Geng Aku

Jumaat, 17 Julai 2009

Kes Teo,,,,

"Apa pun, kami bukan mahu menyembunyikan sesuatu. Kami mahu perkara ini disiasat secara telus. Polis sedang menyiasat dan kita patut tunggu sehingga mereka menyiapkan siasatan mereka," janji timbalan perdana menteri.

Mengulas kes kematian mengejut dan luar biasa setiausaha politik exco kerajaan Selangor di bawah pejabat Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, lapor Bernama, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menggesa semua pihak membenarkan polis menjalankan siasatan tanpa sebarang halangan.


"Kami tidak boleh membuat andaian kerana kami masih belum mengenal pasti sebab di sebalik kejadian ini. Tolong jangan menunding jari kepada sesiapa.

"Kami tidak boleh menuduh sesiapa atau membuat dakwaan tidak berasas kerana ia akan menimbulkan masalah tidak sepatutnya kelak. Mari kita tunggu polis menyiasat kejadian ini," beliau dipetik berkata.

Semalam, Teoh Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, exco pembangunan kampung baru Selangor, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat suruhanjaya tersebut.

Mayatnya ditemui sembilan tingkat di bawah dari pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 oleh penjaga bangunan itu pada kira-kira 1.30 tengah hari.

Teoh membantu dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan oleh beberapa ADUN Pakatan Rakyat di negeri berkenaan.

Laporan akhbar mendedahkan Teoh dipanggil memberikan keterangan oleh SPRM pada petang Rabu dan dibenarkan keluar dari ibu pejabat SPRM itu pada kira-kira 3.45 pagi semalam.

"Penyiasatan itu adalah tanggungjawab polis. Mereka perlu menjalankan penyiasatan terperinci. Tiada apa yang perlu ditakutkan.

"Polis boleh menyiasat sesiapa sahaja, termasuk SPRM, ahli politik dan individu. Tidak patut ada sebarang halangan terhadap penyiasatan polis," Muhyiddin dilaporkan berkata.

Beliau menggesa semua pihak supaya tidak beremosi berhubung kejadian itu.

Ditanya mengenai demonstrasi anjuran parti-parti pembangkang khususnya DAP berhubung kejadian itu, katanya, perkara itu tidak perlu kerana polis lebih tahu mengenai situasi itu.

"Ini di bawah bidang kuasa keselamatan. Jika polis kata tidak perlu
menganjurkan demonstrasi seperti itu, dengan itu jangan salahkan mereka jika mereka mengambil tindakan terhadap demonstrasi seumpama itu.

"Kejadian ini mendapat banyak perhatian. Jangan buat tuduhan palsu... biarkan polis siasat.

"Saya pasti polis akan memastikan penyiasatan dilakukan secara terperinci, tiada apa akan disembunyikan," katanya.

Setiausaha Politik Mati,,

Setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, terbunuh selepas dipercayai jatuh bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam.

Mayat Teo Beng Hock, 30, ditemui di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat suruhanjaya tersebut.

Semalam Teo telah dibawa ke pejabat tersebut untuk disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan DUN membabitkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat negeri itu.



(foto: Teo, kanan, bersama Ean Yong berbual dengan pegawai siasatan di pejabat exco itu)

Berikutan berita mengejut dan luar biasa tersebut, para pemimpin Pakatan, termasuk Ean, bergegas ke bangunan tersebut.

Pemimpin DAP lain yang berada di pejabat SPRM termasuk exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu; Speaker DUN Teng Chang Khim dan ahli parlimen Petaling Jaya Selatan, Tony Pua.

Liu and Teng mengesahkan bahawa mayat itu mendiang Teo.

Sewaktu ditemui, mendiang berbaju biru bersama kot hitam dan seluar putih.

Dalam sidang media di pejabat SPRM negeri itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull berkata mayat ditemui jam 1.30 tengah hari ini.

Menurutnya lagi, siasatan terhadap Teo - sebagai saksi kes - selesai kira-kira 3.45 pagi tadi tetapi dilihat masih berada di bangunan tersebut sekitar jam 6 pagi.

SPRM tidak jelas sama ada beliau mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan tersebut.

Sementara itu, SPRM mengesahkan sedang menyiasat empat ADUN Selangor berhubung dakwaan salah guna peruntukan wakil rakyat.

Shukri mengesahkan suruhanjaya itu semalam menyerbu empat pejabat ADUN berkenaan dan meneliti beberapa dokumen bagi membantu siasatan, lapor laman web Utusan Malaysia.

"(Siasatan) itu prosedur biasa. Kalau kita terima apa-apa aduan, memang kita akan ke pejabat atau rumah mereka," katanya kepada pemberita di Akademi SPRM hari ini.Sementara itu, peguam M Manoharan, yang menemani Teo ke pejabat SPRM semalam berkata, mendiang kelihatan biasa dan tidak menunjukkan sebarang tanda menghadapi sebarang tekanan.

"Dia nampak gembira dan tenang. Saya menasihatkannya bagaimana hendak mengendalikan soal siasat tersebut kerana saya tidak dibenarkan untuk bersamanya" katanya.

Manoharan, yang juga ADUN Kota Alam Shah kali terakhir melihat Teo pada kira-kira jam 7 petang semalam.

Setakat jam 6 petang ini, mayat Teo masih berada di atas bumbung tempat dia jatuh.

Komputer riba Teo dirampas


Pejabat Ean telah diserbu SPRM semalam di mana sebuah komputer riba milik Teo dan sebuah komputer meja telah dirampas.

SPRM juga menyerbu pejabat ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

Selain Ean dan Lau, lima lagi wakil rakyat Pakatan turut disiasat, iaitu Teresa Kok (Kinrara), Hannah Yeoh (Subang), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Dr Cheah Wing Yin (Damansara Utama) and Edward Lee (Bukit Gasing).

SPRM sebelum itu telah menyoal siasat beberapa orang, termasuk pembantu lima wakil rakyat - Ean, Lau, Kok, Wong dan Yeoh.

Wakil rakyat Pakatan Selangor masing-masing diberi RM500,000 setahun untuk membiayai program kemasyarakatan di kawasan masing-masing. SPRM mendakwa dana tersebut telah disalahguna.

R Sivarasa, yang juga ahli parlimen Subang berkata, kematian Teo berlaku dalam keadaan yang meragukan.

"Sehingga ini, kita mempertanggungjawab SPRM terhadap kematian tersebut sehingga kita mendapat penjelasan yang memuaskan," katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails