Geng Aku

Khamis, 12 November 2009

Nizar V'8! Kerajaan Kelantan Berkeras Mahukan Royalti.

“Sepatutnya kerajaan pusat yang mendapat ihsan daripada negeri, bukan negeri dapat ihsan daripada pusat sebab itu adalah hak negeri.”Demikian tegas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) selepas menyampaikan kuliah perdana di Masjid Majidiah, Pasir Puteh dekat sini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas lanjut isu pemberian wang ihsan petroleum yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak minggu lepas.

Mengambil kira fakta perjanjian awal tahun 1970-an berhubung perkara berkenaan, Nik Aziz berkata, keputusan yang dibuat kerajaan pusat adalah terbalik dan bercanggah kerana mengingkari perjanjian yang jelas mengatakan royalti hasil daripada pengeluaran bahan api itu menjadi hak milik mutlak rakyat Kelantan.

Oleh yang demikian tiada sebab kerajaan pusat menukar ganti istilah royalti kepada wang ihsan.



Selain itu, pemberian wang ihsan yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) adalah satu perbuatan khianat sedikitpun tidak menunjukkan ciri-ciri keadilan kerajaan pusat dalam menjaga kebajikan rakyat Kelantan.

Perjanjian bayaran royalti sebanyak lima peratus daripada hasil pengeluaran petroleum kepada negeri-negeri terbabit termasuk Kelantan dibuat pada awal 1970-an, yang ditandatangani pengerusi Petronas, Tengku Razaliegh Hamzah (pada masa itu), selepas dipersetujui Perdana Menteri Tun Abdul Razak.

Kelantan diwakili Menteri Besarnya, Datuk Mohd Nasir.

Kerajaan Kelantan membuat tuntutan tersebut pada awal tahun ini selepas menerima laporan daripada Bank Data Malaysia 2007 yang menyenaraikan Kelantan sebagai negeri utama dalam industri petroleum bersama Sabah dan Terengganu dengan nilai pertumbuhan sebanyak 62.5 peratus berbanding Sarawak 37.5 peratus sejak 2004.




Minggu lalu Najib mengumumkan kerajaan persekutuan akan memberi wang ihsan kepada Kelantan mulai tahun depan dalam bentuk projek pembangunan.

Nik Aziz yang dari dulu mempertahankan bayaran royalti menjelaskan, pada asasnya beliau tidak mengambil kira sangat jenama apa yang ingin gunakan oleh kerajaan pusat asalkan ia dibuat secara telus serta adil mengikut perjanjian sebelum ini.

“Nak guna nama ihsan ke… apa ke, ikut dia lah. Tapi biarlah disalurkan terus kepada kerajaan negeri. Jangan dipolitikkan. Tak betul sebab itu hak rakyat,” katanya.

Nik Aziz turut menjelaskan motif yang tersirat di sebalik tindak-tanduk keputusan Najib menyalurkan pemberian tersebut melalui agensi di bawah pentadbirannya adalah semata-mata untuk menggambarkan kelemahan kerajaan negeri di mata rakyat dalam usaha membangunkan kemajuan negeri.

“Saya yakin rakyat tidak mudah terperangkap dengan jerat kerajaan Umno. Tapi Umno harus berwaspada takut jeratnya itu terkena diri sendiri,” kata beliau sambil menambah, kerajaan negeri akan menjelaskan isu tersebut kepada rakyat secara terperinci.

Pada 4 November lalu, Nik Aziz berkata, beliau bersyukur dengan pemberian wang ihsan oleh kerajaan pusat, namun masih terkilan kerana permintaan bagi pembayaran royalti minyak masih tidak dipenuhi.

“Tapi hati kecil saya tidak puas hati dengan nama wang ihsan. Yang kita mahukan ialah wang royalti,” kata beliau dalam reaksi awalnya. themalaysianinsider.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails