Geng Aku

Selasa, 8 Disember 2009

Liga Super 'Pahang' Diselamatkan Lagi...






REKOD 'cemerlang' Pahang yang tidak pernah turun ke liga bawahan berterusan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan skuad Tok Gajah itu akan kembali bersaing dalam Liga Super 2010 yang ber- mula 9 Januari depan.

Pahang sebelum ini sepatutnya telah tersingkir ke Liga Perdana 2010 setelah tewas 1-5 ke- pada Selangor dalam aksi terakhir Liga Super 2009 pada 25 Julai lalu, sekali gus menduduki tangga kedua tercorot.



Pada 15 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis FAM juga mengesahkan bahawa Pahang akan turun beraksi dalam Liga Perdana 2010 bersama-sama pasukan tercorot Liga Super 2009 iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, Mesyuarat Majlis FAM semalam yang dipengerusikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM bertindak 'menyelamatkan' pasukan negeri itu pada saat akhir sambil 'mengorbankan' skuad B-21 kebangsaan, Harimau Muda A.

"Hari ini (semalam) mesyuarat Majlis FAM telah membuat sedikit perubahan untuk pasu- kan-pasukan bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana musim depan.

"Setelah dibincang secara panjang lebar, Harimau Muda A dicadangkan untuk tidak beraksi dalam Liga Super 2010 supaya pemain-pemainnya dilepaskan beraksi untuk pasukan negeri masing-masing.

"Bagi menggenapkan 14 pasukan, Pahang dinaikkan semula ke Liga Super. Liga Perdana pula, kami akan jemput satu pasukan dari Liga FAM untuk menggenapkan 12 pasukan," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh pada sidang media semalam.



SULTAN AHMAD SHAH beramah mesra dengan pegawai yang hadir sebelum baginda
mempengerusikan Mesyuarat Majlis FAM di Wisma FAM semalam.



Mengulas lanjut perkara tersebut, Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Pahang dipilih menggantikan Harimau Muda A kerana 'kedudukannya' yang paling atas dalam senarai asal pasukan-pasukan Liga Perdana 2010.

"Tiada soal pilih kasih. Keputusan ini telah dipersetujui oleh suara majoriti dalam mesyuarat Majlis FAM hari ini (semalam).



"Harimau Muda B iaitu skuad B-19 kebangsaan akan kekal dalam Liga Perdana manakala Harimau Muda A di bawah jurulatih Azraai Khor Abdullah hanya akan dikumpul apabila ada tugasan antarabangsa," jelas Khairy.

Kosmo! pada 27 Julai lalu telah melaporkan tentang kemungkinan Pahang akan diselamatkan lagi oleh FAM daripada terjerumus ke saingan Liga Perdana.

Keputusan FAM semalam sebenarnya 'ulangan' kepada tindakan mereka ketika menukar format Liga Malaysia 2007 sejurus berakhir saingan musim 2006.






FAM ketika itu mengubah format daripada lapan pasukan kepada 14 pasukan, sekali gus menyelamatkan Pahang yang menduduki tangga ketujuh daripada lapan pasukan pada Liga Super 2006.

Dalam pada itu, Sultan Ahmad Shah dalam titah baginda ketika mesyuarat semalam memberitahu, Datuk Gulzar Mohammad telah meletak jawatan sebagai Naib Presiden FAM secara sukarela berkuat kuasa 22 November lalu atas alasan kesihatan dan tumpuan kepada pernia- gaannya.

Selain itu, pada tarikh yang sama, FAM turut melantik Tan Sri Mohd. Noor Abdul Rahim sebagai Bendahari FAM yang baru mengganti- kan Datuk Cheong Keap Tai.

Perarakan Kepala Lembu: Mahkamah Tetapkan 12 April Tarikh Perbicaraan



Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menetapkan 12 April depan untuk mendengar perbicaraan kes perarakan kepala lembu dalam satu protes di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Ogos lalu.

Hakim Hasdi Hasan menetapkan perbicaraan itu berjalan selama lima hari sehingga 16 April depan.



Kes berkenaan disebut di mahkamah hari ini dan kesemua 12 individu yang didakwa berhubung kes itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan atau tuduhan alternatif di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana 'menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan penganut Hindu dan sengaja lukakan perasaan penganut hindu'.

Mereka ialah Ibrahim Sabri, 42; Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36; Eyzva Ezhar Ramly, 35; Mohd Azmir Mohd Zain, 35; Ahmad Suhairy Zakaria, 39; Mohd Hilmi Ni, 40.


Mereka juga didakwa bersama enam orang lagi kerana menyertai perhimpunan haram, mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967.

Mereka ialah Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67; Mohd Jurit Ramli, 39; Mohammad Nordin Zakaria, 63; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md Harun, 39, dan Azhari Shaari, 39.
Mereka diwakili peguam Hashim Ibrahim, manakala timbalan pendakwaraya ialah Datuk Razali Che Ani.

Beri Laluan Kepada Orang Najib Adnan Yaakob Bakal Tersingkir?

Defisit belanjawan untuk 10 tahun berturut-turut sekali lagi menggoyah kedudukan Adnan Yaakob sebagai Menteri Besar Negeri Pahang.  Sumber maklumat dalaman UMNO menyebarkan khabar bahawa Adnan Yaakob mungkin "dipindah"ke pusat untuk mengosongkan jawatan yang disandangnya lebih daripada satu dekad, lantas diisi oleh calon yang dilantik Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

Pada hakikatnya, sudah tiba masanya untuk menukar MB.  Pimpinan kerajaan negeri oleh Adnan kini terperangkap dalam kebuntuan.  Beliau melihat dasar dirinya sebagai dasar terbaik, malah bermegah dengan dirinya kerana tidak meluluskan lesen pembalakan yang baru.

Namun, beliau bukanlah seorang yang baik dalam pengurusan, bukan sahaja tidak bijak dalam berniaga, malah mengakibatkan defisit belanjawan negeri Pahang untuk 10 tahun berturut-turut.

Pemimpin baru dengan gaya barunya sekurang-kurangnya akan menyuntik sesuatu yang baru untuk negeri Pahang.  Dari kaca mata peniaga, MB ini tidak berwawasan, hanya menjaga sumber dan harta yang sedia ada.  MB ini juga dilihat gagal memikirkan dasar yang terbuka untuk menarik lebih ramai pelabur.

Sebagaimana yang diketahui, Pahang sebuah negeri yang kaya dengan sumber semulajadi.  Seandainya diterokai dan digunakan dengan sebaik-baiknya, maka ia bakal menarik pelaburan, lantas mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan.

Hubungan Najib-Adnan

Hubungan Najib dengan Adnan umpama "mentor" dan "musuh".  Adnan diangkat oleh Najib seketika dahulu.  Namun, tiada kemestian yang selama-lamanya dalam politik.  Semasa zaman Abdullah Ahmad Badawi menjawat PM, Adnan mengalih menjadi pendukung Abdullah sehingga mengabaikan Najib.

Maka, selepas Najib menjawat PM, desas-desus tersebar bahawa kedudukan Adnan akan digantikan pada bila-bila masa.  Biarpun begitu, bukan senang untuk menggoyah kedudukan Adnan.  Adnan memiliki kelebihan, iaitu hubungannya yang baik dengan Institusi Raja di Pahang.  Najib mungkin tidak ingin menimbulkan masalah yang baru buat sementara ini.

Walaupun ini bukan kali pertama tersebarnya khabar bahawa Adnan akan dipindah ke pusat, dan ia mungkin berakhir seperti apa yang berlaku dahulu. 

Oleh itu, tidak menolak kemungkinan bahawa khabar ini diulangi kerana dua faktor.  Pertamanya, ia disebarkan oleh orang UMNO yang tidak berpuas hati dengan Adnan; atau keduanya, ia disebarkan oleh Adnan sendiri untuk menguji siapa yang bermotif untuk mendaki ke atas tangga kuasa untuk menggantikannya, agar beliau boleh memancung kepalanya dengan serta-merta tanpa apa-apa persediaan dari pihak musuh.

Pengganti Adnan

Mereka yang pernah berkesempatan untuk bangkit menggantikan Adnan termasuklah Hasan Arifin dari Rompin, Shahirudin dari Raub, Omar Othman dari Kuala Lipis dan sebagainya. 
Namun, mereka "ditamatkan" dengan begitu sahaja.  Shahirudin gagal mengancam Adnan lagi apabila terlibat dalam politik wang.

Kini, ADUN Lanchang, Mohd Sharkar Shamsudin memiliki peluang yang paling cerah untuk menggantikan Adnan.  Mohd Sharkar bukan sahaja seorang EXCO kerajaan negeri, malah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang.  Lebih penting, Sharkar adalah orang rapat Najib.

Selain itu, mereka yang berpeluang untuk naik ke mercu kuasa termasuklah Shafik Fauzan Sharif dari Inderapura, Mohd Soffi Abdul Razak dari Benta dan Ishak Muhamad dari Bebar.

Demikianlah politik.  Walaupun Adnan diangkat naik oleh Najib seketika dahulu, namun "pengkhianatan" terhadap Najib telah menggadaikan kepercayaan Najib terhadap dirinya. 

Najib tidak lagi melihat Adnan sebagai orang rapatnya.  Untuk memperkukuhkan kuasa dirinya di Pahang, Najib perlu meletak orangnya agar boleh dijadikan kubu dirinya di negeri asalnya.

Najib tidak akan menggunakan seorang "pengkhianat", lebih-lebih lagi Adnan bukan satu-satunya orang yang berbakat dalam negeri Pahang.  Adnan juga menyedari keadaan sedemikian.  Menurut orang dekat Adnan, beliau telah mencari jalan keluar untuk dirinya.

Rumah kediamannya yang lama tidak diduduki itu mula dibaiki semula.  Ini menjadi bukti bahawa Adnan telah mengandaikan sesuatu yang buruk mungkin menimpa dirinya.

Pancung dengan KPI

Sumber dalaman UMNO berkata, Najib bakal merampas kerusi Adnan dengan alasan bahawa prestasi Adnan sebagai MB selama lebih 10 tahun, bahkan defisit belanjawan untuk 10 tahun berturut-turut gagal menjangkau KPI yang ditetapkan.  Ini alasan yang terbaik, malah institusi Raja Pahang mungkin mengangguk kepada pertukaran MB.

Mengikut gaya Adnan (gambar kiri), beliau yang selama ini bersikap acuh tak acuh tidak akan memberi penjelasan jikalau keadaan tidak genting.  Kali ini, ketika menggulung dalam sidang mesyuarat DUN ketika pembentangan belanjawan, beliau mengumumkan stastistik belanjawan dari tahun 2000 hingga 2008, menjelaskan bahawa kerugian hanya berlaku pada tahun 2008, tetapi membuat keuntungan untuk tahun-tahun selainnya.

Mengapa Adnan memberi penjelasan, malah sekaligus mendedahkan perangkaan 8 tahun yang lalu?  Tindakan Adnan boleh dikaitkan dengan spekulasi baru-baru ini, iaitu "masanya sudah sampai".

Satu lagi faktor yang mendorong agar Najib menukar MB adalah kesungguhan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan negeri ini.  Sememangnya, Pahang memerlukan pimpinan seseorang yang berpotensi dan berbakat secara menyeluruh, malah direstui institusi Raja.  Apakah Adnan bakal dipindah ke pusat?  Kita tunggu dan lihat!

BY-Merdeka review-

MB Kedah Minta Rakyat Tegur Kesilapan Kerajaan Negeri


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak meminta rakyat negeri itu menegur dan memberitahu tindakan silap dan boleh dianggap zalim yang dilakukan kerajaan negeri.

Berucap pada himpunan bulanan bersama kakitangan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman semalam beliau memberitahu, kerjasama rakyat itu sangat perlu bagi memudahkan kerajaan negeri bertindak segera bagi membetulkan segala kesilapan demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

"Saya mintak semua rakyat tolong tunjuk di mana kerajaan sekarang buat zalim supaya kita dapat baiki.

"Kita mengaku tak semua kita buat adil, kita tak mahu nak jawab depan Tuhan," katanya ketika berucap dihadapan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri semalam.

Pada perhimpunan tersebut beliau turut mengingatkan kesemua kakitangan kerajaan negeri cermat dalam menunaikan tanggungjawab pentadbiran agar tidak menzalimi rakyat.

Beliau tidak menolak kemungkinan, kerajaan negeri tidak terlepas dari melakukan perkara tersebut dalam urusan pentadbiran.

"Kita ni pegawai kerajaan. Saya menteri besar, ni ketua jabatan dan exco, kadang-kadang kita buat perkara zalim kat orang, sengaja dan tidak sengaja.

"Saya tekan sangat jangan buat zalim pada orang," katanya .

Lebih lebih lagi katanya, doa orang dizalimi langsung tidak terhijab dan akan dimakbulkan Allah.

Sehubungan itu semua kakitangan di semua peringkat ujarnya perlu berhati-hati agar tidak terjerumus dalam melakukan tindakan yang boleh disifatkan sebagai zalim.

Skuad Negara Diberi Amaran Keras, Skuad Wanita Ditegah Beraksi Di Perlawanan Antarabangsa




Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan amaran keras kepada skuad bola sepak lelaki bawah 23 tahun negara supaya tidak mengulangi tindakan luar kawalan selepas mereka mencetuskan insiden kekecohan menyerang pengadil perlawanan selepas mengalami kekalahan 1-3 di tangan pasukan Vietnam pada temasya Sukan SEA Laos ke-25 semalam.

FAM turut mengeluarkan tegahan terhadap skuad bola sepak wanita negara, yang menjadi pasukan belasahan di temasya yang sama, daripada beraksi dalam mana-mana pertandingan antarabangsa mulai tahun depan.

Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas mesyuarat FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, Isnin.




"Pihak FAM hari ini telah menerima laporan pengurus pasukan Malaysia di Vientiane yang melaporkan tahap pengadilan yang tidak memuaskan. Berikutan itu pengurus pasukan telah membuat aduan rasmi berhubung mutu pengadilan dengan pihak penganjur," katanya.

Selain itu, Khairy berkata pihak FAM, menerusi pengurus pasukan, telah memberi amaran keras kepada setiap pemain supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut dalam dua baki perlawanan Kumpulan A nanti.

"Walaupun, mutu pengadilan tidak baik atau tidak setuju dengan keputusan pengadil perlawanan, mana-mana pemain tidak boleh bertindak mengikut emosi masing-masing. Disiplin harus diutamakan kerana ia melambangkan sikap profesional," tambahnya.

Pada perlawanan kedua Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos Ahad, Malaysia tewas 1-3, sekaligus menyukarkan laluan negara ke separuh akhir.

Malaysia kini berada di tangga ketiga Kumpulan A selepas mengumpul tiga mata, hasil kemenangan membelasah Timor Leste 11-0 pada Rabu lepas.

Ditanya mengenai peluang skuad Malaysia untuk melayakkan diri ke pusingan separuh akhir, Khairy berkata skuad Malaysia mesti memenangi baki dua perlawanan kumpulan A iaitu menentang Kemboja dan juara bertahan Thailand untuk melayakkan diri ke pusingan suku akhir.

Mengenai persembahan pasukan bola sepak wanita yang tidak memuaskan, Khairy berkata pihak FAM memutuskan mulai tahun depan skuad bola sepak dan futsal wanita tidak dibenarkan beraksi di mana-mana perlawanan antarabangsa kecuali perlawanan persahabatan sahaja.

"Dengan dua kekalahan dibelasah (Thailand 14-0, Vietnam 8-0) yang agak memalukan ini, pihak FAM telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan pasukan bola sepak wanita beraksi di mana-mana pertandingan di peringkat antarabangsa. Yang paling utama sekarang adalah program pembangunan untuk memperkukuhkan, memperkemaskan pasukan bola sepak dan juga futsal," katanya.

'Saya Tidak Lakukan Jenayah' - Remy Ishak

Remy Ishak dan Maya Karin sewaktu pementasan teater Natrah

"Tuduhan yang mengatakan saya ada mengasari seseorang itu tidak benar sama sekali. Saya tidak ada lakukan jenayah pun," luah pelakon utama teater Natrah, Remy Ishak berhubung dakwaan yang mengatakan dirinya pernah memukul seseorang baru-baru ini.

Jumaat lalu, Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak dibelasah oleh sekumpulan lelaki ketika ingin menuju ke bilik persalinannya di dalam Istana Budaya (IB) sebaik pementasan dan sesi beramah-mesra dengan penonton berakhir.

Remy diserang oleh tujuh orang lelaki yang berjaya melarikan diri setelah kejadian tersebut disedari oleh beberapa orang yang berada di kawasan itu.



Akibat serangan tersebut, pelakon berusia 27 tahun itu dibawa ke hospital setelah mengalami kecederaan di kepala dan kakinya. Remy bagaimanapun mengalami kecederaan ringan dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Jalan Tun Razak untuk membuat laporan polis.

Namun begitu, sebuah akhbar tabloid semalam juga melaporkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh satu pihak lain beberapa hari sebelum kejadian itu dengan mendakwa bahawa Remy sering mengganggu dan memukul seorang anak kepada ahli perniagaan.
Remy bagaimanapun belum bersedia untuk mengulas lanjut tentang perkara tersebut kerana semuanya masih di dalam siasatan polis.

"Saya tidak mahu cerita panjang, saya serahkan saja pada siasatan polis. Saya tidak mahu perkara ini bertambah rumit, jadi saya tidak mahu bercakap banyak. Apa yang saya ingin tegaskan disini ialah dakwaan tersebut tidak benar.

"Insya-Allah, bila sudah dapat keputusan daripada siasatan itu kelak, saya akan jelaskan kemudian," ujar Remy yang ditemui di IB sebelum pementasan teater arahan Erma Fatima itu bermula malam tadi.



Dalam pada itu, ditanya tentang kejadian yang berlaku Jumaat lalu, dalam nada tenang Remy berkata, dia sendiri amat terkejut ketika itu.

"Saya tidak tahu nak cakap macam mana sebab benda ni saya tidak jangka langsung. Buat masa sekarang, saya 'ok', tidak ada kecederaan teruk dan masih boleh meneruskan pementasan Natrah," ujar Remy yang cukup popular menerusi drama Nur Kasih.

Natrah yang mula dipentaskan 30 November lalu turut dibintangi oleh Maya Karin, Sofea Jane, Umie Aida, Samantha Schubert dan ramai lagi. Pementasan tersebut akan berakhir pada 13 Disember ini.

Malaysia Negara Pertama Asia Tenggara Anjur PGA Tour

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (tiga, kiri) menunjuk plak pelancaran rasmi ketika merasmikan Kejohanan Golf Klasik Asia Pasifik di Mines Resort and Golf Club dekat sini, hari ini. Turut hadir pengasas Country Heights Holdings Tan Sri Lee Kim Yew (kiri), Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen (tiga, kanan) dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek (dua, kanan). --Foto THE STAR. Oleh GLENN GUAN 

Malaysia mencipta sejarah apabila muncul negara pertama di Asia Tenggara menjadi tuan rumah menganjurkan PGA Tour and Asian Tour.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah pertandingan golf berprestij, PGA Tour, tahun depan.

"Ini merupakan cita-cita saya sejak zaman kanak-kanak lagi untuk melihat PGA Tour dibawa ke Malaysia dan kini ia akan menjadi realiti dan hari ini, saya dengan bangganya mengumumkan bahawa pada tahun depan, Malaysia akan menjadi tuan rumah PGA Tour," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan pertandingan Asia Pacific Golf Classic Malaysia di Mines Resort and Golf Club di Seri Kembangan di sini hari ini.

"Kita akan menjadi negara pertama di rantau Asia Tenggara untuk menjadi tuan rumah pertandingan berprestij ini. Ini merupakan satu penghormatan besar diberikan peluang ini," katanya.



Perdana Menteri berharap dengan penganjuran acara sukan berprestij dunia itu akan menambahkan lagi pendapatan Malaysia melalui pelancongan dan meningkatkan kedudukan negara dalam arena sukan antarabangsa.

Menurutnya, Malaysia akan sentiasa memberi perhatian terhadap acara-acara sukan kelas dunia di Malaysia bagi menerapkan semangat kesukanan antarabangsa.

Kejohanan pertama itu akan berlangsung di Mines Resort and Golf Club di Seri Kembangan, dekat sini.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan pertandingan golf itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$6 juta dan pemenang pertandingan itu akan membawa pulang US$1 juta.

Beliau berkata, sepanjang pertandingan empat hari itu, lebih 400 juta isi rumah dan di 200 negara di seluruh dunia akan menyaksikan pertandingan berprestij itu dan ini merupakan platform yang baik bukan sahaja bagi sukan golf tetapi juga pelancongan Malaysia.

Pertandingan Asia Pacific Golf Classic Malaysia akan disertai 40 pemain bertaraf antarabangsa.

Senarai 25 pemain terbaik daripada pertandingan akhir FedExCup, PGA Tour layak secara automatik, dan begitu juga 10 pemain terbaik dari Asian Tour's Order of Merit dan sekurangkurangnya seorang pemain profesional Malaysia dijamin tempat dalam pertandingan itu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails