Geng Aku

Khamis, 12 November 2009

Nizar V'8! Tunggakan gaji, KWSP masalah lapuk: Nizar



Tunggakan gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membelenggu Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) adalah masalah lapuk, bukan berlaku pada era pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, dakwaan individu atau kumpulan tertentu adalah bermotifkan usaha mendapatkan pengaruh bagi mengambil alih teraju persatuan.

Menurutnya, beliau sedar akan masalah ini yang menyebabkan Perak tidak layak untuk bertanding dalam Liga Malaysia tahun depan berikutan kegagalan memenuhi syarat ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 




"Bagaimanapun, saya bersama ahli majlis Pafa akan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini supaya pasukan Perak dapat beraksi semula dalam pertandingan tahun depan.

"Walaupun hakikatnya itu masalah lapuk yang berlaku sebelum saya mengambil alih teraju persatuan lagi, tapi atas rasa tanggungjawab dan hasrat untuk memartabatkan pasukan bola sepak Perak, masalah ini akan diatasi," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pasukan bola sepak Perak antara enam pasukan yang tidak layak bertanding dalam Liga Malaysia tahun depan setelah didapati gagal memenuhi syarat ditetapkan FAM.

Mohamad Nizar berkata, isu itu sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu yang mahu menyingkirkan beliau dari jawatan Presiden, walaupun masalah berkenaan wujud sejak sekian lama tapi mereka menuding jari ke arahnya. 




Katanya, jawatan yang disandangnya ini adalah hasil sokongan ahli-ahli gabungan, selagi mereka memerlukan, beliau akan meneruskan kerja seperti biasa dan dalam masa yang sama akan memikirkan pendekatan terbaik menyelesaikan masalah dialami.

"Saya tidak mahu persatuan terus dihimpit masalah dan akhirnya pemain menjadi mangsa, kita akan berusaha sedaya upaya untuk melunaskan segala hutang lapuk yang ditanggung persatuan," katanya. 




Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai nasib semua pasukan itu bergantung sepenuhnya kepada mesyuarat Majlis FAM yang akan dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails