangan PKM secara sukarela.  Malah, buku-buku, vcd dan sebagainya telah diterbitkan sebagai bahan sejarah untuk memaparkan kebenaran.  Usaha-usaha ini telah berhasil dan mencungkil perhatian umum.

Sebelum Mesyuarat Agung Tahun 2009 Persatuan Persahabatan Abab ke-21 Malaysia berakhir, ahli yang hadir dengan sebulat suara meluluskan usul untuk merayu agar kerajaan Malaysia menghormati Persetujuan Damai Haadyai yang dimeterai, termasuk membenarkan Setiausaha Agungnya, Chin Peng untuk kembali ke tanah air.

Usulan Mesyuarat Agung Tahunan 2009 Persatuan Persahabatan Abad ke-21 Malaysia 

Bersempena memperingati ulang tahun ke-20 penandatanganan Persetujuan Haadyai maka Mesyuarat Agung Ahli Persatuan Persahabatan Abad ke-21 Malaysia dengan hemat meluluskan keputusan yang diajukan sebagai berikut:-

1. Mesyuarat agung ini merayu kepada Kerajaan Malaysia agar mengesahkan Persetujuan Damai Haadyai adalah Persetujuan yang berkuatkuasa undang-undang dan diiktiraf umum, dan hendaknya memikul tanggungjawab yang tak boleh dielakkan bagi melaksanakan segala terma Persetujuan itu, dan membenarkan bekas Ketua Perwakilan Parti Komunis Malaya Chin Peng yang selaku salah satu penandatangan utama Persetujuan itu kembali ke negeri tumpah darahnya di Malaysia.

2. Mesyuarat agung ini merayu kepada Kerajaan Malaysia bahawa hendaknya memansuhkan pelbagai sekatan ke atas bekas ahli Tentera Rakyat yang telah kembali di Malaysia iaitu sekatan tak munasabah pada aspek-aspek memohon dokumen-dokumen kerajaan dan kebebasan individu; bahawa hendaknya dengan sungguh-sungguh melaksanakan semangat ala Persetujuan Haadyai, menegah media am pengendalian pihak berkuasa daripada menyebarkan pendapat-pendapat yang bersifat memfitnah dan bertentangan dengan semangat Persetujuan Haadyai.

3. Mesyuarat agung ini merayu kepada parti-parti memegang kuasa dan parti-parti tidak memegang kuasa berserta pertubuhan-pertubuhan am bahawa hendaknya bersama-sama mengenepikan perselisihan pendapat antara parti-parti atau pertubuhan-pertubuhan, dan mengutamakan kepentingan rakyat, mendorong pembaruan demokratik masyarakat, dengan sikap terbuka dan bertoleransi memansuhkan undang-undang yang tidak adil, meminda peraturan-peraturan yang tidak relevan, harus dengan sikap proaktif menangani krisis kewangan global yang serius, berusaha keras memajukan ekonomi nasional dan menjaga kesejahteraan rakyat, benar-benar melaksanakan projek membasmi kemiskinan tanpa mengenal kaum, membina ekosistem yang dapat dimajukan secara berterusan dan membina satu masyarakat majmuk yang harmoni dan adil, menyanjung demokrasi, dan menyanjung kedaulatan undang-undang.

Rabu, 2 Disember 2009

Biar Orang Ramai Tentukan Nasib Chin Peng-Mahathir


Keputusan untuk membenarkan bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaysa (PKM) Chin Peng untuk balik ke Malaysia perlu mengikut suara ramai, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau sendiri akan bersetuju dengan apa yang diputuskan oleh orang ramai.

"Saya kena ambil kira perasaan orang. Kalau orang suka tiada masalahlah, tapi kalau orang tak suka apa nak buat," katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA 2009) di Dewan Pameran Mahsuri Antarabangsa (MIEC) di Langkawi hari ini.


Diminta mengulas kenyataan bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor bahawa Chin Peng berhak kembali ke Malaysia sekurang-kurang secara lawatan sosial di bawah Perjanjian Damai Haadyai, Dr Mahathir berkata perjanjian itu perlu diperjelaskan kepada masyarakat.

"Kena terang dengan orang ramai dahululah, kata dah janji," katanya.

Isu mengenai Chin Peng timbul apabila beliau menyatakan hasrat untuk pulang ke tanah air bagi menziarahi keluarganya di Sitiawan, Perak, tetapi hasrat ini dibantah keras khususnya oleh bekas anggota tentera yang pernah berdepan dengan kekejaman
komunis dahulu.

Kerajaan telah menyatakan pendirian bahawa ia bertegas tidak akan membenarkan bekas pemimpin komunis itu pulang.
BERNAMA

Selasa, 1 Disember 2009

Chin Peng Harap Temui Najib Di Selatan Thailand Bulan Ini



Bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (CPM) Chin Peng berkata beliau tidak akan menggunakan pihak ketiga tetapi sebaliknya menggunakan saluran sesuai untuk menyampaikan hasratnya kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membenarkannya kembali ke Malaysia.



Jika boleh, beliau melahirkan hasrat untuk dapat bertemu Najib apabila Perdana Menteri itu melawat selatan Thailand yang dijadual pada minggu kedua bulan ini.

Mengenai kenyataan bekas Ketua Polis Negara Malaysia Tan Sri Norian Mai bahawa Chin Peng telah menunggu begitu lama dan kini sudah terlambat baginya untuk pulang, bekas gerila itu berkata beliau tidak mahu berbalah dengan Norian, yang merupakan salah seorang perunding utama semasa perbincangan antara CPM dengan kerajaan Malaysia.

“... tetapi pada hakikatnya, saya pergi ke sebuah tempat yang dipilih untuk menemui wakil kerajaan, saya tidak ingat tempat sebenarnya, tetapi berhampiran dengan Hatyai. Tetapi saya tidak dapat menemui mereka, kemudian ada orang beritahu saya untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat... akhirnya juga saya tidak dapat jumpa mereka dan ini sebagai satu misteri kepada saya sehingga sekarang,” katanya.


Chin Peng berkata apa yang beliau mahukan ialah untuk kembali ke Malaysia menemui keluarganya dan memberikan penghormatan kepada nenek moyangnya di Sitiawan, Perak.

“Saya sudah tua, berusia 85 tahun. Sebagai orang tua, saya harap dapat melihat keluarga saya dan memberikan penghormatan kepada nenek moyang saya. Ini peluang akhir saya untuk pulang ke tanah air. Kepulangan saya bukan untuk menimbulkan kekacauan,” katanya dalam temu bual di Lee Gardens Hotel di sini di mana beliau mengetuai kepimpinan CPM ke perjanjian menandatangani berakhirnya pemberontakan bersenjata komunis pada 2 Disember 1989.

Chin Peng mempunyai seorang anak lelaki di Malaysia sementara anak perempuaanya kini di Australia.

Ditanya kenapa beliau tidak menonjolkan diri walaupun seorang yang dikenali dalam sejarah Malaysia, Chin Peng, yang memakai kemeja batik dan terpaksa dibantu untuk bergerak, berkata bukan mengejar publisiti, kecuali tidak dapat dielakkan.


Setelah CPM diharamkan pada tahun 1940-an, beliau mula kelihatan di khalayak ramai pada tahun 1955 semasa Rundingan Baling yang telah dibubarkan di mana beliau menemui Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman, sebelum keluar lagi untuk menandatangani Perjanjian Damai pada tahun 1989, tetapi tinggal menyendirikan diri sehingga beberapa bulan kebelakangan ini.

Chin Peng, yang diberikan pasport orang asing oleh kerajaan Thai, berkata beliau telah tinggal di Bangkok sejak beberapa tahun lepas, tetapi tidak membabitkan diri dalam sebarang aktiviti perniagaan.

Beliau berkata CPM berhenti menerima sebarang bantuan daripada Parti Komunis China selepas menandatangani perjanjian itu, sambil menambah tidak ada sebab untuk meminta bantuan daripada mereka selepas itu.

Daripada maklum balas yang diterimanya, ketanya kebanyakan bekas rakannya  yang telah kembali ke Malaysia kini berjaya dalam kehidupan baru mereka.

“Mereka dalam keadaan baik tetapi tidak semuanya,” katanya sambil menambah bahawa ramai juga yang tinggal di empat perkampungan damai yang diwujudkan oleh kerajaan Thai di wilayah Yala yang bersempadan dengan Malaysia.

Di bawah perjanjian damai, 339 bekas anggota CPM kembali ke Malaysia dari sempadan Thai-Malaysia dalam 13 kumpulan antara Ogos, 1991 dan Disember, 1992, sementara sesetengahnya tinggal di beberapa perkampungan damai yang diwujudkan oleh kerajaan Thai di wilayah Yala.



Mengenai sesetengah laporan bahawa ada bekas anggota terbabit dalam pemberontakan kini di wilayah Selatan Thai yang penduduknya majoriti Muslim, Chin Peng berkata konflik itu tidak ada kaitan dengan mereka.
– Bernama

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails