Geng Aku

Selasa, 13 April 2010

Isa Samad Bernikah Dengan Bibi Sharliza Esok.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Tan Sri Mohamad Isa Samad akan melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya yang juga bekas Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Mohamad Isa yang kehilangan isteri tercinta akibat kanser lima tahun lalu akan melangsungkan pernikahan dengan bakal surinya di rumah datuk Bibi Sharliza, 40, di Gentam, Kuala Pilah dekat sini esok pukul 3 petang.

Desas-desus hubungan bekas menteri besar berusia 60 tahun itu telah lama kedengaran tetapi tiada sebarang pengesahan atau penafian daripada mereka berdua sebelum ini.


Mohamad Isa terus membiarkan cakap-cakap mengenai hubungannya sehinggalah membuat keputusan menamatkan zaman dudanya.

Apabila ditanya kemungkinan beliau akan berada di Gentam, Kuala Pilah untuk upacara pernikahan itu, beliau berkata tidak mahu diganggu dalam soal itu.

"Jika saya kahwin, pasti saya jemput kamu semua. Beri sedikit ruang untuk privasi saya," katanya semasa ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan ahli Umno Bahagian Teluk Kemang division di Port Dickson dekat sini.


Bibi Sharliza merupakan bekas ADUN Paroi selama sepenggal mulai tahun 2004 memiliki Ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam.
Sebelum menjawat jawatan Setiausaha Puteri Umno, beliau merupakan Ketua Penerangan sayap itu sejak ditubuhkan pada tahun 2000-2003.

Bagaimanapun beliau tewas pada pemilihan parti merebut jawatan nombor satu sayap berkenaan pada tahun lalu.


Mohamad Isa sekarang adalah Ketua Penerangan Umno negeri adalah bekas menteri besar selama 22 tahun sejak tahun 1982.

Beliau berkahwin dengan Allahyarham Puan Sri Hazizah Tumin pada tahun 1977 sebelum meninggal dunia pada Disember 2005.

Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat anak iaitu Mohamad Najib (27), Megawati (24), Lelawati (21) dan Juhaida (16).

Bekas Naib Presiden Umno itu 'dipindahkan' ke petadbiran Persekutuan apabila dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada tahun 2004 sebelum diarah melepaskan jawatan kerana didapati bersalah mengamalkan politik wang pada pemilihan parti 2005.

Digantung keahlian selama enam tahun dan tidak dibenarkan memegang apa-apa jawatan dalam parti sebelum hukumannya dikurangkan kepada tiga tahun selepas rayuan diterima dan bebas pada Jun 2008.


Pada 11 Oktober tahun lalu, merupakan saat gemilangnya apabila kembali ke kancah politik dan memenangi kerusi Bagan Pinang dalam pilihan raya kecil menewaskan calon PAS, Zulkefly Omar dengan majoriti besar sebanyak 5,435 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas kematian penyandang, Azman Mohd Noor.

Dira Tak Mahu Cerita Punca Bercerai.


Pelakon dan pengacara Khaidirah Abu Zahar atau Dira, 26 mengesahkan dia sudah diceraikan dengan talak satu oleh suaminya, Ash atau nama sebenarnya Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid , 27 dan ia telah pun diputuskan di Mahkamah Syariah Kajang pada 8 April lalu.


Dira bagaimanapun mendakwa perkahwinan mereka yang hanya sempat bertahan hampir tiga tahun itu bukanlah berpunca daripada kehadiran orang ketiga sepertimana yang digembar-gemburkan sebelum ini. Ketika ditemubual murai.com.my sebentar tadi, Dira menjelaskan, dia redha dengan dugaan yang menimpanya walaupun terpaksa menahan kesedihan.

"Kami bercerai atas masalah yang berpunca daripada kami berdua. Bagi menghormati perkahwinan kami, biarlah masalah itu menjadi rahsia kami berdua. Malah, tak baik kalau nak diungkit-ungkit cerita yang sudah. Apa yang saya ingin tegaskan, ia bukanlah masalah daripada orang ketiga yang digembar-gemburkan.


"Pun begitu kami masih berhubung dan masih berkawan macam biasa. Tiada apa nak digaduhkan lagi, keadaan yang menentukan segalanya. Saya redha apa yang berlaku ini dan menerima segala ketentuan ini dengan hati yang terbuka.


"Kami telah berbincang masak-masak dan inilah cara yang terbaik untuk menyelasaikan masalah. Ash juga telah bersetuju membenarkan anak kami, Anggun berada dalam jagaan saya.

"Terpulang kepada peminat untuk menilainya, apa yang penting, saya tetap meneruskan kehidupan ini apatalah lagi saya mempunyai tanggungjawab untuk membersarkan Anggun. 


Saya juga berdoa agar kehidupan saya selepas ini selamat sejahtera dan berjalan lancar seperti biasa," katanya.

Pasangan selebiriti ini diijabkabulkan di Melaka pada 5 Januari 2007 di Melaka sebelum diraikan pada majlis resepsi di Dewan Felda, Kuala Lumpur pada 14 Januari 2007 yang lalu. 

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Tengku Anggun Deandra yang kini berusia 2 tahun.

Zaid Ibrahim Wakil PR Di Hulu Selangor.


Datuk Zaid Ibrahim hari ini dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Menurut  sumber, pemilihan Zaid itu dibuat oleh biro politik PKR yang bermesyuarat di rumah ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.

“Keputusan memilih Zaid buat sebulat suara,” kata sumber itu lagi kepada wartawan Malaysiakini di luar rumah ketua pembangkang di Segambut, Kuala Lumpur.


Sumber itu berkata PKR menamakan Zaid kerana beliau dilihat sebagai calon berwibawa yang mampu mempertahankan kerusi Hulu Selangor itu.

Zaid adalah bekas menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal perundangan ketika dalam barisan kabinet bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum berpaling tadah ke PKR.

Beliau dijangka akan diperkenalkan secara rasmi sebagai calon Pakatan Rakyat di sebuah ceramah di Serendah, malam ini.
Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR itu menewaskan calon Barisan Nasional Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu yang akan diadakan 25 April ini.

BN dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April, iaitu dua hari sebelum penamaan calon, dan desas-desus mengatakan Palanivel akan diberi peluang kedua untuk merampas kembali kerusi yang pernah disandangnya sebanyak tiga penggal itu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails