LIMA tahun berpayung di bawah stesen Radio Era sambil menjalani setiap momen manis dan emosi menggembirakan, penyampai radio terkenal, Nurul Hana Che Mahazan atau satu Malaysia mengenalinya sebagai Nana mengaku terbuka menerima perpindahannya ke tempat baru, X FM.
Tidak pernah sesekali berduka mahupun menangisi dengan mandat baru untuk berpindah ke stesen radio lain, wanita jelita berusia 26 tahun itu tetap akur dengan keputusan muktamad orang kuat Era, Nazri Noran dan pihak pengurusan AMP Radio Networks.
Benar, nampaknya selepas ini tiada lagi kedengaran suara dan keletah ceria Nana berkumandang menghiburkan hati yang rawan seperti peminat terbiasa dengar di Era bermula tahun 2004.
Mulai 23 November ini, Nana dengan dengan rasminya bergelar penyampai X FM sekali gus stesen radio yang disasarkan untuk golongan muda itu dilihat menjadi tempat berteduh baru untuknya selepas menabur jasa dan bakti yang tidak terbalas di Era.
Nana yang dihubungi Kosmo! kelmarin berkata berita pertukarannya daripada Era ke X FM disampaikan sendiri oleh Nazri pada 11 November lalu lantas dia harus mengucapkan salam perpisahan kepada seluruh pengikutnya pada Jumaat lalu.
"Pada waktu itu saya memang terkejut apabila dikhabarkan oleh Nazri tentang perpindahan saya ke X FM. Terus-terang, saya sedikit tergamam apatah lagi kalau diikutkan saya adalah penyampai paling senior di situ.
"Setelah dijelaskan tentang relevannya perkara ini, barulah saya faham dengan kedudukan sebenar dan niat baik pihak pengurusan yang inginkan saya mencipta lebih banyak kejayaan walaupun berada di stesen radio lain.
"Alhamdulillah, saya dapat menerima pertukaran ke tempat baru dengan rela hati tanpa sedikitpun membantah dengan apa yang sudah dirancangkan oleh AMP Radio Networks.
"Lagipun saya tidak kisah kerana selagi dapat melakukan kerja yang diminati sepenuhnya dalam bidang penyiaran radio ini, ia sudah cukup membahagiakan hati saya.
"Tipulah kalau saya cakap tidak sedih langsung apabila kena bertukar ke tempat kerja lain. Tetapi pertukaran ini dianggap sebagai perkara yang positif. Apa saja yang dirasakan terbaik oleh pihak pengurusan maka bagus jugalah kepada saya," katanya dalam lontaran suara berbaur angin optimis.
Biarpun begitu, Nana tidak mampu menipu diri sendiri apabila memperkatakan tentang seribu kemanisan yang dikecapi dengan Era sebelum ini. Stesen radio itu baginya, ibarat kehidupan untuk manusia bernama Nana.
"Sejak menyertai Era beberapa tahun lalu, saya begitu komited menjalankan tugas yang diamanahkan sebagai penyampai. Ditambah kerjaya ini merupakan minat utama maka saya sentiasa belajar bermacam-macam perkara baru tentang dunia penyiaran radio.
"Tidak terkecuali, saya sentiasa berusaha sedaya-upaya untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa.
"Disebabkan sanggup menumpahkan seluruh jiwa dan raga terhadap stesen radio ini sampaikan saya anggap 'darah hijau' Era ibaratnya sudah mengalir laju dalam tubuh serta sebati dengan diri selama ini.
"Selain itu, Era menjadi tempat saya menimba pengetahuan dan pengalaman baru dalam hidup. Masakan tidak, saya mula bertatih dan menapak sebagai penyampai dengan stesen radio ini," akui anak kelahiran Muar, Johor Darul Takzim itu dalam nada tenang.
Sepanjang tempoh lima tahun bersatu dengan Era, tidak dinafikan banyak mengajar Nana tentang definisi kesabaran apatah lagi stesen radio itu sebelum ini meraih carta sebagai yang terunggul di Malaysia.
"Saya jadi lebih sabar sebab semasa Era berada di tempat pertama sebagai stesen radio yang mendapat jumlah pendengar tertinggi, kami tidak sunyi daripada kritikan sesetengah pihak di luar sana.
"Ada ramai orang yang asyik memerhatikan segala tindak-tanduk kami sekali gus menunggu waktu yang sesuai untuk mengutuk segala salah dan silap Era. Situasi ini membuatkan saya perlu bersedia untuk menerima segala hakikat dan tekanan.
|
|
"Secara tidak langsung, ia menjadikan saya sebagai insan yang tabah untuk berdepan dengan segala rintangan dan dugaan," luah Nana bersungguh-sungguh.
Nana tidak bermasalah
Perpindahan isteri kepada Pengurus Saluran Hitz FM, Mohd Raqeem Brian itu turut menyebabkan tersebarnya khabar angin bahawa dia mengalami masalah disiplin atau dengan individu tertentu di Era, lantas pihak pengurusan terpaksa mengambil keputusan drastik untuk menggugurkan namanya keluar daripada deretan para penyampai Era.
"Kalau saya bermasalah, anda boleh tanya sendiri kepada Nazri tentang penilaian prestasi mutu kerja saya. Sedangkan pihak pengurusan mengakui saya menjadi antara pekerja yang menunjukkan semangat tinggi dan bekerja keras selama ini.
"Saya sendiri merasakan diri sudah melakukan yang terbaik sepanjang berada dengan stesen radio ini. Terus-terang, saya tidak pernah buat hal dengan pihak pengurusan, penyampai-penyampai dan skuad Era.
"Cuma Nazri dan pihak AMP Radio Networks memberikan alasan saya ditukarkan ke tempat lain bagi menambahkan kekuatan lalu menaikkan jumlah pendengar di X FM. Memang tidak timbul isu saya bermasalah," tutur Nana serius sambil mempertahankan dirinya.
Mengulas tentang kemasukan Dina yang sebelum ini bertugas di X FM ke Era, Nana berpendapat ia membuktikan Era sentiasa membuka peluang kepada penyampai baru untuk melakar kejayaan dalam bidang penyiaran radio.
"Tiada salahnya kalau hendak bagi peluang kepada muka baru. Sebelum ini kita sendiri sudah mengetahui kemampuan Dina setelah dia melibatkan diri sebagai penyampai.
"Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Dina yang bakal meningkatkan populariti Era selepas ini. Kalau dia ada apa-apa masalah, jangan malu untuk bertanya kepada sesiapa saja termasuk saya yang lapang dada untuk membantu," jelasnya berterus-terang.
Bakal memulakan tugas di konti baru, Nana turut berbicara tentang perancangannya bersama stesen X FM. Dia menyedari bukan mudah untuk memikul tanggungjawab untuk melestarikan nama stesen radio itu.
|
|
"Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan yang mempercayai 100 peratus kebolehan saya untuk memajukan X FM pada peringkat lebih tinggi. Saya berikrar untuk menunjukkan kesungguhan di tempat kerja baru sekali gus mencapai ekspektasi yang dimahukan oleh AMP Radio Networks.
"Biarpun begitu, saya sebagai manusia biasa hanya mampu merancang. Selebihnya Tuhan yang menentukan. Paling pasti, saya tidak sabar untuk memulakan kerja pada hari Isnin depan dengan pasukan baru sambil menjunjung azam tinggi.
"Sepatutnya saya mula masuk kerja pada 16 November lalu. Tetapi kebetulan saya bercuti dan hanya memulakan tugas seminggu kemudian. Diharapkan peminat terus memberi sokongan yang padu walaupun selepas ini saya akan berkhidmat di X FM," jawab Nana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan