Geng Aku

Memaparkan catatan dengan label Selangor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Selangor. Papar semua catatan

Rabu, 14 Julai 2010

Satim Diman Nafi Kosongkan Kerusi Seri Serdang.

ADUN Seri Serdang Datuk Satim Diman menolak spekulasi bahawa beliau akan melepaskan semua jawatan politiknya termasuk kerusi dewan undangan negeri Seri Serdang yang disandangnya.
Katanya, isu itu hanya ditimbulkan oleh penulis blog dan golongan yang tidak berpuas hati apabila permintaan mereka tidak dipenuhi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berhubung spekulasi bahawa beliau akan melepaskan jawatan-jawatan berkenaan.

Spekulasi tersebut timbul berikutan ketidakhadiran Satim ke mesyuarat perhubungan Umno Selangor pada 21 Jun lalu.

Mengulas perkara tersebut, Satim berkata beliau telah memaklumkan sebab ketidakhadirannya ke mesyuarat itu kepada pengerusi Umno negeri Datuk Seri Noh Omar.

Katanya, beliau terpaksa menghadiri satu program lain pada masa mesyuarat itu berlangsung.

Jumaat, 30 April 2010

MB : Rakyat Undi Pakatan Kerana Barisan Nasional Gagal.


Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kesal dengan tuntutan rasis gerakan Perkasa yang mahu kerajaan membekukan peruntukan kepada masyarakat Cina Hulu Selangor. 

Khalid berkata Perkasa seharusnya sedar bahawa rakyat memilih Pakatan Rakyat bukan atas dasar warna kulit, tetapi kerana sudah jemu dengan janji kosong dan kecuaian Adun-Adun BN. 

"Sokongan yang ditunjukkan di Hulu Selangor amat memberangsangkan. Kita akan kembali dan bekerja bersama rakyat untuk memastikan pembangunan berterusan," Khalid berkata.


Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali membuat tuntutan itu selepas analisa Pilihanraya Kecil Hulu Selangor menunjukkan masyarakat Cina menyokong Pakatan Rakyat. 

Dengan sokongan ini, Pakatan Rakyat walaupun tewas di peringkat Parlimen namun berjaya merampas dua dari tiga DUN di Hulu Selangor.

Khalid berkata sokongan kuat yang ditunjukkan di DUN Batang Kali dan DUN Kuala Kubu Bharu menjadi kayu aras kepada Pakatan Rakyat untuk memantapkan lagi perkhidmatan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. 

"Kita akan pastikan pengajaran yang kita terima hasil dari interaksi bersama penduduk akan membantu menambahbaik peranan Kerajaan Negeri,"akhiri Khalid.

Jumaat, 23 April 2010

Berita Gembira Buat Generasi Kedua Felda Sungai Buaya.


Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor bakal mengumumkan berita gembira kepada warga peneroka khususnya generasi kedua Felda Sungai Buaya berhubung isu kediaman mereka.

Pengumuman itu dijangka dibuat Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 24 April ini sempena Himpunan Generasi Felda Peringkat Kebangsaan kali kedua di Felda Sungai Tengi.

Program tersebut adalah anjuran Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor.


Pengerusi Anak, Mazlan Aliman berkata, hasil pertemuan dengan menteri besar, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah memberi respons positif dan akan mempercepat proses mengukur kawasan kediaman generasi kedua.

"Kita akan dengar Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) buat pengumuman menggembirakan tentang perumahan ini.

"Tidak syak lagi Selangor akan menjadi negeri pertama membuat perubahan ini,” katanya ketika ditemui di tapak himpunan tersebut semalam.

Isu kediaman generasi kedua Felda adalah antara isu besar yang sedang diperjuang peneroka sejak lama dahulu.

Dengan pengumuman yang akan dibuat itu katanya, nasib generasi kedua Felda akan lebih terbela dengan mempunyai kediaman sendiri.


"Kami dah jumpa menteri, menteri besar bersilih ganti, namun tiada perubahan.


"Namun sejak dua tahun Pakatan Rakyat perintah Selangor, kita lihat jauh lebih baik berbanding kerajaan BN," tambahnya lagi.

Bidang kuasa tanah pula, katanya adalah di bawah kerajaan negeri, dan kerajaan Selangor juga sedang mengkaji status tanah di Sungai Tengi Selatan supaya diambil semula dari Felda Plantation dan diberikan kepada peserta supaya peneroka mendapat 10 ekar tanah dan kediaman mereka.

Sehubungan itu jelasnya, Pilihan raya Kecil Parlimen Hulu Selangor adalah permulaan untuk warga Felda menuntut perubahan.

"Kalau kerajaan negeri Pakatan Rakyat boleh buat, kenapa Umno BN tak boleh buat? Sebab itu kena undi Datuk Zaid Ibrahim.

"Kalau tak mula di Hulu Selangor, saya tidak nampak segala kejahatan dan kezaliman Umno/BN boleh ditamatkan," katanya.

Dalam pada itu Himpunan Generasi Felda Peringkat Kebangsaan kali kedua akan bermula 23 (esok) dan berakhir 24 April ini.

Pelbagai program dan acara disediakan antaranya sukaneka, persembahan pentas, acara padang dan gerai-gerai pameran.


Manakala pada hari terakhir pula, himpunan tersebut akan dirasmikan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Penasihat Ekonomi negeri Selangor, sebelum pengumuman oleh Menteri Besar.

Pada malamnya pula, pemimpin Pakatan Rakyat akan menyampaikan pidato dan ceramah termasuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dan calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

Jumaat, 16 April 2010

BN Jangan Terlalu Taksub Untuk Menang.


Barisan Nasional (BN) diingatkan jangan terlalu optimis akan mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor kali ini.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Sim Tze Tzin  sebagai mengulas dakwaan Umno dan BN akan berjaya meraih sokongan dalam pilihan raya kecil itu pada 25 April ini.

Menurut beliau lagi, BN seharusnya memberi tumpuan terhadap masalah dalaman yang semakin serius dalam komponen partinya sebelum membuat pelbagai dakwaan terhadap PKR dan Pakatan Rakyat (PR).


Beliau yang juga Adun Pantai Jerejak berkata, pemimpin BN sepatutnya memuhasabah diri dan melihat apakah kekurangan yang ada pada mereka.

“Saya yakin sekiranya mereka dapat menilai dan meilihat kembali keburukan dan kejahatan yang mereka lakukan selama memerintah negeri Selangor maupun dalam negara ini, maka sudah semestinya mereka sedar bahawa mereka telah melakukan begitu banyak kezaliman kepada rakyat yang tidak memihak kepada mereka.


"Masalah dalaman yang berlaku dalam parti mereka sengaja mereka tutup supaya ia tidak meletup dan memberi impak yang buruk kepada mereka. Manakala PR sentiasa kukuh dan padu dalam apa jua isu yang mereka timbulkan,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya pemimpin PR sedikit pun tidak melatah dengan isu yang sengaja mereka manipulasikan.

"Namun begitu saya yakin, dalam membuat keputusan dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan pada 25 April ini, PR akan berjaya mengekalkan kemenangan berdasarkan kepada prestasi yang telah dipamerkan oleh kepimpinan kerajaan negeri Selangor dan juga PR dalam menangani masalah rakyat dan memberi khidmat kepada setiap golongan masyarakat," katanya.

Ahad, 11 April 2010

Bangsa Kriteria No 2-MB Selangor.


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata PKR tidak meletakkan faktor bangsa sebagai kriteria penting dalam memilih calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April depan.

Beliau yang juga pengerusi perhubungan PKR negeri berkata parti itu hanya memilih calon yang "terbaik" yang dedikasi, bekerja keras untuk kebaikan penduduk dan pengundi di kawasan parlimen tersebut.

"Tidak perlu mempolitikkan isu itu (bangsa) apabila memilih calon yang terbaik bagi pilihan raya itu. Ini perkara politik. Isu (bangsa) jangan dilihat sebagai satu "sandiwara politik pilihan raya".


"Kita dalam PKR tidak melihat dari aspek itu (bangsa) tetapi sebaliknya untuk calon yang layak yang boleh memenangi hati dan minda pengundi di Hulu Selangor," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Tuisyen Rakyat peringkat Selangor hari ini.

Khalid diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang mencabar PKR untuk meletakkan calon bukan Melayu bertanding pada pilihan raya itu sebagai usaha memberikan keadilan kepada semua bangsa di kawasan pilihan raya tersebut.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lepas akibat barah otak. Hari penamaan calon bagi pilihan raya itu ialah pada Sabtu ini.


Khalid berkata pemimpin Pakatan Rakyat akan bermesyuarat dalam masa dua hari akan datang untuk memutuskan calon yang sesuai untuk bertanding pada pilihan raya tersebut.

Beliau berkata pemimpin Pakatan Rakyat dijangka mengumumkan calon itu pada malam Selasa.

Mengenai Program Tuisyen Rakyat, katanya kerajaan negeri membelanjakan RM3.4 juta setiap tahun untuk tujuan itu bagi 5,600 murid di Selangor.

- Bernama

Ahad, 28 Mac 2010

Selangor Mahu Tanam Satu Juta Pokok Tahun Ini.


Sebagai kesinambungan kepada kempen menghijaukan Selangor, kerajaan negeri akan menanam sejuta pokok sepanjang tahun ini.

Tanggungjawab itu akan dilaksanakan semua 12 pihak berkuasa tempatan secara berperingkat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan perkara ini ketika melancarkan Majlis Menanam Pokok dan Pembukaan Pusat Membeli Belah Aeon Mahkota Cheras di Bandar Mahkota Cheras, hari ini.

Aeon Co. Sdn Bhd, syarikat induk pusat membeli belah Jaya Jusco mengadakan acara menanam lebih 3,000 pokok dan sehingga kini ada lebih 300,000 di semua premis miliknya.

Acara ini turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu dan Pengerusi Aeon, Datuk Abdullah Mohd Yusof, selain pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT), pelajar dan sukarelawan dari Kajang dan Cheras.

"Saya berterima kasih kepada Aeon, syarikat induk Jaya Jusco kerana sekarang ini sudah ada 300,000 pokok ditanam. Jadi, saya minta Ronnie Liu membuat rancangan supaya dalam tahun ini, kita akan menanam satu juta pokok di Selangor," katanya.

Pada majlis itu, tetamu kehormat dan sukarelawan ini turut membanting tulang menanam 3000 anak pokok di sekitar kawasan pusat membeli belah itu.

Khalid juga terharu melihat kesungguhan pelajar dan sukarelawan yang dianggap beliau sebagai  aset masa depan.

"Saya berterima kasih kepada anak-anak sekalian kerana hadir pada hari ini. Saudara memiliki masa depan. Jadi, anda akan membuat negara ini bertambah cantik, kerana anda sekarang sudah memahami maksud tanggungjawab sosial," katanya.

Jumaat, 26 Mac 2010

Sah: MIC Akan Calonkan Palanivel.


MIC akan mencadangkan timbalan presidennya, Datuk G Palanivel sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu bagaimanapun, tidak mahu menyatakan peluang MIC untuk merampas balik kerusi tersebut yang terlepas ke tangan PKR pada 2008.

Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau secara berseloroh berkata: "Biar saya hubungi Tuhan dan tanya padanya. Dia tidak senang sekarang."
Sementara itu, ketua penerangan MIC, P Kamalanathan berkata Palanivel yang mewakili parlimen Hulu Selangor selama dua penggal (1999 dan 2004) - sudah turun padang sejak kalah kepada PKR pada 2008.

Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor diadakan ekoran kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad malam tadi.

Kamalanathan berkata, Umno tidak akan menuntut kerusi tersebut kerana bukan amalan BN untuk bertukar kerusi dalam pilihan raya kecil.

Sementara itu, Parti Hak Asasi Manusia (HRP) pula akan mengumumkan Ahad ini sama ada akan bertanding di kerusi tersebut.

"Pendirian parti akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pusatnya Ahad ini," kata setiausaha agung penaja HRP, P Uthayakumar.


Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution pula berkata parti itu akan menunggu sehingga jenazah Zainal Abidin selamat dikebumikan sebelum memutuskan soal calonnya.

Parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,539 pengundi dengan 53.9 peratus Melayu; China (26.7 peratus) dan India (19 peratus).

BN mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi semula kerusi tersebut kerana dalam pilihan raya umum lalu, ia menang kesemua tiga kerusi DUN dalam parlimen Hulu Selangor - Kuala Kubu Bharu (MCA), Batang Kali (Umno) dan Hulu Bernam (Umno).

Ini merupakan pilihan raya kecil kesepuluh selepas pilihan raya umum 2008 dengan Pakatan memenangi tujuh daripadanya dan BN pula menang dua kerusi.

MP Hulu Selangor Selamat Dikebumikan.

Jenazah ahli parlimen Hulu Selangor, Datuk Zainal Abidin Ahmad selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Melaka, Jalan Cheras.

Bekas timbalan menteri besar Selangor itu meninggal dunia jam 9.27 malam tadi akibat barah otak.
Beliau meninggalkan isteri Datin Siti Zaharah Mohd Zin dan empat orang anak - tiga perempuan, seorang lelaki.

Hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali; pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali; timbalan pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar; naib presiden PKR, Azmin Ali; ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin; penyelaras Pakatan, Datuk Zaid Ibrahim, ketua penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dan pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang.

Pemimpin-pemimpin, jiran, kenalan dan penyokongnya sekitar 300 orang silih berganti sejak daripada awal pagi lagi. Suasana muram menyelubungi sekitar rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras itu.

Bagaimanapun jalan agak sesak ekoran banyak kereta diparkir di tepi jalan berhampiran rumahnya. Puluhan wartawan juga membaji rumah tersebut.

Bagaimanapun ahli keluarnga si mati tidak membenarkan mereka mengambil gambar di dalam perkarangan rumah dan berhampiran jenazah ketika ia dikebumikan. Ahli keluarganya juga enggan ditemuramah kerana terlalu sedih.

Pelbagai parti kongsi kesedihan


Kira-kira jam 10.30 pagi jenazah dibawa ke Masjid Batu 10 - atau lebih dikenali sebagai Masjid Kuning - untuk disolatkan. Antara pemimpin yang turut bersolat bersama kira-kira 100 hadirin, antaranya Anwar, Azmin, Zulkifli dan Noh .

Walaupun berlainan parti politik, kelihatan pemimpin tersebut berkongsi kesedihan yang sama dan mengambil peluang bertegur-sapa antara satu sama lain.

Anwar ketika ditemui berkata, beliau sedih dengan kehilangan almarhum yang dikenali semasa menuntut di Universiti Malaya (UM) pada zaman 1970-an lagi.

“Beliau seorang yang kuat dengan idealisme bahasa dan pendidikan. Saya ketika itu bergiat dalam Persatuan Bahasa Melayu UM.

“Walaupun mungkin tidak dapat menjalankan tugas dengan sebagai ahli parlimen dengan baik kerana lama uzur, pemergiannya akan sentiasa dikenang,” kata Anwar dan berbaju Melayu putih dan bersongkok.

Sementara Noh pula berkata pemergian almarhum merupakan kehilangan kepada seluruh rakyat negeri Selangor.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga almarhum. Beliau terkenal dengan perkhidmatannya yang bagus sejak menjadi timbalan menteri besar (Selangor) lagi. Kita tidak dapat nafikan sumbangan amat besar kepada Umno sendiri dan rakyat Selangor secara amnya,” katanya.

Contoh ahli politik konsisten, bersih

Lim pula ketika ditemui di rumah almarhum pula hanya berkata: “Saya sedih dengan pemergiannya. Saya ucapkan takziah kepada ahli keluarganya”.

Manakala Dr Hasan pula berkata, PAS sentiasa menjadikan almarhum sebagai contoh seorang ahli politik yang gigih, konsisten dan bersih dalam politik.

“Beliau amat peramah dan rendah diri. Pemimpin seperti ini amat sudah dicari ganti,” katanya.

Dilahirkan di Cheras pada 10 Oktober 1939, beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968) dan kemudiannya pengetua, Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru dari 1972-1973, sebelum dilantik sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.

Zainal yang mendapat Doktor Falsafah Sains Politik dari University of California, Los Angeles, pada 1980 pernah menjadi Dekan, Fakulti Pendidikan UKM sebelum meninggalkan dunia akademik dan menyertai politik pada 1989.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, beliau merupakan orang kuat Umno Selangor dan pernah menjadi exco kerajaan negeri selama lapan tahun dan Ketua Umno Bahagian Hulu Langat selama 14 tahun.

Antara jawatan exco yang dipegangnya termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.

Pada Mac 2005, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

Zainal Abidin berjaya memenangi kerusi Hulu Selangor dengan mengalahkan calon BN dari pari MIC, P Palanivel pada pilihan raya umum yang lalu.

Khamis, 25 Mac 2010

SPR: Pilihan Raya PBT Tak Boleh Diadakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang dan Selangor kerana seksyen mengenainya dalam Akta Pilihanraya Kerajaan Tempatan 1960 dimansuhkan selepas Akta Kerajaan Tempatan 1976 dikuatkuasakan.

Menurut SPR, kedua-dua negeri tertakluk kepada akta 171 yang menyatakan perlantikan ahli majlis hendaklah dibuat secara lantikan.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Yusoff berkata pemansuhan seksyen akta berkenaan memberi kesan kepada semua negeri kecuali Sabah dan Sarawak yang mempunyai ordinannya sendiri.

“Bukan SPR tidak benarkan buat, tetapi undang-undang tidak membenarkan. Perkara ini mesti difahami,” katanya dalam sidang media bagi menjelaskan perkara tersebut di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.

Turut hadir dalam sidang media itu, timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan penasihat undang-undang SPR Mohd Azhar Mohd Yusoff.

Abdul Aziz juga berkata, urusan pilihan raya tempatan tidak tertakluk bawah bidang kuasa SPR, tetapi sepenuhnya bawah kerajaan negeri.

Bagaimanapun, tambahanya, pindaan dan perubahan dasar bagi menjalankan semula pilihan raya tempatan hanya boleh dilakukan melalui Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT), satu badan di bawah Kementerian Perumahana dan Kerajaan Tempatan.

Pindaan mesti digunapakai semua negeri

Menurut Abdul Aziz, jika cadangan tersebut diterima MNKT, ia boleh dilaksanakan dengan cara berikut:

- Meminda beberapa perkara dalam Akta 171 dan apa-apa peruntukan sedia ada berkaitan pelantikan anggota majlis.

- Semua pindaan hendaklah diterima pakai semua negeri supaya wujud keseragaman dalam pemakaian undang-undang.

- Peraturan bagi menjalankan pilihan raya tersebut hendaklah diadakan.

Pulau Pinang dan Selangor sebelum ini mengumumkan mahu mengadakan pilihan raya PBT dan meminta SPR menguruskannya.

Abdul Aziz berkata, surat tersebut memaklumkan perkara tersebut telah dihantar kepada pihak terbabit semalam.

Menjawab surat itu, Abdul Aziz berkata, SPR juga menjelaskan tidak dapat menjalankan kajian bagi mana-mana kerajaan negeri kerana ia bertentangan dengan fungsi SPR di bawah perlembagaan persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958.

Selasa, 23 Mac 2010

Khalid Nafi Ini Penggal Terakhir Beliau Sebagai MB

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan spekulasi bahawa ini mungkin penggal terakhir beliau sebagai Menteri Besar Selangor dan akan kembali ke dunia korporat.

Katanya beliau tidak pernah memikirkan mengenai pekara itu atau dibangkitkan secara rasmi.

"Peranan saya di luar spekulasi kerana saya ingin berkhidmat kepada orang ramai selagi rakyat dan rakan-rakan saya dalam parti (Parti Keadilan Rakyat) mahukan saya," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan jabatan kerajaan negeri di sini hari ini.

Khalid yang juga pengerusi perhubungan PKR negeri berkata beliau akan terus aktif dalam politik jika itu adalah yang terbaik untuk beliau lakukan.

Beliau adalah ketua pegawai eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad dari 1995 hingga 2003 sebelum memasuki politik dan menyertai PKR.

Sementara itu, Khalid berkata permintaan untuk memperbaiki jalan-jalan di Selangor adalah tinggi kerana negeri ini bertanggungjawab untuk penyelengaraan kira-kira 4,000 kilometer (km) dan 1,000 km di negeri ini adalah jalan persekutuan.

Mengenai cadangan Sime Darby Property untuk membangunkan sebahagian kawasan Taman Subang Ria di Petaling Jaya sebagai taman rekreasi, beliau berkata ia lebih sesuai jika taman itu dimajukan dahulu sebelum kediaman.

Pengarah urusan Sime Darby Property Bhd, Datuk Tunku Putra Badlishah, dilaporkan berkata bahawa syarikat itu merancang membangunkan kediaman untuk membiayai kos taman rekreasi tersebut disebabkan kosnya yang tinggi, yang hanya kira-kira 20 peratus daripada harga hartanah itu. Khalid juga berkata Taman Subang Ria ialah sebuah hartanah persendirian milik Kumpulan Sime Darby, dan bukan taman awam seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. - BERNAMA

Sabtu, 20 Mac 2010

SPR Umum Kata Putus Pilihan Raya PBT Selasa Ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan pendiriannya Selasa ini berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang hendak diadakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat.

SPR akan mengadakan mesyuarat terakhir Isnin ini sebelum mengumumkan keputusannya pada keesokan hari.

“Sebenarnya kami (panel SPR) sudah membincangkan permintaan Pulau Pinang dan Selangor Selasa lalu dan cuma pada Isnin ini kami akan membuat penelitian terakhir berhubung kenyataan yang akan dibuat, selewat-lewatnya Selasa minggu depan,” kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Perbincangan panel SPR di ibu negara Selasa lalu berlandaskan laporan yang dikemukakan penasihat perundangan.

“Keputusan yang kami akan buat, umumkan adalah berlandaskan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan... tidak berkaitan dengan aspek-aspek lain... kami mahu keputusan yang bakal dibuat itu tepat, sempurna dari segi lunas perundangan,” katanya.
Selain itu tambah beliau, perkara tersebut perlu diteliti dengan mendalam memandangkan permintaan Pulau Pinang dan Selangor agak berlainan walaupun menyentuh perkara yang sama.


“Pulau Pinang mahu memberi kuasa kepada kami (SPR) mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan manakala Selangor mahu kami mengkaji sama ada boleh mengadakan pilihan raya (kerajaan tempatan).

“Jadi ini melibatkan soal perundangan dan perlu diteliti secara mendalam,” katanya.
Kedua-dua negeri itu baru-baru ini meminta agar SPR mengadakan perbincangan dengan mereka sebelum membuat keputusan terakhir.

Selasa lalu Abdul Aziz berkata, kajian teliti perlu dilakukan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berkaitan sebelum menjawab dua surat yang diterima daripada kedua-dua kerajaan negeri tersebut.

Katanya langkah itu bagi memastikan jawapan yang akan diberikan kepada mereka tepat dan betul dan mereka benar-benar faham mengenai kedudukan perkara itu pada masa ini.

“Kita akan hantar surat jawapan kepada kerajaan negeri itu terlebih dahulu sebelum mengumumkan pendirian SPR selewat-selewatnya minggu depan,” katanya.

Abdul Aziz juga berkata sebagai badan bebas dan profesional, SPR tidak terikat dengan sesiapa sama ada pendapat Perdana Menteri, pihak pembangkang atau sesiapa sahaja dalam memutuskan perkara itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menulis surat kepada Pengerusi SPR pada 8 Mac lalu dengan memberi kuasa kepada mereka untuk mengadakan pilihan raya PBT.

Isnin lalu kerajaan Selangor meminta SPR mengkaji peraturan dan memberi pandangan mengenai tindakan mengadakan pilihan raya PBT di negeri itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata pilihan raya PBT yang sudah dimansuhkan sejak sekian lama itu tidak perlu diwujudkan semula.
Katanya proses pemilihan ahli majlis PBT tidak semestinya menjamin mutu perkhidmatan PBT yang lebih baik.

Isnin, 8 Mac 2010

S'gor Ikut Pulau Pinang Adakan P'Raya Tempatan

Kerajaan Selangor akan mengikuti jejak langkah Pulau Pinang bagi memulakan semula pilihan raya kerajaan tempatan di negeri itu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita akan bersama-sama kerajaan Pulau Pinang untuk menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memberi kita penerangan, bagaimana sokongannya, jika kita ingin menjalankan pilihan raya tempatan,” katanya.

Abdul Khalid ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengikut langkah Pulau Pinang yang mengumumkan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan akan diadakan semula di negeri itu.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilaporkan berkata, pilihan raya membabitkan Majlis Tempatan Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Tempatan Seberang Perai (MPSP).

Lim dilaporkan berkata, pihaknya juga menghantar surat kepada SPR pada 4 Mac lalu meminta pihak tersebut menguruskan perjalanan pilihan raya berkenaan.

Abdul Khalid juga berkata, pihaknya telah membuat kajian dan penelitian berhubung pelaksanaan pilihan raya tersebut.

“Tidak guna kita jadi satu demokrasi yang lebih merugikan rakyat. Oleh itu, kita akan lakukan (pilihan raya tempatan),” kata Abdul Khalid.

Bagaimanapun, tambahnya, masih banyak perkara yang belum jelas berhubung perkara itu, termasuk peruntukan undang-undang berhubung pelaksanaannya.

"Kita mahu jelaskan dulu," katanya dalam sidang media selepas berucap di konvensyen Pakatan Rakyat Selangor di di Shah Alam hari ini
“Berjuta-juta ringgit habis, berjam-jam kempen habis dan rakyat akan rasakan mereka tertipu. Oleh itu, kita akan buat dengan teratur,” katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau menggamatkan dewan apabila menyindir Wanita Umno dengan menyifatkan mereka “memakai selendang merah yang mengghairahkan”.
Katanya, pemimpin Umno sibuk membahagikan tanah Selangor sesama sendiri ketika memerintah negeri itu sebelum ini, sibuk berkunjung ke luar negara, memperagakan barang berjenama, sibuk dengan gelang emas yang banyak dan “pertandingan buat (dandan) rambut,”.

“Tetapi kita tidak mahu buat begitu. Di hati kecil kita (ada) perjuangan,” katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 500 peserta.

Pakatan menganjurkan konvensyen hari ini bagi memantapkan persefahaman sesama parti-parti yang bergabung PKR, PAS dan DAP di negeri itu.

Isnin, 28 Disember 2009

PAS Selangor Didesak Keluar Pakatan Rakyat



Sekumpulan lelaki yang menggelarkan diri mereka penyokong dan pengundi PAS Selangor hari ini mendesak parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah negeri itu kerana didakwa gagal memperjuangkan Islam serta nasib kaum Melayu.


Kira-kira 20 orang yang berhimpun secara aman itu berarak sejauh 500 meter ke perkarangan pejabat Badan Perhubungan PAS negeri yang terletak di Pusat Perniagaan Worldwide di sini kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.




Kumpulan berkenaan turut membawa kain rentang dan sepanduk tertera ‘Kami Tidak Rela PAS Jadi Boneka DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kami Desak PAS Keluar Pakatan Rakyat, Jangan Musnahkan Amanah Yang Diberikan Rakyat dan Jangan Jadi Kuda Tunggangan Anwar.

Jurucakap kumpulan itu, Wan Hilman Wan Abd Rahim berkata, bantahan tersebut dibuat kerana mereka mahu PAS bangkit daripada mengikut telunjuk DAP dan PKR yang didakwa membelakangi parti itu dalam banyak isu pentadbiran di negeri itu.




“PAS boleh bergerak sendiri, selama ini keputusan yang dibuat tidak sampai dan kita banyak ikut telunjuk mereka (DAP dan PKR).

“Kami tidak puas hati dengan cara kerajaan negeri Selangor menjaga kebajikan rakyat terutamanya dalam isu yang melibatkan Islam dan kepentingan orang Melayu.

“Kita ahli PAS Selangor mahu PAS bangkit kerana kita lihat semua perkara sudah jadi kacau-bilau jadi kita cuba bangkitkan semua ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Hilman yang mendakwa ahli PAS Bahagian Gombak turut menafikan dakwaan kononnya kumpulan itu dibiayai oleh Umno atau Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.



“Tak ada. Kita tidak didalangi Umno, Anwar atau mana-mana pihak. Kita biayai sendiri dan apa yang kita buat hari ini datang daripada hati kita sendiri, tidak ada sokongan daripada mana-mana pihak,”ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba menyampaikan memorandum berkenaan kepada Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hassan Ali esok pagi.

“Insya-Allah kita akan cuba hantar esok dan kita akan tengok masa yang sesuai nanti,” ujarnya.

Sabtu, 26 Disember 2009

UMNO Pasang Startegi Huru Harakan PR Di Selangor?



Umno dipercayai sedang menggerakkan satu perhimpunan kononnya untuk mendesak agar PAS Selangor keluar dari Pakatan Rakyat.

Menurut satu sms yang dihantar kepada Harakahdaily, perhimpunan itu akan diadakan esok 27 Disember jam 11 pagi  di perkarangan pejabat perhubungan PAS Selangor dekat sini.

Dalam perhimpunan itu, sms itu memaklumkan, satu memorandum akan diserahkan dan menurutnya memo itu akan diterima sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.



"Datanglah beramai-ramai demi kepentingan Melayu...," tulis sms itu.

Ketika disemak dari penghantar sms itu, didapati sumbernya adalah penggerak Umno di negeri ini.

"Dia nak ambil kesempatan dari isu yang berlaku di Selangor sekarang untuk memecahkan PAS," kata sumber yang menghantar mesej ini kepada Harakahdaily.



Sementara itu, blogger Raja Petra Kamarudin dalam tulisannya memberitahu, para pemimpin Umno telah memberitahu orang-orangnya dalam agensi kerajaan negeri ini bahawa Barisan Nasional akan mengambil alih Selangor Januari ini.

Ekoran itu, katanya, banyak agensi kerajaan negeri yang masih dipimpin oleh penyokong Umno 'tidak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya'.



Ini kerana, mereka menunggu apakah kerajaan negeri Pakatan di Selangor ini akan jatuh atau tidak ke tangan BN Januari ini sebagaimana yang dijanjikan pemimpin Umno itu.


Adalah dipercayai, jika benarlah tulisan Raja Petra ini bermakna antara strategi Umno adalah dengan memecahkan PAS di Selangor dan seterusnya memecahkan Pakatan Rakyat.

Selasa, 8 Disember 2009

Perarakan Kepala Lembu: Mahkamah Tetapkan 12 April Tarikh Perbicaraan



Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menetapkan 12 April depan untuk mendengar perbicaraan kes perarakan kepala lembu dalam satu protes di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Ogos lalu.

Hakim Hasdi Hasan menetapkan perbicaraan itu berjalan selama lima hari sehingga 16 April depan.



Kes berkenaan disebut di mahkamah hari ini dan kesemua 12 individu yang didakwa berhubung kes itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan atau tuduhan alternatif di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana 'menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan penganut Hindu dan sengaja lukakan perasaan penganut hindu'.

Mereka ialah Ibrahim Sabri, 42; Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36; Eyzva Ezhar Ramly, 35; Mohd Azmir Mohd Zain, 35; Ahmad Suhairy Zakaria, 39; Mohd Hilmi Ni, 40.


Mereka juga didakwa bersama enam orang lagi kerana menyertai perhimpunan haram, mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967.

Mereka ialah Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67; Mohd Jurit Ramli, 39; Mohammad Nordin Zakaria, 63; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md Harun, 39, dan Azhari Shaari, 39.
Mereka diwakili peguam Hashim Ibrahim, manakala timbalan pendakwaraya ialah Datuk Razali Che Ani.

Jumaat, 4 Disember 2009

Usaha Menjatuhkan Kerajaan Negeri Selangor, JAIS Pula Jadi Alat UMNO



Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa Umno-BN memperalatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menggugat kerajaan negeri. 

Khalid mendakwa kes tauliah agamanya yang ditarik balik oleh pihak Jais adalah salah-satu dari percaturan Umno untuk membedung pergerakan penceramah sepertinya. 




“ Hubungan yang begitu rapat dengan UMNO, dia menyalahgunakan kedudukan dia bertindak untuk menyekat pemimpin-pemimpin politik dan pemimpin masyarakat dari PAS, mengadakan program dalam masjidnya,maka tindakan yang seperti itu tidak boleh diterima kerana matlamat di sebalik tauliah adalah menentukan mengenai ajaran sesat” ujarnya. 

“ Sebenarnya memberikan gambaran bahawa Pengarah JAIS, bertindak atas desakan kepentingan politik, kerana kita tahu bahawa dia sebelum ini adalah pembantu kepada Tan Sri Mat Taib yang merupakan pimpinan UMNO” tambahnya lagi. 

Tauliah sementara Khalid yang diperoleh pada 10 Julai 2008 ditarik balik pada 8 Oktober 2008 atas alasan beliau mempunyai rekod jenayah tetapi kemudiannya JAIS mendakwa khutbah yang disampaikan oleh Khalid tidak mantap. 




Malah menurut Khalid, JAIS menghantar surat amaran tidak kurang dari lima kali kepada nazir-nazir masjid di Shah Alam untuk tidak menjemput penceramah yang tidak mempunyai tauliah termasuk dirinya. 

“ Saya meminta supaya mereka menerima hakikat negeri Selangor telah berubah, kerajaan negeri Selangor telah berubah dan seharusnya mereka menghayati dan menjiwai dasar keterbukaan dan budaya ilmu yang ingin dibawa oleh pentadbiran yang baru”.

Rabu, 2 Disember 2009

S'gor Lantik 42 Ketua Komuniti India



Satu sesi temuduga telah dijalankan di bangunan pentadbiran kerajaan negeri (SUK) untuk memilih ketua komuniti kaum India bagi 42 kampung dan kawasan perumahan yang ramai masyarakat India di seluruh Selangor.

Ini adalah langkah julung kali kerajaan Pakatan Rakyat melantik ketua komuniti yang mewakili masyarakat India sebagai sebahagian dari struktur pentadbiran di negeri Selangor.

Sesi temuduga tersebut dijalankan pada semalam dan kelmarin yang dihadiri oleh 90 orang calon, demikian menurut kenyataan sekretariat akhbar kerajaan negeri hari ini.

Mereka ditemuduga oleh panel pemilihan yang diketuai exco kerajaan negeri Yaakub Sapari dan Dr Xavier Jayakumar serta pembantu exco yang juga ADUN Sri Muda, Suhaimi Shafie.

Mereka dibantu oleh ketua penolong pegawai daerah serta penghulu mukim daerah masing-masing serta pegawai seksyen pihak berkuasa tempatan, Upen.

Antara lain matlamat perlantikan ini adalah untuk membolehkan kerajaan negeri menyampaikan maklumat kepada masyarakat India akar umbi melalui ketua-ketua komuniti yang akan dilantik nanti.

Selasa, 1 Disember 2009

Pengalaman Nik Nazmi Menyertai BTN



Pengalaman Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad menyertai program Biro Tatanegara pada tahun 2004 membuka minda beliau tentang betapa kejinya taktik kerajaan UMNO-Barisan Nasional menanam kebencian melalui biro itu.

Beliau turut menceritakan  kepada TV Selangor pengalaman diarah memberi kuliah subuh berdasarkan teks yang telah dirangka oleh pihak BTN.



Kandungan teks tersebut menjelaskan bahawa penangkapan tanpa bicara dan penyeksaan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah halal di sisi Islam.

"Macam saya juga kita diminta misalnya membaca kuliah subuh tapi kuliah subuh tersebut tidak diberi peluang untuk mahasiswa yang besar panjang ni untuk menyampaikan hujah mereka sendiri sebaliknya diberikan teks. Dan teks yang saya ingat, ialah Malaysia sebuah negara Islam dan satu lagi, ISA halal dari segi Islam," kata beliau.





Menurut Nik Nazmi lagi, peranan mahasiswa seolah-olah tidak wujud dalam program yang sepatutnya menitikberatkan aspek pengukuhan jati diri dan kewarganegaraan.

Apa yang dijamah oleh peserta-peserta BTN adalah cerpen yang mendakwa parti-parti pembangkang adalah ekstrem dan kolot.

Nik Nazmi menjelaskan beliau tidak menafikan bahawa perlu ada program kenegaraan untuk mahasiswa namun perkara yang dikesalkan beliau adalah modul politik sempit dan kebencian yang ditawarkan kepada para peserta.




Menurut pandangan beliau, BTN mengamalkan komunikasi satu hala dengan menyekat segala ruang untuk mahasiswa meluahkan input mereka.

"Kita tidak menafikan bahawa kita boleh adakan program kenegaraan, bahawa kita perlu tahu sejarah, kita perlu tahu masalah-masalah yang membebani masyarakat kita pada hari ini. Tetapi ia harus dibuat dengan suasana yang lebih terbuka, kurang partisan."

Beliau berpendapat sekiranya BTN mahu menerapkan unsur politik maka ia perlu mengundang hujah dari semua pihak dan bukan hanya monopoli UMNO-Barisan Nasional.




 "Dan pada masa yang sama, kalau betul nak dibawa masuk pandangan UMNO misalnya, saya tidak menyangkal mahasiswa berhak diberikankan exposure ataupun pendedahan daripada pegawai-pegawai tersebut tetapi bawa sama orang-orang lain, ahli akademik, bawa sama orang Keadilan, orang PAS, orang DAP supaya ada satu perbahasana ada wacana yang mana mahasiswa yang besar panjang yang kebanyakkannya boleh mengundi, boleh menilai," kata beliau.

Beliau menambah, unsur kepartian tidak harus dicampur adukkan dengan program BTN yang menjadi salah satu syarat kepada pegawai kerajaan dan pemegang biasiswa.



"Jadi isu kepartian yang saya rasa bukan pada tempatnya. Kalau kelab UMNO misalnya nak buat satu kursus, buat. Siapa nak datang, datang. Siapa yang tak nak datang, sudah. Tetapi ini program yang diwajibkan untuk semua pemegang biasiswa, untuk semua pegawai kerajaan dan berbentuk partisan. 

Jadi itu yang saya rasa sedikit kurang senang dengan program ini," kata beliau.Beliau turut mencadangkan kajian perlu dibuat secara lebih intensif dengan menubuhkan suruhanjaya diraja yang terdiri daripada ahli akademik untuk memantau modul program BTN supaya kembali ke matlamat asal.

Nik Nazmi mengulas, ini merupakan kejayaan moral bagi kerajaan negeri memperjuangkan hak rakyat supaya tidak ditindas oleh pihak UMNO-Barisan Nasional yang menerapkan input yang tidak sejajar dengan kehendak negara. 
–Hadri Yaziz

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails