Geng Aku

Isnin, 9 November 2009

Sazali Juara Bantamweight Bina Badan Dunia Di Dubai




Jaguh bina badan negara Sazali Samad menambah koleksi kejuaraan dunianya apabila muncul juara kategori Bantamweight pada kejohanan bina badan Persekutuan Bina Badan dan Sukan Tubuh Dunia (WBPF) kali pertama di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu yang berakhir hari Ahad.

Sazali mengetepikan empat pencabar utama -- Alaa Hlail Mohsin (Iraq), Somkhit Sumelhowetchakun (Thailand), Nguyen Van Lam (Vietnam) dan Milef Ahmed Alghamdf (Arab Saudi).

Beliau pernah memenangi gelaran Mr Universe pada kejohanan dunia di Melaka (2000), Moscow (2004) dan Ostrava, Czech Republic (2006), kesemuanya dalam kategori Bantamweight, serta di Jeju Island, Korea Selatan (2007) bagi kategori Lightweight.




Sementara itu, Buda Anak Ancang, yang membuat penampilan kali pertama, menduduki tempat keempat kategori Flyweight dalam saingan melibatkan lima peserta dengan peserta-peserta lain adalah Pongkan Jiraphan (Thailand), Yousif Ahmed Hasan (Iraq), Mohamad Azli Jumat (Brunei Darussalam) dan Heydari Mahdi (Iran).

Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia Lt Komander Kamaruzaman Kadir berkata kemenangan Sazali sudah diduga tetapi bagi Buda, ia jelas satu kejutan.

"Pencapaian Buda sangat membanggakan berikutan ini pertandingan pertama beliau dalam kategori itu. Pencapaian cemerlang ini adalah hasil kerja keras selama beberapa bulan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Dubai hari Ahad.




Kontinjen Malaysia seramai enam anggota ke Kejohanan WBPF yang bermula 3 Nov diketuai Presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia Datuk Wira Gan Boon Leong.

Selain Sazali dan Buda, dua lagi atlet bina badan negara bersaing dalam kejohanan itu iaitu Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (Light Weight) and Othman Yahya (Light Heavyweight).

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails