Geng Aku

Isnin, 22 Mac 2010

[TAKZIAH] Yanie Mentor Meninggal Dunia.



Terkejut kami mendengar perkhabaran tentang berita Yanie Mentor sudah meninggal dunia

Puncanya dikatakan dari ketumbuhan di paru-paru. Dengarnya lagi lebih kurang sudah 4 bulan Yanie Mentor menderita akibat penyakit ini.

Takziah kami ucapkan kepada suami dan keluarga Yanie Mentor. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.

UPDATE: Jenazah Yanie Mentor akan dikebumikan tengah hari ini.

Pencalonan Pemilihan Baru MCA Bermula.


Pencalonan bagi pemilihan baru MCA pada 28 Mac ini, dibuka di Wisma MCA di Kuala Lumpur pada jam 1 tengah hari dan dijadual ditutup pada jam 5 petang.
Setiausaha agung parti Datuk Wong Foon Meng mengumumkan secara rasmi bermulanya proses pencalonan itu yang akan diikuti dengan tempoh bantahan selama 30 minit.

Proses pencalonann itu bermula agak lembap dengan beberapa calon tiba di dewan membawa kertas pencalonan masing-masing tetapi kemuncak pencalonan dijangka bermula pada kira-kira pukul 3 petang di mana mereka yang akan bertanding bagi jawatan utama dan tertinggi parti akan menyerahkan kertas pencalonannya.

Sebanyak 31 jawatan akan dipertandingkan, termasuk jawatan presiden dan timbalan presiden, empat jawatan naib presiden dan 25 untuk anggota jawatankuasa pusat (CC).

Jawatan presiden dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat, bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting dan bekas timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Pemilihan baru itu diadakan berikutan peletakan beramai-ramai 22 anggota CC parti pada awal bulan ini.

Pemilihan parti terakhir diadakan pada Oktober, 2008.

- Bernama

Anak Bongsu Datuk Manja Ismail Maut Kemalangan.


Anak bongsu Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa NTV7, 8TV, TV9 dan Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima Datuk Manja Ismail, maut dalam kemalangan jalan raya di kawasan perumahan USJ3, Subang Jaya awal hari ini.
 
Muhammad Ikhwanul Ashraf Manja, 18, bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar yang baru menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia cedera parah dan mati di tempat kejadian.

Ketua Bahagian Keselamatan Awam dan Trafik Selangor Superintenden Che Hussin Omar berkata dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, kereta yang dipandu Muhammad Ikhwanul Ashraf, anak bongsu dari tiga beradik itu, dilapor terbabas dan melanggar tembok jalan.

"Ketika kejadian, Muhammad Ikhwanul Ashraf memandu sendirian dan dalam perjalanan dari Persimpangan Kewajipan Subang Jaya menuju ke Jalan SS19.

"Dia dikatakan hilang kawalan lalu melanggar tembok jalan dan terpelanting keluar daripada kereta ke dalam longkang di tepi jalan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu ibu Muhammad Ikhwanul Ashraf, Datin Norzita Abdul Samad berkata jenazah anaknya akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bukti Kiara selepas disembahyangkan di Masjid USJ9, Taipan selepas solat Zuhur hari ini.

Anwar Diberi Seminggu Jelaskan 'One Israel'

 
Dewan Rakyat kecoh hari ini apabila ketua pembangkang diminta menjelaskan kenyataannya di dalam dewan minggu lalu yang mengaitkan kerajaan dengan sebuah firma penasihat Israel.

Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN - Kota Belud) bangun menyatakan perkara itu bawah perkara 37 (1) yang dibacakan sekali dengan perkara 36(12) peraturan mesyuarat.

Katanya, beliau meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan hal berkenaan ketika membahas usul menjunjung kasih Yang DiPertuan Agong pada 17 Mac lalu.

Abdul Rahman juga berkata, ahli parlimen Permatang Pauh dengan jelas menggunakan kenyataan yang memalukan dewan ini semasa membuat kenyataan tersebut. 
 
Tindakan itu bagaimanapun menerima bantahan daripada wakil-wakil pembangkang yang bertindak menghalang Kota Belud meneruskan hujahnya, menyebabkan perbahasan tertangguh hampir sejam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz kemudiannya memberitahu timbalan speaker, Datuk Ronald Kiandee bahawa kerajaan memberi Anwar tempoh seminggu untuk membuktikan dakwaannya itu.

Sekiranya, Anwar gagal memberikan dalilnya, Nazri berkata kerajaan akan membentangkan usul supaya ketua pembangkang itu diheret ke jawatankuasa khas mengenai hak dan keistimewaan parlimen.

Kiandee kemudiannya bersetuju dengan cadangan itu memandangkan Anwar tidak berada di Dewan Rakyat hari ini.

Jumaat lalu, Nazri berkata jemaah menteri akan bermesyuarat untuk memutuskan sama ada Anwar perlu diheret ke jawatankuasa khas berkenaan.

Anwar sebelum ini, mendakwa Apco Worldwide, sebuah agensi perunding dilantik oleh kerajaan Malaysia adalah syarikat yang sama melakarkan slogan "One Israel'.

Menurut beliau, Apco pada 1999 menasihatkan perdana menteri Israel ketika itu, Ehud Barak untuk memperkenalkan slogan 'One Israel'.

Sekiranya Anwar didapati bersalah, beliau boleh digantung daripada menghadiri sidang parlimen untuk jangka masa yang ditetapkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Bagaimanapun, Apco dalam satu kenyataan telah menafikan pembabitan pihaknya dengan konsep "One Israel' itu.

Ibu Harith Iskander Meninggal Dunia.


Hampir sebulan kehilanggan bapa tercinta, pelawak Harith Iskander terpaksa akur dengan pemergian ibunya, Farida Jane Musa, 84 yang meninggal dunia pada pukul 1.30 pagi, Sabtu lalu.

Arwahyarhamah yang menghidap sakit tua telah dimasukkan ke Hospital Pantai sejak seminggu lalu dan tidak sedarkan diri atau koma dua hari sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Ketika dihubungi, pengurus kepada Harith Iskander, Sue Hussin memberitahu jenazah Farida telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara bersebelahan pusara arwah bapanya, pada pukul 11.30 pagi semalam.

"Harith sepatutnya pergi ke Universiti Sains Malaysia pada hari Jummat lalu namun terpaksa membatalkannya kerana keadaan ibu yang kritikal.

"Sejak Jumaat lalau Harith sudah diberitahu oleh Doktor tentang keadaan ibunya yang terlalu lemah dan tidak mampu bertahan lama. Dia menghabiskan sepanjang minggu ini untuk menjaga ibunya.


"Buat masa sekarang Harith masih lagi dalam keadaan sedih kerana baru sahaja kematian bapa yang belum pun sebulan, kini terpaksa menerima hakikat kehilangan ibu tercinta pula," jelasnya. Arwah bapa dan ibu Harith, telah bercerai 20 tahun lalu dan kemudian bapanya berkahwin buat kali ketiga. Harith mengambil tanggungjawab menjaga ibunya selepas ibu bapanya bercerai.

Turut menghadiri upacara pengebumian ialah rakan-rakan artis seperti Maria Farida, Deanna Yusof, Hans Isaac, Afdlin Shauki dan ramai lagi bagi memberi penghormatan terakhir buat arwah ibunya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails