Geng Aku

Sabtu, 26 Disember 2009

2.85 Juta Bumiputera Tidak Daftar Sebagai Pengundi




Kira-kira 65 peratus atau 2.85 juta daripada 4.38 juta rakyat negara ini yang berusia 21 tahun ke atas yang tidak mendaftar sebagai pengundi adalah Bumiputera, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.


Katanya, jumlah itu diperoleh selepas SPR membuat pemadanan dengan data penduduk berusia 21 tahun ke atas yang dimiliki Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).



Beliau berkata, daripada jumlah itu Selangor mencatatkan jumlah pengundi tidak berdaftar paling tinggi iaitu 787,500 diikuti Johor (605,00), Perak (527,000), Sarawak (475,000), Kuala Lumpur (350,000), Kedah (317,000) dan Sabah (280,000).

Ia diikuti Kelantan (247,000), Pulau Pinang (217,000), Pahang (200,000), Negeri Sembilan (154,000), Melaka (95,000), Terengganu (82,000), Perlis (32,000), Labuan (11,500) dan Putrajaya (7,200).

Beliau berkata, jika tidak ada usaha untuk menggiatkan kempen pendaftaran, jumlah mereka yang tidak berdaftar akan terus meningkat kerana setiap tahun ada kira-kira 450,000 individu mencapai berusia 21 tahun di seluruh negara.

“SPR mengenal pasti sikap sambil lewa atau tidak memberi keutamaan sebagai pengundi menjadi punca utama perkara ini berlaku, tetapi keadaan berubah menjelang setiap pilihan raya umum apabila SPR terpaksa memproses lebih satu juta permohonan dalam tempoh setahun sebelum pilihan raya diadakan.

“Justeru, SPR meminta semua pihak termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan penduduk supaya membantu usaha meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat untuk mendaftar sebagai pengundi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Wan Ahmad berkata, sehingga bulan ini, jumlah keseluruhan Daftar Pemilih Induk ialah 11.7 juta.

Mengenai kempen pendaftaran pemilih, katanya, proses pendaftaran dilaksanakan sepanjang tahun di 690 pejabat pos berkomputer, kaunter bergerak SPR dan menerusi 2,245 penolong pendaftar pemilih yang dilantik mewakili parti politik.

“Walaupun kempen pendaftaran kerap diadakan, tahap kesedaran di kalangan rakyat khususnya yang berusia 21 tahun ke atas masih rendah kerana mendaftar sebagai pengundi bukanlah mandatori kepada mereka yang layak,” katanya.

Mengenai pendaftaran secara automatik, Wan Ahmad berkata, pelaksanaannya memerlukan pindaan terhadap Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan seseorang warga negara adalah layak untuk didaftarkan sebagai pemilih sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.

Antaranya, sudah mencapai umur 21 tahun ke atas, menetap di mana-mana Bahagian Pilihan Raya di Malaysia dan tidak hilang kelayakan untuk menjadi seorang pemilih.


“Ketika ini, SPR menjadikan pangkalan data JPN sebagai sumber rujukan utama dan secara anggaran ada lebih 3 juta rakyat negara ini tidak mengemaskinikan alamat semasa berbanding yang tertera dalam MyKad masing-masing.

“Jika pendaftaran secara automatik dilaksanakan, SPR bimbang proses pengundian akan menjadi kelam-kabut dan ini boleh menjejaskan peratusan mengundi,” katanya.

UMNO Pasang Startegi Huru Harakan PR Di Selangor?



Umno dipercayai sedang menggerakkan satu perhimpunan kononnya untuk mendesak agar PAS Selangor keluar dari Pakatan Rakyat.

Menurut satu sms yang dihantar kepada Harakahdaily, perhimpunan itu akan diadakan esok 27 Disember jam 11 pagi  di perkarangan pejabat perhubungan PAS Selangor dekat sini.

Dalam perhimpunan itu, sms itu memaklumkan, satu memorandum akan diserahkan dan menurutnya memo itu akan diterima sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.



"Datanglah beramai-ramai demi kepentingan Melayu...," tulis sms itu.

Ketika disemak dari penghantar sms itu, didapati sumbernya adalah penggerak Umno di negeri ini.

"Dia nak ambil kesempatan dari isu yang berlaku di Selangor sekarang untuk memecahkan PAS," kata sumber yang menghantar mesej ini kepada Harakahdaily.



Sementara itu, blogger Raja Petra Kamarudin dalam tulisannya memberitahu, para pemimpin Umno telah memberitahu orang-orangnya dalam agensi kerajaan negeri ini bahawa Barisan Nasional akan mengambil alih Selangor Januari ini.

Ekoran itu, katanya, banyak agensi kerajaan negeri yang masih dipimpin oleh penyokong Umno 'tidak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya'.



Ini kerana, mereka menunggu apakah kerajaan negeri Pakatan di Selangor ini akan jatuh atau tidak ke tangan BN Januari ini sebagaimana yang dijanjikan pemimpin Umno itu.


Adalah dipercayai, jika benarlah tulisan Raja Petra ini bermakna antara strategi Umno adalah dengan memecahkan PAS di Selangor dan seterusnya memecahkan Pakatan Rakyat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails