Geng Aku

Sabtu, 14 November 2009

Nizar V'8! Amy Search Mahu Tubuh Sekolah Tahfiz

Amy, atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, bercadang membina sekolah Tahfiz di Johor. -Foto THE STAR oleh BRIAN MOH
 
IKON penyanyi rock negara tahun 80-an, Amy Search berhasrat menubuhkan sebuah sekolah tahfiz tidak lama lagi.

Amy, atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, bercadang membina sekolah itu di Johor.

Hasrat itu timbul semasa beliau menziarahi sebuah bukit ketika menunaikan ibadat haji tahun lalu.

"Ketika mendaki bukit, saya bertanya-tanya arah mana tujuan saya nanti dan siapa diri saya serta untuk apa Allah kurniakan saya dengan bakat yang ada ini.

"Ketika itu juga, telinga saya terdengar-dengar lagu Cahaya Merah Dari Ufuk Timur lagu yang menginsafkan hati saya tentang matlamat kejadian insan," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran buku Koleksi Terbaik Cerita Dari Mekah di Bangi semalam.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Utusan Malaysia kerana memilih beliau untuk melancarkan buku berunsurkan keagamaan, Amy berkata buku kecil itu mampu mendidik dan menyedarkan masyarakat Islam mengenai hukum hakam dalam agama.

"Membaca cerita-cerita dalam buku ini bukan sekadar untuk memenuhi masa lapang, tetapi ia boleh dijadikan iktibar penting dalam kehidupan harian kita.

"Buku ini besar ertinya dan saya yakin ia boleh membentuk jiwa orang Islam supaya lebih mendekati Allah dan menjauhi perkara yang dilarang," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran itu.

Vokalis, Amy Search (kiri) dan Nasir ketika beraksi di konsert 'Search Di Awan Biru' di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2009.
 
Buku setebal 189 halaman berharga RM7.50 senaskah merupakan kompilasi cerita yang tersiar dalam majalah MASTIKA sejak tahun 1996.

Ia mengisahkan pengalaman jemaah haji dan umrah semasa di Mekah.

Sementara itu pengumpul cerita berkenaan, Zulkarnain Zakaria berkata sebanyak 27 cerita dimuatkan dalam edisi pertama buku itu.

"Buku koleksi ini adalah wadah kami di Utusan dalam menyampaikan dakwah, memperingati mereka yang lupa dan memberi khabar gembira dari Tanah Suci kepada masyarakat Islam di seluruh negara.

"Untuk permulaan, sebanyak 100,000 buku dicetak dan saya yakin selepas ini akan ada ulang cetak berikutan permintaan yang memberangsangkan daripada syarikat pengendali umrah dan haji," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails