Geng Aku

Memaparkan catatan dengan label SPR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SPR. Papar semua catatan

Rabu, 14 April 2010

Terbukti SPR Bekerja Untuk BN.


Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Fuziah Salleh  kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak mengiktiraf  Badan Pemantau Pilihan Raya Bebas Malaysia (Mafrel) selepas tercabar dengan teguran badan pemantau bebas itu.

"Apa yang SPR takutkan, sudahlah kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak mengizinkan 'international observer' dan Malaysia cuma hanya ada satu badan bebas pemantau pilihan raya, itu pun SPR nak batalkan juga.


"Adalah mustahil bagi SPR bagi mereka menutup ketidakadilan dalam sistem demokrasi di Malaysia kepada dunia," ujar Fuziah apabila ditanya berhubung tindakan SPR tersebut.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berasa kesal berhubung tindakan SPR yang membatasi ruang demokrasi semata-mata tunduk dengan tekanan Umno-BN itu.

SPR memutuskan untuk tidak lagi melantik Mafrel kononnya atas alasan ia telah melanggar syarat pelantikan kerana gagal mengemukakan laporan kerja pemantauan yang dilakukan semasa kesemua sembilan pilihan raya kecil sejak Ogos 2008.


Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar menggesa SPR supaya mengkaji semula peranan Mafrel sebagai pemantau bebas pilihan raya yang mendakwa ia tidak bebas apabila menegur Perdana Menteri dan Timbalannya turun ke Hulu Selangor dan menjanjikan projek dan wang jutaan ringgit kepada penduduk di situ.

Jumaat, 9 April 2010

SPR Dijangka Bermesyuarat 16 April.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan menerima notis rasmi memaklumkan kematian Ahli Parlimen Sibu, Datuk Robert Lau Hoi Chew Isnin depan.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR pada dasarnya mempunyai tempoh 10 hari untuk mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh pilihan raya kecil sebaik sahaja berlaku kekosongan kerusi.


Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi di Putrajaya hari ini, Abdul Aziz berkata SPR masih menunggu notis pemakluman rasmi dari Speaker Dewan Rakyat berhubung perkara itu.

"Saya menjangkakan notis itu akan dihantar pada Isnin depan, jadi selepas itu SPR boleh bermesyuarat untuk menetapkan tarikh bagi penamaan calon dan seterusnya mengumumkan tarikh pilihan raya kecil bagi kawasan berkenaan," katanya.

Abdul Aziz menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai kematian Robert Lau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan hari ini.

Robert Lau, 68, meninggal dunia di kediamannya di Kuala Lumpur pagi ini selepas sekian lama bertarung dengan penyakit barah yang dihidapinya.

Abdul Aziz berkata tarikh esok dikira sebagai hari pertama selepas kematian mendiang, justeru SPR mempunyai sehingga pertengahan bulan ini untuk membuat pengumuman rasmi.

"SPR perlu menerima notis secara rasmi sebelum boleh mengadakan sebarang mesyuarat berkaitan perkara ini," katanya.

- Bernama

Jumaat, 26 Mac 2010

Pilihan Raya Hulu Selangor: SPR Mesyuarat 2 April.



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 2 April ini bagi menentukan tarikh pilihan raya bagi kawasan Parlimen Hulu Selangor yang kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad malam tadi.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan bersama-sama ahli lembaga pengarah suruhanjaya itu.

"Kita akan adakan mesyuarat tersebut pada pukul 10 pagi di pejabat SPR Jumaat depan. Setakat ini saya belum menerima notis kekosongan daripada Speaker Dewan Rakyat, mungkin petang nanti kerana hari ini Jumaat,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Abdul Aziz berkata mengikut peruntukan undang-undang SPR, selepas notis kekosongan diterima, suruhanjaya itu perlu bermesyuarat dalam tempoh 10 hari untuk menentukan tarikh pilihan raya.

"Mengikut peraturan, pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari setelah speaker Dewan Rakyat memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi berkenaan,” katanya.

Zainal Abidin, 71, meninggal dunia di kediamannya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang, akibat barah otak, kira-kira jam 9.27 malam tadi.

Allahyarham merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor.

Pada pilihan raya umum ke-12, Mac 2008, Zainal Abidin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi kerusi Hulu Selangor selepas mengalahkan calon BN daripada MIC, Datuk G. Palanivel dengan majoriti 198 undi.

Khamis, 25 Mac 2010

SPR: Pilihan Raya PBT Tak Boleh Diadakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang dan Selangor kerana seksyen mengenainya dalam Akta Pilihanraya Kerajaan Tempatan 1960 dimansuhkan selepas Akta Kerajaan Tempatan 1976 dikuatkuasakan.

Menurut SPR, kedua-dua negeri tertakluk kepada akta 171 yang menyatakan perlantikan ahli majlis hendaklah dibuat secara lantikan.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Yusoff berkata pemansuhan seksyen akta berkenaan memberi kesan kepada semua negeri kecuali Sabah dan Sarawak yang mempunyai ordinannya sendiri.

“Bukan SPR tidak benarkan buat, tetapi undang-undang tidak membenarkan. Perkara ini mesti difahami,” katanya dalam sidang media bagi menjelaskan perkara tersebut di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.

Turut hadir dalam sidang media itu, timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan penasihat undang-undang SPR Mohd Azhar Mohd Yusoff.

Abdul Aziz juga berkata, urusan pilihan raya tempatan tidak tertakluk bawah bidang kuasa SPR, tetapi sepenuhnya bawah kerajaan negeri.

Bagaimanapun, tambahanya, pindaan dan perubahan dasar bagi menjalankan semula pilihan raya tempatan hanya boleh dilakukan melalui Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT), satu badan di bawah Kementerian Perumahana dan Kerajaan Tempatan.

Pindaan mesti digunapakai semua negeri

Menurut Abdul Aziz, jika cadangan tersebut diterima MNKT, ia boleh dilaksanakan dengan cara berikut:

- Meminda beberapa perkara dalam Akta 171 dan apa-apa peruntukan sedia ada berkaitan pelantikan anggota majlis.

- Semua pindaan hendaklah diterima pakai semua negeri supaya wujud keseragaman dalam pemakaian undang-undang.

- Peraturan bagi menjalankan pilihan raya tersebut hendaklah diadakan.

Pulau Pinang dan Selangor sebelum ini mengumumkan mahu mengadakan pilihan raya PBT dan meminta SPR menguruskannya.

Abdul Aziz berkata, surat tersebut memaklumkan perkara tersebut telah dihantar kepada pihak terbabit semalam.

Menjawab surat itu, Abdul Aziz berkata, SPR juga menjelaskan tidak dapat menjalankan kajian bagi mana-mana kerajaan negeri kerana ia bertentangan dengan fungsi SPR di bawah perlembagaan persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958.

Sabtu, 20 Mac 2010

SPR Umum Kata Putus Pilihan Raya PBT Selasa Ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan pendiriannya Selasa ini berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang hendak diadakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat.

SPR akan mengadakan mesyuarat terakhir Isnin ini sebelum mengumumkan keputusannya pada keesokan hari.

“Sebenarnya kami (panel SPR) sudah membincangkan permintaan Pulau Pinang dan Selangor Selasa lalu dan cuma pada Isnin ini kami akan membuat penelitian terakhir berhubung kenyataan yang akan dibuat, selewat-lewatnya Selasa minggu depan,” kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Perbincangan panel SPR di ibu negara Selasa lalu berlandaskan laporan yang dikemukakan penasihat perundangan.

“Keputusan yang kami akan buat, umumkan adalah berlandaskan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan... tidak berkaitan dengan aspek-aspek lain... kami mahu keputusan yang bakal dibuat itu tepat, sempurna dari segi lunas perundangan,” katanya.
Selain itu tambah beliau, perkara tersebut perlu diteliti dengan mendalam memandangkan permintaan Pulau Pinang dan Selangor agak berlainan walaupun menyentuh perkara yang sama.


“Pulau Pinang mahu memberi kuasa kepada kami (SPR) mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan manakala Selangor mahu kami mengkaji sama ada boleh mengadakan pilihan raya (kerajaan tempatan).

“Jadi ini melibatkan soal perundangan dan perlu diteliti secara mendalam,” katanya.
Kedua-dua negeri itu baru-baru ini meminta agar SPR mengadakan perbincangan dengan mereka sebelum membuat keputusan terakhir.

Selasa lalu Abdul Aziz berkata, kajian teliti perlu dilakukan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berkaitan sebelum menjawab dua surat yang diterima daripada kedua-dua kerajaan negeri tersebut.

Katanya langkah itu bagi memastikan jawapan yang akan diberikan kepada mereka tepat dan betul dan mereka benar-benar faham mengenai kedudukan perkara itu pada masa ini.

“Kita akan hantar surat jawapan kepada kerajaan negeri itu terlebih dahulu sebelum mengumumkan pendirian SPR selewat-selewatnya minggu depan,” katanya.

Abdul Aziz juga berkata sebagai badan bebas dan profesional, SPR tidak terikat dengan sesiapa sama ada pendapat Perdana Menteri, pihak pembangkang atau sesiapa sahaja dalam memutuskan perkara itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menulis surat kepada Pengerusi SPR pada 8 Mac lalu dengan memberi kuasa kepada mereka untuk mengadakan pilihan raya PBT.

Isnin lalu kerajaan Selangor meminta SPR mengkaji peraturan dan memberi pandangan mengenai tindakan mengadakan pilihan raya PBT di negeri itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata pilihan raya PBT yang sudah dimansuhkan sejak sekian lama itu tidak perlu diwujudkan semula.
Katanya proses pemilihan ahli majlis PBT tidak semestinya menjamin mutu perkhidmatan PBT yang lebih baik.

Umno BN Takut Kalah Walaupun Undi Pengundi Muda Masih Misteri.


Pakatan Rakyat menegaskan pendaftaran pengundi automatik perlu dipraktik segera walaupun tiada jaminan pengundi muda memihak calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya akan datang.

Pada masa ini, lebih 4.38 juta daripada 15.4 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas belum mendaftar dan fakta ini diakui Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf.

Sebaliknya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menolak cadangan yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya SPR membuat pendaftaran automatik kepada rakyat berusia 21 tahun.


Mengulas hal itu, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke [Gambar] menyifatkan kenyataan Nazri itu semata-mata berasaskan kebimbangan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) terhadap  ‘kuasa’ pengundi muda. 

“Tetapi nampaknya, ini tidak diingini oleh BN dan kita tahu bahawa mereka bimbang kalau pengundi muda terlalu ramai, maka ini akan menggugat kedudukan politik mereka," katanya.

Beliau menyatakan  pengundi muda masa kini memiliki lebih maklumat berbanding pengundi lain berikutan pendedahan mereka lebih luas dan kecenderungan politik mereka sukar dijangka.

“Saya mengambil pendirian, kita jangan terlalu confident (yakin). Yang kita pasti ialah pengundi muda lebih kritikal dan boleh membuat analisis sebab saluran maklumatnya lebih menyeluruh," katanya.

Khamis, 18 Mac 2010

Pendaftaran Pengundi Secara Automatik Tidak Akan Dilaksana.



Kerajaan tidak bercadang untuk mengadakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik bagi rakyat Malaysia yang mencapai umur 21 tahun, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kerajaan akan meneruskan dasar-dasar yang sedia ada dan tidak akan memaksa rakyat melakukan perkara di luar kerelaan mereka.

"Dalam pilihan raya, tak boleh paksa orang. Kita mengamalkan 'freedom of association, freedom of expression and freedom to make decision'. Kita anggap jika mereka tak mahu daftar, itu salah satu pilihan mereka untuk tidak mahu ambil bahagian," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.



Fong dalam soalannya bertanya tentang pendirian kerajaan berhubung cadangan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada 16 Mac untuk mendaftarkan pemilih secara automatik bagi menjimatkan masa, kos dan mengurangkan birokrasi.

Sementara itu, Nazri juga berkata kerajaan akan terus meningkatkan usaha-usaha menggalakkan rakyat mendaftar sebagai pengundi terutamanya dari golongan muda.

Menurutnya selain mengadakan promosi melalui iklan, kerajaan turut mengadakan pendaftaran secara berkala secara bulanan dan juga sepanjang masa di pusat-pusat pendaftaran di seluruh negara.

"Kalau remaja tak mahu datang ke pusat daftar, maka kita akan bawa pusat itu kepada mereka di tempat-tempat keramaian seperti di pusat beli-belah," katanya. - BERNAMA

Sabtu, 6 Mac 2010

Pilihan Raya Kerajaan Tempatan PP Diadakan Semula.



Dua hari sebelum Pakatan Rakyat meraikan ulang tahun kedua mereka merampas, Pulau Pinang, kerajaan negeri hari ini mengumumkan pilihan raya kerajaan tempatan akan diadakan semula.
Pilihan raya itu membabitkan dua majlis tempatan - Majlis Tempatan Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Tempatan Seberang Perai (MPSP)

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, surat telah dihantar kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf pada 4 Mac lalu meminta mereka menguruskan perjalanan pilihan raya berkenaan.

Perkara itu, kata Lim terkandung dalam Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi "undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri boleh memberi kuasa kepada SPR menjalankan apa-apa pilihan raya yang lain daripada yang dinyatakan dalam Fasal (1)."

Lim juga berkata pihaknya bersedia berbincang dengan SPR bagi menyelaraskan perjalanan pilihan raya kerajaan tempatan itu.

Pilihan raya kerajaan tempatan yang terakhir dihentikan sejak 40 tahun lalu oleh kerajaan Barisan Nasional.

Sebelum itu, pilihan raya itu didakwa mampu mengembalikan keberkesanan pihak berkuasa tempatan menjalankan tugas di kawasan masing-masing.

Lim juga pernah dilaporkan berkata, pelbagai masalah yang berlaku di peringkat tempatan sekarang adalah kerana kegagalan pihak berkuasa tempatan menjalankan tugas seperti yang diharapkan oleh rakyat. 

Ketika dihubungi, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata suray berkenaan belum dibawa untuk perhatian suruhajaya itu lagi.

“SPR akan meneliti kandungan surat itu dan membincangkannya sebelum memberikan jawapan (kepada kerajaan Pulau Pinang).

“Apapun keputusannya sama ada positif atau negatif, adalah terlalu awal untuk kita perkatakan. Ini membabitkan isu perundangan yang perlu diambil kira," kata Ahmad.

Sabtu, 26 Disember 2009

2.85 Juta Bumiputera Tidak Daftar Sebagai Pengundi




Kira-kira 65 peratus atau 2.85 juta daripada 4.38 juta rakyat negara ini yang berusia 21 tahun ke atas yang tidak mendaftar sebagai pengundi adalah Bumiputera, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.


Katanya, jumlah itu diperoleh selepas SPR membuat pemadanan dengan data penduduk berusia 21 tahun ke atas yang dimiliki Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).



Beliau berkata, daripada jumlah itu Selangor mencatatkan jumlah pengundi tidak berdaftar paling tinggi iaitu 787,500 diikuti Johor (605,00), Perak (527,000), Sarawak (475,000), Kuala Lumpur (350,000), Kedah (317,000) dan Sabah (280,000).

Ia diikuti Kelantan (247,000), Pulau Pinang (217,000), Pahang (200,000), Negeri Sembilan (154,000), Melaka (95,000), Terengganu (82,000), Perlis (32,000), Labuan (11,500) dan Putrajaya (7,200).

Beliau berkata, jika tidak ada usaha untuk menggiatkan kempen pendaftaran, jumlah mereka yang tidak berdaftar akan terus meningkat kerana setiap tahun ada kira-kira 450,000 individu mencapai berusia 21 tahun di seluruh negara.

“SPR mengenal pasti sikap sambil lewa atau tidak memberi keutamaan sebagai pengundi menjadi punca utama perkara ini berlaku, tetapi keadaan berubah menjelang setiap pilihan raya umum apabila SPR terpaksa memproses lebih satu juta permohonan dalam tempoh setahun sebelum pilihan raya diadakan.

“Justeru, SPR meminta semua pihak termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan penduduk supaya membantu usaha meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat untuk mendaftar sebagai pengundi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Wan Ahmad berkata, sehingga bulan ini, jumlah keseluruhan Daftar Pemilih Induk ialah 11.7 juta.

Mengenai kempen pendaftaran pemilih, katanya, proses pendaftaran dilaksanakan sepanjang tahun di 690 pejabat pos berkomputer, kaunter bergerak SPR dan menerusi 2,245 penolong pendaftar pemilih yang dilantik mewakili parti politik.

“Walaupun kempen pendaftaran kerap diadakan, tahap kesedaran di kalangan rakyat khususnya yang berusia 21 tahun ke atas masih rendah kerana mendaftar sebagai pengundi bukanlah mandatori kepada mereka yang layak,” katanya.

Mengenai pendaftaran secara automatik, Wan Ahmad berkata, pelaksanaannya memerlukan pindaan terhadap Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan seseorang warga negara adalah layak untuk didaftarkan sebagai pemilih sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.

Antaranya, sudah mencapai umur 21 tahun ke atas, menetap di mana-mana Bahagian Pilihan Raya di Malaysia dan tidak hilang kelayakan untuk menjadi seorang pemilih.


“Ketika ini, SPR menjadikan pangkalan data JPN sebagai sumber rujukan utama dan secara anggaran ada lebih 3 juta rakyat negara ini tidak mengemaskinikan alamat semasa berbanding yang tertera dalam MyKad masing-masing.

“Jika pendaftaran secara automatik dilaksanakan, SPR bimbang proses pengundian akan menjadi kelam-kabut dan ini boleh menjejaskan peratusan mengundi,” katanya.

Khamis, 24 Disember 2009

Duit Rakyat Lenyap 2.4 Juta.


Bendahari PAS, Dr. Hatta Ramli mendakwa kerajaan cuba menyembunyikan isu pelupusan dakwat kekal bernilai RM2.4 juta yang tidak digunakan pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu daripada pengetahuan umum.

Dr. Hatta yang merupakan salah seorang jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) berkata, tindakan kerajaan itu jelas berniat untuk menyembunyikan pembaziran yang dilakukan apabila ianya hanya diketahui umum setelah dibangkitkan pada Persidangan Dewan Negara baru-baru ini.

"Dalam hal ini kita pun tidak sedar bahawa dakwat ini telah dilupuskan begitu sahaja sehinggalah ia ditimbulkan di Dewan Negara baru-baru ini.Jadi ertinya kerajaan cuba menyembunyikan isu ini. Mereka seboleh mungkin mahu menyorokkan isu ini,"

"Jelas ini satu pembaziran akibat perancangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak bijak dalam merancang perbelanjaan wang rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.

Dr. Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai turut mempersoal keberkesanan tindakan tersebut sedangkan katanya ianya boleh dijual semula bagi mengelakkan pembaziran.

"Siapakah yang akan bertanggungjawab di atas kehilangan wang kerajaan sebanyak RM2.4 juta ini dan kenapakah dakwat itu tidak boleh dikembalikan dan tidak dijual semula untuk mengelakkan pembaziran,"katanya.

Perkara ini juga tegasnya menunjukkan Kementerian berkenaaan gagal mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang baik.

Ini melibatkan KPI Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan SPR.Kalau  dalam kes biasa dalam mana-mana jabatan kerajaan tindakan boleh diambil terhadap mereka yang gagal dalam merencanakan penggunaan  wang kerajaan," tegasnya.

Bagaimanapun beliau berkata, meskipun dakwat itu telah dilupuskan, BERSIH akan tetap menuntut penggunaan dakwat kekal dalam PRU ke-13 nanti.

"Untuk pilihanraya akan datang, BERSIH akan terus menuntut penggunaan dakwat kekal ini. Kita akan mendesak agar SPR membeli dakwat yang baru dan membenarkan penggunaannya," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong sebelum ini berkata, dakwat yang tidak dapat digunakan kerana masalah keselamatan dan perundangan itu telah dilupus pada 25 November lepas.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menegenai keputusan yang dibuat terhadap dakwat kekal yang telah dibeli dan kemudian mahu dijual semula sehingg tarikh luputnya telah berlalu.

Pada PRU ke-12 yang lalu, SPR bersetuju menggunakan dakwat kekal setelah dituntut BRSIH, namun membatalkannya  di saat akhir menjelang hari pengundian atas alasan terdapat individu yang dilaporkan membeli dakwat ini secara haram dari negara luar dan berniat membuat kacau.

Namun sehingga sekarang, kerajaan masih gagal membuktikan kebenaran akwaan tersebut malah tida tangkapan spesifik dibuat terhadap individu yang didakwa melakukan kesalahan itu.

Sabtu, 28 November 2009

Nizar V'8! Johari Abdul Sokong Saranan Teo Nie Ching



Parti Keadilan Rakyat menyambut baik cadangan DAP untuk warganegara yang telah mencecah umur 21 tahun secara automatik didaftarkan sebagai pengundi.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul berkata cadangan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching itu bertepatan sekali kerana ia memudahkan proses pendaftaran pengundi-pengundi baru, terutamanya bagi mereka yang berada di kawasan pedalaman.

“ Saya amat setuju supaya semua rakyat mereka ada hak untuk mengundi. Walaupun sistem yang akan kita kita gunakan ialah sistem sukarela, tetapi rakyat kita ini kadang-kadang ia ambil mudah perkara ini. Khususnya yang berada di kampung-kampung dan di kawasan pedalaman” ujarnya.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sidang Dewan Rakyat berkata sehingga 20 Oktober lepas,seramai 4,300,542 orang belia yang telah mencapai umur 21 tahun tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih.

Nie Ching dalam sidang media di lobi parlimen sebelum ini menegaskan, sistem pendaftaran automatic digunapakai di Eropah dan Taiwan.

Johari berkata urusan Suruhanjaya Pilihan Raya akan lebih mudah dan tersusun sekiranya kerajaan akur dengan cadangan ini.  

Kerajaan cuma perlu mewujudkan jaringan antara pengkalan data SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi melicinkan proses ini.  

“ Boleh-boleh. Oleh yang demikian, jika adanya sistem alternatif ini kita sudah boleh perkecilkan masalah pemilih berganda ini. Saya setuju. Saya tidak nampak perkara ini akan mendatangkan masalah” katanya.  

“ In fact kita bawa kad bank pun kita boleh kita boleh keluarkan duit di MEPS, berbagai-bagai bank. Contohnya kita menggunakan maybank, boleh ambil di bank-bank lain. Maknanya zaman elektronik. Tidak mungkin perkara seperti ini tidak boleh dibuat”


Rabu, 25 November 2009

Nizar V'8! Mahkamah Rayuan Terima Permohonan SPR Tangguhkan Pilihan Raya Kecil DUN Kota Siputeh



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berjaya dalam permohonannya untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mahu satu pilihan raya kecil diadakan di DUN Kota Siputeh, Kedah.




Panel tiga orang hakim Mahkamah Rayuan, terdiri Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Kang Hwee Gee dan Datuk Abdul Aziz Rahim memutuskan bahawa wujud keadaan khas untuk menangguhkan sementara keputusan untuk mengadakan pilihan raya kecil kepada suruhanjaya itu.

"Kebenaran penghakiman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi perlu diuji di mahkamah lebih tinggi," kata Hakim Sulong selepas hampir dua jam panel tiga hakim itu mendengar permohonan yang difailkan oleh suruhanjaya itu pada Selasa.

Dalam penghakiman yang dibacakan pada pukul 7.24 malam, Hakim Sulong berkata mereka telah bersetuju sebulat suara bahawa tidak ada pihak akan mengalami akibat dan prasangka jika perintah penangguhan itu dibenarkan.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat bagi mengelakkan pilihan raya kecil yang tidak sepatutnya berlaku dan pembaziran dana awam.

Terdahulu, Datuk Abu Hassan Sarif hari ini memfailkan permohonan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 November lalu yang memutuskan beliau bukan lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh dan kerusi berkenaan telah kosong serta satu pilihan raya kecil perlu diadakan.




Beliau memfailkan dokumen itu dihadapan pendaftar Mahkamah Rayuan melalui peguamnya, Abu Bakar Isa Ramat di sini pada Selasa.

Abu Hassan secara peribadi mengesahkan afidavit-afidavit di hadapan Pesruhujaya Sumpah di Putrajaya pada pukul 10 pagi tadi.

Satu lagi permohonan serupa yang difailkan oleh SPR turut didengar di Mahkamah Rayuan pada pukul 2.30 petang tadi.

Selasa, 24 November 2009

Nizar V'8! DUN Kota Siputeh: SPR Letak Harapan Tinggi Kepada Mahkamah Rayuan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan harapan yang tinggi kepada panel hakim Mahkamah Rayuan yang akan mendengar rayuan mereka esok berhubung kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah yang diisytiharkan kosong.


Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihakanya berharap Mahkamah Rayuan akan meneliti kes ini dengan sebaik mungkin kerana ia pertama kali berlaku di negara ini.

"Kita berharap Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan kita dan buat keputusan yang memihak kepada kita.

"Harapan kita agar panel hakim akan meneliti kes ini secara rapi kerana kes ini merupakan kes pertama kali dalam sejarah pilihan raya di Malaysia... sangat penting bagi rujukan pada masa-masa akan datang,"


Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perkembangan terbaru berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Rayuan dan Kuasakuasa Khas) hari ini yang menolak permohonan SPR untuk mendapat perintah menangguhkan keputusan mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh sebagai kosong.

Selain itu Wan Ahmad berkata, SPR berharap Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan dengan segera berhubung kedudukan kerusi DUN Kota Siputeh kerana pihaknya hanya mempunyai masa kurang sehari bagi mengeluarkan writ untuk memanggil pilihan raya.

"Kita jangkakan keputusan akan diketahui esok memandangkan kes ini perlu disegerakan sebab jika keputusan Mahkamah Rayuan esok menolak lagi rayuan SPR, maka tempoh yang tinggal untuk SPR menetapkan tarikh-tarikh bagi mengadakan pilihan raya hanya tinggal satu hari iaitu tidak lewat dari 25 haribulan (Rabu).




"Jadi itulah tempoh yang ada kepada kita jika dikira keputusan Mahkamah Tinggi yang isytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong pada 16 haribulan lalu," katanya.

Mengikut peruntukan di bawah Seksyen 12(3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, writ perlu dikeluarkan dalam tempoh sepuluh hari dari tarikh kekosongan.

Pada 16 November lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Ditanya sama ada SPR bersedia menerima sebarang keputusan yang akan dibuat esok, Wan Ahmad berkata: "SPR sentiasa bersedia pada bila-bila masa termasuk untuk mengadakan pilihan raya kecil.

"Tapi bagaimanapun kita masih mempunyai peruntukan undang-undang yang boleh digunakan dalam kes ini... esok adalah hari yang cukup penting bagi SPR."

Sabtu, 21 November 2009

Nizar V'8! Keputusan Permohonan Penangguhan SPR Mengenai DUN Kota Siputeh Isnin Ini



Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasakuasa Khas) akan membuat keputusan Isnin ini berhubung permohonan penangguhan yang difailkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap keputusannya pada 16 November yang mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh sebagai kosong.


Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan panjang lebar daripada Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said, yang mewakili SPR, dan Sulaiman Abdullah, peguam bagi Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

SPR memfailkan permohonan itu pada 17 November selepas Alizatul mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong dan memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sharif bukan lagi wakil rakyat kawasan berkenaan selepas gagal menghadiri persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran.



Pada 1 September, Dr Abdul Isa memfailkan semakan kehakiman selepas SPR menerima sijil cuti sakit Abu Hassan berikutan ketidakhadirannya dalam persidangan DUN serta mengisytiharkan bahawa tidak berlaku kekosongan bagi kerusi itu dan wakil rakyat BN itu masih merupakan Adun kawasan berkenaan.

Di samping permohonan penangguhan, SPR dan Abu Hassan turut memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dalam keputusan bersejarah itu, Alizatul Khair turut mengarahkan SPR supaya mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi berkenaan.

Dalam penghujahannya, Kamaluddin memberitahu mahkamah bahawa jika permohonan penangguhan itu ditolak, ia akan membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil yang membabitkan banyak wang dan SPR telah pun membelanjakan RM200,365 pada pilihan raya umum lepas di DUN Kota Siputeh sahaja.

"Ia merupakan pembaziran wang pembayar cukai selain akan mengakibatkan ketidakadilan yang sangat besar kepada suruhanjaya berkenaan," tegas Kamaluddin.

Beliau menggesa mahkamah supaya menggunakan kebijaksanaannya dalam membenarkan penangguhan itu atas dasar terdapat keadaan khas dalam permohonan itu di mana terdapat kemungkinan dua wakil rakyat bagi kerusi berkenaan sekiranya mahkamah membenarkan rayuan SPR selepas pilihan raya kecil itu.

Beliau berkata selain SPR, agensi kerajaan lain akan turut terbabit dalam pilihan raya kecil itu dan mereka terpaksa menanggung perbelanjaan sendiri.

Peguam bagi Abu Hassan, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang menyokong permohonan penangguhan oleh SPR, bersetuju dengan Kamaluddin bahawa terdapat kemungkinan komplikasi perundangan selanjutnya jika mahkamah menolak penangguhan itu.

"Jika seorang calon baru dipilih sebagai wakil rakyat untuk kerusi berkenaan, dan jika Abu Hassan menang dalam rayuannya, ini akan mengakibatkan persaingan tuntutan oleh dua wakil rakyat untuk satu kerusi," kata Mohd Hafarizam.

Sulaiman pula berhujah bahawa mahkamah tidak seharusnya membenarkan permohonan penangguhan itu memandangkan keputusan itu dibuat oleh beliau (Hakim Alizatul Khair) sendiri.

Beliau berkata perkara itu membabitkan interpretasi perlembagaan di mana kerusi terbabit telah pun diisytihar kosong.

"Penangguhan perintah mahkamah itu sendiri beberapa hari selepas perintah dibuat bukan merupakan kepentingan awam," hujah Sulaiman.

Beliau berkata SPR gagal menunjukkan keadaan khas untuk membolehkan penangguhan itu dibenarkan dan mahkamah seharusnya menolak permohonan itu. BERNAMA

Jumaat, 20 November 2009

Nizar V'8! SPR Tipu Daftar Pemilih Di Pekan.


Timbalan Ketua AMK Pahang, Saudara Kamarul Hatta (foto), hari ini menggesa Suruhajaya Pilihan Raya (SPR), yang kononnya dikatakan "Cekap dan Telus" menyemak semula dan membersihkan senarai nama dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tahun 2009 (1 Julai - 30 Sept 2009) bagi Parlimen P085 (Pekan) dengan segera. Ini kerana terdapat bukti kukuh, ramai pengundi baru yang dipindahkan ke kawasan parlimen itu sejak akhir-akhir ini. 
'Malah kebanyakan daripada mereka dilihat mempunyai alamat di utara semenanjung. 
 
Terdapat juga nama-nama pengundi yang amat diragui kesahihannya, termasuk yang didaftarkan bagi Peti Undi Sg.Miang. Sebelum ini, rakyat Malaysia pernah digemparkan dengan kewujudan satu penempatan eksklusif "orang luar" yang dibina di kawasan itu. Malah, tinjauan kami ke kawasan terbabit memang menunjukkan majoritinya daripada luar. 
 
Mereka diberikan tanah dan rumah untuk mendiami kawasan terbabit, yang dikawal ketat oleh pihak tertentu. Kehadiran mereka yang cukup ramai itu amatlah diragui dan mendapat cemuhan masyarakat setempat. Apa tidaknya, rakyat Pahang yang sudah sekian lama memohon tanah masih tidak diberi perhatian. Tiba-tiba ada orang luar dan rakyat asing terutamanya dari Myanmar dan Kemboja pula yang lebih diutamakan. 
 

 
 
Menurut penduduk setempat, kawasan penempatan itu memang sengaja diwujudkan bagi membantu undi Parlimen Pekan yang diwakili oleh Perdana Menteri, Najib Razak sendiri.
 
Kebanjiran terlalu ramai pengundi luar yang kini berdaftar di Pekan, adalah perancangan rapi yang dibuat oleh kerajaan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha memberi kemenangan besar kepada Presiden UMNO itu. Semakan daftar pemilih yang baru diedarkan itu, jelas sekali membuktikan perkara ini. Menurut Kamarul Hatta beliau amat terkejut dengan perkara ini. 
 

 
 
"Saya melihat perkara ini adalah serius. Ramai pengundi dipindahkan secara haram ke Parlimen Pekan. Malah majoritinya mempunya kad pengenalan 'o2' iaitu kod bagi negeri utara semenanjung. Malah ada juga yang mempunyai kad pengenalan kod '71' yang bermakna orang luar dan bukan rakyat Malaysia yang tulen. SPR harus memantau dan membersihkan daftar pemilih ini jika tidak mahu kewibaan mereka terus dipertikaikan oleh rakyat" katanya. Segala bukti tentang perkara ini akan didedahkan kemudian, selepas pihak kami mendapatkan dokumen yang berkaitan.

Selasa, 17 November 2009

Nizar V'8! SPR dicadang diletak bawah parlimen




Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diletakkan dalam jawatankuasa khas di bawah parlimen bagi memastikan ia bertindak mengikut perlembagaan dan proses undang-undang di negara ini.

Mahfuz berkata, seluruh struktur SPR juga mesti dirombak dan disusun semula bagi mengelakkan suruhanjaya itu dipengaruhi oleh badan eksekutif sehingga menyebabkan ia tidak rasional dalam membuat sebarang keputusan.




"Kedudukan SPR harus dirombak bukan sahaja orangnya tetapi strukturnya.Institusi itu mesti dilihat tidak dikuasai oleh eksekutif yang menyebabkan ia tidak rasional.Sebab itu bagi saya SPR harus diletakkan dalam jawatankuasa khas di bawah parlimen untuk pastikan sebarang tindakan yang dilakukan rasional dan mengikut perlembagaan dan proses undang-undang yang terdapat dalam negara kita," katanya kepada pemberita di lobi parlimen pagi tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh kosong dan satu pilihanraya kecil perlu diadakan untuk mengisi kekosongan tersebut.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar.



Keputusan suruhanjaya itu bahawa Datuk Abu Hassan Sarif masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong juga perlu dibatalkan.

Alizatul juga dilaporkan juga sebagai berkata, SPR tidak boleh mengatasi kuasa speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah.

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, dalam siri pilihanraya sebelum ini, Pakatan Rakyat seringkali berhadapan dengan sikap tidak rasional SPR yang dilihat tidak serius dalam usaha membaik pulih sistem pilihan raya di negara ini.




"Kita (Pakatan Rakyat) berhadapan selama ini dengan sikap SPR yang tak rasional.Setiap kali kita buat bantahan, buat aduan, SPR kata mereka bertindak mengikut undang-undang.Mereka hanya bersandarkan kepada undang-undang yang tidak diusahakan agar dibaikpulih sistem perundangan berkaitan pilihanraya," katanya.

Mahfuz juga berkata, Mahkamah seharusnya juga membuat keputusan yang sama terhadap permohonan Speaker DUN Perak, V Sivakumar untuk semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang masih mengekalkan kerusi tiga adun yang melompat menjadi adun bebas di negei itu awal Februari lalu.


Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Mahfuz juga menyatakan kesediaan PAS untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini.

Rabu, 4 November 2009

SPR Perlu Diletakkan Di Bawah Parlimen.


Sebuah badan penggendali pilihanraya seperti Suruhanjaya Pilhanraya (SPR) bukan sahaja perlu bebas dari campurtangan mana-mana parti politik atau pemerintah, tetapi perlu juga dilihat bebas dari pengaruh mana-mana pihak.Itulah yang tidak berlaku di Malaysia.



SPR tidak dilihat bebas dari pengaruh kerajaan oleh kerana ianya berada dibawah kekuasaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan bukannya bertanggungjawab kepada parlimen Malaysia.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang pada satu ketika dahulu berada dibawah kuasa JPM kini telah dibebaskan dan berada dibawah parlimen. Apakah mustahil untuk meletakkan SPR berada dibawah parlimen supaya ianya turut dilihat bebas?



Satu ketika dahulu, kita dapat melihat bagaimana bekas pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika memimpin SPR dikecam hebat oleh parti-parti politik pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) oleh kerana dikatakan memihak kepada parti yang memerintah iaitu Barisan Nasional (BN).


Kemarahan kepada Rashid dan SPR berada ditahap kemuncak sehinggalah satu demonstrasi raksaksa dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) sebuah gabungan yang terdiri dari parti politik pembangkang dan NGO pada 11 November 2007.


Lebih daripada 50,000 rakyat membanjiri ibukota berarak ke Istana Negara untuk meminta Yang di-Pertuan Agong untuk campurtangan bagi memastikan pilihanraya ke 12 bersih dan adil.


Ombak kebangkitan rakyat ini dengan mudah dapat mematahkan sekatan-sekatan ketat yang dilakukan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Pada ketika itu, PDRM menutup kesemua pintu masuk ke Kuala Lumpur dengan sekatan-sekatan jalanraya.


“Paranoia” PDRM untuk menghalang demonstrasi raksaksa yang bertemakan warna “kuning” itu telah menyebabkan ada kenderaan sekeluarga pengantin yang memakai warna kuning turut ditahan dan terpaksa membuktikan bahawa pada perkahwinan akan berlaku pada hari tersebut sebelum dilepaskan.
Terdapat empat tuntutan Bersih dalam kempen tersebut:
  • Bersihkan daftar pengundi.
  • Penggunaan dakwat kekal.
  • Media memberikan laporan yang adil kepada semua pihak yang bertanding dalam pilihanraya. 
  • Manushkan undi pos.
Kesemua tuntutan Bersih tidak dilayan oleh SPR dan kerajaan Malaysia termasuk oleh pihak Istana Negara sehingga hari ini.


Malahan empat hari sebelum PRU 12, SPR mengumumkan pembatalan penggunaan dakwat kekal diatas faktor keselamatan.


Maka berjuta ringgit duit pembayar cukai untuk membeli dakwat kekal terbazir begitu sahaja dan sehingga kini, rakyat Malaysia masih belum tahu apa yang terjadi kepada dakwat kekal yang dibeli sebelum PRU 12 itu.


Apakah berbotol-botol stok dakwat kekal itu sudah kering? Apakah ianya telah mencapai tarikh luput? Hanya SPR dan kerajaan Malaysia yang tahu.


Selepas berjaya menafikan kuasa dua pertiga BN didalam Parlimen, berjaya merampas beberapa buah negeri dan menang dalam banyak PRK, “suara-suara” untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil semakin kurang kedengaran.


Ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) di Dewan Rakyat juga masih belum “garang” untuk memperjuangkan SPR dibebaskan dari pengaruh JPM sedangkan inilah perkara yang paling asas perlu diperjuangkan jika mahu perjalanan pilihanraya di Malaysia lebih baik pada masa akan datang.


Selagi SPR masih belum bebas dari pengaruh JPM, agak sukar untuk memastikan badan yang menggendalikan pilihanraya ini benar-benar menjalankan tugas mereka dengan telus dan independen.


Mari kita lihat satu contoh. Selepas bersara sebagai pengerusi SPR, Rashid yang begitu dibenci oleh pakatan pembangkang kembali menjadi seorang yang rasional dan bercakap sebagai seorang yang bebas.


Sebaik sahaja speaker Perak, V. Sivakumar menghantar notis pengosongan kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering, bekas pengerusi SPR itu mengatakan bahawa SPR tidak mempunyai pilihan lain selain mengadakan pilihanraya kecil di kedua-dua kerusi tersebut.


Menurut Rashid, selepas SPR Negeri Perak menerima surat perletakkan jawatan ADUN Behrang dan Changkat Jering dari Speaker DUN Perak, SPR tidak mempunyai pilihan selain memanggil pilihanraya kecil di kedua-dua kerusi DUN tersebut.


Komen Rashid ini bukanlah kerana beliau menyokong PR, tetapi kerana itulah yang sepatutnya dilakukan oleh SPR mengikut lunas undang-undang oleh kerana keputusan speaker adalah muktamad dari segi undang-undang.


Terbuktilah bahawa Rashid yang satu ketika dahulu begitu dibenci bukanlah “begitu jahat”. Beliau menjadi “jahat” pada ketika itu oleh kerana tidak ada apa yang boleh beliau lakukan oleh kerana SPR berada dibawah kekuasaan JPM. Sesiapa sahaja walau sebaik manapun individu tersebut jika menjadi pengerusi atau anggota pesuruhjaya SPR selagi badan tersebut tidak bebas dari JPM akan melakukan perkara yang sama.


Dinegara jiran kita seperti di Thailand. SPR mereka mempunyai kuasa yang kuat. Sesiapa yang didapati terlibat dengan “rasuah politik” dalam pilihanraya, walaupun dibuktikan kesalahannya selepas seseorang individu tersebut menang dalam pilihanraya dan telah menjadi menteri, masih boleh dibatalkan kemenangannya.


Itulah yang berlaku kepada bekas perdana menteri mereka, Thaksin Shinawatra.


Walaupun tidak ada jaminan jika SPR bertanggungjawab dibawah parlimen maka badan tersebut akan menjalankan tugasnya dengan baik, sekurang-kurangnya, badan tersebut dilihat bebas.


Bukan seperti kini, SPR bukan sahaja dilihat tidak sebagai sebuah badan yang bebas tetapi badan tersebut turut dicurigai.


Jika PR benar-benar mahukan pilihanraya di Malaysia mencapai standard antarabangsa, inilah masanya untuk ahli-ahli Dewan Rakyat mereka untuk memperjuangkannya.


Jika perjuangan untuk pilihanraya yang bebas dan adil berlaku selepas kekalahan yang teruk dalam pilihanraya, maka benarlah kata-kata seorang ahli parlimen BN bahawa PR hanya perjuangkan pilihanraya bebas dan adil selepas kalah dalam pilihanraya. Jika mereka menang, semuanya senyap dan membisu mengenai isu ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails