Geng Aku

Isnin, 9 November 2009

Speaker: Badrul belum dianggap ADUN Bebas


 Badrul Hisham

ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah setakat ini masih belum dianggap sebagai wakil Bebas kerana speaker dewan undangan negeri (DUN) Selangor, masih belum menerima notis rasmi daripada bekas wakil rakyat PKR tersebut.

Speaker Teng Chang Khim berkata beliau kini meletakkan kerusi Badrul di satu ruang yang hampir dengan blok BN kerana Badrul telah menyatakan sokongan kepada parti itu.

Teng menjelaskan, Badrul perlu menghantar notis rasmi kepadanya untuk dilayakkan sebagai wakil rakyat bebas di DUN berkenaan.

"Beliau kini berada di pulaunya sendiri. Anda boleh lihat dia kini berada (di kedudukan) terasing. Tidak ada tempat lain lagi untuk letakkan dia, jadi saya letak dia di situ.

"Ianya lebih dekat dengan pembangkang sebab dia kata dia sokong pembangkang. Tapi dia perlu dijarakkan daripada pembangkang sebab dia bukan daripada pembangkang," tambahnya.

Teng telah menulis kepada Badrul untuk mengesahkan kedudukannya, susulan daripada kenyataan terbuka ADUN Pelabuhan Klang itu untuk menjadi wakil Bebas tetapi setakat ini masih belum mendapat jawapan.

"Kita telah menulis kepadanya, tapi dia belum membalas dan ini sangat tidak patut. Kita telah minta dia sahkan tetapi dia tidak sahkan, jadi pagi ini saya letakkan dia di situ dan dia tidak membantah," katanya.

Ikut cara politik



Speaker Selangor


Menurut Teng lagi, beliau juga tidak mempunyai kuasa untuk memecat Badrul sebagai wakil rakyat, melainkan membiarkan ia dilakukan secara politik.

"Semuanya secara politik. Menurut undang-undang saya tidak boleh paksa Badrul meletak jawatan sebagai wakil rakyat, tetapi tentullah ada cara politik," katanya semasa sidang dewan berhenti rehat tengahari ini.

"Jika mereka hendak paksa, ianya secara demonstrasi. Jika mereka ada memorandum, mereka boleh datang dan berikan kepada (Badrul). Kalau tak boleh hubungi dia, boleh hantar melalui pejabatnya," katanya lagi.

"Dia tidak ada buat apa-apa kesalahan. Dia tak ada lakukan apa-apa yang melanggar perlembagaan, jadi tidak ada apa yang saya boleh lakukan," kata Teng lagi.

Dalam pada itu, Teng turut mengecam tindakan sebilangan penyokong Pakatan Rakyat hari ini yang menyinggung perasaannya dengan bertindak menghantar memorandum bantahan untuk ADUN Pelabuhan Klang melalui pejabatnya.

Kira-kira 30 penyokong Pakatan mengadakan demonstrasi di perkarangan DUN berkenaan pagi ini bagi mendesak Badrul meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Teng berkata beliau ada mengarahkan seorang petugasnya untuk menerima memorandum tersebut kerana menganggap dokumen tersebut ditujukan kepadanya.

Menyalahi protokol


"Untuk meredakan ketegangan, saya beri arahan untuk terima memorandum tersebut, tetapi apabila saya baca, saya dapati ianya adalah untuk wakil daripada pejabat saya untuk serahkan kepada Badrul, saya rasa tersinggung," katanya.

Jelasnya, tindakan itu juga menyalahi protokol dan sesuatu yang tidak sopan kerana pejabat speaker tidak boleh dianggap sebagai "pejabat pos" apabila diperlakukan sebegitu.


Nik Nazmi


"Bila Badrul enggan jumpa mereka, (ADUN Seri Setia yang juga setiausaha politik menteri besar (Nik Nazmi Nik Ahmad) menawarkan diri untuk terima memeroandum itu dan serahkan kepada Badrul, tapi mereka enggan.

"Mereka bertegas supaya wakil daripada pejabat speaker datang jumpa mereka dan serahkan memorandum kepada Badrul.

"Pejabat speaker bukanlah sebuah pejabat pos. Speaker bukan seorang posmen dan saya rasa ini menyalahi protokol dan sangat tidak sopan," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails