MCA akan melancarkan 'Skuad Prihatin Masyarakat' awal tahun depan dalam usahanya mengembalikan sokongan dan keyakinan rakyat khususnya masyarakat Cina terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN).
Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, perkhidmatan bergerak itu akan menyediakan kemudahan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan termasuk kaunseling, guaman, kesihatan serta perkhidmatan lain yang sesuai.
Menurutnya, skuad itu juga akan memberi perhatian kepada masalah kemiskinan bandar sesuai dengan gagasan 1Malaysia yang memberi keutamaan kepada rakyat.
''Apabila kita bercakap mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13, perkara penting adalah sejauh mana kita dapat merapat dan menjalin hubungan baik dengan rakyat dan menyahut gagasan 1Malaysia.
''MCA bertekad untuk mengembalikan sokongan dan keyakinan rakyat khususnya masyarakat Cina kepada parti itu dan BN menjelang pilihan raya,'' katanya selepas merasmikan Malam Kebudayaan di Kompleks Rakan Muda Daerah Besut di Kampung Raja dekat sini malam tadi.
Ong yang juga Menteri Pengangkutan berkata, dalam menghadapi pilihan raya, banyak cabaran yang perlu dihadapi, namun MCA tetap komited untuk melaksanakannya meskipun di kawasan yang tidak diwakili oleh wakil rakyat dari parti itu.
Menerusi Skuad Prihatin Masyarakat, katanya, penglibatan MCA di peringkat negeri akan dikaji oleh satu panel, dengan keutamaan tertumpu kepada menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di semua peringkat.
"Sama ada MCA mempunyai wakil rakyatnya atau tidak, tanggungjawab kita sebagai sebuah parti komponen pemerintah tidak pernah diabaikan dan banyak pihak yang masih tidak mengetahui hakikat ini," jelasnya.
MCA, katanya, bukan sahaja mendirikan sekolah bagi menampung keperluan masyarakat Cina di negara ini malah sekolah yang merosot bilangan pelajarnya terutama di kawasan luar bandar ekoran penghijrahan turut diberi perhatian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan