Geng Aku

Isnin, 9 November 2009

Tuah Raja Gelek Untuk One Nation Emcees

KUMPULAN One Nation Emcees merupakan antara kumpulan yang menduduki lima tempat teratas dalam pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik yang diadakan pada hari Jumaat yang lalu.
Kumpulan yang terdiri daripada empat anak muda iaitu Mohd Norzaidi Edris (Zydee), Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae), Nur Hasan Baias (Jojoe) dan Shamimi Amalina Norhisham (Mimi) telah memambat hati para juri pada malam tersebut menerusi lagu mereka yang berjudul Raja Gelek hasil nukilan kumpulan itu sendiri dan Damien Mikhail.

Satu-satunya wanita dalam kumpulan tersebut, iaitu Shamimi Amalina Norhisham atau lebih dikenali sebagai Mimi berkata dia mengalami sakit kerongkong pada hari itu dan tidak berupaya untuk bercakap dengan kuat.

“Saya terpaksa menjerit dengan kuat sepanjang hari untuk mengembalikan suara saya agar saya boleh menyanyi pada malam ini,” kata Mimi selepas pertandingan itu pada hari Jumaat yang lalu.

Ianya merupakan satu pengalaman baru bagi Mimi serta ahli kumpulannya kerana terpilih untuk membuat persembahan dengan ramai lagi artis-artis lain yang amat berbakat.

“Kami terkejut apabila diumumkan sebagai antara lima kumpulan terbaik pada malam ini.
“Ini merupakan satu bonus bagi kumpulan kami,” kata Mimi lagi.

penyanyi ini juga terkejut kenapa Jaclyn Victor tidak terpilih menduduki lima tempat teratas dan mengagumi persembahan Yuna.
“Saya sukakan persembahan Yuna pada malam ini. Dia merupakan seorang artis yang memiliki segalanya sebagai satu pakej,” tambah Mimi lagi.

Apabila ditanya mengenai kategori terbuka pertandingan Muzik-Muzik pada kali, pada pendapat Mimi, para juri memilih lagu-lagu yang unik untuk menduduki lima tempat teratas.
“Para juri memilih penyanyi yang mempersembahkan lagu mereka dengan cara yang unik, dan melihat dari aspek bagaimana seseorang penyanyi itu dapat mempersembahkan lagu secara kreatif pada malam ini,” ujar Mimi Lagi.

Kumpulan One Nation Emcees juga telah memenangi rancangan realiti 'Geng Stars' pada tahun lepas.

Mereka juga memiliki Syarikat ‘Event Management’ bernama One.Nation.Emcees Sendirian Berhad yang ditubuhkan pada bulan Mei lalu.

Sementara itu, Mimi juga berkata yang jadual Kumpulan One Nation Emcees sangat padat untuk bulan November dan Disember ini.

Mereka kini sibuk merakamkan album pertama mereka selepas memenangi pertandingan 'Geng Stars' musim kedua pada tahun lalu dan album itu dijangka akan keluar pada awal tahun hadapan.

Lagu Raja Gelek merupakan single pertama kumpulan ini manakala Bisikan Cinta yang dimana liriknya juga ditulis oleh kumpulan ini adalah single kedua mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails