Geng Aku

Jumaat, 19 Februari 2010

Bekas Timbalan Menteri Persekutuan Kalakau Untol Keluar BN.


Bekas Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Kalakau Untol, Khamis mengumumkan perletakan jawatan beliau dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan keanggotaan beliau dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau mengumumkan pelepasan jawatan sebagai Pengerusi Superpanel (Sabah) Sdn Bhd, sebuah subsidiari milik penuh Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB) serta sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), di dalam satu sidang akhbar di sini.

Kalakau, 55, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Buruh pada tahun 1986 hingga 1990 dan merupakan Ketua Pemuda Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) negeri selama 12 tahun sejak 1985.


Dengan perletakan jawatan dan keanggotaan dalam BN tersebut, beliau juga mengumumkan keputusan untuk melibatkan diri dan menyokong dasar-dasar kumpulan pembangkang Pakatan Rakyat, seterusnya membantu mereka menyebarkan penjelasan ke seluruh negeri dalam usaha merakyatkan dasar Pakatan Rakyat untuk mendepani pilihanraya umum ke-13.

Kalakau menjelaskan walaupun pemimpin-pemimpin dari Sabah dari dulu sehingga sekarang telah melakukan yang terbaik untuk mempertahankan hak-hak negeri Sabah, namun pucuk pimpinan negara dan sebilangan pemimpin Persekutuan nampaknya tidak begitu serius dan komited dengan saranan dan tuntutan-tuntutan para wakil rakyat dari Sabah dan pihak kerajaan negeri Sabah sendiri.


"Saya yakin dengan kesepakatan pimpinan Pakatan Rakyat dalam konvensyen yang pertama yang diadakan tahun lalu, di mana mereka bersetuju menyemak semula kepentingan negeri Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam 20 Perkara untuk Sabah dan 18 Perkara untuk Sarawak, seperti yang telah dipersetujui dalam rundingan pelbagai pihak semasa penubuhan negara Malaysia pada tahun 1963.

"Perkara dan agenda ini hanya akan dapat direalisasikan dengan pembentukan sebuah kerajaan persekutuan yang baru di bawah pimpinan Pakatan Rakyat. Begitu juga dengan isu pendatang tanpa izin (Pati), perkara ini yang telah berlarutan sekian lama tidak akan dapat diatasi oleh pemerintahan kerajaan BN," tambah beliau.

"Pakatan Rakyat pada konvensyen tersebut, mereka bersetuju untuk menyelesaikan masalah ini dengan menubuhkan Suruhanjaya Diraja. Jadi saya bertekad membantu Pakatan Rakyat memberi penjelasan ke seluruh negeri," tambah beliau.

Menjawab satu soalan, Kalakau bagaimanapun berkata beliau belum menyertai mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat.

Kalakau, yang juga merupakan presiden Persatuan Dusun Sabah Bersatu (Usda), juga pernah berkhidmat sebagai Senator sehingga tamat penggalnya pada Dis 2005.

Tiada Bukti Teoh Mati Dicekik?

Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor, yang melakukan bedah siasat kedua ke atas pembantu politik kepada exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock berkata bedah siasat pertama dijalankan dengan baik.

Dalam keterangannya hari ini, Shahidan juga berkata kesan kecederaan pada bahagian punggung dan dubur mangsa pula konsisten disebabkan terjatuh dari tempat tinggi.

Beliau turut bersetuju dengan laporan bedah siasat pertama yang dijalankan oleh Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberker yang mengatakan Teoh meninggal dunia akibat kecederaan berganda kerana terjatuh dari tempat tinggi. 

Shahidan juga mempertikaikan laporan ahli patologi yang dilantik oleh kerajaan Selangor, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand yang berkata lebam di leher Teoh adalah akibat dicekik dan kecederaan di duburnya pula akibat ditembus.

Sebaliknya, ahli patologi yang membuat bedah siasat kedua itu berkata jika dicekik, kesan lebamnya akan ketara secara tidak sama rata.

Bedah siasat itu dijalankan pada 22 Nov lalu oleh Shahidan dengan pemerhatian oleh ahli patologi yang dilantik oleh kerajaan Selangor, 
Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand, manakala Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula melantik Dr Peter Venezis sebagai pemerhati mereka.

Pornthip adalah pengarah Institut Pusat Sains Forensik yang berpangkalan di Bangkok dan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Undang-undang Thailand. 

Beliau pada perbicaraan tahun lalu berkata 80 peratus kemungkinan kematian Teoh adalah kerana dia dibunuh.

Venezis pula adalah ahli patologi yang terkenal dengan penyiasatan kematian Puteri Diana.

Kedua-dua ahli patologi berkenaan juga dijadual memberikan keterangan mereka pada suatu tarikh yang belum ditetapkan kemudian.

Koroner Azmil Muntapha Abas mengarahkan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh dilakukan pada 9 Nov lalu berikutan dakwaan Pornthip itu.

Teoh meninggal dunia pada 16 Julai selelepas disoal-siasat oleh pegawai SPRM di ibupejabat mereka di Plaza Masalam, Shah Alam.

Mengikut laporan rasmi, pegawai khas DAP itu terjatuh dari bangunan berkenaan, namun keluarganya pula mendakwa terdapat salah laku dalam kematian Teoh.
Shahidan memberitahu inkues pagi ini bahawa beliau keberatan untuk melakukan bedah siasat kedua seperti diminta oleh Tricia Yeoh dari pejabat menteri Besar Selangor dan peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo.

Pakar patologi dari hospital Sungai Buloh itu berkata, beliau telah meminta mereka menulis kepada kementerian kesihatan. 

Pada 9 November, beliau mendapat panggilan dari timbalan pendakwa raya Mohd Abazafree Mohd Abbas, mengarahkannya melakukan bedah siasat tersebut.
Katanya, Pornthip dan Veneziz, bersama dengan dua lagi pakar patologi yang melakukan bedah siasat pertama turut hadir.

Bedah siasat itu bermula jam 12.45 pagi 22 November dan selesai dua jam kemudiannya.

Merujuk kepada laporan bedah siasat tersebut, Shahidan berkata terdapat kesan lebam pada bahagian thyroid si mati.

Juga terdapat darah beku kekal di belakang lidah dekat dengan leher, serta pendarahan di sebelah tepi kanan otak dan di sebelah tepi kanan belakang otak.

Shahidan memberitahu demikian ketika menjawab soalan dari peguam yang dilantik kerajaan, Tan Hock Chuan.
Beliau memberitahu inkues pagi ini bahawa terdapat kesan calar ditemui pada tangan kiri Teoh.

Bagaimanapun, katanya, punca kematian Teoh adalah akibat pelbagai kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.

Tambahnya, kecederaan pada tengkok Teoh itu adalah akibat jatuh. 

Sebaik selesai memberi Shahidan memberi keterangannya, Azmil kemudiannya menangguhkan inkues berkenaan sehingga 1 Mac depan bagi membolehkan peguam yang mewakili keluarga Teoh dan juga kerajaan Selangor menyoal balas ahli patologi berkenaan.

Pemuda PR Sahut Cabaran Umno, Debat Isu Melayu Pulau Pinang



Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang menyahut cabaran untuk berdebat dengan mana-mana kompulan termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMPP), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang berhubung dakwaan masyarakat Melayu di Pulau Pinang dipinggirkan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Pulau Pinang, Amir Md Ghazali berkata satu surat akan dihantar kepada DPMPP,GPMS dan juga Pemuda Umno Pulau Pinang untuk menjemput wakil mereka sebagai panel  dalam debat yang dijangka akan diadakan dalam bulan Mac yang akan datang.



"Kita daripada Pemuda Pakatan Rakyat sedikit pun tidak gentar dengan dakwaan mereka. Kita sanggup untuk bersemuka dengan mereka dalam debat yang mereka cadangkan.

"Kita sendiri akan menyediakan tempat untuk diadakan debat. Mereka akan dijemput secara hormat bagi menjadi panel dalam debat yang dijangka akan diadakan di tapak ekspo Seberang Jaya tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dimajlis ceramah di Dewan Millenium, Kepala Batas.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Ng Wei Aik, Exco AMK Pusat, Amizudin Ahmat, dan kepimpinan Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang lain.

Sebelum ini ketiga-tiga kumpulan itu mencabar Pulau Pinang berdebat berhubung dakwaan mereka bahawa nasib orang Melayu dipinggirkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu.

"Kita ingin lihat setakat mana kebenaran dakwaan mereka bahawa Melayu Pulau Pinang dipinggirkan dalam tempoh hampir 24 bulan PR memerintah jika dibandingkan dengan lebih daripada 50 tahun Umno dan Barisan Nasional memerintah Pulau Pinang," katanya lagi.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails