Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap akan mengetuai Pakatan Rakyat walaupun ada cadangan supaya Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik sebagai penasihat gabungan pembangkang itu, kata seorang ahli parlimen PKR.
"Jelaslah Anwar (mempengerusikan Pakatan). Perkara ini sudah dipersetujui dari awal lagi, (sejak) daripada (penubuhan) Barisan Alternatif kepada Pakatan Rakyat," kata wakil rakyat Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin.
"Anwar dipersetujui untuk mengetuai (Pakatan). Apabila insya Allah kita menang dalam pilihan raya umum yang akan datang, kita akan angkat Anwar sebagai perdana menteri Malaysia."
Datuk Zaid Ibrahim, seorang anggota biro politik PKR yang ditugaskan untuk mengukuhkan gabungan itu, baru-baru ini mencadangkan Nik Aziz dilantik sebagai "pemimpin rohani" Pakatan.
Diwawancara ahli sains politik Prof Dr Mohammad Agus Yusoff yang mengendalikan program popular itu, Zulkifili bagaimanapun berkata perkara itu akan dibincangkan dalam sebuah konvensyen tiga parti itu pada pertengahan bulan depan.
"Yang Datuk Zaid maksudkan, kita letakkan Tok Guru Nik Aiz sebagai faktor penyatu kerana
kewarakannya," katanya.
"Bagaimanapun, kita tunggu perbincangan Disember ini sama ini kita setuju struktur seperti itu atau kita hendak kekalkan seperti sedia ada ini."
Ditanya perbezaan peranan antara seorang "pemimpin rohani" dan pengerusi Pakatan, Zulkifili berkata:
"Pemimpim rohani seperti penasihat, (beliau) boleh beri teguran dan berada di atas parti."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan