Geng Aku

Rabu, 26 Ogos 2009

BN Kekal Tewas Di Malaysia Barat (Semenanjung)

"Angin perubahan" yang dimaksudkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika berkunjung di Permatang Pasir pada hari ini, rupa-rupanya lanjutan daripada tsunami 8 Mac, 2008.
Calon UMNO dari Barisan Nasional, Rohaizat Othman ditewaskan oleh calon PAS dari Pakatan Rakyat, Mohd Salleh Man (gambar kiri) dengan majoriti 4,551 undi. Mohd Salleh Man memperolehi 9,618 undi, sementara Rohaizat Othman mendapat 5,067 undi, selain undi rosak sebanyak 83 undi. Undi majoriti berkurang, selaras dengan penurunan peratusan pengundian kepada 73.1%, berbanding 82.57% pada tahun lalu.

Terdapat seramai 20, 289 orang pengundi berdaftar di kawasan DUN Permatang Pasir, dengan Melayu 72.36%, Cina 25.85%, India 1.63% dan kaum lain 0.16%.

Mengimbas Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008, bekas ADUN PAS, Allahyarham Hamdan Abdul Rahman berjaya mempertahankan kubu dengan 11,004 undi, memandangkan calon UMNO ketika itu, Ahmad Sahar Shuib hanya memperolehi 5571 undi. Majoriti yang diraih ialah 5,433 undi, dengan 227 undi rosak.

Kekal rekod tewas di Semenanjung
Keputusan malam ini memperlihatkan BN mengekalkan rekod kekalahannya dalam setiap pilihan raya kecil yang diadakan di Semenanjung Malaysia, selepas PRU ke-12. BN hanya menang di pilihan raya kecil DUN Batang Ai, Sarawak dan tidak bertanding untuk pilihan raya kecil Penanti, Pulau Pinang, 31 Mei 2009.

Sebelum ini, "angin perubahan" lebih kencang apabila pilihan raya kecil kawasan parlimen Permatang Pauh menyaksikan bagaimana UMNO-BN tewas dengan majoriti yang lebih besar. Malah, Kuala Terengganu yang sebelum ini dimiliki UMNO, ditembusi calon PAS dari PR.

Seterusnya, pilihan raya kecil Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau juga menyaksikan kemenangan yang memihak kepada Pakatan Rakyat, dengan majoriti yang lebih besar.

Keadaan menjadi "reda" buat UMNO apabila membuat kejutan di pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan dengan menghakis majoriti calon PAS, sehingga PAS hanya menang tipis dengan 65 undi majoriti di kubu sendiri. Walaupun UMNO-BN dilihat cuba mengekalkan, malah memacu momentum selepas "kekalahan tipis" tersebut, namun hasrat BN akhirnya tidak tercapai.

Analisa selanjutnya...
Data terperinci keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir akan dikeluarkan kemudiannya. Sejauh manakah propaganda UMNO yang disebarkan sejak awal Ogos, bahawa "Anwar pengkhianat Melayu", "Nik Aziz menghina Islam" dan sebagainya berkesan, akan diteliti dalam analisa selanjutnya.

Permatang Pasir Jadi Momentum Perubahan PRU13

Pakatan Rakyat berkeyakinan kemenangan calon PAS Mohd Salleh Man di Dun Permatang Pasir dengan 4,551 majoriti mengalahkan calon Umno, Rohaizat Othman akan memperkukuhkan momentum untuk mengambil alih kerajaan persekutuan dalam pilihanraya umum ke-13 kelak.






Naib Presiden PAS yang juga Pengarah pilihanraya ini, Datuk Mahfuz Omar, menganggap Umno semakin sukar memadamkan momentum perubahan rakyat bersama Pakatan sejak pilihanraya umum 8 Mac tahu lalu lagi.
"Umno sudah kalah 7 (kali) dan menang di Batang Ai sahaja. Kalau main bola, secara kebiasaannya itu (kekalahan berterusan) menandakan bahawa Umno akan kalah dalam permainan keseluruhannya...pilihanraya ke-13 kelak.
"Hari ini (25 ogos) adalah hari jadi saya (dan) saya kira ini hadiah hari jadi saya. Pilihanraya ke-13 kelak, rakyat pula dapat hadiah kemenangan peringkat persekutuan, insyaAllah."
Bagi beliau, Umno tidak boleh lagi kata ini (kemenangan) sama dengan kemenangan mereka di Manik Urai, kononnya berjaya kurangkan majoriti (sehingga) 65 undi.
"Najib (Perdana Menteri) boleh katakah Umno berjaya di Permatang Pasir, sedangkan Pakatan dapat empat ribu lebih (4,551 undi)."
ImageNada yang sama turut disampaikan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.
Menurut Lim Guan Eng, Pakatan Rakyat bukanlah seperti yang digembar-gemburkan oleh Umno sebagai Pakatan yang 'rapuh'.
Sebaliknya, Pakatan Rakyat mampu menggantikan BN dalam pilihanraya umum akan datang berdasarkan kekalahan berterusan parti-parti pemerintah.
"Ini (Dun Permatang Pasir) bukan sahaja kemenangan bagi kerajaan negeri dan rakyat seluruh Pulau Pinang, tapi suatu terjemahan perasaan rakyat bahawa Umno sedang ditolak berterusan dalam setiap kali pilihanraya (kecil) yang diadakan."
"Ini (kemenangan) menunjukkan sokongan kuat pada kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat (iaitu) DAP, PAS dan PKR. Bukan seperti Umno katakan, Pakatan kita (adalah) pakatan yang rapuh."
"Bukan seperti Umno (dan) Barisan Nasional yang mengabaikan rakyat. Pakatan (rakyat) yang kukuh ini boleh memenangi pilihanraya (ke-) 13 nanti, sebab rakyat mahu sebuah (kerajaan) persekutuan yang ada 'jiwa' Malaysia, bukannya perkauman sempit."
Timbalan Ketua Menteri 2, Dr. P. Ramasamy yang ditemui kemudian mengganggap kemenangan berterusan Pakatan Rakyat ini boleh menjadi 'gelombang perubahan' yang besar di Dun Seputeh, jika berlaku pilihanraya kecil; dan nasional.
"Memanglah (benar). Saya tidak perlu sebutlah (soal kemenangan). Kemenangan ini sudah jadi gelombang...tentu jadi gelombang di (Dun) Seputeh jika jadi pilihanraya."
"(Dun Permatang Pasir) sudah jadi gelombang perubahan yang berterusan Pakatan ke peringkat nasional juga."
ImageBercakap di luar tempat perjumlahan pengundi IKBN kemudian, Salleh menganggap kemenangan tersebut bukan kejayaan peribadinya sahaja, tetapi kejayaan Pakatan Rakyat peringkat negeri dan federal.
Ujarnya, Permatang Pasir mampu menjadi 'pembakar semangat' sekurang-kurangnya di Dun Seputeh, di samping pilihanraya ke-13 kelak.
"Ini (kemenangan) bukan untuk saya, biarpun saya mewakili PAS bertanding di Permatang Pasir. Ini (kemenangan) untuk Pakatan Rakyat negeri (Pulau Pinang) dan semua kepimpinan pusat."
"Kalau boleh, kemenangan ini jadi 'pembakar semangat'...sekurang-kurangnya di Kuala Seputeh jika jadi pilihanraya... pilihanraya ke-13 lebih-lebih lagilah."
Daripada 14,832 atau 73.1% pengundi yang turun mengundi, Salleh memperoleh 9,618 undi, manakala Rohaizat mendapat 5,067 undi.
Pada Mac tahun lalu, bekas penyandang Allahyarham Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman mendapat 5433 undi majoriti; dari 20,350 atau 82.5% undi keseluruhannya.
Disebabkan peratusan turun mengundi berkurang sebanyak 9.4% dari piliharaya sebelumnya, bermakna undi tradisi PAS dan Umno juga masing-masing turut menyusut sebanyak 12.6% (1386 undi) dan 9.5% (504 undi).
Tuntas bagi PAS/Pakatan adalah berjaya mengekalkan status quo mereka di 'kubu kuat' PAS tersebut.
Manakala, Umno tidak boleh lagi menjadikan pilihanraya kali ini sama seperti Manek Urai - bukti rakyat mula menerima mereka dan menolak Pakatan Rakyat lagi.
Selain kalah di Dun Permatang Pasir, Umno BN pernah kalah berterusan di Parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang; dan Dun Bukit Selambau serta Penanti sebelum ini.

PAS Kekalkan Kerusi Permatang Pasir.

Penyokong-penyokong BN dan PAS kelihatan 'penat' dan hanya duduk di bahu jalan berhampiran pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lay Keow, Permatang Pasir. Suasana sekitar 12.40 tengah hari. Suara sorakan tidak kedengaran dan kehadiran pengundi juga kurang.
NASIHAT... Pengarah Pilihan Raya Negeri Kelantan, Abd. Rahim Mohd. Salleh menasihatkan penyokong PAS menanggalkan lambang parti itu pada topeng perlindungan pernafasan di kawasan Samagagah. Penyokong PAS ini pula berhujah ia cuma topeng perlindungan pernafasan bagi mengelak dijangkiti wabak influenza A(H1N1). SPR menguatkuasakan larangan mempamerkan lambang, logo dan bendera parti di kawasan sekitar pusat pengundian pada hari mengundi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.
PETI-peti undi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir yang telah dibawa ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam.
CALON PAS, Mohd Salleh Man dijulang oleh penyokong-penyokongnya selepas diumumkan memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Institit Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, sebentar tadi.--fotoBERNAMA
BUKIT MERTAJAM: PAS mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dengan majoriti 4,551 undi di sebalik penurunan jumlah pemilih yang keluar mengundi.
Pada pilihan raya kecil ini, PAS diwakili Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man manakala Barisan Nasional (BN) pula Setiausaha Umno Permatang Pauh, Rohaizat Othman.
Salleh memperoleh 9,618 undi, sekali gus berjaya dalam percubaan kali keenam bertanding pilihan raya.
Dalam reaksinya, Salleh, 52, menyifatkan kemenangannya sebagai kejayaan bermakna bagi PAS dan Pakatan Rakyat.
"Ini menunjukkan Pakatan Rakyat berada dalam keadaan kukuh dan akan merapatkan kerjasama di kalangan anggota komponen Pakatan Rakyat," kata beliau yang tiba di pusat penjumlahan undi IKBN pada pukul 6.30 petang dengan berpakaian batik.
Rohaizat, 38, pula mendapat 5,067 undi. Undi rosak adalah sebanyak 83.
Rohaizat menerima keputusan ini dengan menganggapnya sebagai satu proses demokrasi.
"Saya mengucapkan tahniah kepada Salleh Man dan berharap beliau akan melaksanakan khidmat dengan baik kepada masyarakat Permatang Pasir," kata beliau ketika dihubungi.
Jelas beliau, undi yang diperolehnya adalah konsisten dengan apa yang diterima pada Mac 2008 dan ia juga menunjukkan BN masih mempunyai sokongan padu. Seramai 14,832 orang ataupun 73.1 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir hari ini. Jumlah pemilih adalah seramai 20,290 orang.
Pada Mac 2008, PAS memenangi kerusi Permatang Pasir buat kali ketiga berturut-turut dengan kelebihan 5,433 undi.
Keputusan rasmi pilihan raya kecil diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahya pada pukul 7.30 petang - tepat waktu berbuka puasa di sini.
Pengumuman kali ini, yang dilihat paling cepat berbanding mana-mana pilihan raya yang lain dibuat dalam waktu yang singkat.
Awalnya SPR telah bercadang untuk membuat pengumuman keputusan pada pukul 8 malam.
Pada pilihan raya umum Mac 2008, kerusi itu dimenangi buat kali ketiga oleh Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman yang memperoleh 11,004 undi.
Ketika itu peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 82.5 peratus. Kali ini peratusan keluar mengundi hanya 73.1 peratus.
Beliau meninggal dunia pada 31 Julai lalu, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil ini.
PAS dan BN turun gelanggang pilihan raya kecil ini masing-masing untuk mengekalkan dan merampas kerusi ini.
BN kehilangan kerusi ini pada tahun 1999.
Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan hari ini merupakan pengertian bermakna kepada pihaknya selepas menang tipis pada pilihan raya DUN Manek Urai bulan lalu.
Mengenai penurunan majoriti, Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata, "saya hanya mengharapkan kemenangan walaupun satu undi."
"Sebenarnya kami telah bekerja keras ke arah kemenangan lebih besar dan sebagaimana saya katakan sebelum ini, kemenangan dengan majoriti satu undi pun kemenangan juga," katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails