Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, akan menyokong sesiapa sahaja individu yang dicalonkan pucuk pimpinan tertinggi bagi bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh.
Ketua Penerangan PKR Negeri, Ibrahim Yusof berkata, pihaknya akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja calon diletakkan, sekiranya pilihan raya kecil di DUN tersebut diadakan kelak.
“Kita di peringkat pimpinan negeri sentiasa menyokong sesiapa sahaja calon dinamakan, malah akan memberi sokongan penuh dalam setiap aktiviti berkempen.
“Tidak kira calon dari Pas, PKR atau DAP sekalipun, kita akan sokong. Soal siapa bertanding itu tidak penting, yang lebih penting kita dapat merampas kembali kerusi di Kota Seputih, sekali gus memantapkan lagi Pakatan Rakyat dalam kalangan masyarakat.
“Kita yakin, masyarakat setempat pasti akan menyokong PR, sekali gus memberi peluang kepada calon daripada PR mentadbir di kawasan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Rebin Birham berpendapat, pihaknya juga akan memastikan setiap perancangan dan program diatur bagi pilihan raya kecil itu kelak berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Katanya, pemuda akan sentiasa bekerja keras dan bersiap sedia membantu calon bertanding bagi mengecap kejayaan.
Tambah Rebin, Barisan Nasional atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu bersusah payah membuat rayuan dan menafikan keputusan mahkamah kerana itu adalah satu kerja yang sia-sia.
“Terimalah keputusan dengan hati terbuka dan bersikaplah profesional dengan apa yang diputuskan oleh mahkamah, tidak perlu rasa takut untuk berdepan dengan pilihan raya kecil di situ,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan