Dewan Pemuda Pas Pusat mengambil langkah proaktif `turun padang` segera bagi mengenalpasti kelemahan dan punca golongan muda kurang berminat menyertai parti itu.
Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, langkah itu adalajh susulan hasil kajian Pensyarah Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah yang dibentangkan pada Seminar Memperkasakan Parti, Sabtu lalu bahawa parti itu kurang mendapat tempat di hati generasi muda.
“Walaupun itu adalah satu kajian persepsi yang diambil daripada sejumlah responden tetapi kami sebagai salah satu sayap parti, tidak memandang ringan perkara ini.
“Jika kelemahan itu dapat dikenal pasti, barulah kita boleh menentukan bentuk program yang sesuai selari dengan kehendak generasi muda kini,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sidang media khas selepas mengadakan pertemuan secara tertutup bersama Pensyarah Undang-Undang, Prof Dr Abdul Aziz Bari di Ibu pejabat Pas Pusat, di sini, semalam.
Nasruddin berkata, pertemuan secara tertutup selama kira-kira dua jam itu berkisar perbincangan peranan yang perlu diambil oleh Dewan Pemuda Pas ke arah memperkasa parti dan memperkukuhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat.
“Pertemuan ini adalah lanjutan daripada seminar tempoh hari. Kita wajar mendengar dan mendapat penjelasan lanjut asas-asas kritikan dan teguran yang dilemparkan Aziz dalam tulisannya di Sinar Harian.
“Semasa seminar itu masa yang diberikan juga agak singkat iaitu 20 minit tetapi hari ini (semalam) kita berkesempatan selama dua jam mendapat pandangan dan melontar idea. Apa yang kita dapat adalah positif,” katanya.
Beliau berkata, pertemuan itu juga membuktikan keterbukaan Pemuda Pas mendengar kritikan dan pandangan daripada `orang luar`.
“Pertemuan ini adalah satu bentuk tindakan yang diambil oleh Dewan Pemuda Pas sejurus selesai seminar tempoh hari bagi melaksanakan beberapa tindakan susulan yang perlu diambil secara pro aktif terutama hasil kajian Dr Abu Hasan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan