Geng Aku

Khamis, 19 November 2009

Nizar V'8! Malaysia Gagal Ke Piala Asia 2011.



Peluang Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2011 tertutup selepas tewas 1-3 kepada Uzbekistan pada perlawanan kelayakan kumpulan C, Piala Asia 2011 di Stadium Nasional Bukit Jalil Rabu malam.

Uzbekistan jelas berada dalam kelasnya tersendiri apabila menguasai sebahagian besar permainan dengan hantaran-hantaran tepat dan kemas selain kelebihan dari segi fizikal.



Namun skuad bimbingan jurulatih Mirdjalal Kasimov [gambar] itu yang mempunyai deretan peluang untuk menjaringkan gol terpaksa menunggu sehingga minit ke-32 melalui hasil tandukan pemain pertahanannya, Anvar Gafurov berpunca daripada satu sepakan sudut yang menerjah jaring menewaskan penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias.


Skuad kebangsaan yang dibimbing K.Rajagobal [gambar] bagaimanapun turut mempunyai dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol pembukaan, namun disia-siakan begitu sahaja.

Bersambung babak kedua, Uzbekistan terus menguasai permainan dengan mengatur beberapa serangan berbahaya namun gagal menembusi gawang Mohd Farizal.

Usaha pelawat akhirnya berjaya apabila menambah gol kedua mereka pada minit ke-58 melalui sepakan leret Bakhodir Nasimov yang menyudahkan hantaran lintang rakan sepasukan, Jasur Hasanov di dalam kotak penalti.



Bagaimanapun anak-anak buah Rajagobal bangkit untuk mengurangkan defisit gol apabila Baddrol Bakhtiar menjaringkan gol pertama Malaysia hasil rembatan kencang di dalam kotak penalti untuk menceriakan kira-kira 200 peminat-peminat tempatan.

Namun gol itu hanya bertahan dua minit sebelum kapten Uzbekistan, Timur Kapadze menjaringkan gol ketiga dengan rembatan kencang untuk kedudukan akhir 3-1, keputusan sama ketika pusingan pertama perlawanan di Taskhent pada Sabtu lepas.



Mengulas mengenai perlawanan itu Rajagobal berkata beliau sedar perlawanan ini merupakan sesuatu yang sukar walaupun bermain di tempat sendiri kerana perbezaan daripada beberapa aspek terutama teknikal.

"Kita memang merasai kehilangan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak (penggantungan kad kuning) di barisan serangan kerana pemain itu boleh menggunakan kepantasan lariannya untuk menekan lawan.

"Namun secara keseluruhan pemain-pemain muda negara telah mempunyai keyakinan apabila berjaya bangkit dengan satu gol setelah ketinggalan dua gol kepada lawan," katanya kepada pemberita yang ditemui selepas perlawanan itu.

Beliau berkata pasukan ini memang memerlukan perlawanan-perlawanan kompetitif seperti ini bagi membentuk satu pasukan kebangsaan yang baik di peringkat antarabangsa.

Malaysia yang tewas kesemua dua perlawanan terdahulu kini hanya mempunyai baki satu perlawanan menentang Emeriyah Arab Bersatu (UAE) pada Januari tahun depan manakala Uzbekistan telah mengesahkan tempat mereka ke Piala Asia 2011 di Qatar dengan mengumpul sembilan mata.

UAE pula yang kini mengumpul tiga mata hanya memerlukan satu mata daripada baki dua perlawanan menentang Malaysia pada Januari depan dan Uzbekistan pada 3 Mac tahun depan untuk mengesahkan tiket ke Qatar selaku pasukan di tempat kedua kumpulan C.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails