Geng Aku

Selasa, 22 Disember 2009

Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan Letak Semua Jawatan Yang Dipegang.

Sehari selepas diperintahkan oleh mahkamah supaya tinggal berasingan dengan isteri keduanya kerana perkahwinan mereka diragui, Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan, Dr.
Rosli Allani Abdull Kadir hari ini mengumumkan keputusan melepaskan jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.

Rosli Allani, 35, bekas pegawai khas Anggota Exco Kanan Kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, yang pernah mendesak supaya menantu Datuk Nik Aziz Nik Mat segera meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, juga mengumumkan beliau akan melepaskan jawatannya yang lain dalam parti itu tetapi akan terus menjadi anggota Pas.



"Walaupun saya yakin saya berada di pihak benar, demi menjaga nama baik, integriti dan persepsi masyarakat ke atas Pas khususnya untuk mengelakkan Pas dari turut dibabitkan dengan masalah peribadi saya, maka saya akan meletakkan kesemua jawatan saya dalam Pas berkuatkuasa serta merta," katanya pada satu sidang akhbar di sini.

Beliau berkata surat peletakan jawatannya akan dihantar kepada Dewan Pemuda Pas Kelantan dalam masa terdekat.

Semalam, Rosli Allani diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini supaya tinggal berasingan sementara (mufarakah) dengan isteri keduanya, Ilyani Mohd Nor, 30, kerana perkahwinan mereka diragui memandangkan ia menggunakan khidmat satu sindiket di Subang, Selangor pada Disember tahun lepas.

Dalam pada itu beliau telah memaklumkan kepada Ketua Pemuda Pas Kelanatan, Abdul LatiffAbdul Rahman, berhubung hasratnya itu.

Beliau juga meminta akhbar yang menyiarkan berita mengenai masalah peribadi beliau supaya memohon maaf secara terbuka dalam tempoh tiga hari bagi mengelak tindakan undang-undang dikenakan.

Rosli Allani berkata beliau belum memutuskan sama ada mahu meneruskan kerjayanya sebagai doktor perubatan atau menceburi bidang lain.
- BERNAMA

Filem Santau Raih 2.8 Juta Selepas 12 Hari Ditayangkan.



SASARAN David Teo untuk melihat filem Santau karya terbaru terbitan syarikat produksinya, MIG Production untuk mencatatkan kutipan RM6juta mungkin sukar untuk dicapai.

Selepas 12 hari ditayangkan iaitu sejak 10 Disember lalu, filem lakonan Puteri Mardiana dan Esma Daniel itu memperolehi kutipan kasar RM2.8 juta.

Melihat kepada angka itu, David berharap filem arahan Zahari Zain itu boleh menghasilkan sekurang-kurangnya RM4 juta.








“Bulan ini, nampaknya penggemar wayang mempunyai banyak pilihan filem untuk ditonton. Ini secara tidak langsung memecah belah skop jualan tiket sesebuah filem yang ditayangkan. Kalau dapat memungut RM3 juta itu sudah memadai buat saya untuk filem seram tempatan,” katanya sewaktu dihubungi.

Menurutnya, filem tempatan belum cukup ‘antarabangsa’ yang boleh ditonton tiga bangsa utama di negara kita.

Ia berbeza sekali dengan filem terbitannya yang ditayangkan di Singapura yang menunjukkan 35 peratus ditonton oleh penonton Cina yang rata-ratanya adalah kelompok masyarakat tertinggi di negara terbabit.

“Di Malaysia, filem tempatan atau lebih tepat saya katakan sebagai filem Melayu hanya mampu menarik minat penonton bukan Melayu dalam skala 15 hingga 20 peratus. Saya berharap untuk mencambahkan peratusan kelompok penonton bukan Melayu ke 40 peratus pada masa mendatang,” tegasnya.

Filem Santau adalah karya seram MIG selepas filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak. Ia adalah filem ke-32 MIG. Filem ini turut dilakonkan Riezman Khuzaimi, Zul Handy Black, Lisdawati, Mariani, Bob Lokman, Farisya Fatin Faisal dan Hafidzuddin Fadzil.

Pendaftaran Pakatan Rakyat Di Tangan ROS - Presiden PAS



Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, apa yang dimaksudkan oleh beliau dalam kenyataannya baru-baru ini adalah Pakatan Rakyat masih belum dapat didaftarkan secara rasmi kerana ia masih dalam proses pertimbangan Pendaftar Pertubuhan atau ROS.

Penjelasan ini diberikan oleh beliau kepada Harakahdaily  ekoran kekeliruan yang dibuat oleh media berdasarkan kenyataan beliau sebelum ini.

Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Shamsury Mokhtar berkata, beliau telah diminta menjelaskan perkara ini oleh presiden PAS itu.



"Saya telah dihubungi oleh Tuan Guru Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS) pada hari ini dan telah dimaklumkan oleh Tuan Guru bahawa apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh beliau adalah:

"bahawa penubuhan Parti Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui secara bersama oleh ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat ini belum dapat didaftarkan secara rasmi kerana ianya masih dalam proses pertimbangan kelulusan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya.

Ustaz Hadi ketika bercakap kepada media selepas Konvensyen Blogger PAS dilaporkan berkata, tidak perlu terburu-buru untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat.




Ekoran itu, sebuah akhbar Cina melaporkan kononnya PAS tidak berminat untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat.

Dengan penjelasan ini bermakna, Ustaz Hadi bermaksud, Pakatan masih belum dapat didaftarkan secara rasmi kerana ia terletak di tangan ROS.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, pendaftaran Pakatan Rakyat mengambil sedikit masa kerana ia hak ROS.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails