Geng Aku

Khamis, 25 Februari 2010

Anak Raja Petra Akui Cederakan Diri Sendiri - Suhakam


Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Datuk N. Siva Subramaniam berkata beliau dimaklumkan sendiri oleh Raja Azman, anak pengendali laman web Malaysia Today Raja Petra Raja Kamaruddin, yang kini ditahan di penjara, yang beliau mencederakan dirinya sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana pihak baru-baru ini.

"Saya tanya kenapa berbuat demikian, jawabnya kerana tidak berpuas hati diasingkan ke dalam Blok Tawakal untuk satu siasatan," kata Siva kepada pemberita selepas berjumpa Raja Azman, 34, di Penjara Sungai Buloh di sini Khamis.

Beliau berkata insiden itu bukanlah satu cubaan membunuh diri atau wujudnya kes penderaan kerana Raja Azman bertindak di atas kemahuannya sendiri.


Juga tidak wujudnya gangguan mental atau penderaan secara fizikal kerana beliau (Raja Azman) cuma berada dalam keadaan marah sahaja lalu bertindak demikian, katanya.

"(Beliau) Bukan dicederakan...tiada sesiapapun mencederakannya, sama ada warden mahupun pegawai penjara," katanya.

Beliau berkata Raja Azman bertindak sendiri mencalarkan tangan kirinya dan menelan sebilah pisau cukur selepas mendapat tahu akan diletakkan dalam blok berasingan daripada banduan lain.

Siva berkata beliau dimaklumkan oleh pihak penjara bahawa insiden yang menyebabkan Raja Azman diletakkan ke dalam blok berasingan kerana dikatakan melanggar peraturan penjara.


"Beliau (Raja Azman) memarahi seorang pegawai...jadi beliau telah melanggar peraturan. Biasanya apabila tahanan berbuat demikian, dia akan diasingkan ke bilik atau blok lain sehingga penyiasatan selesai," katanya.

Katanya Raja Azman hanya mengalami calar yang tidak memerlukan jahitan langsung, namun telah dibawa sejurus insiden itu berlaku ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut.

"Ada dua bilah pisau yang kecil telah keluar secara sendirinya...dia tidak menghadapi sebarang kecederaan dalaman atau apa-apa perkara yang lain. Dia kini ditempatkan di wad penjara dan akan kembali ke bloknya dalam masa beberapa hari lagi," katanya.

Ketika ditanya hasil lawatannya itu, Siva berkata secara keseluruhannya Suhakam berpuas hati dengan sistem pentadbiran penjara dalam menangani banduan tanpa mengira pangkat dan status mereka.

Beliau turut diberi taklimat oleh Pengarah Penjara Sungai Buloh, Navander Singh dalam lawatan dua jam itu.

Exco Kedah Dirombak.


Beberapa anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah, mungkin digugurkan setelah dua tahun memegang jawatan berkenaan bagi memberi peluang kepada muka baru untuk menggalas tugas terbabit.

"Saya akan tengok kesesuaian untuk mencari yang terbaik, nak bagi orang lain pula cuba kemahiran masing-masing, tapi saya akan maklumkan kepada Tuanku Sultan terlebih dahulu," katanya Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata istiadat mengangkat sumpah memegang jawatan dijangka diadakan minggu depan dan akan turut melibatkan beberapa perubahan daripada segi portfolio setiap anggota exco.


Mengenai kuota pelantikan exco, Azizan berkata ia mungkin dikekalkan iaitu tujuh daripada Pas dan selebihnya daripada Parti Keadilan Rakyat.

Beliau juga berkata kerajaan Kedah akan membina dua pintu air untuk dijadikan tempat takungan air bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air setiap kali tiba musim kemarau.

Pintu air itu akan dibina di Sungai Jeniang dan Sungai Muda di Pinang Tunggal dekat sini, bagi memudahkan air disedut serta disalirkan ke empangan walaupun paras air sungai surut akibat kemarau.

"Sekarang ini, masalah timbul apabila paip tak sampai nak sedut air sebab air sungai surut, (tapi) bila ada tempat takungan, musim kemarau pun ada air," kata Azizan.

Beliau berkata kerajaan juga mengenai pasti kebocoran paip sebagai satu lagi punca berlaku kekurangan bekalan air.

"Jadi kena ganti semula semua paip ini," katanya. - BERNAMA

Keluarga Teoh Gembira Anak Beng Hock Bawa Nama Keluarga .


Keluarga mendiang Teoh Beng Hock hari ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah meluluskan permohonan berhubung penggunaan nama Teoh bagi anak yang dilahirkan tunang mendiang, Soh Cher Wai.

Kakak mendiang, Teoh Lee Lan berkata mereka sekeluarga gembira apabila di beritahu Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya bahawa Beng Hock akan dinamakan sebagai bapa dalam sijil kelahiran bayi itu.

Katanya keluarganya memutuskan untuk menamakan bayi lelaki itu dengan nama Teoh Er Jia.


Teoh, 30, setiausaha politik seorang anggota exco kerajaan Selangor, ditemui mati terjatuh di aras lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai selepas diminta memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna dana oleh beberapa wakil rakyat Selangor.

Sebelum ini, keluarga mendiang telah membuat beberapa permohonan supaya nama Teoh dinamakan sebagai bapa kepada anak yang dilahirkan Soh.

Soh, yang kini masih dalam pantang di rumah keluarganya di Batu Pahat, Johor, melahirkan seorang bayi lelaki seberat 2.9 kilogram di Hospital Pantai, Batu Pahat, Johor pada 22 Feb.- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails